Showing posts with label SantaiFS. Show all posts
Showing posts with label SantaiFS. Show all posts

Friday, March 18, 2016


Sebagai menyokong bakat dan kreativiti tempatan serta desakan anak yang menonton iklan filem animasi ini di kaca televisyen, maka pada 12 Mac 2016 yang lalu saya berkesempatan menontonnya di TGV Aeon S2. Memang penuh dewan panggung. Hampir 90 peratus kerusi dipenuhi sehingga barisan yang paling hadapan pun ada orang. Saya teruja dan mengharapkan ceritanya benar-benar menarik bagai digembar-gemburkan.

Filem yang berdurasi 1 jam 40 minit ini mengisahkan sekumpulan makhluk asing bergelar geng Tengkotak menceroboh bumi dan menculik Ochobot. Mereka mahu menggunakan robot kecil yang comel rakan Boboiboy itu untuk mencari Sfera Kuasa yang tersembunyi di dunia ini. 

Lantaran itu, Boboiboy bersama rakan-rakannya yang lain, Yaya, Ying, Gopal dan Fang melancarkan misi untuk mencari dan menyelamatkan Ochobot yang sekali gus membongkar rahsia di sebalik Sfera Kuasa itu.

Dengan bantuan Papa Zola, banyaklah ragam, halangan dan cabaran yang terpaksa mereka tempuhi dalam misi menyelamatkan Ochobot. Aksi-aksi pertempuran antara mereka dengan geng Tengkotak kelihatan begitu sengit sekali.

Unsur jenaka banyak dimainkan oleh Gopal dan Papa Zola yang gila selfie ternyata mampu menyegarkan mata saya yang hampir terlelap. Hihi. Ya...saya sebenarnya sempat terlena beberapa ketika. (Shhh...jangan bagitau orang lain). Mujur keletah Danish Fikri yang hiper sehingga berkali-kali berdiri dan menggayakan aksi-aksi yang ditonton di layar membuatkan saya segar semula. Terpaksa saya cool down kan dia sebab takut menganggu penonton yang duduk di belakang.

Filem animasi 2D terbitan Animonsta Studios dan diedarkan oleh Primeworks Studios ini memang sesuai ditonton oleh kanak-kanak. Mereka akan berimaginasi dan menghayatinya dengan sepenuh jiwa. Mereka akan menyelami watak dan menganggap dirinya adalah Boboiboy. Biasalah tu, kita waktu kecil begitulah juga. Tengok Superman perasan diri Superman. Tengok Gaban, beranganlah kita adalah Gaban. Haha.

Geng Pengembaraan Bermula vs Boboiboy The Movie

Pada pandangan saya, Boboiboy The Movie ini kurang sedikit berbanding Geng Pengembaraan Bermula yang lebih banyak unsur suspen dan jalan cerita yang lebih menarik. Walaupun filem animasi pertama negara yang ditayangkan pada tahun 2009 hanya berjaya mengutip sebanyak RM6.32 juta tetapi ia tidak jemu untuk ditonton berulang kali.

Perlu diketahui bahawa kedua-dua filem animasi tempatan ini diarahkan oleh orang yang sama iaitu Mohd Nizam Abdul Razak. Beliau sememangnya seorang anak muda yang kreatif dan berbakat besar. Sebelum mempopularkan siri Boboiboy, beliau juga adalah antara orang yang terlibat dan bertanggungjawab mempopularkan siri Upin & Ipin ketika berkhidmat sebagai pengarah eksekutif di Les Copaque Production.

Menurut page Facebook Boboiboy The Movie sehingga artikel ini ditulis ia telah mencapai box office dengan mengutip RM10 juta dan bakal menemui penonton di Singapura serta Indonesia. Justeru itu, penerbit filem ini mensasarkan kutipan sebanyak RM25 juta.

Semakan terkini di laman web GSC Cinema, Boboiboy The Movie berada di kedudukan tangga ketiga selepas Kung Fu Panda 3 dan London Has Fallen. Ia adalah suatu pencapaian yang sangat memberangsangkan bagi filem animasi terbitan tempatan.

Nilai-nilai persahabatan dan kerjasama yang erat antara pasukan serta kesungguhan dalam perjuangan adalah antara tauladan yang ditonjolkan dalam cerita ini.

