Sebagai menyokong bakat dan kreativiti tempatan serta desakan anak yang menonton iklan filem animasi ini di kaca televisyen, maka pada 12 Mac 2016 yang lalu saya berkesempatan menontonnya di TGV Aeon S2. Memang penuh dewan panggung. Hampir 90 peratus kerusi dipenuhi sehingga barisan yang paling hadapan pun ada orang. Saya teruja dan mengharapkan ceritanya benar-benar menarik bagai digembar-gemburkan.
Filem yang berdurasi 1 jam 40 minit ini mengisahkan sekumpulan makhluk asing bergelar geng Tengkotak menceroboh bumi dan menculik Ochobot. Mereka mahu menggunakan robot kecil yang comel rakan Boboiboy itu untuk mencari Sfera Kuasa yang tersembunyi di dunia ini.
Lantaran itu, Boboiboy bersama rakan-rakannya yang lain, Yaya, Ying, Gopal dan Fang melancarkan misi untuk mencari dan menyelamatkan Ochobot yang sekali gus membongkar rahsia di sebalik Sfera Kuasa itu.
Dengan bantuan Papa Zola, banyaklah ragam, halangan dan cabaran yang terpaksa mereka tempuhi dalam misi menyelamatkan Ochobot. Aksi-aksi pertempuran antara mereka dengan geng Tengkotak kelihatan begitu sengit sekali.
Unsur jenaka banyak dimainkan oleh Gopal dan Papa Zola yang gila selfie ternyata mampu menyegarkan mata saya yang hampir terlelap. Hihi. Ya...saya sebenarnya sempat terlena beberapa ketika. (Shhh...jangan bagitau orang lain). Mujur keletah Danish Fikri yang hiper sehingga berkali-kali berdiri dan menggayakan aksi-aksi yang ditonton di layar membuatkan saya segar semula. Terpaksa saya cool down kan dia sebab takut menganggu penonton yang duduk di belakang.
Filem animasi 2D terbitan Animonsta Studios dan diedarkan oleh Primeworks Studios ini memang sesuai ditonton oleh kanak-kanak. Mereka akan berimaginasi dan menghayatinya dengan sepenuh jiwa. Mereka akan menyelami watak dan menganggap dirinya adalah Boboiboy. Biasalah tu, kita waktu kecil begitulah juga. Tengok Superman perasan diri Superman. Tengok Gaban, beranganlah kita adalah Gaban. Haha.
Geng Pengembaraan Bermula vs Boboiboy The Movie
Pada pandangan saya, Boboiboy The Movie ini kurang sedikit berbanding Geng Pengembaraan Bermula yang lebih banyak unsur suspen dan jalan cerita yang lebih menarik. Walaupun filem animasi pertama negara yang ditayangkan pada tahun 2009 hanya berjaya mengutip sebanyak RM6.32 juta tetapi ia tidak jemu untuk ditonton berulang kali.
Perlu diketahui bahawa kedua-dua filem animasi tempatan ini diarahkan oleh orang yang sama iaitu Mohd Nizam Abdul Razak. Beliau sememangnya seorang anak muda yang kreatif dan berbakat besar. Sebelum mempopularkan siri Boboiboy, beliau juga adalah antara orang yang terlibat dan bertanggungjawab mempopularkan siri Upin & Ipin ketika berkhidmat sebagai pengarah eksekutif di Les Copaque Production.
Menurut page Facebook Boboiboy The Movie sehingga artikel ini ditulis ia telah mencapai box office dengan mengutip RM10 juta dan bakal menemui penonton di Singapura serta Indonesia. Justeru itu, penerbit filem ini mensasarkan kutipan sebanyak RM25 juta.
Semakan terkini di laman web GSC Cinema, Boboiboy The Movie berada di kedudukan tangga ketiga selepas Kung Fu Panda 3 dan London Has Fallen. Ia adalah suatu pencapaian yang sangat memberangsangkan bagi filem animasi terbitan tempatan.
Semakan terkini di laman web GSC Cinema, Boboiboy The Movie berada di kedudukan tangga ketiga selepas Kung Fu Panda 3 dan London Has Fallen. Ia adalah suatu pencapaian yang sangat memberangsangkan bagi filem animasi terbitan tempatan.
Nilai-nilai persahabatan dan kerjasama yang erat antara pasukan serta kesungguhan dalam perjuangan adalah antara tauladan yang ditonjolkan dalam cerita ini.
Justeru itu, kepada anda yang mempunyai anak-anak kecil memang berbaloi ke pawagam untuk menonton filem animasi hasil usaha keras anak-anak Malaysia ini. Sokonglah hasil seni dan karya kreatif tempatan. Saya bagi 4/5 bintang, tapi Danish Fikri bagi 5/5 bintang.
BACA JUGA:
0 comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.