Showing posts with label MisiFitFS. Show all posts
Showing posts with label MisiFitFS. Show all posts

Wednesday, March 23, 2016


Sesuatu yang gempak dan mengejutkan apabila Majalah Time menyenaraikan nasi lemak dari Malaysia sebagai antara 10 sarapan yang sihat di peringkat antarabangsa. Tentu sekali ia khabar gembira buat penggemar nasi lemak.

Dalam artikel bertajuk "10 Healthy International Breakfast" nasi lemak di kedudukan nombor sembilan selepas Kasha dari Rusia.
"Breakfast is perhaps the best excuse to dive into supremely delicious Nasi Lemak. Soaked and cooked in coconut milk, rice is garnished with anchovies, cucumbers, roasted peanuts, hard boiled egg and spicy sambal sauce. It’s traditionally wrapped in a banana leaf, but that’s just a renewable place setting. Yes, there’s a bit more fat than is good for you (eat less rice to reduce), but it’s balanced with lots of manganese, protein, and carbs. The chili in the sambal also boosts the metabolism (depending which nutritionist you talk to)."

Rasanya hampir tiada seorangpun rakyat negara ini yang boleh menolak nasi lemak sebagai sarapan pilihannya. Lebih menyelerakan apabila ditambah ayam goreng atau sambal paru atau sambal sotong. Perghhh...nikmatnya tak terkata. Apalagi kalau ditambah rendang kerang mahupun daging. Meleleh ayaq liuq beb!

Stigma nasi lemak makanan tidak sihat sering kedengaran. Mana tidaknya, nasi lemak kosong (sambal, bilis goreng, telur rebus separuh, kacang tanah goreng dan timun) sahaja mempunyai sekurang-kurangnya 650 kcl. Sedangkan pengambilan kalori yang disarankan adalah sekitar 1500 kcl hingga 2000 kcl sehari bergantung kepada penggunaan tenaga masing-masing.

Lantaran itu, dengan bersarapan nasi lemak sahaja, kita telah mengambil separuh daripada keperluan kalori harian. Belum lagi ditambah dengan teh tarik, makan tengahari (nasi campur) dan makan malam? Kebiasaannya, ramai antara kita terlajak. Implikasinya, berat badan berlebihan dan obesiti. Katakan tidak kepada obesiti!

Maka, ramai yang musykil dengan pendedahan majalah antarabangsa itu. Saya juga tidak setuju. Lebih-lebih lagi bagi kita yang bekerja di pejabat yang tidak memerlukan kudrat yang banyak. Pengambilan nasi lemak sebagai sarapan dengan kerap pastinya menimbulkan masalah kepada kesihatan.

Saya pernah menonton sebuah rancangan bual bicara televisyen bersama tokoh akademik tersohor negara Prof Diraja Ungku Aziz. Apabila hos rancangan berkenaan bertanya apakah petua Pak Ungku kekal sihat pada usia emas? Lantas beliau menjawab, "Saya tidak makan nasi lemak dan tidak minum teh tarik. Lebih gemar bawa bekal ke pejabat."

Rentetan itu, saya fikir makan nasi lemak secara kerap boleh mengancam kesihatan. Maka, saya membataskan diri dengan mengambilnya cuma seminggu sekali. Saya pernah menghadapi masalah obesiti dan saya tahu apakah punca-puncanya serta cara mengatasinya. Pada saya, nasi lemak dan teh tarik adalah penyumbang terbesar kepada masalah tersebut.

Baru pagi tadi sarapan nasi lomak daun pisang tajaan Tuan Jimmy. Terima kasih. Nampaknya kena tunggu minggu depan baru boleh jamah semula. Hihi. Koleksi #MisiFitFS Turning Point Untuk Kurus | Kekal Kurus Sepanjang Masa

Bagaimana pula pandangan anda? Adakah bersetuju bahawa nasi lemak merupakan sarapan yang sihat? atau sebaliknya?

A photo posted by Fauzi Sabri (@pojiszone) on

Monday, February 22, 2016


Mengikut statistik, sekurang-kurangnya 48 peratus rakyat negara ini mengalami masalah obesiti, manakala 15.2 peratus orang dewasa dikenal pasti menghidap diabetis. Itu adalah hasil tinjauan kebangsaan pada tahun 2011.

Inspirasi Kejayaan

Menyedari akan kemudaratan obesiti kepada diri, banyak kisah kejayaan telah dicatatkan. Tiada yang mustahil jika kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat berat badan unggul yang diidamkan. Selain kisah Zdy Hirddy yang saya ketengahkan di blog ini, anda juga boleh membaca banyak lagi kisah kejayaan di SusuSejat.com. Semoga ia akan mampu menaikkan semangat anda untuk bebas dari obesiti buat selama-lamanya.

Azam Kurus 2016

Menjelang awal tahun ini, ramai antara kita yang masih dibelenggu masalah obesiti memulakan #azamkurus2016. Sekarang sudah masuk bulan ketiga dalam tahun 2016, namun penurunan berat badan yang diharapkan masih tidak berlaku, malah makin bertambah pula. Ada yang mengeluh dan mula berputus asa. Walaupun telah berpantang dari menjamah nasi, berat badan masih tidak turun. Apakah sebabnya? Saya fikir tuan punya badan lebih tahu akan sebabnya. 


Kejayaan Saya

Seperti yang telah saya dedahkan sebelum ini, #MisiFitFS bermula dengan kesedaran yang jitu. Memiliki tubuh yang gendut dan berat bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan. Atau menjulang trofi sambil melaungkan "gemuk is awesome!" bukanlah sesuatu yang patut dipuji. Gemuk bukan kebanggaan tetapi gemuk adalah suatu gejala penyakit yang perlu dihindari. 

Gemuk juga bukanlah penyakit keturunan. Tetapi gemuk adalah pilihan diri anda sendiri. Jika anda melihat ibu dan ayah serta majoriti adik-beradik lain adalah normal, ini bermakna anda tidaklah mengalami obesiti atas faktor keturunan. Sebaliknya, masalah kegemukan yang anda hadapi adalah berpunca daripada diri anda sendiri. Tabiat makan secara berlebihan dan gaya hidup yang tidak aktif mungkin penyebab utama anda menghadapi masalah tersebut.

Apa yang patut anda lakukan ialah mengubah gaya hidup anda. Amalkan diet secara seimbang dan keraplah bersenam. Itu sahaja. Tak perlu berbelanja mahal dengan mencuba berbagai produk pelangsing yang ada di pasaran. Amalkan diet secara alami.

Banyak juga entri yang telah saya tulis berkaitan hal ini. Anda boleh rujuk di sini.

Diet Seimbang

Bermaksud anda ambil makanan yang mengandungi nutrisi lengkap. Ikut piramid makanan yang disyorkan. Lebihkan sayur dan buah-buahan. Jika serius mahu kurus, sila abaikan makanan yang bersifat junk food.