Justeru itu, kepada anda yang mempunyai anak-anak kecil memang berbaloi ke pawagam untuk menonton filem animasi hasil usaha keras anak-anak Malaysia ini. Sokonglah hasil seni dan karya kreatif tempatan. Saya bagi 4/5 bintang, tapi Danish Fikri bagi 5/5 bintang.


BACA JUGA:

Monday, February 15, 2016


Cuti umum sempena Tahun Baharu Cina pada Isnin (8 Feb 2016) yang lalu saya dan Danish Fikri (DF) menemani seorang rakan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk melawat seorang kenalannya. Sejak minggu sebelumnya lagi, DF memang kerap merengek nak ke KL. Apa yang dia faham, bila ke KL mesti mandi di KLCC. Termasuk kali ini sudah tiga kali saya membawanya mandi-manda di situ.

GO KL

Saya memang kerap ke HKL sebab masih mempunyai temujanji secara berkala setiap tiga bulan sekali. Apabila ke KL, pengangkutan awam adalah pilihan utama saya. Usai urusan ziarah orang sakit, kami bergerak ke Pavilion menaiki bas GO KL. Saya memang gemar menggunakan khidmat GO KL ini. 

Memang sejak saya mengetahui adanya GO KL, saya sudah jarang menaiki tren untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain di dalam bandaraya. Bas-bas GO KL ditandai dengan Red Line, Blue Line, Purple Line dan Green Line yang mewakili setiap laluan yang ditetapkan.  Tetapi tiga bas ini akan bertemu di perhentian yang sama iaitu Pavilion. Maklumat lanjut klik peta laluan di atas atau sila ke www.gokl.com.my. Lantaran itu, apabila ada urusan di kota metropolitan itu, GO KL adalah pilihan pengangkutan yang mampu melegakan poket marhaen seperti saya kerana ia adalah percuma. Terima kasih kerajaan di atas inisiatif ini.

Dekorasi Indah CNY di Pavilion


Entah berapa kali apabila tibanya sambutan Tahun Baharu Cina saya secara kebetulan berada di KL. Maka, memang saya menjangkakan bahawa Pavilion adalah antara tempat yang mempamerkan dekorasi CNY yang paling indah dan kreatif. Maka sempatlah kami #snapshot beberapa keping gambar di sini sebelum melangkah kaki menuju ke KLCC menggunakan kemudahan laluan jejantas pejalan kaki.

Tarian Singa di KLCC

Setibanya di KLCC, kami terpegun melihat ribuan orang sedang berkumpul melihat tarian singa. Lalu saya mendukung DF supaya dia dapat melihat dengan jelas pertunjukan kebudayaan masyarakat Tiong Hua itu. Dalam sepuluh minit memerhatikan aksi mereka menggerakkan kostum singa itu, kami pun bergerak ke destinasi wajib yang jika tidak pergi ada yang akan berguling atas jalan. Huhu.

Mandi-manda di Kolam Kanak-kanak Taman KLCC

Haa...ini adalah destinasi dan aktiviti wajib kalau bawa DF ke KL. Apabila dicongak kembali, ini adalah kali ketiga saya membawanya mandi di sini. Baginya KL adalah KLCC dan KLCC itu mandi! Saya siap sedia bawa pakaian lebih untuknya. Layankan jer.

Sebelum mandi, kami makan tengahari dahulu. Saya bawa bekal dari rumah nuget, burger dan beli set nasi di Cold Storage KLCC. Harganya berpatutan dan rasanya sedap. Nasinya banyak boleh kongsi dua orang makan, berlauk ayam masak lemak, terung tumis dan telur rebus goreng sambal dengan harga hanya RM6. Memang berbaloi. Kami makan santai di taman tersebut.

Saya bagi tempoh masa 30 minit untuk DF mandi. Tunjukkan jam digital besar di Menara Maxis, "Danish, ingatnya bila jam sudah pukul 4.30 petang, stop Okay?" "Orait ayah!" jawabnya. Lantas, diapun mandilah dengan sepuas-puasnya sambil beberapa kali mendongak dan memandang ke arah jam tersebut. Tiba waktunya, dia sendiri datang kepada saya untuk memaklumkan sudah pukul 4.30 sambil menunjuk ke arah menara tersebut. "Okay, good boy! jom balik."


