Setiap awal pagi dan petang terutamanya pada cuti hujung minggu, taman rekreasi ini dipenuhi dengan ramai orang. Ia merupakan tempat riadah yang paling diminati penduduk setempat. S2 City Park, Seremban 2 yang berkeluasan enam hektar ini terletak berhampiran dengan Kompleks Mahkamah Seremban, Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 2 dan Masjid Hussain.
Selain dari Sendayan Green Park yang lebih dekat dengan rumah dan Hill Park S2 Heights, kawasan rekreasi ini juga sering saya dan Danish Fikri kunjungi suatu ketika dahulu. Tetapi sejak akhir-akhir ini jarang sedikit kerana ia terlalu sesak. Kalau sekadar ingin bersantai-santai memang sesuai. Tetapi jika mahu betul-betul bersenam dan joging ia agak sukar. Kami hanya ke sini sekadar untuk bersiar-siar santai sahaja.
Berbanding Hill Park S2 Heights, S2 City Park adalah taman rekreasi mendatar yang latar utamanya adalah sebuah tasik yang dipenuhi dengan ikan dan kura-kura. Antara ikan yang ada adalah seperti, Tilapia Merah, Keli, Kelisa, Koi dan sebagainya. Justeru itu, ia sangat sesuai untuk dikunjungi oleh pelbagai lapisan peringkat usia dari kanak-kanak sehinggalah kepada warga emas.
Taman rekreasi yang dibuka sejak tahun 2005 ini menyediakan kemudahan riadah yang serba lengkap. Selain trek joging yang mengelilingi tasik, ia turut dilengkapi dengan gelanggang futsal, bola keranjang dan badminton. Turut tersedia adalah outdoor gym, alat-alat senaman ringan dan dua buah taman permainan kanak-kanak.
Bagi memudahkan pengunjung memberi ikan makan, di tengah-tengah tasik ini ada sebuah jambatan dan empat buah mini jeti di sekeliling tasik. Para pengunjung terutamanya kanak-kanak pasti teruja apabila melihat ikan-ikan tersebut berebut mendapatkan roti dan dedak yang dibaling mereka. Roti dan dedak boleh didapati daripada penjaja di situ dengan harga seringgit sebungkus.
Turut disedikan adalah dua buah wakaf yang agak besar sesuai untuk berkelah bersama keluarga dengan membawa aneka juadah sendiri. Dilatari dengan pemandangan tasik yang indah dan masjid, ia sememangnya mampu memberi ketenangan dan ketenteraman jiwa. Amat sesuai bagi merehatkan minda serta menghabiskan waktu hujung minggu sambil menjalankan senaman bersama keluarga.
Pada awal pagi biasanya kelihatan masyarakat Tiong Hua menjalankan aktiviti senaman Tai Chi mengikut alunan muzik yang perlahan lagi menenangkan. Kemudian disusuli pula dengan aktiviti senamrobik yang rancak. Manakala pada petang hujung minggu sabtu dan ahad, kawasan ini akan menjadi lebih meriah dengan adanya penjaja yang menjual layang-layang dan permainan buih belon. Serta pelbagai jenis makanna dan minuman ada dijual. Antaranya coconut shake, ais krim pasu, pisang goreng, keropok lekor dan sebagainya.
Jika anda yang tinggal agak jauh dari sini dan ingin beriadah sehingga waktu senja, elok sekiranya membawa persalinan lebih untuk terus solat maghrib di Masjid Hussain. Kemudahan shower ada disediakan di masjid berkenaan.
LIHAT 50 LAGI GAMBAR MENARIK KLIK SINI
BACA JUGA:
0 comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.