Ambil makanan pada kadar yang sesuai untuk tenaga yang hendak digunakan. Jika kerja kita di pejabat sahaja, janganlah ambil makanan seperti kita bekerja buruh kasar atau petani. Malang bagi kita apabila mewarisi sarapan pagi yang berat seperti nasi lemak atau nasi berlauk-pauk ayam goreng tetapi pekerjaan kita berbeza dengan orang tua dahulu. Kita mewarisi budaya makan tetapi tidak mewarisi kerja yang sama.

Orang dahulu memang perlu akan makanan seperti itu untuk tenaga mereka membanting tulang empat kerat bertani. Sebaliknya kita bersarapan seberat itu untuk duduk menghadap komputer sahaja. Inilah puncanya kadar obesiti negara ini semakin meningkat saban tahun.

Jangan terlalu mengikut kehendak lidah dan tekak. Banyakkan minum air tanpa gula. Sehingga kini, saya hanya mengambil secawan sahaja air bergula sehari. Selebihnya, saya hanya minum air suam, limau suam kosong dan teh hijau tanpa gula. Kurangkanlah menjamu selera di luar. Sebaliknya, lebihkan masak menu-menu sihat sendiri di rumah.

Bersenam Secara Konsisten

Peruntukkan masa yang tetap untuk bersenam. Anda boleh lakukannya di mana sahaja. Di pejabat, taman rekreasi atau di pusat-pusat kecergasan. Joging di taman rekreasi berhampiran kediaman anda juga sudah memadai tetapi ia perlu dilakukan secara berterusan. Bukan kuantiti senaman atau riadah yang ditekankan. Tetapi konsistensi itu lebih mustahak. Janganlah hangat-hangat tahi ayam.

Kesimpulan

Azam akan hanya tinggal azam jika kita bersikap acuh tak acuh. Cabaran orang lain dan kisah kejayaan yang anda baca hanyalah sumber inspirasi. Tetapi yang menjayakan misi anda, adalah diri anda sendiri. Pandang cermin, bulatkan tekad dan teruskan misi anda sehingga berjaya. Ubah segera sebelum terlewat. Anda mampu mengubahnya. Katakan tidak kepada obesiti!

Saya mencadangkan anda untuk mendapatkan e-book FORMULA KURUS: Pelan Mudah & Teknik Cepat Bakar Lemak. KLIK SINI


Tuesday, January 26, 2016


Mutakhir ini, saya mendapati makan dalam talam telah mula dipraktikkan ketika iftar di beberapa buah masjid di sekitar ibukota. Selain menyedari ia merupakan sunnah, makan dalam talam juga sebenarnya merupakan solusi kepada banyak perkara.

Pertamanya, sudah tentulah ia menjimatkan. Tidak perlu banyak pinggan, mangkuk dan piring. Satu talam diletakkan nasi dan lauk-pauk untuk dimakan empat atau lima orang. Biasanya cukup satu, atau dua mata lauk sahaja.

Keduanya, kita tidak perlu lagi membasuh banyak pingan dan mangkuk. Ia ternyata menjimatkan air dan masa. Juga, tak perlu makan dalam polistrin yang dibimbangi mengandungi toksid yang boleh menyebabkan kanser. Justeru itu, praktik makan dalam talam adalah solusi kepada banyak perkara.

Bahkan ada sebuah masjid yang melapik talam dengan plastik sebelum diletakkan nasi dan lauk. Selesai makan, bungkus elok-elok plastik tersebut dan campak ke dalam tong sampah. Talam kekal bersih dan diletakkan ke tempat asalnya. Banyak senang dan menjimatkan...

Jemaah Tabligh

Bagi mereka yang pernah 'keluar' bersama jemaah tabligh, makan dalam talam bukanlah sesuatu yang asing. Jemaah ini memanglah menitikberatkan amalan-amalan sunnah harian yang sering kita abaikan.  Syoknya makan dalam talam beramai-ramai dengan lauk kari kambing pekat adalah sesuatu yang sukar hendak digambarkan dengan kata-kata mahupun tulisan. Sendiri rasa barulah tahu!

Nasi Ambeng dan Nasi Arab

Dapat diperhatikan juga, restoran-restoran nasi arab menyediakan hidangannya dalam talam. Walaupun kemudian ada yang makan dalam pinggan masing-masing, tetapi terdapat juga sesetengah restoran tidak menyediakan pinggan. Sebaliknya pengunjung memang perlu makan dalam talam beramai-ramai.

Manakala masyarakat jawa yang terkenal dengan nasi ambengnya sudah lama mengamalkan tradisi makan dalam dulang. Dengan variasi lauk-pauk yang diletakkan di atas dulang yang berlapikkan daun pisang itu mampu membuatkan air liur kita meleleh. Perrgghhh...

Sekolah Pondok dan Pusat Tahfiz

Amalan makan dalam talam juga adalah lazim dilakukan di sekolah-sekolah pondok dan pusat-pusat tahfiz. Tenteram dan sejuk mata memandang anak-anak ini makan setalam beramai-ramai sambil berjenaka santai. Selain itu, terdapat juga pusat pembelajaran pra-sekolah atau tadika yang mempraktikkan makan dalam talam.

Praktik di Rumah?

Menyedari akan mudahnya makan dalam talam, maka mempraktikannya di rumah adalah sesuatu yang amat digalakkan. Jika kita berniat untuk mengikuti sunnah, insyaAllah kita akan perolehi pahala atas amalan tersebut. Mudah bukan?

Keduanya, seperti dalam majlis iftar atau kenduri yang ramai, makan dalam talam di rumah juga memberikan kita keselesaan dan kelegaan yang sama. Katakanlah jika anda mempunyai seramai empat atau lima orang sekeluarga...

Maka, anda hanya perlu makan berjemaah dalam satu talam. Isteri tidak lagi perlu membasuh pinggan mangkuk yang banyak. Masak juga tak perlu sampai lima mata lauk. Cukup sekadar dua mata lauk sudah memadai. Selain itu, ia juga mampu mengeratkan lagi silaturrahim sesama ahli keluarga kerana kita makan dalam talam yang sama dan lauk yang sama.

...atau jika bilangan ahli keluarga melebihi lima orang, kita boleh buat dua talam atau lebih.

Ia sekali gus mampu dijadikan solusi terbaik dalam mendepani kos sara hidup yang semakin meningkat mutahkir ini. Masaklah yang mudah-mudah sahaja di rumah seperti kari, sup, masak lemak, masak kurma dan sebagainya. Letakkan nasi dalam satu talam dan tuangkan kuah lauk tersebut, kemudian makanlah bersama-sama sekeluarga.

Isteri juga tidak merungut penat memasak lauk-pauk yang sukar dan tidak perlu lagi membasuh pinggan-mangkuk yang banyak. Ayuh...jom pakat praktik. Solusi sunnah memudahkan kehidupan insan dan solusi sunnah juga adalah jalan terbaik dalam mendepani kos sara hidup yang naik mendadak. Renung-renungkan dan selamat beramal.

*Simpan pinggan mangguk anda untuk kegunaan tetamu sahaja.