Sunday, February 14, 2016


Sebuah taman rekreasi yang subur menghijau berkeluasan 26 ekar, Sendayan Green Park direka bentuk bagi mewujudkan interaksi antara komuniti dan menggalakkan pelbagai aktiviti gaya hidup sihat dan aktif bagi setiap peringkat usia. Kawasan riadah serba lengkap ini dibangunkan oleh BSS Development Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Matrix Concepts Group yang bertanggungjawab dalam pembangunan Bandar Sri Sendayan yang lestari dan mapan.

Antara kemudahan gaya hidup aktif yang tersedia di sini ialah, kawasan amfiteater, padang bola sepak, gelanggang luncur, taman bertema, menara dan platform peninjau, laman tai chi dan yoga, gazebo, stesen kecergasan aktif dan pasif.

Selain itu ia turut dilengkapi dengan gelanggang badmindon atau bola keranjang, taman permainan kanak-kanak yang seba lengkap, sebuah tasik yang indah dan kemudahan tandas yang selesa. Taman rekreasi ini diawasi oleh pengawal keselamatan yang beroperasi 24 jam sehari.

Selain Hill Park S2 Heights dan S2 City Park, Sendayan Green Park memang kerap saya kunjungi kerana ia bersebelahan dengan tempat kerja. Ia terletak berhampiran dengan Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Sembilan, stesen minyak Petron, restoran makanan segera Marrybrown, deretan pusat komersial Sendayan Metro Park dan kediaman banglo jutawan peneroka Sendayan Idaman Villa.


Menariknya Sendayan Green Park ini adalah ia merupakan taman rekreasi yang serba lengkap. Trek jogingnya meliputi kawasan rata dan juga mendaki. Di atas puncak bukitnya ada pelbagai alat kecergasan berupa outdoor gym yang amat berguna. Manakala di tengahnya terdapat sebuah menara tinjau yang apabila kita berada di puncaknya, kita dapat melihat panorama indah Bandar Sri Sendayan dari atas.

Pengunjung juga boleh menikmati pemandangan pesawat-pesawat yang mahu mendarat di KLIA dari puncak bukit ini. Di sudut lain, kita dapat melihat kepesatan pembangunan Sendayan TechValley Malaysia yang menempatkan kilang-kilang berteknologi tinggi tempatan dan antarabangsa.

Selain joging, main bola sepak, badminton dan skateboard, pengunjung juga boleh membawa anak-anak berbasikal di taman rekreasi yang luas ini. Pada waktu pagi dan petang hujung minggu, taman ini biasanya akan dipenuhi dengan masyarakat tempatan yang mengambil peluang untuk beriadah dan bermesra dengan ahli komuniti yang lain.

Usaha berterusan turut didedikasikan ke arah mewujudkan taman kejiranan tersendiri di mana kanak-kanak boleh bermain dalam persekitaran yang selamat dan ahli keluarga dapat berkumpul bersama. Prasarana rekreasi yang serba lengkap dibina bagi semua ahli komunit dari segenap lapisan usia dapat berkumpul sambil menikmati aktiviti gaya hidup yang sihat kegemaran masing-masing.

Gelanggang luncur skateboard
Subur dan menghijau

Outdoor gym
Panorama terindah tasik
Landskap yang menarik dan mendamaikan

Friday, February 5, 2016


Tanggal 6 April 1980, Stadium Merdeka bergema. Rakyat yang memenuhi stadium tersebut bersorak kegembiraan. Malaysia berjaya menewaskan Korea 2-1 sekali gus layak ke Sukan Olympic Moscow 80.

Ola Bola merupakan sebuah filem fiksyen pengkisahan sejarah bola sepak tempatan. Walaupun ia merupakan sebuah penceritaan, filem sentuhan pengarah ‘box-office’ The Journey, Chiu Keng Guan ini turut dilatari dengan emosi dan jenaka yang mampu membuatkan penonton tertawa. 

Ia mempamerkan semangat juang di kalangan para pemain. Suasana tegang ketika di bilik persalinan sebelum sepak mula di separuh masa kedua mampu membuatkan para penonton sebak dan hiba. Separuh masa pertama menyaksikan kita ketinggalan 1-0. Semangat juang Ali luntur apabila diberitahu sesuatu oleh pemain Korea ketika beraksi di atas padang.

