Thursday, January 28, 2016


“Saya menulis sebuah buku yang penuh dengan catatan-catatan santai saya tentang filem-filem P. Ramlee. Saya tidak berniat untuk memperkenalkan P. Ramlee secara biografi kerana riwayat hidup seniman agung ini sudah diketahui oleh hampir seluruh penduduk dunia.” 

“Saya di sini sekadar mahu berkongsi mengenai pengalaman peribadi saya menonton filem-filem P. Ramlee. Perlu diingatkan bahawa saya bukanlah seorang pelajar bidang perfileman atau pun memiliki kemahiran memahami filem secara teknikal dan spiritual. Saya sekadar seorang peminat filem dan sedang dalam proses menyatakan penghargaan kepada pembikin yang memiliki jati diri, nilai dan kemahuan membikin filem untuk mencerdikkan penonton.” -Daniyal Kadir. 

Buku Membedah P. Ramlee ini merupakan pengamatan penulisnya mengenai filem-filem yang diarah dan dilakonkan oleh Seniman Negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee semasa di Malay Film Production (MFP). Menurut Daniyal Kadir, filem-filem yang dihasilkan semasa tempoh tersebut memiliki nilai dan pemikiran yang lebih tajam, matlamat pembikinan yang lebih jelas dan kritikan yang lebih hebat berbanding filem-filem karya beliau pasca MFP. 

Karya setebal 207 muka surat ini ‘membedah’ dengan cukup cermat dan teliti 15 buah filem seniman agung tersebut. Antaranya ialah, filem-filem serius seperti Penarek Becha, Semerah Padi, Sumpah Orang Minyak, Musang Berjanggut, Antara Dua Darjat dan Ibu Mertuaku. Turut disentuh dan diulitinya adalah filem-filem genre komedi seperti Bujang Lapok, Nujum Pak Belalang, Pendekar Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok, Labu dan Labi, Nasib Si Labu dan Labi, Madu Tiga serta Tiga Abdul. 

Bukan Lelucon Picisan

Daniyal Kadir berkongsi pengalaman menonton filem-filem tersebut dan cuba membedah; “Apakah setiap filem P. Ramlee itu mengandungi mesej yang sarat, secara tersurat mahupun tersirat atau sekadar hiburan ringan semata-mata?” 

“Bagaimana saya melihat filem itu tidak penting kerana saya bukanlah siapa-siapa. Pancaindera anda lebih penting untuk melihat, mendengar dan menyentuh filem-filem P. Ramlee.” Akuinya tanpa berselindung. 

Kemudian beliau menegaskan; “Namun diingatkan jangan sekali-kali kita menganggap P. Ramlee itu peramal masa depan. P. Ramlee tidak memiliki sakti yang begitu. Apabila kita menonton filem-filem P. Ramlee, kita harus menonton dalam konteks tahun filem itu dibikin atau zaman-zaman sebelumnya. Jangan kita terlajak masa sampai ke tahun 2041 ya!” Tulisnya di ruang Pendahuluan buku ini. 

Merungkai yang Tersirat 

Sememangnya untuk menulis perihal seorang tokoh yang hebat seperti P. Ramlee memerlukan penelitian yang mendalam lagi khusyuk. Mungkin kita hanya menonton karya-karya P. Ramlee sekadar untuk menghilangkan penat-lelah atau menghiburkan jiwa yang lara. Tetapi tidak bagi penulis buku ini. Daniyal Kadir berjaya menelaah setiap inci babak dan watak secara terperinci serta kemas. 

Misalnya, karakter Haji Bakhil dalam filem Labu dan Labi adalah simbolik kepada agama dan nafsu, yang selama ini kita hanya ketawa pada lontaran serta sindiran dari watak dua orang pembantunya itu. 

Parodi Penyamun 

Selain mengisahkan tentang ketamakan seorang manusia melalui watak Kassim Baba yang akhirnya membawa kemusnahan pada dirinya, filem Ali Baba Bujang Lapok juga memaparkan parodi organisasi 40 penyamun yang tersusun dan sistematik. 