BACA JUGA:

Monday, January 18, 2016


Beras perang ialah beras yang terhasil setelah padi dikupas atau dibuang kulitnya. Ia juga dikenali sebagai brown rice, cargo rice, loonzain, hulled rice atau unpolished rice. Apabila beras ini dibersihkan (polished) lagi, yakni apabila dibuang saki baki selaput perang (germa) yang terdapat padanya, maka beras itu akan menjadi warna putih (dikenali sebagai endosperm), apa yang kita kenali sebagai beras putih yang biasa kita lihat dijual di pasaran pada hari ini.

Hassan Makan Beras Ayam?

Lazim bagi orang kampung memelihara ayam. Makanannya tidak tentu, kadangkala isi kelapa tua dan nasi basi yang direndam air. Kadangkala arwah abah ada membeli sekampit beras ayam yang bewarna perang, hancur dan berdebu untuk diberi makan kepada ayam ternakannya.

Sewaktu kecil dahulu, ketika darjah satu kalau tak silap, saya sering ikut arwah abah ke sebuah pekan kecil berhampiran dengan kampung. Abah selalu membeli barang keperluan di Kedai Runcit Hassan. Suatu hari saya terasa mahu membuang air kecil dan abah meminta izin untuk menggunakan tandas di belakang kedai Hassan.

Abah terkejut apabila ternampak tauke kedai itu sedang membasuh beras ayam untuk dimasak. Saya pun musykil kenapa Hassan yang berasal dari Pakistan itu sanggup makan beras ayam? Sedangkan kami yang dari keluarga miskin ini tidaklah sampai makan beras ayam.

Setelah meningkat dewasa, barulah saya mengerti beras apakah yang dimakan oleh Hassan itu. Iyalah, waktu itu awal tahun 90-an, beras perang masih terlalu asing bagi penduduk tempatan. Sedangkan bagi Hassan dan keluarganya dari Pakistan, mungkin ia adalah sesuatu yang biasa.

Khasiat Beras Perang

Beras perang merupakan jenis beras yang kurang diproses dan memiliki nutrisi yang tinggi. Dengan menggantikan beras perang daripada beras biasa, ia mampu memberi manfaat kepada kesihatan dari pelbagai segi. Ia menjadi makanan ruji yang amat baik dan sumber karbohidrat yang sihat kerana mengandungi nutrien yang baik seperti vitamin B, fosforus, selenium, potasium dan magnesium. Semak 10 kebaikan yang dimiliki beras perang: 

1) Mengurangkan Risiko Barah Usus;  Beras perang mengandungi kadar selenium yang tinggi, dan juga terdapat fenol yang dijumpai di dalamnya sekali gus mengaitkan fungsi beras perang dalam mengurangkan risiko barah usus. Tahap fenol dalam beras perang ternyata lebih tinggi dalam berbanding beras biasa. Manakala, kandungan serat yang tinggi mendorong kepada usus dan sistem penghadaman yang sihat. 

2) Mencegah Sakit Jantung;  Pengambilan beras perang yang tinggi dalam diet dapat membantu dalam mencegah penyakit kardiovaskular. Ini kerana ia mengandungi kandungan serat yang mencukupi. Terdapat kajian yang mendapati lapisan tisu yang berada di sekeliling beras perang dapat mengurangkan tindakan protein Angiotensin II yang diketahui meningkatkan tekanan darah. 

3) Perlindungan Dari Barah Payudara; Pytonutrient Lignin yang terdapat di dalam beras perang dikatakan membantu untuk menyekat sel kanser pada payudara. 

4) Mengurangkan kolesterol; Salah satu kelebihan yang terdapat pada beras perang yang dapat dilihat jelas adalah mengurangkan tahap kolesterol jahat atau kolesterol LDL di dalam darah. Ini kerana ia bertindak sebagai serat mudah larut sangat baik untuk menyerap lemak ini.


5) Mengekalkan Berat Badan Unggul; Apabila anda mengambil diet yang tinggi serat, sekali gus membuatkan anda kenyang dalam masa lebih lama dan seterusnya mengurangkan pengambilan makanan. Hal ini termasuklah mengekang anda daripada teringin mengambil makanan yang manis 

6) Membantu Penghadaman; Melalui kandungan serat mudah larut yang terdapat dalam beras perang, ia akan menyerap air di dalam usus seterusnya menyebabkan pembuangan najis lebih lembut dan mengelakkan berlakunya sembelit. 

7) Mencegah Batu Karang; Kajian yang dilakukan pihak American Journal of Gastroenterology mendapati serat yang terdapat pada beras perang berperanan mengurangkan risiko batu karang di kalangan kaum wanita. 

8) Mengawal Kadar Gula Dalam Darah; Pengambilan beras perang akan menyebabkan penghadaman karbohidrat lebih perlahan berbanding pengambilan nasi putih biasa. Ini bermakna pengeluaran gula dalam darah akan lebih terkawal ditambah dengan faktor kandungan glicemic index (GI) yang lebih rendah dalam beras perang. Ia mampu membantu menstabilkan paras gula serta mengurangkan risiko perkembangan diabetes. 

9) Makanan Bayi Yang Sempurna; Ia menjadi alternatif yang bagus kepada pemakanan bayi yang sedang membesar berbanding bijirin yang diperbuat daripada beras biasa. 

10) Tulang Yang Sihat; Beras perang menjadi sumber yang baik untuk magnesium yang menjadi kunci kepada tulang yang sihat. Magnesium membantu mengurangkan berlakunya osteoporosis di masa akan datang. Satu cawan beras perang mengandungi 21 peratus keperluan harian magnesium buat anda. INFO LANJUT KLIK SINI

Lebih Digemari Oleh Kaum Cina

Suatu kajian mendapati, kaum Cina lebih kerap makan beras perang (16.3%) berbanding dengan kaum India (15.6%) dan kaum Melayu (6% sahaja). Seperti yang pernah dibincangkan sebelum ini dalam entri "Statistik Obesiti di Malaysia 2011", sememangnya di negara ini, bangsa Cina adalah lebih Health Cautious berbanding bangsa-bangsa yang lain. INFO LANJUT KLIK SINI

Beralih Kepada Beras Perang

Bagi mengekalkan berat badan yang unggul, maka sejak minggu lepas, saya mula menggunakan beras perang. Rasanya tidaklah bermasalah bagi saya. Boleh je makan. Setelah masak, tabur sedikit garam. Danish Fikri pun menggemarinya. Apatah lagi apabila berlaukkan kari ayam kegemarannya. Kesimpulannya, marilah kita beralih kepada makanan yang lebih berkhasiat dan sihat. Jadikanlah beras perang sebagai makanan ruji kita.

Nasi beras perang bersama kari rangka ayam dan kubis rebus

Tuesday, January 12, 2016

Semalam saya membawakan kisah kejayaannya tanpa menunjukkan bukti. Tetapi hari ini saya memaparkan gambar-gambar terkini Zdy Hirddy sebagai bukti yang nyata. Ya…from rhino to sexy unicorn bukan? Lihatlah dengan penuh keterujaan dan mata yang terkebil-kebil!