Suasana di bilik persalinan itu menjadi tegang. Ali mahu mendapatkan kepastian daripada jurulatihnya apakah yang didengarinya itu benar? Ali memberontak apabila perkara itu disahkan benar oleh jurulatihnya. Baginya adalah sesuatu yang sia-sia pasukannya berjuang berhabis-habisan untuk menang tetapi impian sebenarnya sudah tiada lagi.

Tauke selaku ketua pasukan bertindak dengan sewajarnya. Manakala Muthu pula mempamerkan semangat juang yng tinggi. Lontaran kata-katanya mampu menaikkan semula semangat rakan-rakan sehingga mampu menjaringkan sebanyak dua gol pada separuh masa kedua.

Unsur humor juga digarap dengan sempurna. Watak tiga adik Muthu dan ayahnya amat melucukan. Seringkali juga kedengaran hilai tawa para penonton.

Membawa Mesej Perpaduan

Ola Bola juga membawa gambaran rakyat berbilang bangsa yang begitu harmoni pada era hujung 70-an dan awal 80-an. Bola sepak ternyata mampu mengeratkan perpaduan di kalangan rakyat. Dengan televisyen monokrom pada ketika itu, perlawanan akhir kelayakan Olympic tersebut ditonton secara beramai-ramai. 

Ola Bola merupakan kisah kejayaan tentang keberanian dan semangat bersatu yang memberi inspirasi kepada barisan pemain bola sepak Malaysia untuk bangkit dari kekecewaan dan muncul menjadi wira negara.

Bagi meninggalkan kesan pada hati penonton, Chiu telah memberi sentuhan ajaib pada setiap watak terutamanya watak utama, Tauke yang digambarkan dalam Ola Bola, yang mana dia terpaksa meninggalkan pasukannya disebabkan masalah kewangan.

Begitu juga dengan watak Rahman, seorang pengulas sukan yang begitu bersemangat ketika membuat liputan. Kehilangan tunggak utama membuatkan pasukan kebangsaan berdepan dengan pelbagai masalah di perlawanan kejohanan pertamanya. Namun, pasukannya bangkit dengan bersatu padu untuk mencapai kemenangan.

Penampilan khas Datuk Rahim Razali juga membuatkan kita terpesona seketika.

Filem yang mengambil masa selama satu tahun untuk proses produksi ini menggunakan khidmat professional dalam bidang khusus teknikal seperti pakar kesan khas visual dari Argentina yang mempunyai pengalaman luas di Hollywood. Begitu juga dengan sinematografi udara terbaik dari Australia, pasca produksi dan pemenang anugerah audio dari Taiwan, Tu Duu-Chih.

Malah, mereka turut menggunakan khidmat Chin Ting Chang seorang pengarah fotografi dari filem Kana. Filem bergenre drama ini menampilkan pelakon hebat, Bront Palarae dan penampilan istimewa oleh Frankie Lee.

Menariknya, Ola Bola turut dibarisi pelakon baru yang bakal menyinar seperti JC Chee (Kwok Keong atau Tauke), Luqman Hafidz (Ali), Saran Kumar (Muthu) dan Marianne Tan (Marianne). Menarik untuk diperhatikan, bahawa filem ini seperti mana filem-filem yang sepatutnya menyatakan realiti sebenar kehidupan di Malaysia, menggunakan kesemua bahasa iaitu Bahasa Melayu, Tamil, Inggeris, Mandarin, Kantonis, dan juga Hokkien.

"Kita bertutur dalam bahasa yang berlainan, tetapi kita nyanyi lagu yang sama." - Datuk Soh Chin Aun aka Tauke (Kapten...
Posted by Fauzi Sabri on Wednesday, February 3, 2016


...Walaupun kita layak ke Olympic Moscow 1980, tetapi sebagai bantahan kepada pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan, maka 67 buah negara termasuk Malaysia telah memboikot temasya sukan dunia tersebut...



