Monday, February 1, 2016


Apabila tercetusnya krisis politik Kedah ketika ini, saya mula mengimbas kembali beberapa krisis yang berlaku sebelumnya.

SATU: Krisis Politik Perak 2009

Melibatkan peranan penting DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Shah ibni Almarhum Sultan Yusof. Walaupun ramai yang riuh rendah berkata ia satu langkah yang membelakangi undang-undang, sedarlah bahawa Baginda adalah seorang ketua hakim negara sebelum ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke-34. Kita bolehlah riuh-rendah terpekik terlolong, lebih dahsyat ada seorang hamba Allah berjubah putih dan berserban sanggup baring di tengah jalan bagi menghalang kenderaan Raja Muda Perak (ketika itu) Raja Dr. Nazrin Shah semasa majlis istiadat angkat sumpah menteri besar yang baharu.

Sedarkah kita bahawa, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak ketika itu adalah kerajaan DAP sebenarnya. Walaupun menteri besarnya seorang melayu daripada PAS (ketika itu – sekarang dah lompat AMANAH) tetapi majoriti exconya adalah dari DAP. Sebab apa? Sebab DAP yang paling  banyak menguasai kerusi DUN di Perak bagi komposisi gabunngan pembangkang. Cumanya, Undang-undang Tubuh Negara Perak mewajibkan bahawa seorang yang menjawat jawatan menteri besar Perak mestilah berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Maka DAP mencari-cari siapakah calon yang paling layak dari kalangan PKR. Setelah diselidiki tiada seorang pun yang ada tokoh. Mahu tidak mahu mereka terpaksa menerima calon dari PAS untuk mengetuai kerajaan Negeri Perak iaitu Datuk Seri Ir Haji Mohd Nizar Jamaluddin (ketika ini beliau merupakan satu-satunya ADUN dari parti AMANAH di negeri berkenaan)

Alhamdulillah, apabila DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizudin Shah ditabalkan sebagai Sultan Perak yang ke-35, Baginda berkenan mengampunkan kesemua orang-orang yang bertindak biadap menghalang kenderaannya daripada memasuki Istana Iskandariah bagi menghadiri majlis angkat sumpah menteri besar yang baharu iaitu Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Orang-orang yang berkupiah putih, berserban itu bukan sahaja melaungkan kata-kata nista kepada baginda, malah sanggup baring melintang di tengah jalan!

“Lalu wajah-wajah ini muncul di kaca TV mengucapkan menjunjung kasih atas kemulian Tuanku kerana berkenan membebaskan patik-patik sekalian yang biadap dan durhaka!” Sebelum itu, sempatlah mereka ini muhasabah diri di dalam penjara tapah hampir setahun.

Yang menghairankan, kenapa tiada kelibat bangsa cina yang berada di situ bagi menghalang kenderaan Baginda ketika itu?....jeng jeng jeng. Cuba jawab sendiri. Walhal Nizar hanyalah menteri besar tetapi majoriti exconya adalah DAP. Sudah tentulah banyak keputusan yang dibuat secara kolektif.

DUA: Langkah Kajang

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seorang menteri besar yang diakui mempunyai reputasi yang baik dan berprestasi cemerlang. Malah dalam penggal pertama pentadbirannya di Selangor, ada seorang penganalis yang bersifat neutral memujinya sebagai seorang menteri besar yang paling bernilai. Walaupun beliau tidak mahir berpidato, seterunya menggelarnya mat gagap. Tetapi dalam bab mengurus dan merakyatkan ekonomi Selangor, beliau ternyata dikagumi oleh kawan dan lawan. Hal ini tidaklah menghariankan kerana beliau adalah bekas seorang tokoh korporat yang pernah mengetuai sebuah GLC yang besar suatu ktika dahulu iaitu Guthrie. Samalah seperti Datuk Seri Mohamad Hassan yang menjadi kebanggaan  rakyat Negeri Sembilan yang juga bekas seorang tokoh korporat dan pernah menerajui beberapa syarikat yang besar. Maka, diakui ramai bahawa pentadbirannya lebih cekap dalam menguruskan ekonomi negeri berbanding menteri besar sebelumnya.

Berjabat tangan dan eye-contact semasa SMS2 2013 @UKM.
Ketika kursus di INTAN, saya berkenalan dengan seorang juruteknik komputer dari pejabat SUK Selangor. Dialah orangnya membuat konfigurasi e-mel di komputer di dalam bilik menteri besar itu. Dia kata sewaktu dia membuat kerja itu, Tan Sri mengarahkan duduk sahaja di atas kerusinya itu. Kemudian masuk seorang pegawai kanan kewangan negeri yang mahu memberikan taklimat tentang pengurusan ekonomi negeri tersebut. Maka kawan saya ini pun curi-curi dengar. Dia cerita secara terperinci apa yang  Tan Sri Khalid bualkan dan arahkan pegawai berkenaan buat. Kawan saya ini melahirkan rasa kagum dengan arahan-arahan ringkas, padat dan tepat yang beliau lontarkan.  Itu adalah pada hari pertama beliau memasuki pejabat menteri besar setelah diperkenankan oleh Sultan Selangor. Panjanglah beliau berbicara mengenai Tan Sri Khalid dan semuanya positif belaka.