Daniyal Kadir membuat konklusi yang tuntas mengenai filem ini. Menurutnya; "Inilah yang dimaksudkan dengan parodi kehidupan. P. Ramlee meletakkan kehidupan kita seolah-olah ditadbir oleh 40 penyamun. Manakala 40 penyamun ini pula diandaikan seperti sebuah kerajaan. Memiliki disiplin dan organisasi yang elok, menyusun pergerakan dengan baik dan memiliki aturan pentadbiran yang sistematik walaupun hakikatnya penyamun."

"Persis sebuah kerajaan yang dapat kita lihat di mana-mana di seluruh dunia pada hari ini. Parodi sebegini merupakan satu parodi yang bijak. Sindiran dan kritkan yang dikeluarkan memerlukan proses penghadaman yang bersesuaian untuk kita fahami maksud dan tujuannya. Ali Baba Bujang Lapok berada pada kelasnya yang tersendiri." Simpulnya di paragraf terakhir yang membincangkan mengenai filem berkenaan. 

Bagi setiap filem yang ‘dibedah’ oleh penulis, ada sahaja sudut dimensi pandang yang berbeza daripada pengamatan saya sebagai penonton filem-filem P. Ramlee. Justeru itu keterujaan menelaah bedahan penulis buku ini tidak terhenti kepada satu atau dua filem sahaja, tetapi terus menyelak kesemuanya. 

Kotak Fikir P. Ramlee 

Penulis tidak menumpukan aspek teknikal seperti kaedah syot, suntingan, rekaan produksi atau sebagainya. Tetapi Daniyal Kadir meneliti karya P. Ramlee sebagai ciri lengkap sebuah filem dengan cuba menyelinap masuk ke dalam kotak fikir seniman tersohor itu. 

Di helaian terkakhir buku ini diselitkan petikan wawancara daripada akhbar Berita Harian bertarikh 23 Jun 1968 bersama P. Ramlee dengan tajuk; “P. Ramlee Bersara.” 

Antara petikan wawancara tersebut yang disisipkan di kulit belakang buku ini berbunyi; “Mengapa Abang Ramlee tidak mahu berlakun lagi” Soal wartawan. 

“Saya sudah tua. Dah lama saya berlakun. Orang-orang pun dah tak suka saya lagi. Peminat-peminat saya pun semua dah kawin dah beranak dan dah sembahyang. Kalau P. Ramlee berlakun siapa nak tengok. Nanti budak-budak universiti tanya, apa kelulusan P. Ramlee itu?” Jawab seniman agung tersebut dengan bersahaja. 

Pahlawan di Bidang Seni 

P. Ramlee ‘memberontak’ dengan mengkritik feudalisme serta amalan kasta yang menebal dalam masyarakat ketika itu melalui karya seni yang halus lagi licik. Beliau adalah seorang pejuang yang patut didendang. Sesuai dengan bait-bait lirik lagu ini, “Kekanda di medan perang, adinda di medan seni. Sama-sama kita berjuang untuk ibu pertiwi.” P. Ramlee sebenarnya adalah seorang pahlawan yang mati di pertempuran seni budaya menentang kapitalisme. 

Bukanlah keuntungan material yang dikejarnya, tetapi kualiti filem-filem yang dihasilkannya ternyata memberi impak kepada segenap lapisan masyarakat dahulu, kini dan mungkin selama-lamanya. Serta perdebatan tentangnya juga tiada nokhtahnya sehingga saat ini. Malah, karyanya diakui bersifat malar segar. 

Rentetan itu, saya berpandangan bahawa, buku Membedah P. Ramlee ini mempunyai satu piawaian kualiti yang sangat bagus dan wajar ditekuni oleh kita semua. Tidak kira bagi generasi yang sempat hidup sehayat dengan P. Ramlee atau generasi sesudahnya seperti saya yang hanya mampu menganga, melopong dan bergelak sakan menonton filem-filem beliau berulang-ulang kali tanpa jemu. 

Ayuh, dapatkan buku ini dan marilah kita bersama-sama Daniyal Kadir Membedah P. Ramlee! #LakarHidupSendiri #ResensiFS #BukuFS

Semoga Allah merahmati ruh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee


BACA JUGA:

2 comments:

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.