Berapa bintang nak bagi? Saya bagi 4/5*
Info Filem 
Bahasa: Inggeris / Melayu / Mandarin / Tamil 
Klasifikasi: U
Tarikh Tayangan: 28 Januari 2016
Genre: Drama / Sukan
Durasi: 1 Jam 53 Minit
Pengedar: GSC MOVIES
Pelakon: Chee Jun Cherng, Luqman Hafidz, Marianne Tan, Katrina Ho, Bront Palarae Pengarah: Chiu Keng Guan
Format: 2D, 2D ATMOS


Monday, January 18, 2016


Setiap awal pagi dan petang terutamanya pada cuti hujung minggu, taman rekreasi ini dipenuhi dengan ramai orang. Ia merupakan tempat riadah yang paling diminati penduduk setempat. S2 City Park, Seremban 2 yang berkeluasan enam hektar ini terletak berhampiran dengan Kompleks Mahkamah Seremban, Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 2 dan Masjid Hussain. 

Selain dari Sendayan Green Park yang lebih dekat dengan rumah dan Hill Park S2 Heights, kawasan rekreasi ini juga sering saya dan Danish Fikri kunjungi suatu ketika dahulu. Tetapi sejak akhir-akhir ini jarang sedikit kerana ia terlalu sesak. Kalau sekadar ingin bersantai-santai memang sesuai. Tetapi jika mahu betul-betul bersenam dan joging ia agak sukar. Kami hanya ke sini  sekadar untuk bersiar-siar santai sahaja.


Berbanding Hill Park S2 Heights, S2 City Park adalah taman rekreasi mendatar yang latar utamanya adalah sebuah tasik yang dipenuhi dengan ikan dan kura-kura. Antara ikan yang ada adalah seperti, Tilapia Merah, Keli, Kelisa, Koi dan sebagainya. Justeru itu, ia sangat sesuai untuk dikunjungi oleh pelbagai lapisan peringkat usia dari kanak-kanak sehinggalah kepada warga emas.

Taman rekreasi yang dibuka sejak tahun 2005 ini menyediakan kemudahan riadah yang serba lengkap. Selain trek joging yang mengelilingi tasik, ia turut dilengkapi dengan gelanggang futsal, bola keranjang dan badminton. Turut tersedia adalah outdoor gym, alat-alat senaman ringan dan dua buah taman permainan kanak-kanak.


Bagi memudahkan pengunjung memberi ikan makan, di tengah-tengah tasik ini ada sebuah jambatan dan empat buah mini jeti di sekeliling tasik. Para pengunjung terutamanya kanak-kanak pasti teruja apabila melihat ikan-ikan tersebut berebut mendapatkan roti dan dedak yang dibaling mereka. Roti dan dedak boleh didapati daripada penjaja di situ dengan harga seringgit sebungkus.


Turut disedikan adalah dua buah wakaf yang agak besar sesuai untuk berkelah bersama keluarga dengan membawa aneka juadah sendiri. Dilatari dengan pemandangan tasik yang indah dan masjid, ia sememangnya mampu memberi ketenangan dan ketenteraman jiwa. Amat sesuai bagi merehatkan minda serta menghabiskan waktu hujung minggu sambil menjalankan senaman bersama keluarga.


Pada awal pagi biasanya kelihatan masyarakat Tiong Hua menjalankan aktiviti senaman Tai Chi mengikut alunan muzik yang perlahan lagi menenangkan. Kemudian disusuli pula dengan aktiviti senamrobik yang rancak. Manakala pada petang hujung minggu sabtu dan ahad, kawasan ini akan menjadi lebih meriah dengan adanya penjaja yang menjual layang-layang dan permainan buih belon. Serta pelbagai jenis makanna dan minuman ada dijual. Antaranya coconut shake, ais krim pasu, pisang goreng, keropok lekor dan sebagainya. 


Jika anda yang tinggal agak jauh dari sini dan ingin beriadah sehingga waktu senja, elok sekiranya membawa persalinan lebih untuk terus solat maghrib di Masjid Hussain. Kemudahan shower ada disediakan di masjid berkenaan.

LIHAT 50 LAGI GAMBAR MENARIK KLIK SINI

BACA JUGA:

Friday, January 8, 2016


Pada malam 7 Januari 2016 yang lalu, #LensaFS berpeluang untuk merakam momen-momen terindah Negeri Sembilan Berselawat di Kompleks Belia dan Sukan Paroi. Berikut adalah berita berkaitan dari n9kini.com.

Kira-kira 30,000 rakyat Negeri Sembilan sekitar bandar Seremban, Rembau, Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rasah dan Telok Kemang membanjiri Kompleks Belia dan Sukan Paroi (KOMBES), malam tadi. 

