Monday, February 15, 2016


Cuti umum sempena Tahun Baharu Cina pada Isnin (8 Feb 2016) yang lalu saya dan Danish Fikri (DF) menemani seorang rakan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk melawat seorang kenalannya. Sejak minggu sebelumnya lagi, DF memang kerap merengek nak ke KL. Apa yang dia faham, bila ke KL mesti mandi di KLCC. Termasuk kali ini sudah tiga kali saya membawanya mandi-manda di situ.

GO KL

Saya memang kerap ke HKL sebab masih mempunyai temujanji secara berkala setiap tiga bulan sekali. Apabila ke KL, pengangkutan awam adalah pilihan utama saya. Usai urusan ziarah orang sakit, kami bergerak ke Pavilion menaiki bas GO KL. Saya memang gemar menggunakan khidmat GO KL ini. 

Memang sejak saya mengetahui adanya GO KL, saya sudah jarang menaiki tren untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain di dalam bandaraya. Bas-bas GO KL ditandai dengan Red Line, Blue Line, Purple Line dan Green Line yang mewakili setiap laluan yang ditetapkan.  Tetapi tiga bas ini akan bertemu di perhentian yang sama iaitu Pavilion. Maklumat lanjut klik peta laluan di atas atau sila ke www.gokl.com.my. Lantaran itu, apabila ada urusan di kota metropolitan itu, GO KL adalah pilihan pengangkutan yang mampu melegakan poket marhaen seperti saya kerana ia adalah percuma. Terima kasih kerajaan di atas inisiatif ini.

Dekorasi Indah CNY di Pavilion


Entah berapa kali apabila tibanya sambutan Tahun Baharu Cina saya secara kebetulan berada di KL. Maka, memang saya menjangkakan bahawa Pavilion adalah antara tempat yang mempamerkan dekorasi CNY yang paling indah dan kreatif. Maka sempatlah kami #snapshot beberapa keping gambar di sini sebelum melangkah kaki menuju ke KLCC menggunakan kemudahan laluan jejantas pejalan kaki.

Tarian Singa di KLCC

Setibanya di KLCC, kami terpegun melihat ribuan orang sedang berkumpul melihat tarian singa. Lalu saya mendukung DF supaya dia dapat melihat dengan jelas pertunjukan kebudayaan masyarakat Tiong Hua itu. Dalam sepuluh minit memerhatikan aksi mereka menggerakkan kostum singa itu, kami pun bergerak ke destinasi wajib yang jika tidak pergi ada yang akan berguling atas jalan. Huhu.

Mandi-manda di Kolam Kanak-kanak Taman KLCC

Haa...ini adalah destinasi dan aktiviti wajib kalau bawa DF ke KL. Apabila dicongak kembali, ini adalah kali ketiga saya membawanya mandi di sini. Baginya KL adalah KLCC dan KLCC itu mandi! Saya siap sedia bawa pakaian lebih untuknya. Layankan jer.

Sebelum mandi, kami makan tengahari dahulu. Saya bawa bekal dari rumah nuget, burger dan beli set nasi di Cold Storage KLCC. Harganya berpatutan dan rasanya sedap. Nasinya banyak boleh kongsi dua orang makan, berlauk ayam masak lemak, terung tumis dan telur rebus goreng sambal dengan harga hanya RM6. Memang berbaloi. Kami makan santai di taman tersebut.

Saya bagi tempoh masa 30 minit untuk DF mandi. Tunjukkan jam digital besar di Menara Maxis, "Danish, ingatnya bila jam sudah pukul 4.30 petang, stop Okay?" "Orait ayah!" jawabnya. Lantas, diapun mandilah dengan sepuas-puasnya sambil beberapa kali mendongak dan memandang ke arah jam tersebut. Tiba waktunya, dia sendiri datang kepada saya untuk memaklumkan sudah pukul 4.30 sambil menunjuk ke arah menara tersebut. "Okay, good boy! jom balik."


0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.