Wednesday, February 24, 2016


Antara Tora dan Ding Dang, biasanya abah akan memilih Ding Dang. Sebab Ding Dang 50 sen manakala Tora seringgit. Tak kisahlah janji ada. Kalau tak dapat saya akan berguling di depan kedai. Begitulah perihal saya ketika kanak-kanak. Setiap petang membonceng kapcai abah menuju ke pekan kecil berhampiran dengan kampung.

Petikan suara Mat Sentul yang seringkali muncul di kaca televisyen monokrom, "Tora datang lagi dengan permainan bla... bla... bla..." sememangnya mendatangkan keterujaan kepada setiap kanak-kanak dan keresahan kepada ibu bapa yang mendengar.

Menyelak buku Tora Datang Lagi: Kitab Pengetahuan Kanak-kanak 90-an tulisan anak kelahiran Pulau Mutiara, Amirul Bozu ini berupaya mengenang memori retro dengan jelas dan terperinci. Menghabiskan buku ini sama seperti menyusun semula memori hidup mengikut timeline zaman kanak-kanak.

Kita jumpa balik yang hilang, kita imbau semula yang sudah terlupa, kita bina balik blok-blok gambaran hidup zaman kanak-kanak dan segala keriangannya. Selepas ini kita tidak perlu lagi bimbang jika aktiviti atau scene kanak-kanak kita terlepas dari ingatan.

Simpan buku ini dan apabila hendak mengingat, selak semula. Bacalah untuk diri sendiri, bacalah sebagai bedtime story untuk anak-anak dan bacalah untuk cucu-cicit pada suatu masa akan datang.

Sebahagian besar atau saya kira lebih 70 peratus catatan dalam buku ini pernah saya lalui sebagai kanak-kanak yang membesar pada dekad 90-an. Dari rancangan televisyen seperti Gaban, Suria Baja Hitam, Usop Sontorian, Along dan sebagainya dibongkar semula untuk kenangan kita. Siri televisyen adiwira tempatan seperti Chempiang dan Kluang Man juga tidak kurang hebatnya.

Turut dikemukakan adalah permainan bebudak zaman itu seperti, konda-kondi, polis entri, guli, tepuk daun terup, jengket-jengket, congkak tanah, laga spider dan sebagainya. #throwback lagi apabila dipaparkan permainan brick game, pistol air, pistol mercun, senapang kayu dan botol air berbentuk telefon bimbit.

Lebih melucukan apabila mengenangkan tentang pantang larang, seperti jangan tunjuk pelangi nanti jari kudung, Angkat kaki ketika meniarap nanti emak mati dan duduk atas bantal nanti berbisul.

Alif Lam Lam Ha merupakan huruf-huruf dalam bahasa arab yang apabila disatukan menjadi kalimah suci berbunyi Allah. "Alif Lam Lam Ha, siapa makan ayam goreng aku, dia masuk neraka. Alif Lam Lam Ha, siapa curi pensel aku, balik sekolah dia eksiden." Dipercayai dengan meletakkan kalimah tersebut pada setiap ayat, ianya akan menakutkan siapa sahaja yang bersalah.

Sebelum wujudnya pemain disc, MP3, Ipod dan sebagainya, kanak-kanak era 90-an gemar mendengar lagu melalui hearfone walkman. Menggunakan dua biji bateri AA, mendengar radio atau kaset yang boleh diputar dan diterbalikkan. Ada side A dan side B. Antara kumpulan muzik tempatan yang popular ketika itu adalah KRU, 4U2C, A to Z dan Feminim.

Stesen radio yang paling hot waktu itu adalah Radio Muzik. Rancangan Pilihan Bersama yang ke udara pada setiap malam paling ditunggu-tunggu kerana pendengar boleh pilih lagu kegemaran mereka untuk diputarkan. Perlu diingat, pada ketika itu belum ada aplikasi SMS dan Whatsapp. Malah telefon bimbit juga tidak wujud lagi. Pendengar perlu mengepos poskad untuk memilih lagu kegemaran mereka ke alamat stesen radio berkenaan di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Ada banyak lagi yang Amirul Bozu terobekkan di dalam buku ini. Tak larat saya nak tulis semuanya. Segala jenis dan jenama jajan yang popular pada waktu itu, sehinggalah ais kepal, saluran televisyen, gula-gula getah, mukaddam, buah cermai, komik seperti; Alam pewira, Dewata Raya, Pedang Setiawan, Raja Rimba dan sebagainya. Majalah humor tempatan yang paling popular pula adalah Gila-Gila dan Ujang.

Ragam di sekolah juga diselitkan. Antara ketakuatan adalah apabila doktor gigi datang menjengah, suntikan BCG dan juga berkhatan.

Jika anda lahir pada tahun 80-an dan membesar pada dekad seterusnya, buku Tora Datang Lagi ini memang patut dimiliki. Ia berupaya #throwback zaman nakal dan riang kita dahulu. Buku setebal 302 muka surat ini memang #awesome untuk dibaca. Anda akan tersengih dan ketawa kecil sendirian apabila mengingati gelagat zaman kanak-kanak dahulu. Jom beli!


Tribute untuk arwah abah; Mohd Sabri bin Manhuri bin Abdul Khalid bin Ahmad "Ya Allah, ampunilah dosanya, kasihani dan sejahterakanlah dia. Maafkan segala kesilapannya, muliakan kedatangannya dan lapangkanlah kuburnya. Terima kebaikannya dan hapuskanlah kesalahannya dengan rahmat-Mu; wahai Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyanyang. Amiin"

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.