Mereka hadir untuk bersama-sama mengimarahkan majlis ilmu dan menzahirkan rasa kecintaan serta kasih sayang kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. 

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir perkenan hadir di majlis ini. Baginda diiringi kedua-dua putera, Tunku Besar Seri Menanti, YAM Tunku Ali Rethaudin ibni Tuanku Muhriz dan YAM Tunku Zain Al’Abidin ibni Tuanku Muhriz. 

Kehadiran keluarga Diraja disambut Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dan juga isterinya, YM Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin. Majlis seumpama ini dianjurkan buat kali kedua dan bakal diteruskan oleh Kerajaan Negeri Sembilan. 

Keadaan ini mengambil kira sambutan dan kehadiran rakyat negeri ini yang semakin ramai bilangannya dari tahun sebelumnya. Menurut Menteri Besar di sidang media, program seumpama ini amat besar syafaatnya kepada umat Islam di negeri ini yang secara berjemaah memuji ketokohan dan kewibawaan Nabi Mohammad SAW di samping mendengar tazkirah sirah dan dakwah Baginda. 

Rasulullah SAW perlu dikenang dan diteladani umat Islam seluruh dunia yang membentuk umat Islam sebagai umat teristimewa di sisi Allah SWT. Walaupun zaman berganti zaman dan terus beredar, umat Islam tidak boleh lupa dan alpa terhadap perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW. 

Menyentuh berkenaan kehadiran sebegitu ramai rakyat Negeri Sembilan, beliau memaklumkan bahawa komuter dari Gemas-Seremban turut beroperasi sehingga lewat 1.00 pagi bagi untuk memudahkan penduduk terutamanya dari Daerah Tampin yang berniat hadir di majlis ilmu sebegini. 

Tazkirah bersempena Negeri Sembilan Berselawat disampaikan oleh Habib Najmudin Othman Al-Khered. Hadir sama, Tunku Besar Tampin, YTM Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Dr. Awaluddin Haji Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mat Ali Haji Hasan.


ADA 25 LAGI GAMBAR KLIK SINI


Wednesday, December 30, 2015


Di sini adalah kawasan hilir sungai. Bermaksud di sini adalah penghujung Sungai Perak sebelum ia bertemu dengan laut Selat Melaka.

Apabila disebut muara, maka janganlah dibayangkan bahawa sungainya seperti di hulu yang jernih dan kecil. Hilir, kuala atau muara menggambarkan keadaan air sungai yang keruh seperti teh tarik dan segala sisa sampah yang mengalir dari hulu akan timbul di sini.

Suatu ketika dahulu nama pekan kecil ini masyhur tercatat di dalam buku-buku teks Geografi sebagai kawasan tanaman komoditi koko dan kelapa utama negara. Manakala, Beting Beras Basah menjadi lokasi sejarah penting bagi Kesultanan Negeri Perak.

Udang Galah pertama yang saya tawan!!!
Ketika seminggu bercuti di kampung beberapa minggu yang lalu, saya sempat pergi mancing udang galah. Pengalaman pertama sebenarnya. Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, ia bukan sahaja menjadi tumpuan kaki pancing Sembilang dan Gemang sahaja. Si Sepit Biru kini menjadi gamitan joran penduduk tempatan dan orang luar.


Udang Galah mula menjadi sumber rezeki penduduk tempatan. Harganya sekitar RM30-50 sekilo. Apabila waktu sore, kelihatan seperti ada pesta joran di tebing tembok dari Jeti Bagan Datok sehingga ke Tali Air Kampung Pasang Api.

Apabila Kail Disentap… 

Menggunakan umpan isi udang kertas kecil atau cacing tanah dipasang pada mata kail yang kecil. Setelah beberapa minit mata kail dilepaskan ke sungai, hujung joran mula bergoyang-goyang lantas saya menariknya ke atas. Teruja juga apabila melihat udang galah tersangkut dan terhayun-hayun di hujungnya.

