Saya sudah memiliki novel terbitan Pustaka Dini ini dua tahun yang lepas. Tetapi saya gagal membacanya dengan bersungguh-sungguh. Saya cuma menyelak dan teruja untuk membaca bait-bait ayat yang tertulis dalam surat-surat mereka sahaja. Lagam ayatnya begitu indah, puitis dan romantis sekali.
Sehinggalah apabila saya tertonton (bermakna tak senghaja) filemnya dalam bas ketika perjalanan ke dua wilayah Selatan Thailand tempoh hari. Ternyata filem adaptasi dari karya Buya Hamka ini begitu menyentuh jiwa dan menerpa sanubari para penumpang bas yang terdiri daripada ibuk-ibuk dan bapak-bapak pengacara. Ramai yang menjurai-jurai air matanya melihat kesudahan kisah cinta dua insan sejoli iaitu Zainuddin dan Hayati.
Lantas apabila pulang, saya mencari semula novel ini yang terselit di gobok buku dan kembali menekuninya. Ia menjadi teman selama empat malam; sebelum mata terlelap dan siap-siap di sisi katil kotak tisu. Hahahaha.
Apabila dicongak-congak kembali, novel ini menjadi karya ke-4 Buya Hamka yang telah saya tekuni. Sewaktu belajar dahulu saya ada membeli dan menelaah serba sedikit "Tasauf Moden" (bukunya sudah hilang entah ke mana). Kemudian saya menekuni “Dari Hati ke Hati; Bercakap Soal Agama, Sosial-Budaya dan Politik.” Apabila berlaku kekecohan pertembungan pandangan antara ulama tua dan muda di negara ini, saya lantas membeli dan menekuni “Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor.”
![]() |
BERMINAT? KLIK SINI |
Sejujurnya saya sangat lelah dengan watak Zainuddin. Dia mungkin lambang seorang lelaki yang setia. Tetapi dia juga adalah simbol lelaki yang gagal menggunakan kewarasan otaknya. Minda sejahteranya rosak akibat terlebih melayani emosi. Walaupun Hayati sudah jadi milik orang, dia masih menggilainya...
"Malangnya nasibku. Telah rurut bunga hayatku sebelum ia mekar. Tua telah beransur mendatangiku, padahal umurku masih muda. Seorang diri aku menyeberangi hidup ini sekarang; ayahku telah mati, ibuku dan ibu angkatku pun demikian."
"Seluruh alam membenciku, hatta daun kayu di dekat rumahku, angin pagi yang biasa membawa udara nyaman, tidur yang biasa mengembalikan kekuatan manusia, semuanya meninggalkanku. Tiba-tiba kau, yang hanya satu tempatku bergantung, telah hilang pula dariku! Ke mana saya mesti pergi lagi? Tunjukkanlah, walaupun ke pintu kubur kau tunjukkan, saya pun akan pergi."
Begitulah petikan surat Zainuddin kepada Hayati yang ketika itu sudah dimiliki oleh Aziz. Kalau saya jadi Muluk, mungkin Zainuddin tidak teruna sampai mati. Akan saya jadi teman bukan sahaja sebagai pendengar yang baik, tetapi juga penasihat yang telus dan realitas.
Zainuddin merupakan seorang anak yatim-piatu. Dia dibesarkan oleh ibu angkatnya Mak Base yang merupakan kawan arwah ayahnya di Mengkasar. Sedangkan ayahnya berasal dari Minangkabau Selatan Sumatera. Apabila menginjak dewasa dia meminta izin daripada Mak Base untuk berhijrah ke Sumatera bagi mencari keluarga dan sanak saudara sebelah ayahnya di sana.
Setibanya di Padang, dia terus menuju ke suatu tempat bernama Baputih. Walaupun sudah diperkenalkan asal-usul keturunan ayahnya orang Minang, tetapi penduduk di situ tidak menyambutnya dengan mesra dan mengganggapnya seorang anak Bugis.
Di sanalah juga bermula pertemuannya dengan gadis cantik bernama Hayati. Dari cuma berkawan, akhirnya membentuk benih-benih cinta. Perhubungan mereka dicantumkan melalui surat-surat. Menarik membaca ayat-ayat yang terkandung dalam surat mereka. Kelihatan sangat puitis dan romantis.
Malangnya cinta mereka terhalang akibat perbezaan asal keturunan. Walaupun telah ditegaskan bahawa ayahnya orang Minang, tetapi keluarga Hayati beranggapan dia seorang Bugis kerana ibunya orang Mengkasar.