Malangnya, apabila memasuki penggal kedua pentadbirannya, seteru politiknya, bukan dari parti lawan, tetapi dari kalangan partinya sendiri mula berasa tidak selesa dengannya kerana didapati beliau ini seringkali membuat keputusan yang bertentangan dengan kehendak ‘ketua umum.’ Maka, langkah demi langkah, strategi demi strategi dirancang dan diatur bagi mendesaknya supaya berundur.

Agak lama juga tempoh yang diambil bagi menjatuhkan beliau. Ternyata Tan Sri Khalid seorang yang tidak mudah mengalah. Sehinggalah Langkah Kajang diperkenalkan. Bagi saya ini adalah sandiwara politik yang paling mahal harganya dalam abad ini. Kelakar, rasa nak gelak berguling-guling pun ada. Bagaimana tak kelakarnya apabila tiba-tiba sahaja seorang ADUN Kajang berbangsa cina meletak jawatan. Alasan? Kerana sudah tidak berminat dengan politik. Mahu tumpu keluarga dan bisnes.

Lebih memeranjatkan dan membingungkan apabila calon yang diumumkan bakal bertanding di DUN berkenaan adalah Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail yang merupakan isteri kepada ‘ketua umum.’ Aik?…..jom kita #terobek balik. Dulu-dulu dia berpenggal-penggal sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh. Tiba-tiba dia letak jawatan sebagai ahli parlimen kawasan berkenaan dengan alasan, “mahu bersara dari dunia politk. Dah tua nak jaga cucu.” Kemudian siapakah calon penggantinya? Siapa lagi kalau bukan ketua umum.

Berbalik cerita langkah kajang ini. Seperti sudah dijangka, Wan Azizah menang. Berbelit-belit punya cerita akhirnya tahulah sekalian rakyat bahawa tujuannya mahu menggulingkan Khalid dan menggantikannya dengan Azizah. Jika itu terjadi maka, tercatatlah dalam sejarah tanahairku bahawa beliau merupakan wanita pertama menjadi menteri besar. Malangnya hajat tak kesampaian.

Apabila DYMM  Sultan Sharifuddin Idris  Shah, Sultan Selangor  tidak berkenan dan meminta tiga nama untuk dicadangkan sebagai menteri besar. Di sini kita lihat, bagaimana peranan Sultan penting dalam mengimbangi kerakusan politikus. Saya tidaklah dapat bayangkan apabila Wan Azizah menjadi menteri besar. Bukan sebab dia seorang wanita.  Tidak timbul soal gender. Jika beliau sehebat Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz misalnya, saya sokong benar dia jadi menteri besar.

Tetapi menilai kewibawaannya sebagai ketua pembangkang suatu ketika dahulu, sebagai presiden parti yang hanya simbolik sahaja. Tetapi yang berkuasa penuh adalah ketua umum. Beliau bukanlah politikus pada asalnya. Sebaliknya seorang isteri yang penyayang dan taat kepada suaminya. Tiada idea-idea atau strategi politk yang digerakkannya.

TERKINI: Krisis Kedah 2016

Ini lagi studi kes yang sangat berguna lagi bermanfaat. Kita lihat bagaimana keadilan yang dipamerkan oleh Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah dalam menangani krisis ini. Dengan memanggil kesemua ADUN BN dan mahu mendengar sendiri luahan mereka. Apakah yang mereka tidak puas hati sangat dengan menteri besar yang sedia ada ni? Cuba habaq mai!

Seluruh rakyat sedang memerhati dengan penuh ‘riang-ria, seronok, gembira, melompat-lompat,  terbahak-bahak dan bla la bla’ krisis yang terbaharu ini. Lebih malang apabila Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah sendiri menzahirkan rasa dukacitanya apabila krisis ini yang tercetus pada saat Hari Keputeraannya! Kelakuan sumbang mereka itu dilihat sebagai tidak menghormati Baginda sebagai Raja yang memerintah negeri berkenaan.

Krisis jadi berlarutan dan rumit apabila pihak istana merasakan tiada keperluan menukar menteri besar sedia ada. Kecuali jika ada alasan yang kukuh! Samalah seperti Langkah Kajang. Jauh disudut hati Sultan Selangor mahu Tan Sri Khalid dikekalkan dan Baginda maklum akan prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh Dato Menteri Besar kali ini berbanding menteri besar sebelumnya yang kini sedang menjalani muhasabah diri di penjara kajang untuk tempoh setahun. Tetapi apakan daya Baginda sedar akan keterbatasan kuasanya. Walaupun begitu Baginda berupaya memperkenankan calon lain dari kemahuan ketua umum iaitu Datuk Seri Azmin Ali.

Ada banyak yang boleh kita pelajari dari krisis-krisis sebegini. Tetapi kesimpulan yang saya nak bawa ialah, sebenarnya rakyat sudah muak, mual dan bosan dengan permainan para politikus ini! SudahlahPolitikus! Tak bolehkah kalian berubah menjadi politikus yang berdaya maju? bersaing secara sihat dan berminda sejahtera seperti politikus di Jepun? Titik!




1 comment:

  1. Satu pandangan dari kaca mata sendiri ada yg elok tapi mesti berhati2 dlm melontar tuduhan..bimbang jadi fitnah pula..

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.