Tuesday, December 1, 2015


Terma sasa ada termaktub di dalam kamus dewan. Sedangkan, sado dan abam adalah dua perkataan baharu yang belum diperakui oleh DBP. Tetapi telah dgunakan secara meluas.

Definisi sasa adalah; kuat, tegap: adapun Sang Guna itu baik sikapnya, tegap ~ tubuhnya; kesasaan ketegasan (tubuh), kekuatan dan ketegapan (tubuh): bangga juga Mek melihat ~ Awang Lekir itu.

Manakala, abam itu merujuk kepada lelaki atau abang menurut netizen yang meviralkannya. Sado pula tidaklah diketahui asal-usulnya.

Seingat saya ia jadi fenomena akibat sebuah drama lakonan Zul Arifin dan Ayda Jebat. Tajuk minta maaf, saya tak ingat.

Kependekan dari 'besar bodoh' maka terbitlah 'sado' yang membawa erti sasa, tegap atau tubuh fizikal lelaki yang berbentuk menarik iaitu berotot.

Dari situ, industri pusat senaman menjadi hangat. Gym muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan. Selebriti lelaki yang asalnya keding atau boyot kini transform jadi sado.

Pertandingan memperaga badan cantik, Mr Beach, Mr Kain Pelikat dan pelbagai lagi nama diadakan dan menarik perhatian ramai generasi Y. Dianjurkan di peringkat daerah, negeri oleh berbagai badan atau agensi kerajaan mahupun swasta.

Sebahagian mereka begitu obses. Sehingga menghabiskan ribuan ringgit. Membeli pelbagai jenis makanan tambahan berprotein untuk mendapatkan bentuk tubuh idaman dengan cepat.

Hasil sembang dengan golongan ini di media sosial dan di gym, saya dapatlah membuat beberapa kesimpulan. Pertama, mereka berpendapat tubuh yang sado meningkatkan keyakinan kendiri. Mampu melangkah megah dan berinteraksi dengan penuh yakin.

Kedua, ia dikaitkan dengan sukan. Baik untuk kesihatan. Kenyataan ini saya kurang setuju kerana jika pengambilan protein sintetik secara berlebihan. Ia tidak menyihatkan sebaliknya memudaratkan.

Tak percaya, tunggulah kesannya pada usia tua nanti. Bagi saya ia ada implikasi yang tidak baik kepada fizikal dikemudian hari. Buktinya, lihat Mr Universe yang sudah pencen.

Ketiga, ada di kalangan mereka menjadikan kesadoan fizikalnya sebagai sumber pendapatan. Seorang kenalan memberitau dia boleh menjana pendapatan sehingga lima angka dengan menjadi freelance instructor atau personal trainer. Setiap sesi bermula dari harga RM80 hingga RM180 sejam.

Menggunakan platform media sosial sebagai alat pemasaran, mereka memperagakan tubuh sado dengan bicep, chest dan perut yang six-pack bagi menarik minat pelanggan untuk menggunakan khidmat mereka.

Ironinya, ada juga sisi gelap. Segelintir daripada mereka mampu menjana pendapatan setara dengan seorang CEO bahkan mungkin lebih. Hasil daripada 'extra service' yang ditawarkan.

Saya tidak berhajat untuk bercerita lebih terperinci. Tetapi ia hanya segelintir. Janganlah kita serkap jarang atau mencipta persepsi umum, asal sado mesti begitu.

Tidak semua begitu. Masih ramai antara mereka yang teguh dengan jatidiri dan pegangan agama.

Kesimpulannya, jom jadi sado untuk meningkatkan keyakinan diri. Jika tidak mampu cukuplah sekadar jadi fit untuk sihat dan terampil dengan imej yang kemas serta rapi.

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.