Apabila bercakap soal diet, ramai yang menganggap ia tentang jangan ambil makanan yang sedap dan menyelerakan. Tak boleh makan kari bersantan, jangan makan nasi, hindari makanan bergoreng dan sebagainya.
Itu tidaklah tepat sebenarnya. Yang benarnya adalah kita perlu makan secara seimbang.
Diet itu sendiri didefinisikan sebagai suatu tatacara pengambilan makanan yang tersusun dan terkawal, baik dari segi jumlahnya dan juga kandungan nutrisinya sesuai dengan keperluan tubuh seseorang.
Justeru itu, kita tidaklah dihalang dari makan makanan yang berminyak, bersantan dan bergoreng. Lemak adalah penting juga untuk badan kita. Tetapi ia akan menjadi malapetaka apabila terlebih.
Maka, kita perlu sentiasa waspada dengan mengambilnya pada kadar yang patut sahaja. Bukan main bedal dan lahab sahaja. Selagi lidah dan tekak berasa enak, kita pun melantak tak ingat dunia.
Hasilnya, sila berdiri di depan cermin. Tenung dan renunglah dengan penuh keinsafan. Hahaha. Ada yang bentuk pear, epal, oren dan sebagainya.
Walhal, dahulunya ketika usia belasan tahun dan awal 20-an, kita langsing, segak dan tampan. Mengapa sekarang jadi debab, boroi dan boyot?
Kendatipun, dahulu kita makan main bedal juga. Tapi tak gemuk pula. Kenapa?
Jawabnya, ialah kerana metabolism kita sudah menurun. Sewaktu remaja, kadar pembakaran lemak dalam tubuh kita masih mantap.
Apabila usia menginjak 30-an, organ pencernaan dan perkumuhan mula bekerja dengan perlahan. Puncanya, sebab sewaktu muda tidak aktif dan terlalu banyak mengunyah makanan yang bersifat junk.
Rentetan itu, dikala usia sudah menjangkau '3series' ini, eloklah kiranya kita mula membuat semakan. Jika sayangkan jasmani yang dipinjamkan oleh Tuhan ini, sila buat koreksi segera.
Kalau dari kecil betah dan ketegaq, tak nak makan sayur, mulai sekarang suaplah pelbagai sayur ke dalam mulut anda. Paksa diri anda. Sayur adalah penting sebagai sumber vitamin yang baik untuk tubuh.
Lebih bagus lagi, ambil ulam-ulam kampung yang kaya dengan khasiat. Juga variasi salad-salad jika perasaan diri anda seorang mat salleh celup. Hihi.
Sulamilah kepelbagaian sayur dan buah-buahan dalam menu anda. Gantikan ia sebagai kudapan anda. Hentikan mengunyah keropok yang sarat dengan MSG itu.
Sebaliknya, kunyah sahaja lobak merah dan buah-buahan yang anda suka. Pelbagaikannya. Jangan makan satu jenis sahaja.
Kerana setiap satu itu mempunyai khasiat yang berbeza-beza. Apabila kita mempelbagaikannya bererti kita telah melengkapi gizi.
Konklusinya, makanlah lebih sayur dan buah. Jadikan ia sebagai snek harian. Elakkan dari tabiat mengunyah junk food. Kunyahlah buah, ulam dan salad.
0 comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.