Danish Fikri & Neneknya menunjukkan udang yang berjaya ditawannya.
Pada hari pertama dapatlah saya menaikkan lima ekor. Manakala pada keesokkannya pula, nasib kurang baik. Kail asyik tersangkut pada batu di dasar sungai. Mungkin udang yang besar tarik kot. Hahaha.
Keterujaan Danish Fikri melihat Nenek & Pakciknya mancing Udang Galah
Kalau anda berminat untuk merasai pengalaman mancing udang galah ini, silalah berkunjung ke Teluk Intan atau Bagan Datok ini. Di sepanjang sungai Hilir Perak ini memang menjadi tumpuan untuk memacing udang.

Tentang penginapan janganlah dikhuatirkan kerana di sini terdapat banyak hotel bajet, rumah tumpangan dan homestay pada harga yang sangat murah.

LIHAT ADA 18 GAMBAR LAGI KLIK SINI

Tips Memancing Udang Galah
Jenis Umpan dan Cara Memancing Udang Galah

Tuesday, December 29, 2015


"Sekongkong Tanah Minangkabau,
Selilit Pulau Perca,
Di lengkong ular Saktimuna,
Perpisahan Beta di selat Melaka,
Jika Sah Beta Raja berdaulat,
Lepaslah sekalian malapetaka"

Sewaktu bahtera baginda menghampiri muara Sungai Perak dan sampai ke kawasan Beting Beras Basah, bahtera baginda dipukul ombak besar dan terdampar secara tiba-tiba di atas beting di tengah lautan tersebut. Sultan Muzaffar telah mengarahkan supaya dibuangkan barang-barang yang berat ke laut namun bahtera masih tetap tersekat, seraya baginda melafazkan bait-bait mentera seperti di atas.

Sultan Muzzaffar lantas mengambil mahkota baginda dan membuangnya ke dalam laut. (sebab itulah tiada gelaran Tengku Mahkota di Perak, sebaliknya Raja Muda Perak) Secara tiba-tiba laut yang bergelora itu tenang kembali seperti biasa bahtera baginda dapat belayar semula seperti sediakala. Serentak itu, Tun Saban dan pengikutnya melaungkan 'Daulat Tuanku' dan baginda Sultan Muzzaffar Shah I pun ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama di Beting Beras Basah.


Disebabkan peristiwa tersebut, baginda telah mengambil keputusan untuk mendarat di Beting Beras Basah dan ditabalkan sebelum meneruskan pelayaran baginda. Sejak itu, setiap Sultan Perak yang akan ditabalkan disyaratkan mencecahkan kaki ke Beting Beras Basah ini.


Semakan di Gerbang Kata DBP; Kata 'Beting' bermaksud- timbunan pasir yang besar dan panjang di muara (di laut dll): ~ ini menjadi halangan kepada pelayaran di sungai; berbeting mempunyai beting: muara sungai itu ~;membeting merupakan beting;terbeting terdampar di beting.

Mengapa Beras Basah?

Menurut cerita orang kampung, pada zaman dahulu ada sebuah kapal membawa muatan beras terbalik lalu karam di sini. Sebab itu ia dinamakan dengan Beting Beras Basah. Kesahihannya tidaklah dapat saya buktikan.

Kunjungan Pertama 

Walaupun saya dilahirkan dan dibesarkan di Bagan Datoh, tetapi sejujurnya saya tidak pernah berkunjung ke lokasi yang bersejarah ini. Sehinggalah pada penghujung Ramadan 2015 yang lalu, ketika bersiar-siar di pekan kecil itu saya ternampak papan tanda jalan tertera Beting Beras Basah. Lantas saya mengambil keputusan untuk memandu mengikut arah tersebut.


Bersempena Istiadat Cecah Kaki Pertabalan Sultan Perak yang ke-35; DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 14 Mei 2015 yang lalu, jalan darat yang bertar dan sebuah jeti telah dibina. Diharapkan selain menjadi tumpuan kaki pancing, destinasi bersejarah ini juga mampu menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan di Bagan Datok.


Saya bersama Danish Fikri dan Zaidi Sabri meluru berjalan sehingga ke tepian ‘pantai’ beting yang berselerak dengan dahan-dahan bakau mati mungkin. Saya sempat mengambil gambar-gambar panorama terindah di sekitarnya menggunakan #lenovo850 #capayam yang termampu ini.


Orang kata kawasan ini ‘keras!’ Mesti berhati-hati dan awas... mulut jangan celupar. Sesekali meremang juga bulu roma saya apabila terhidu bau yang semerbak harum ketika melintasi pondok yang digantung beberapa helaian kain kuning itu. Saya cuma berdiam diri dan terus meluru ke jeti. Danish Fikri kelihatan seperti biasa berlari-lari keriangan.