Daripada seorang yang dijadikan simbol jenaka, bahan lawak dan sindiran lelucon rakan-rakan, kini dia menjadi sumber inspirasi. Dengan usaha yang gigih tanpa mengenal erti lelah, dia kini fit sehingga mampu menawan puncak Gunung Kinabalu pada Januari 2015 yang lalu. Baginya puncak Kinabalu adalah saksi kejayaannya menurunkan berat badan sebanyak 47 kg dalam tempoh setahun! 

Ujarnya, selama 13 tahun dia mengusung ke hulu dan ke hilir lemak yang berlebihan di badannya. Kerapkali cuba diet, namun acapkali gagal. Tetapi, akhirnya dia membulatkan tekad untuk misi kurus menjelang tahun baharu 2014 yang lalu. 

Dalam tempoh setahun yang sukar itu, Zdy Hirddy mendapat sokongan yang kuat daripada keluarga dan rakan-rakannya. Walaupun ada segelintir yang skeptikal, tetapi baginya itu adalah lumrah dan memandangnya dari sudut yang postif. “Kau tengoklah dan tunggulah hasilnya pada penghujung tahun nanti.” Bisik garau hatinya seolah-olah mahu didengari oleh mereka yang sinis dengan keupayaannya. 

Hari bersilih ganti, bulan bertukar bulan. Dengan mengamalkan gaya hidup yang aktif, workout di rumah, kaki roller blade dan joging, dia kini berdiri tegap lagi segak dengan penampilan baharu. Perubahan yang sangat ketara sehingga ada rakan yang lama tidak bersua, sudah tidak mengenalinya lagi. 

Di samping senaman yang konsisten, Zdy Hirddy juga mengamalkan pemakanan yang sihat. Seperti saya, dia juga berpantang makan di luar dalam tempoh lima bulan pertama. Minat memasak dan mencipta variasi resipi sihat sendiri. Ditambah dengan bantuan beberapa produk pelangsing pilihannya. 

Saya tidak berhajat mahu menulis panjang di sini. Cumanya saya ingin menzahirkan keterujaan dengan perubahan mendadak kepada dirinya. Bukan sahaja bentuk fizikalnya berubah, tetapi wajahnya juga berubah dengan ketara. Tidak hairanlah jika ada sesetengah rakannya yang jarang bersua, gagal untuk mengenalinya. Syabas Saudara Zdy Hirddy di atas kejayaan yang luar biasa ini. Semoga ia menjadi pendorong dan sumber inspirasi kepada mereka yang masih obes. 

Saya berharap kisah kejayaan Zdy Hirddy ini akan menaikkan ‘berahi’ anda untuk berubah. Semoga ia sehangat lahar gunung berapi dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. 


Berikut disiarkan temubual ringkas saya (FS) bersama Zdy Hirddy (ZH) yang berlaku secara dalam talian sahaja. (aplikasi whatsapp dan e-mel).

FS: Sejak bila mengalami obesiti? 
ZH: Mengalami masalah obesiti sejak berusia 13 tahun atau tingkatan 1. Sejak berhenti merokok pada umur 18 tahun, berat badan lagi mendadak naik dari 100 kg ke 120 kg.

FS: Usia sekarang?
ZH: Cuba teka?
FS: 22?
ZH: Salah, 27
FS: Emoticon terkebil-kebil.

FS: Paling berat cecah berapa kg? 
ZH: Paling berat setakat ini mengusung lemak ke hulu hilir pada tahun 2014 iaitu 120 kg dengan saiz seluar 42 inci dan baju saiz XXL. 

FS: Beri tiga (3) sebab kenapa mahu kurus? 
ZH: Satu; sebab malu dijadikan bahan jenaka gurauan kerana bersaiz besar dan tiada keyakinan diri. Kedua; susah mencari pakaian di pasaraya atau pun kedai-kedai dan ketiganya; putus cinta juga adalah pendorong utama untuk berdiet dan mahu kurus. 

FS: Pandangan orang sekeliling sewaktu kamu gemuk? 
ZH: Dipandang sinis dan tak pandang sebelah mata pun. Tidak ada yang memandang. 

FS: Dari mana datang inspirasi untuk berubah secara tekad? 
ZH: Sejak tengok majalah, tengok model-model badan cantik. Masa tu saya berazam untuk jadi seperti mereka dan sudah sampai masa serta serunya untuk menjaga badan dan penampilan. 

FS: Bagaimana ia bermula? 
ZH: Saya membuat research sikit-sikit, tengok di Youtube dan bertanyakan kawan-kawan yang bermain gym dan start belajar diet, belajar bermain alatan gym, senaman dan menjaga cara pemakanan. 

FS: Siapa pendorong? 
ZH: Kawan-kawan dan keluarga banyak memberi dorongan dan kata-kata semangat untuk saya berubah. 

FS: Ceritakan secara ringkas cara-cara kamu menurunkan berat badan? Ada menggunakan sebarang produk pelangsing? 
ZH: Pemakanan; makan makanan yang hanya di masak sendiri di rumah. Tidak makan makanan yang bergoreng dan tidak minum air batu atau air bergula. Senaman pula; saya melakukan senaman secara rutin harian di rumah iaitu bermain gym, joging dan roller blade. Ya, saya ada mengambil produk pelangsingan fat burner untuk membakar lemak dengan pantas, mengambil susu protein (supplement gym) dan sejenis krim losyen jenama anugerah untuk menganjalkan kembali kulit yang kendur di bahagian perut. 

FS: Berapa kali pernah cuba diet tetapi gagal? 
ZH: Owh, tak terkira rasanya. Cuba pelbagai jenis ubat kurus tetapi hampeh. Semua jenis ubat kurus sudah cuba, tetapi tiada kesan. 

FS: Setelah berjaya kurus apa yang kamu rasa? 
ZH: Saya rasa lebih berkeyakinan dan terasa lebih selesa untuk bergerak dan semua aktiviti yang dulunya tidak dapat saya lakukan tetapi sekarang semuanya saya dapat lakukan. 

FS: Apa pula kata orang sekeliling? 
ZH: Mereka tegur kenapa berubah terlalu drastik. Ada yang kata saya sakit ke? Ada yang kata saya ada ambil dadah ke? Itulah manusia ini, kurus salah, gemuk pun salah. 

FS: Ada tak kesan kulit mengelebeh? Jika ada bagaimana cara mengatasinya? 
ZH: Kesan kulit mengelebeh memang ada. Cara saya atasi adalah dengan menyapu krim losyen anugerah di bahagian perut dan saya juga menggunakan korset for men untuk membentuk kembali badan supaya fit. 

FS: Tempoh masa yang diambil? 
ZH: Tempoh masa diambil cuma satu tahun sahaja dari 2014 hingga 2015. Mengamalkan cara hidup yang sihat, menjaga pemakanan dan senaman yang konsisten. 

FS: Setiap bulan turun berapa kilogram? 
ZH: Tidak pernah timbang berat badan semasa tempoh berdiet. Sebab fobia pada alat timbang badan. 

