Friday, January 8, 2016


Pada malam 7 Januari 2016 yang lalu, #LensaFS berpeluang untuk merakam momen-momen terindah Negeri Sembilan Berselawat di Kompleks Belia dan Sukan Paroi. Berikut adalah berita berkaitan dari n9kini.com.

Kira-kira 30,000 rakyat Negeri Sembilan sekitar bandar Seremban, Rembau, Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rasah dan Telok Kemang membanjiri Kompleks Belia dan Sukan Paroi (KOMBES), malam tadi. 

Mereka hadir untuk bersama-sama mengimarahkan majlis ilmu dan menzahirkan rasa kecintaan serta kasih sayang kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. 

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir perkenan hadir di majlis ini. Baginda diiringi kedua-dua putera, Tunku Besar Seri Menanti, YAM Tunku Ali Rethaudin ibni Tuanku Muhriz dan YAM Tunku Zain Al’Abidin ibni Tuanku Muhriz. 

Kehadiran keluarga Diraja disambut Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dan juga isterinya, YM Raja Datin Seri Hajah Salbiah Tengku Nujumudin. Majlis seumpama ini dianjurkan buat kali kedua dan bakal diteruskan oleh Kerajaan Negeri Sembilan. 

Keadaan ini mengambil kira sambutan dan kehadiran rakyat negeri ini yang semakin ramai bilangannya dari tahun sebelumnya. Menurut Menteri Besar di sidang media, program seumpama ini amat besar syafaatnya kepada umat Islam di negeri ini yang secara berjemaah memuji ketokohan dan kewibawaan Nabi Mohammad SAW di samping mendengar tazkirah sirah dan dakwah Baginda. 

Rasulullah SAW perlu dikenang dan diteladani umat Islam seluruh dunia yang membentuk umat Islam sebagai umat teristimewa di sisi Allah SWT. Walaupun zaman berganti zaman dan terus beredar, umat Islam tidak boleh lupa dan alpa terhadap perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW. 

Menyentuh berkenaan kehadiran sebegitu ramai rakyat Negeri Sembilan, beliau memaklumkan bahawa komuter dari Gemas-Seremban turut beroperasi sehingga lewat 1.00 pagi bagi untuk memudahkan penduduk terutamanya dari Daerah Tampin yang berniat hadir di majlis ilmu sebegini. 

Tazkirah bersempena Negeri Sembilan Berselawat disampaikan oleh Habib Najmudin Othman Al-Khered. Hadir sama, Tunku Besar Tampin, YTM Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Dr. Awaluddin Haji Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mat Ali Haji Hasan.


ADA 25 LAGI GAMBAR KLIK SINI


0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.