Ketika pulang, Zaidi turut mengakui ada bau harum di situ. Ohhh…bukanlah saya seorang yang terhidu rupanya. Tetapi menurut kata orang, bau itu datang dari pewangi yang disembur di kain kuning tersebut. Itu sahaja…janganlah cuak sangat. Hahah.

Pusat Kerajaan Makhluk Ghaib Dunia 

Sewaktu nak menulis cerita ini, saya ada membuat carian di google. Terperanjat apabila terklik suatu artikel bertajuk; “Beting Beras Basah; Pusat Kerajaan Makhluk Ghaib Dunia.” Saya teruja untuk menekuninya sehingga ke nokhtah terakhir. Wow…awesome! Menarik sekali ceritanya.

Menurut artikel tersebut; kawasan lubuk pusar itu dikenali sebagai Tasik Pawa Janggi dan menurut cerita rakyat Perak, ia tempat yang digeruni kerana banyak perkara misteri berlaku. Di dasar tasik itu dikatakan mempunyai kerajaan yang diperintah tujuh jin. Kawasan berkenaan dikatakan menjadi tempat pawang memenjarakan makhluk ghaib yang jahat sejak dulu sehingga sekarang.

“Ia juga dikatakan ‘pusat’ makhluk ghaib seluruh dunia, termasuk Islam serta perkampungan orang bunian,” katanya yang turut berharap catatan sejarah itu mendapat perhatian dan pengiktirafan Persatuan Sejarah Malaysia dan bahannya dapat dibukukan untuk tatapan serta rujukan pencinta sejarah tanah air,” katanya. Cerita terperinci klik pada pautan di bawah.

Kunjungan Kedua 

Kali ini saya hanya berbasikal. Cuti seminggu di kampung dengan masakan ibu yang menyelerakan membuatkan #MisiFitFS tergugat. Maka, saya mengambil keputusan untuk berkayuhan setiap pagi.


Salah satu destinasinya adalah Beting Beras Basah ini. Jaraknya dari rumah mak saya mungkin sekitar 5 kilometer. Saya menunggang basikal sendirian sehingga ke atas jeti. Ketika ini tiada lagi bau semerbak seperti dahulu.

Lama juga saya memerhati keadaan kawasan di sekelilingnya dan mengambil gambar. Pagi yang nyaman dan segar. Saya fikir kawasan ini sangat sesuai untuk #photoshoot ‘raja sehari.’

Kunjungan kedua ini walaupun sendirian, bulu roma tidak pula meremang. Mungkin kerana saya sibuk mengambil gambar, kemaskini Facebook dan melayan inbox yang tidak berbalas kerana talian data di rumah kampung saya sangatlah mengecewakan. Sedangkan di kawasan jeti tersebut isyarat data sangat lancar.

Rasanya hampir sejam saya barada di situ sambil memerhati nun jauh di tengah nelayan sedang menaikkan pukat di atas sampan kecil.

Meremang ketika menulis… 

Lokasinya adalah di Kampung Sungai Ular, Bagan Datoh, Perak. Jika anda berkunjung ke pekan Bagan Datoh ikut sahaja arah papan tanda yang ada. Jaraknya hanyalah sekitar 5 kilometer sahaja. (kalau tak salah) Sebelum menenemui jeti, anda akan menempuhi pejabat Felcra di hujung kampung tersebut.

Peliknya bulu roma saya meremang ketika menulis cerita ini. Nak tanya, ketika membaca ini, bulu roma anda meremang tak? hehehe. Adeh... sekian sahajalah. Terima kasih kerana sudi membaca.

LIHAT 30 LAGI GAMBAR MENARIK KLIK SINI

Carian Google yang dijumpai: 
Sultan Nazrin sempurnakan istiadat cecah kaki di Beting Beras Basah
Video Utusan Sultan Nazrin cecah kaki di Beting Beras Basah
Beting Beras Basah; Pusat Kerajaan Makhluk Ghaib Dunia
Kisah Benar: Asal Usul Pertabalan Beting Beras Basah

BACA JUGA KOLEKSI #SantaiFS KLIK SINI