FS: Apakah harapan kamu selepas ini? 
ZH: Harapan saya supaya saya kekal sihat dan akan terus konsisten melakukan rutin senaman. Ini kerana fizikal berat badan yang asal akan cepat berubah kembali seperti dulu jika tidak dijaga pemakanan dan senaman. 

FS: Tuliskan kata-kata semangat dan perangsang untuk mereka yang sedang melaksanakan #azamkurus2016? 
ZH: Marilah bersama-sama menjalani kehidupan yang sihat dan cergas. Jaga pemakanan dan senaman paling tidak seminggu tiga kali (1jam-2jam). Jadikan senaman satu hobi dan perkara wajib untuk dilakukan. Supaya kita terhindar dari obesiti yang puratanya kebanyakan adalah dari orang-orang Asia. Hidup sihat untuk jangka masa yang berpanjangan. 

 *tamat* 

Berahi dan terliur melihat perubahan Zdy Hirddy? Ayuh…usahakan bersungguh-sungguh #azamkurus2016 anda! #kipidap #dongibap



Zdy Hirddy boleh dihubungi melalui #Facebook. KLIK SINI

Sesungguhnya kisah kejayaan orang mampu menjadi inspirasi kepada kita. Tidak kiralah kejayaan dari segi apapun. Sama ada kejayaan dalam pelajaran, pekerjaan, perniagaan dan kebahagian hidup berkeluarga yang berteraskan nilai-nilai murni agama. Biasanya para ikon yang berjaya ini akan menjadi idola ribuan insan lain. 

Zdy Hirddy atau nama sebenarnya Muhamad Zaidi Mohd Dawod seorang pemuda dari negeri ‘luaskan kuasamu’ ini juga boleh dijadikan ikon. Kegigihan dan kekentalannya dalam mencapai misi kurus wajar dipuji serta di #salute! Sejak tingkatan satu lagi dia sudah memiliki fizikal yang bersaiz XXL. Nampak tembam dan comel persis #teddybear pada ketika itu. Menjadi bahan lelucon rakan sebaya di sekolah. 

Walaupun memiliki tubuh yang obesiti, dia tetap tidak mahu ketinggalan mengikut trend dan ingin kelihatan macho juga. Maka, seperti kebanyakan pelajar lelaki seusia dengannya, merokok adalah sesuatu yang lazim. Bimbang digelar sebagai budak nerd, dia juga turut serta menjadi geng budak macho berasap di lokasi-lokasi terpencil di sekolah dan di luar. 

Saya mengenali Zdy Hirddy melalui #Facebook. Saya #add dia sebagai #friend kerana teruja melihat gambar-gambar penampilannya sebelum dan selepas. Sangat berbeza! Pada mulanya saya menyangka gambar tersebut adalah dua insan yang berlainan. Mungkin gambar passport ini adalah abangnya. Tetapi bila saya #stalk gambar-gambarnya yang lain, ternyata sangkaan saya itu meleset. 

Lantas, saya #inbox dan bertanyakan hal tersebut dengan lebih lanjut. Lantaran kerana saya memang berhajat mahu menukilkan seberapa banyak mungkin kisah kejayaan untuk dijadikan inspirasi kepada mereka yang mahu melaksanakan #azamkurus2016 ini. 

Alhamdulillah, sapaan saya dibalas dan kami berbual tentang banyak perkara. Sehinggalah saya menyatakan hasrat untuk menemubualnya. Zdy Hirddy tiada halangan untuk itu dan saya menyediakan 15 soalan bertulis untuknya. Semoga ia memberi inspirasi kepada saya dan anda. 

Tahukah anda bahawa berat badan pemuda yang berasal dari Kota Tinggi, Johor ini pernah mencecah sehingga 120kg! Dia menghidap obesiti selama 13 tahun dan saiz seluarnya adalah 42 inci. Menurutnya; “Aku terpaksa mengusung lemak seberat itu, ke hulu dan ke hilir dalam tempoh lebih sedekad!” 

Akibat sudah bosan kerana sukar mencari baju dan seluar yang saiz dengannya serta cemburu melihat rakan-rakan sebaya yang segak bergaya, dia tekad melakukan perubahan yang drastik bermula pada awal tahun 2014 yang lalu. 

Sungguh luar biasa semangatnya. Azam yang bulat. Bukan hangat-hangat tahi ayam yang sering terjadi kepada kebanyakan orang. "Tetapi ini kalilah misi yang bukan sekadar melepas batuk di tangga. Tetapi inilah misi yang sehangat lahar gunung berapi!" Getus hatinya yang membara kerana sebelum itu dia pernah beberapa kali gagal.

Dalam tempoh setahun sahaja, dia berjaya melakukan tranformasi from rhino to sexy unicorn. Jika dahulu dia tersisih atau hanya sekadar jadi bahan lelucon rakan, kini dia menjadi perhatian ramai orang. Sehingga menghadapi dilema pula untuk memilih. Ehem ehem.

Apakah turning point yang membuatkan Zdy Hirddy tekad untuk berubah? Siapakah pendorongnya? Apakah formula yang digunakan? Dan ingin melihat wajah dan fizikal terkini Zdy Hirddy yang tampan serta seksi itu? Serta ikuti transkrip ringkas temubual saya dengannya. Tunggu esok. Hehehe. (sila add to favorite atau follow Google+ dan like Facebook #blog ini)

Untuk hari ini, tatapilah wajah dan fizikal Zdy Hirddy yang comel, tembam dan debab ini. Sementara esok, anda pasti akan terkejut melihat pesonanya yang berbeza. Sehingga saya menyangka dia melakukan pembedahan kosmetik di Korea atau menjalani prosedur sedut lemak. 

Semoga kisah kejayaan ini akan memberi inspirasi kepada anda. #azamkurus2016 #LakarHidupSendiri









Monday, January 4, 2016


Seperti biasa bila tiba tahun baharu, topik yang tak lari untuk diperbualkan adalah mengenai #azam. Baik di corong radio, bual bicara televisyen dan di media-media sosial, heboh memperkatakan tentangnya. Sedangkan azam tahun-tahun yang lepas masih terbengkalai dan tersadai. Berkulat dan lapuk. Eloklah kiranya carry forward sahaja azam yang belum tercapai itu. Haha.

Macam-macamlah azam yang terbit. Salah satu yang menarik perhatian adalah #azamkurus2016. Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan bahawa 5.3 juta penduduk negara ini mengalami masalah kegemukan atau obesiti. Malah, Malaysia menduduki tangga pertama penduduk terbanyak yang menghidap masalah ini di rantau Asia Tenggara.

Di sebalik riuh-rendahnya polemik kenaikan kos sara hidup yang menghimpit, tetapi kita boleh pula menjadi #champion dalam bab ini. Maka, sesetengah orang membuat kesimpulan bahawa kita sebenarnya makmur dan mewah dengan makanan. Sebab itulah kita mempunyai ramai penduduk yang tembun-tembun, comel, chubby dan ala-ala Thirsty Hippo.