Kemuncaknya, Hayati dijodohkan oleh keluarganya dengan Aziz yang berketurunan orang ada-ada. Zainuddin sangat kecewa dan sedih kerana Hayati telah memungkiri janji setia yang dilafazkannya. Dua bulan dia demam terlantar sahaja di atas katil. Mujur atas nasihat dan motivasi daripada sahabat baiknya, Muluk, Zainuddin bangkit semula. Dia dan Muluk membuat keputusan untuk berhijrah ke kota Jakarta.
Di ibu kota Indonesia itu, Zainuddin berjaya mencipta nama sebagai novelis tersohor.
Berbagailah babak-babak yang terjadi sehingga akhirnya Hayati bertemu semula dengan Zainuddin di sana. Kalau saya ceritakan semua, tak payahlah anda membeli dan membaca novel ini lagi. Hahaha.
Di Surabaya, perangai sebenar Aziz yang kaki judi dan perempaun mula kelihatan. Sehingga akhirnya dia jatuh miskin dan terpaksa menumpang di rumah Zainuddin. Lebih ‘sadis’ apabila si Aziz itu sanggup meninggalkan Hayati di rumah Zainuddin dengan alasan mahu mencari kerja di tempat lain.
Beberapa ketika kemudian, Aziz mengirimkan surat memohon maaf atas kesalahannya. Di dalam surat tersebut, Aziz mengharap supaya Hayati dapat kembali di pangkuan Zainuddin.
Sebelum mati membunuh diri, Aziz sempat menceraikan isterinya.
Zainuddin pula pada waktu itu masih menyimpan perasaan dendam terhadap Hayati kerana memungkiri janji setia dahulu. Lalu dengan hati yang masih keras, dia menghalau Hayati supaya pulang ke kampung halamannya dengan menaiki Kapal Van Der Wijck.
Setelah pemergian Hayati, Zainuddin dirudung sesalan dan menyedari bahawa hidupnya sukar tanpa Hayati. Ditambah lagi apabila terbaca surat yang ditinggalkan Hayati...
“Piala kecintaan terletak di hadapan kita, penuh dengan madu hayat nikmat Ilahi. Air madu itu telah tersedia di dalamnya untuk kita minum berdua, biar isinya menjadi kering, dan setelah kering kita boleh pulang ke alam baka dengan wajah yang penuh senyuman, kita mati dengan bahagia sebagaimana hidup telah bahagia."
"Tiba-tiba dengan tak merasa kasihan, engkau sepakkan piala itu dengan kakimu, sehingga terjatuh, isinya tertumpah habis, pialanya pecah. Lantaran itu, baik saya atau engkau sendiri, meskipun akan masih tetap hidup, akan hidup bagai bayang-bayang layaknya. Dan kalau mati, kita akan menutup mata dengan penuh was-was dan penyesalan.”
"…Selamat tinggal Zainuddin, dan biarlah penutup surat ini kuambil perkataan yang paling enak kuucapkan di mulutku dan agaknya entah dengan itu kututup hayatku di samping menyebut kalimat syahadat, iaitu: aku cinta akan engkau, dan kalau kumati, adalah kematianku di dalam mengenangkan engkau”…
Petikan surat Hayati kepada Zainuddin.
Zainuddin berhajat untuk menemui dan memujuk Hayati semula bagi meluahkan hasrat untuk memperisterikannya. Malang sekali apabila dia mendapat khabar bahawa kapal yang dinaiki Hayati karam.
Babak-babak yang sangat meruntun jiwa saat Hayati hendak menghembuskan nafas terakhir di pangkuan Zainuddin di sebuah hospital.
Zainuddin menjadi hilang arah…murung dan rebah. Baginya hidup sudah tiada erti lagi. Kemurungan kronik membawanya kepada sakit dan tidak sampai setahun pemergian Hayati, dia juga mati lalu dikebumikan bersebelahan dengan pusara Hayati. (Hal ini tidak dipaparkan dalam filem. Dalam filem titik terakhir adalah kematian Hayati sahaja.)
Pokoknya, Zainuddin dan Hayati mereka sebenarnya saling cinta-mencintai. Tetapi terdapat halangan daripada keluarga atas alasan keturunan. Malang sekali Zainuddin teruna sampai mati. Juga lebih mengejutkan bahawa Hayati juga masih perawan saat diceraikan Aziz. Sekian.
#ResensiFS
Setelah terlajak membaca novel ini, saya teruja untuk memiliki novel-novel lain karya Buya Hamka seperti, Di Bawah Lindungan Kaabah, Merantau Ke Deli dan Tuan Direktur.
Siapa berminat hendak beli, boleh klik pada gambar di bawah.
0 comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.