Tuesday, November 24, 2015


Dalam mengharungi ranjau kehidupan di dunia ini, setiap insan pasti akan menghadapi masalah dan rintangan. Hidup ini adalah ujian. Tiada insan yang sentiasa suka tanpa duka. Realitinya, suka dan duka pasti hadir silih berganti.

Sebab itulah pancaindera kita berfungsi untuk kedua-duanya. Mata akan menangis bila diduga. Bibir akan menguntum senyum apabila suka. Mata akan bersinar apabila suka dan bibir akan cembeng apabila berduka.

Bacalah sirah dan teladani ibrah. Tokoh-tokoh agung manusia dalam lipatan sejarah telah dahulu menempuhi ujian yang teramat perit dan sukar berbanding kita yang marhain ini.

Setiap insan akan diuji pada kadar keupayaannya yang tersendiri. Semakin besar kemampuannya, maka semakin besar ujian yang bakal diharunginya. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat 286; 

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnyaIa mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

Memandangkan saya ini manusia biasa... Maka, musibah juga hadir dalam bentuk yang biasa-biasa sahaja sebenarnya. Ringan bagi orang lain, tetapi berat bagi saya. Musibah itu ternyata meninggalkan impak yang besar bagi diri saya. Berlaku secara mengejut dan tanpa diduga.

Tok Guru saya mengajar; "Apabila musibah datang menimpa, jangan kita tanggapi ia semata-mata ujian daripada Allah untuk mengangkat darjat kita sahaja. Nanti kita akan syok sendiri dan lebih parah takut perasan bajet bagus. Tetapi fikirkan juga ia mungkin kesan daripada dosa silam kita. Maka, musibah itu muncul sebagai kifarah dosa-dosa yang telah kita lakukan dalam sedar mahupun ketika lalai. Nah, di situlah nanti akan munculnya muhasabah diri dan lantas koreksi boleh dilakukan."

Rentetan peristiwa tersebut, kemurungan yang agak kronik melanda jiwa. Malangnya ia berlalu dalam tempoh yang agak lama. Memakan masa lebih setahun untuk pulih. Melayan perasaan dan jiwa yang lara, kononnya. Hahaha. Hanya sedar apabila penyakit yang tidak diundang hadir menjengah.

Pulang dari hospital dan tatkala termenung merenung rak buku yang telah sarat dan berselerak, saya menggapai How To Stop Worrying & Start Living karya motivator tersohor dunia Dale Carnegie. Edisi terjemahan yang diterbitkan oleh PTS telah lama saya miliki tetapi tidak serius menekuninya.

Apabila menyelak helai demi helai buku itu, didapati ada kisah yang diceritakannya kena tepat pada batang hidung saya. Bahkan banyak kisah-kisah lain yang hampir serupa. Lantas saya teruja untuk menekuninya dengan lebih serius.

Khatam menekuni buku tersebut, saya bingkas bangun dan meneruskan kehidupan dengan azam yang baharu. Buangkan perasaan bimbang itu jauh-jauh dan hadapi kehidupan dengan penuh ceria dan semangat.

Kesimpulannya, Spongebob dan Patrick juga menempuhi pelbagai bentuk ujian tetapi mereka sentiasa berjaya mengharunginya dan kembali ceria selepas itu. Janganlah asyik serius seperti Squidward itu sahaja. Kah kah kah.

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.