Menjelang 2016, ramailah yang berazam untuk kurus. Lantaran itu, saya ingin berkongsi sedikit cerita dan tips mungkin, berdasarkan pengalaman sendiri. Saya telah melancarkan #MisiFitFS pada Januari 2015 yang lalu dan hasilnya mula kelihatan pada Mei 2015. Seterusnya pada Oktober 2015, saya mengisytiharkan sendiri bahawa #MisiFitFS itu telah sukses.

Berikut saya senaraikan beberapa tips ringkas:

1) Hebohkan Misi Anda
Tindakan menghebohkan misi atau azam kurus anda kepada keluarga, rakan-rakan dan di media sosial adalah suatu langkah yang berani dan tepat. Ini kerana banyak mata yang akan menjadi saksi dan mahu melihat hasilnya. Maka, anda akan buat dengan bersungguh-sungguh. Pantang undur sebelum menyerah kalah. Jika gagal anda akan diketawakan, dikecam dan dicemuh. Ada bran? Buatlah!

2) Posing Rhino
Langkah kedua, sila #snapshot pose rhino anda banyak-banyak. Sebab enam bulan akan datang, anda sudah tidak akan dapat melihatnya lagi. Ketika itu anda akan mula merinduinya. Maka, tatapilah gambar-gambar tersebut kerana pada ketika itu anda sudah bertukar  from rhino to sexy unicorn. Hihi.

3) Cipta #Hashtag
Reka dan cipta #hashtag anda sendiri. Saya guna #MisiFitFS. Tujuannya adalah untuk memberi motivasi kepada diri sendiri bahawa misi ini bukan hangat-hangat tahi ayam. Tapi misi ini adalah sehangat lahar gunung berapi!!!

4) Inspirasi Kisah Kejayaan
Haa...dengan membaca kisah kejayaan orang lain, ia akan menaikkan semangat kita untuk meneruskan misi ini. Jika orang lain boleh, mengapa kita tidak? Ada yang obesiti terlampau sehingga 120 kg boleh susut kepada 70 kg. Dari hodoh menjadi tampan, dari debab menjadi seksi. Bacalah, anda pasti akan naik 'berahi'.

5) Ilmu Pengetahuan
Apa benda yang kita nak buat, kita mestilah mempunyai ilmu. Sebelum #MisiFitFS dilancarkan, saya telah membuat carian di Google tentang keperluan kalori, makanan seimbang dan cara senaman. Terlalu mudah untuk mendapatkan ilmu berkaitan pada zaman ini. Saya juga beberapa kali berjumpa dengan dietition untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai kiraan kalori, berapa jumlah kalori harian yang patut saya ambil dan contoh-contoh hidangannya. Atau jika anda tiada masa, saya syorkan anda untuk mendapatkan e-book Formula Kurus yang terlengkap ini. sila klik sini.

6) Diet #Atkins
Saya mulakan bulan pertama dengan mengikuti #dietatkins. Apa itu? Sila Google. Untuk bulan pertama sahaja. Hasilnya, berat saya turun 3 kg pada bulan pertama. Bulan kedua dan ketiga, beransur-ansur kepada makanan seimbang. Rujuk artikel: "Langkah Pertama #MisiFitFS"

7) Makan Seimbang
Pastikan makanan anda seimbang. Ikut piramid makanan yang telah disyorkan. Lebihkan sayur dan buah. Jika lapar, jadikan salad dan buah segar sebagai snek anda ketika menonton televisyen. Pastikan tiada lagi junk food! Berpantanglah selama enam bulan dari menjamah kek dan yang sewaktu dengannya. Rujuk artikel "Suap Sayur dan Kunyah Buah"

8) Minuman Detox
Selama enam bulan saya berpantang teh tarik dan kopi bersusu. Saya hanya minum teh O sahaja. Selain itu, saya banyak minum teh hijau dan air limau atau lemon suam tanpa gula. Kerapkali juga saya beli doublepack Yakult yang less sugar. Teh hijau cap apa? Hentam sahajalah. Saya beli macam-macam. Saya selang-selikan. Ada Slimtea dan Greetea cap Cane, Boh Greentea, Ahmad Tea dan lain-lain. Janji teh hijau.

9) Masak Sendiri
Masak sendiri dan kurangkan makan di luar. Anda bebas mencipta resepi yang sihat. Berkaryalah sepuas-puasnya di dapur anda. Menu yang sihat biasanya ringkas dan murah! Sila bakulsampahkan segala perisa tambahan yang berteraskan MSG. Bebaskan menu hasil dapur anda daripada unsur-unsur tersebut. Sebab bila kita makan di kedai, MSG sudah pasti ada. Kenapa di rumah juga perlu ada? Reputlah badan kita wei. Itu racun bukannya makanan.

10) Produk Pelangsing?
Owh...saya ini marhaen dan cukup anti dengan produk-produk pelangsing yang ada. Walaupun begitu, saya pernah mencuba, memang berhasil dan drastik. Tetapi saya tidak mampu. Dan saya tidak mahu bergantung kepadanya. Sampai bila? Jika stop terus berat badan akan naik mendadak. Turun mendadak, naik pun mendadak. Hentikanlah! Buatlah secara alami atau natural. Rujuk artikel "Produk Pelangsing Saya"

11) Dapur Tanpa Gula dan Susu Pekat Manis
Umum mengetahui bahawa gula adalah silent killer. Bermula Januari 2015, tiada lagi gula pasir dan susu pekat manis di dapur saya. Minum milo kosong atau dicampur susu tepung sahaja. Lebih bagus jika anda beli cecair stevia sebagai pengganti gula.

12) Exercise
Bagaimana kita boleh jadi overweight atau obesiti? Tentulah kerana kita bukan jenis orang yang bersukan. Maka, joging adalah pilihan senaman yang terbaik untuk anda. Lagi bagus apabila anda joging di kawasan riadah yang mendaki. Lakukanlah sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Lebih baik jika hari-hari.

13) Workout di Gym?
Ohh...ia bukanlah punca utama kejayaan #MisiFitFS. Saya hanya menyertai gym pada pertengahan Ogos 2015. Sedangkan sebelum itu, berat saya sudah turun 15 kg. Tanpa ke gym pun anda boleh kurus. Buat home workout. Search di Google. Macam-macam ada. Di atas bukit di sebelah pejabat saya ada outdoor gym. Maka, saya gunakannya sebaik mungkin. Banyak taman riadah sekarang ada outdoor gym. Jika anda mahu menyertai gym itu suatu tindakan yang terbaik.

14) Abaikan Lif, Guna Tangga
Jika setakat mahu naik ke tingkat satu hingga lima, sila gunakan tangga sahaja. Sambil menyelam minum air. Sambil berurusan di pejabat, anda boleh exercise. Jadikan ia rutin. Mula-mula diakui memang mencungap. Tetapi setelah tiga bulan diamalkan, anda pasti boleh berlari dari tingkat satu ke tingkat empat. Anda telah bakar kalori sebelum exercise yang sebenar.

