Tuesday, March 1, 2016


MELAKA 25 Feb. – Keupayaan dan keberkesanan institusi kehakiman Mahkamah Syariah perlu ditingkatkan termasuk dari segi akta serta peringkat mahkamah dalam usaha membolehkan masyarakat Islam mendapat keadilan sewajarnya. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, akta yang diguna pakai oleh institusi kehakiman ini juga wajar diperkemaskan bagi memastikan ia dapat memberi pengadilan yang lebih berkesan terhadap kes syariah yang dikendalikan di negara ini. 

“Kita ingin melihat peningkat­an terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali sebagai Akta 355 supaya ia menjadi lebih tersusun dan bertepatan dengan kehendak hukum Syariah itu sendiri. 

“Diharap agar usaha bersungguh-sungguh semua pihak sama ada Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, agensi negeri serta Persekutuan terma­suk sokongan Pejabat Peguam Negara untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Me­laka yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob di Ayer Keroh di sini hari ini. 

Majlis turut dihadiri isteri Mohd. Khalil, Toh Puan Zurina Kassim; Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Hakim Syarie, Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut. 

Menurut Jamil Khir, beliau ju­ga mahu perkara sama diberi pe­ne­kanan terhadap keupayaan ti­ga peringkat Mahkamah Syariah ia­itu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah agar dapat beroperasi dengan lebih efisien. 

Katanya, perkara itu perlu diam­bil berat melihat kepada kes di mah­kamah ini berkurangan dan kes yang dibawa cepat diselesaikan dengan sebaik mungkin supaya kita dapat memberi keadilan terbaik kepada individu atau pihak berkaitan. 

“Ini bagi memastikan Mahkamah Syariah terus berkembang dan sentiasa dihormati bukan sahaja di negara ini malah di persada dunia,” tambahnya. 

Kompleks Mahkamah Syariah Melaka yang terletak berhampiran Pusat Dagangan Antarabangsa Me­­laka, Ayer Keroh di sini mula ber­­­o­pe­rasi sejak 1 Februari 2013. 

Kompleks ini dibina di atas kawasan seluas 20.23 meter persegi dengan kos keseluruhan bernilai RM34.25 juta. 

Sejarah Bangunan Mahkamah Syariah Negeri Melaka

Mahkamah Syariah merupakan institusi penting dalam pentadbiran di Malaysia. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka, Masjid Raya (masjid utama Kesultanan Melayu Melaka) berfungsi sebagai Mahkamah. Kadi memainkan peranan sebagai hakim yang mendengar, membicara dan memutuskan kes. Apabila pihak-pihak ingin mengemukakan rayuan, mereka akan merayu kepada Sultan dan perbicaraan di hadapan Sulatan akan berlangsung di Balairung Seri Istana.

Ketika instisui kehakiman Islam diletakkan di bawah pentadbiran British, Mahkamah-mahkmah Kadi dibina oleh British di bangunan pejabat-pejabat kerajaan. Bangunan Mahkamah Kadi dapat dikenal pasti pada zaman pemerintahan British ialah di Tengkera. Bangunan ini kekal sehingga tahun 1961. Masjid Tengkera yang berhampiran dengan bangunan Mahkamah Kadi tersebut dijadikan tempat untuk pihak-pihak dan saksi-saksi mengangkat sumpah.

Pada tahun 1961, Mahkamah Kadi berpindah ke sebuah bangunan Inggeris di atas bukit Saint Paul (sekarang dijadikan Muzium Sastera) sehingga tahun 1965. Kemudiannya pada tahun 1965, bangunan Kadi berpindah  ke sebuah bangunan Belanda di kaki Bukit Saint Paul iaitu bangunan merah (sekarang dijadikan Muzium Kesenian Islam). Pada tahun 1988, Mahkamah Kadi berpindah ke bangunan Seri Negeri yang terletak di Jalan Hang Tuah (sekarang adalah bangunan UTEM).

Pada tahun 1990, apabila Mahkamah Kadi telah diberi nama Mahkamah Syariah dan dipisahkan dari pentadbiran Majlis Agama Islam, Mahkamah Syariah berpindah ke sebuah bangunan di Jalan Kee Ann, Kampung Pantai, Melaka (sekarang dijadikan bangunan Prima Hotel).

Kemudian, pada tahun 2002, Mahkamah Syariah telah berpindah ke Blok D, Kompleks Mahkamah Negeri Melaka yang terletak di Lebuh Ayer Keroh bersama dengan Mahkamah Sivil. Pada 15 Jun 2010, mantan Ketua Menteri Melaka, YB Senator Tan Sri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam telah melancarkan Majlis Pecah Tanah Bangunan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Melaka dan projek pembinaan dimulakan pada awal bulan Julai 2010.

Tanggal 1 Februari 2013, sejarah Mahkamah Syariah Melaka diabadikan apabila sebuah bangunan lima tingkat yang tersergam indah terbina di atas tanah seluas dua ekar di Jalan Lama Ayer Keroh. Bangunan yang bercirikan seni bina masjid negeri Melaka dibina dengan kos RM 34.3 juta.

Menghadiri Majlis...


Saya dihubungi oleh pihak pentadbiran untuk mencukupkan korum bagi menghadiri majlis tersebut. Setelah ucapan perasmian, kami menjamu makan tengah hari. Melaka dan asam pedas berpisah tiada. Saya bedal enam ketul ikan pari masak asam pedas yang sangat sedap. Lauk banyak berlebih. Haha.

Selesai makan, kami melawat dewan-dewan bicara, perpustakaan dan galeri. Antara yang dipamerkan di galeri yang terletak di aras paling bawah itu ialah Manuskrip Hukum Kanun Melaka yang asli yang dipinjamkan dari Perpustakaan Negara.



LAGI GAMBAR MAJLIS PERASMIAN KMSNM KLIK SINI

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.