Monday, December 28, 2015


Beberapa tahun yang lalu, ketika menemani seseorang ke hospital, saya ternampak bunting yang memaparkan gejala kanser usus. Lantas saya menjadi cemas kerana semua yang dinyatakan di situ ada pada diri saya.

Sejak pertengahan 2012 lagi, saya sudah mengalami gejala buang air besar yang kerap dan tak tentu masa. Saya akan menghabiskan masa yang lama di tandas. Terpaksa membawa bersama tisu bagi mencuci sisa-sisa darah yang keluar bersama najis. Saya perasan adakalanya darah lebih banyak dari najis.

Ditambah pula apabila saya berhijrah ke Negeri Sembilan ini yang makanannya semua sodap-sodap belaka; membangkitkan selera makan yang membuak-buak tetapi sangat pedas. Maklumlah saya ini berasal dari Perak, maka perut saya tidaklah sehebat orang nogori yang sejak kecil lagi sudah menikmati makanan seumpama itu.

Orang yang terhampir dengan saya perasan akan kebimbangan ini. Saya membuat telahan sendiri bahawa kanser usus sudah merebak di dalam tubuh ini. Mana tidaknya, setiap kali membuang air besar, darah keluar dengan begitu banyak dan pekat. Sehingga kadangkala, muka saya menjadi pucat lesu akibat kehilangan banyak darah. Saya takut untuk berjumpa dengan doktor. Bimbang jika keputusannya adalah positif kanser!

Maka, saya pendamkan hal ini sehingga bertahun-tahun lamanya. Sampai suatu ketika, apabila ia menjadi semakin serius. Perut seringkali memulas-mulas, pedih ulu hati yang sangat menyeksakan dan kekerapan ke tandas semakin ketara, maka saya menyerah kalah di hadapan doktor. Saya disahkan menghidap gastrik yang kronik dan dibekalkan dengan ubat serta perlu menghadiri temujanji pada setiap bulan.


Saya juga diarahkan untuk membuat pemeriksaan endoskopik. Tetapi pada saat-saat akhir saya mengambil keputusan untuk membatalkan ujian endoskopik tersebut kerana ketika itu saya sedang menghadapi Carotid Carvenous Sinus Fistula pula yang menyebabkan saya perlu menghadiri banyak temujanji. Alasan kedua, kerana saya takut dan tidak bersedia menghadapi komplikasi seperti yang diterangkan oleh doktor iaitu termuntah yang menyebabkan ia termasuk ke peparu dan usus kecil terbocor ketika ujian tersebut dijalankan.

Dengan azam yang tekad, pada Januari 2015 yang lalu, saya melancarkan #MisiFitFS. Selain mengurangkan makan di kedai luar, saya mula memasak menu-menu yang sihat. Saya mula mengawal tabiat makan dengan teratur dan berjadual. Sayur-sayuran dan buah-buahan diambil dalam kuantiti yang lebih.

Selepas setahun… 

Gelaja-gelaja itu lenyap dengan sendirinya. Tiada lagi pedih ulu hati dan tiada lagi ‘berak berdarah’. Perut yang memboroi seperti ‘sparetyre’ lori satu tan juga sudah mengempis beransur-ansur.

Punca-punca 

Berdasarkan pengalaman sendiri ini, saya tahu apakah punca-punca ia terjadi. Berikut disenaraikan antara punca-puncanya:

1. Saya makan main bedal. Asal sedap saya sumbat sampai perut nak pecah.
2. Saya makan tak seimbang. Utamakan yang sedap berbanding yang berkhasiat.
3. Saya makan tergopoh-gapah dan laju. Tidak banyak kunyah. Dua tiga kali kunyah terus telan.
4. Seringkali makan lewat malam. Pernah saya termuntah ketika tidur.
5. Suka makan tulang. Tulang ayam dan kepala ikan yang digoreng garing dan rangup.
6. Sarapan juga makan yang berat-berat seperti mi goreng, nasi lemak dan kueh tiaw sepinggan penuh.
7. Gemar minum teh tarik yang pekat dan minuman berais walaupun ketika sarapan.
8. Kurang bersenam,
9. Makan tak ikut jadual, sebaliknya ikut kata tekak dan lidah.
10. Kurang makan sayur dan buah.

Solusi 

Rugilah jika hanya sekadar tahu punca tetapi tidak tahu solusinya. Maka berikut saya senaraikan pula apa yang saya buat sebagai ikhtiar untuk menghilangkan gelaja-gejala tersebut:

1. Saya hindarkan atau kurangkan tabiat buruk di atas.
2. Banyakkan minum air kosong, susu tepung dan teh hijau.
3. Tiada lagi teh atau kopi bersusu, sebaliknya ambil yang O sahaja.
4. Sesekali saya beli Yakult.
5. Banyakkan makan buah-buahan segar. Jadikan ia sebagai jajan.
6. Berpuasa Isnin dan Khamis, penawar gastrik yang terbaik. Merehatkan perut dan usus.
7. Kurangkan makanan yang pedas dan berlemak.
8. Elakkan makanan yang sukar hadam, seperti daging dan sebagainya. Jika mahu makan sekadar untuk merasa bukan melahap.
9. Banyakkan makan telur rebus.
10. Buat senaman untuk perut seperti sit-up dan plank secara konsisten.

Syukur Alhamdulillah setelah setahun berlalu, segala gejala-gelaja tersebut hilang satu demi satu. Kini badan terasa lebih sihat dan kebimbangan itu terus lenyap.

Semoga tulisan ini dapat dijadikan inspirasi kepada mereka yang menghadapi situasi yang sama. Sesiapa yang ingin berinteraksi dengan saya boleh e-mel ke fauzi@fauzisabri.com atau www.facebook.com/fauzisabridotcom.

BACA JUGA LAIN-LAIN ENTRI BERKAITAN #MisiFitFS KLIK SINI

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.