15) Berpuasa Isnin dan Khamis
Amalkan ini secara konsisten. Setiap yang disyorkan oleh agama itu mempunyai hikmah yang banyak. Ia bukan sahaja ibadat sunat yang apabila dilakukan mendapat pahala tetapi ia juga baik untuk kesihatan. Sangat berkesan untuk misi kurus anda.

16) Disiplin
Akhir sekali jika tiada ini, apapun tak jadi. Maka jika perlu ada rotan, adakanlah dan rotan punggung anda sendiri apabila melanggar disiplin dan pantang yang telah ditetapkan. Serius beb! Rujuk artikel "Kekal Kurus Sepanjang Masa"

Semoga tips yang disenaraikan ini sedikit sebanyak mampu membantu misi #azamkurus2016 anda. #kipidap #dongibab. Sila tunjukkan hasilnya pada hujung Jun 2016 nanti. From rhino to sexy unicorn. Semoga berjaya!

Sudah lama obesiti? Anda mengidamkan berat badan yang ideal? Tetapi tidak tahu caranya? Jom ikuti formula saya ini. Semuanya saya kongsikan secara terperinci di sini. Termasuklah pemakanan dan resipi menu sihat serta senaman. Nak tahu lebih lanjut, KLIK SINI.

Monday, December 28, 2015


Beberapa tahun yang lalu, ketika menemani seseorang ke hospital, saya ternampak bunting yang memaparkan gejala kanser usus. Lantas saya menjadi cemas kerana semua yang dinyatakan di situ ada pada diri saya.

Sejak pertengahan 2012 lagi, saya sudah mengalami gejala buang air besar yang kerap dan tak tentu masa. Saya akan menghabiskan masa yang lama di tandas. Terpaksa membawa bersama tisu bagi mencuci sisa-sisa darah yang keluar bersama najis. Saya perasan adakalanya darah lebih banyak dari najis.

Ditambah pula apabila saya berhijrah ke Negeri Sembilan ini yang makanannya semua sodap-sodap belaka; membangkitkan selera makan yang membuak-buak tetapi sangat pedas. Maklumlah saya ini berasal dari Perak, maka perut saya tidaklah sehebat orang nogori yang sejak kecil lagi sudah menikmati makanan seumpama itu.

Orang yang terhampir dengan saya perasan akan kebimbangan ini. Saya membuat telahan sendiri bahawa kanser usus sudah merebak di dalam tubuh ini. Mana tidaknya, setiap kali membuang air besar, darah keluar dengan begitu banyak dan pekat. Sehingga kadangkala, muka saya menjadi pucat lesu akibat kehilangan banyak darah. Saya takut untuk berjumpa dengan doktor. Bimbang jika keputusannya adalah positif kanser!

Maka, saya pendamkan hal ini sehingga bertahun-tahun lamanya. Sampai suatu ketika, apabila ia menjadi semakin serius. Perut seringkali memulas-mulas, pedih ulu hati yang sangat menyeksakan dan kekerapan ke tandas semakin ketara, maka saya menyerah kalah di hadapan doktor. Saya disahkan menghidap gastrik yang kronik dan dibekalkan dengan ubat serta perlu menghadiri temujanji pada setiap bulan.


Saya juga diarahkan untuk membuat pemeriksaan endoskopik. Tetapi pada saat-saat akhir saya mengambil keputusan untuk membatalkan ujian endoskopik tersebut kerana ketika itu saya sedang menghadapi Carotid Carvenous Sinus Fistula pula yang menyebabkan saya perlu menghadiri banyak temujanji. Alasan kedua, kerana saya takut dan tidak bersedia menghadapi komplikasi seperti yang diterangkan oleh doktor iaitu termuntah yang menyebabkan ia termasuk ke peparu dan usus kecil terbocor ketika ujian tersebut dijalankan.

Dengan azam yang tekad, pada Januari 2015 yang lalu, saya melancarkan #MisiFitFS. Selain mengurangkan makan di kedai luar, saya mula memasak menu-menu yang sihat. Saya mula mengawal tabiat makan dengan teratur dan berjadual. Sayur-sayuran dan buah-buahan diambil dalam kuantiti yang lebih.

Selepas setahun… 

Gelaja-gelaja itu lenyap dengan sendirinya. Tiada lagi pedih ulu hati dan tiada lagi ‘berak berdarah’. Perut yang memboroi seperti ‘sparetyre’ lori satu tan juga sudah mengempis beransur-ansur.

Punca-punca 

Berdasarkan pengalaman sendiri ini, saya tahu apakah punca-punca ia terjadi. Berikut disenaraikan antara punca-puncanya:

1. Saya makan main bedal. Asal sedap saya sumbat sampai perut nak pecah.
2. Saya makan tak seimbang. Utamakan yang sedap berbanding yang berkhasiat.
3. Saya makan tergopoh-gapah dan laju. Tidak banyak kunyah. Dua tiga kali kunyah terus telan.
4. Seringkali makan lewat malam. Pernah saya termuntah ketika tidur.
5. Suka makan tulang. Tulang ayam dan kepala ikan yang digoreng garing dan rangup.
6. Sarapan juga makan yang berat-berat seperti mi goreng, nasi lemak dan kueh tiaw sepinggan penuh.
7. Gemar minum teh tarik yang pekat dan minuman berais walaupun ketika sarapan.
8. Kurang bersenam,
9. Makan tak ikut jadual, sebaliknya ikut kata tekak dan lidah.
10. Kurang makan sayur dan buah.

Solusi 

Rugilah jika hanya sekadar tahu punca tetapi tidak tahu solusinya. Maka berikut saya senaraikan pula apa yang saya buat sebagai ikhtiar untuk menghilangkan gelaja-gejala tersebut:

1. Saya hindarkan atau kurangkan tabiat buruk di atas.
2. Banyakkan minum air kosong, susu tepung dan teh hijau.
3. Tiada lagi teh atau kopi bersusu, sebaliknya ambil yang O sahaja.
4. Sesekali saya beli Yakult.
5. Banyakkan makan buah-buahan segar. Jadikan ia sebagai jajan.
6. Berpuasa Isnin dan Khamis, penawar gastrik yang terbaik. Merehatkan perut dan usus.
7. Kurangkan makanan yang pedas dan berlemak.
8. Elakkan makanan yang sukar hadam, seperti daging dan sebagainya. Jika mahu makan sekadar untuk merasa bukan melahap.
9. Banyakkan makan telur rebus.
10. Buat senaman untuk perut seperti sit-up dan plank secara konsisten.

Syukur Alhamdulillah setelah setahun berlalu, segala gejala-gelaja tersebut hilang satu demi satu. Kini badan terasa lebih sihat dan kebimbangan itu terus lenyap.

Semoga tulisan ini dapat dijadikan inspirasi kepada mereka yang menghadapi situasi yang sama. Sesiapa yang ingin berinteraksi dengan saya boleh e-mel ke fauzi@fauzisabri.com atau www.facebook.com/fauzisabridotcom.

