Thursday, December 24, 2015


Mengapa kita perlu mengejarnya? Sedangkan ia tiada. Tahukah anda apa itu fatamorgana?  Saya haus setelah 10 kilometer berbasikal dan sinar mentari sudah terik. Tiba-tiba saya ternampak nun jauh di hadapan jalan raya bertar itu ada takungan air yang menyamankan.

Lantas saya memecut. Tetapi apabila tiba di situ ia tiada dan nampaknya semakin menjauh. Apabila ditenung kembali, ia ada nun jauh sebatu lagi. Pecut kayuh lagi dan bila sampai ia tiada juga. Itulah fatamorgana. Usah dikejar ia kerana ia tidak wujud dan palsu.

Begitulah perihalnya hidup di alam fana ini. Ia fatamorgana cuma. Sedang hidup kita menafikan. Tetapi percayalah apabila sehari di alam barzah barulah kita sedar yang hidup di dunia dahulu cuma sekelip mata sahaja. Ya, sekelip mata cuma.

Tak percaya? Hakikatnya itu sewaktu di alam fana ini juga kita telah mengakuinya. Contohnya, apabila bertemu dengan rakan sekolah rendah. Ayat lazim yang meniti di bibir kita; "Eh...dah jadi bapa orang sudah kau ye. Rasa macam baru semalam kita main pondok-pondok, masak-masak dan kawin-kawin di bawah dahan koko." Soalnya dengan dahi berkerut dan wajah yang separa terkejut.

Baru semalam kita rasa? Walhal peristiwa itu nun...25 tahun yang lepas. Ohh...terasa begitu pantas masa berlalu. Esok lusa jika umur panjang kita bertemu lagi tatkala sedang bertongkat bersiar-siar bersama cucu-cicit di taman rekreasi. Lantas, ayat klise itu muncul lagi. 

Ya, saya bilang kalau... kalau umur panjang.

Fakta ini saya bentangkan. Hidup di dunia ini palsu belaka. Hidup yang abadi dan benar lagi kekal tiada penghujungnya adalah kehidupan sesudah mati.

Beruntung dan bertuahlah mereka yang memahami sedalam-dalamnya akan hal ini. Maka, mereka berada di atas pentas dunia ini hanya sekadar memenuhi keperluan hidup sahaja.

Tujuan hakiki hidup dimengerti dan diutamakan. Apakah tujuan hidup? Saya fikir semua orang telah maklum. Ya... mengabdikan diri kepada Tuhan yang menciptakan kita.

Justeru itu, mengapa ramai manusia yang menjadi terlalu naif dan bebal? Sehingga bersaing beria-beria benar. Sehingga sanggup berbunuh-bunuhan dan bermati-matian demi mengejar fatamorgana itu?

Usah dilihat diperingkat global. Lihat sahaja di tanah malaya yang dahulunya sentosa dan permai ini. Mengapakah mereka yang berkuasa atau yang 'bertakhta' mahupun yang 'berdaulat' itu dilihat terlalu rakus dan haloba?

Alam ini bukan milik kita sahaja. Kita cuma mewarisinya daripada nenek-moyang dahulu kala dan meminjamnya daripada generasi yang akan datang. Tiada rasa bersalahkah kita apabila memulangkan alam ini kepada cucu-cicit kelak dalam keadaan yang tercemar dan bertoksid?

Mengapa begitu tergamak dan zalim sekali memusnahkannya semata-mata untuk mengejar fatamorgana itu?

Seindah manapun makam tuan-tuan. Baik berbumbung dan bergerbang, berjubin yang bertatahkan emas hatta berlian sekalipun. Serta berbondong-bondong para pelajar hafiz dan sekelian jelata membacakan yasin dan tahlil...

Belum tentu tuan-tuan akan sejahtera berada di dalamnya. Sedang tatkala hidup dan berkuasa dahulu terlalu asyik mengejar fatamorgana itu sehingga hidup marhain terbanyak menjadi suram, resah, gelisah dan derita.

Wahai manusia sedarlah dan insaflah. Hidup ini fatamorgana cuma! Usah tergelincir dari matlamat asal.

LAGI CERITA DI SEGMEN #CeriteraFS  KLIK SINI

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.