BACA JUGA LAIN-LAIN ENTRI BERKAITAN #MisiFitFS KLIK SINI

Tuesday, December 1, 2015


Terma sasa ada termaktub di dalam kamus dewan. Sedangkan, sado dan abam adalah dua perkataan baharu yang belum diperakui oleh DBP. Tetapi telah dgunakan secara meluas.

Definisi sasa adalah; kuat, tegap: adapun Sang Guna itu baik sikapnya, tegap ~ tubuhnya; kesasaan ketegasan (tubuh), kekuatan dan ketegapan (tubuh): bangga juga Mek melihat ~ Awang Lekir itu.

Manakala, abam itu merujuk kepada lelaki atau abang menurut netizen yang meviralkannya. Sado pula tidaklah diketahui asal-usulnya.

Seingat saya ia jadi fenomena akibat sebuah drama lakonan Zul Arifin dan Ayda Jebat. Tajuk minta maaf, saya tak ingat.

Kependekan dari 'besar bodoh' maka terbitlah 'sado' yang membawa erti sasa, tegap atau tubuh fizikal lelaki yang berbentuk menarik iaitu berotot.

Dari situ, industri pusat senaman menjadi hangat. Gym muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan. Selebriti lelaki yang asalnya keding atau boyot kini transform jadi sado.

Pertandingan memperaga badan cantik, Mr Beach, Mr Kain Pelikat dan pelbagai lagi nama diadakan dan menarik perhatian ramai generasi Y. Dianjurkan di peringkat daerah, negeri oleh berbagai badan atau agensi kerajaan mahupun swasta.

Sebahagian mereka begitu obses. Sehingga menghabiskan ribuan ringgit. Membeli pelbagai jenis makanan tambahan berprotein untuk mendapatkan bentuk tubuh idaman dengan cepat.

Hasil sembang dengan golongan ini di media sosial dan di gym, saya dapatlah membuat beberapa kesimpulan. Pertama, mereka berpendapat tubuh yang sado meningkatkan keyakinan kendiri. Mampu melangkah megah dan berinteraksi dengan penuh yakin.

Kedua, ia dikaitkan dengan sukan. Baik untuk kesihatan. Kenyataan ini saya kurang setuju kerana jika pengambilan protein sintetik secara berlebihan. Ia tidak menyihatkan sebaliknya memudaratkan.

Tak percaya, tunggulah kesannya pada usia tua nanti. Bagi saya ia ada implikasi yang tidak baik kepada fizikal dikemudian hari. Buktinya, lihat Mr Universe yang sudah pencen.

Ketiga, ada di kalangan mereka menjadikan kesadoan fizikalnya sebagai sumber pendapatan. Seorang kenalan memberitau dia boleh menjana pendapatan sehingga lima angka dengan menjadi freelance instructor atau personal trainer. Setiap sesi bermula dari harga RM80 hingga RM180 sejam.

Menggunakan platform media sosial sebagai alat pemasaran, mereka memperagakan tubuh sado dengan bicep, chest dan perut yang six-pack bagi menarik minat pelanggan untuk menggunakan khidmat mereka.

Ironinya, ada juga sisi gelap. Segelintir daripada mereka mampu menjana pendapatan setara dengan seorang CEO bahkan mungkin lebih. Hasil daripada 'extra service' yang ditawarkan.

Saya tidak berhajat untuk bercerita lebih terperinci. Tetapi ia hanya segelintir. Janganlah kita serkap jarang atau mencipta persepsi umum, asal sado mesti begitu.

Tidak semua begitu. Masih ramai antara mereka yang teguh dengan jatidiri dan pegangan agama.

Kesimpulannya, jom jadi sado untuk meningkatkan keyakinan diri. Jika tidak mampu cukuplah sekadar jadi fit untuk sihat dan terampil dengan imej yang kemas serta rapi.

Monday, November 30, 2015


Apabila bercakap soal diet, ramai yang menganggap ia tentang jangan ambil makanan yang sedap dan menyelerakan. Tak boleh makan kari bersantan, jangan makan nasi, hindari makanan bergoreng dan sebagainya.

Itu tidaklah tepat sebenarnya. Yang benarnya adalah kita perlu makan secara seimbang.

Diet itu sendiri didefinisikan sebagai suatu tatacara pengambilan makanan yang tersusun dan terkawal, baik dari segi jumlahnya dan juga kandungan nutrisinya sesuai dengan keperluan tubuh seseorang.

Justeru itu, kita tidaklah dihalang dari makan makanan yang berminyak, bersantan dan bergoreng. Lemak adalah penting juga untuk badan kita. Tetapi ia akan menjadi malapetaka apabila terlebih.

Maka, kita perlu sentiasa waspada dengan mengambilnya pada kadar yang patut sahaja. Bukan main bedal dan lahab sahaja. Selagi lidah dan tekak berasa enak, kita pun melantak tak ingat dunia.

Hasilnya, sila berdiri di depan cermin. Tenung dan renunglah dengan penuh keinsafan. Hahaha. Ada yang bentuk pear, epal, oren dan sebagainya.

Walhal, dahulunya ketika usia belasan tahun dan awal 20-an, kita langsing, segak dan tampan. Mengapa sekarang jadi debab, boroi dan boyot?

Kendatipun, dahulu kita makan main bedal juga. Tapi tak gemuk pula. Kenapa?

Jawabnya, ialah kerana metabolism kita sudah menurun. Sewaktu remaja, kadar pembakaran lemak dalam tubuh kita masih mantap.

Apabila usia menginjak 30-an, organ pencernaan dan perkumuhan mula bekerja dengan perlahan. Puncanya, sebab sewaktu muda tidak aktif dan terlalu banyak mengunyah makanan yang bersifat junk.

Rentetan itu, dikala usia sudah menjangkau '3series' ini, eloklah kiranya kita mula membuat semakan. Jika sayangkan jasmani yang dipinjamkan oleh Tuhan ini, sila buat koreksi segera.

Kalau dari kecil betah dan ketegaq, tak nak makan sayur, mulai sekarang suaplah pelbagai sayur ke dalam mulut anda. Paksa diri anda. Sayur adalah penting sebagai sumber vitamin yang baik untuk tubuh.

Lebih bagus lagi, ambil ulam-ulam kampung yang kaya dengan khasiat. Juga variasi salad-salad jika perasaan diri anda seorang mat salleh celup. Hihi.

Sulamilah kepelbagaian sayur dan buah-buahan dalam menu anda. Gantikan ia sebagai kudapan anda. Hentikan mengunyah keropok yang sarat dengan MSG itu.

Sebaliknya, kunyah sahaja lobak merah dan buah-buahan yang anda suka. Pelbagaikannya. Jangan makan satu jenis sahaja.

Kerana setiap satu itu mempunyai khasiat yang berbeza-beza. Apabila kita mempelbagaikannya bererti kita telah melengkapi gizi.

Konklusinya, makanlah lebih sayur dan buah. Jadikan ia sebagai snek harian. Elakkan dari tabiat mengunyah junk food. Kunyahlah buah, ulam dan salad.