Saturday, November 7, 2015


Ini adalah entri pertama saya mengenai #MisiFitFS. Saya memang berhajat untuk berkongsi formula ciptaan sendiri kepada umum. Sejak saya mahir menggunakan hashtag, ramai yang menambah sebagai kawan di Facebook.

Juga ramai yang inbox berkenaan petua #jomkurus saya. Mula-mula saya melayan semua pertanyaan tanpa rasa jemu. Kadangkala sehingga lewat malam.

Mutakhir ini, saya semakin sibuk dan tidak dapat menjawab semua pertanyaan dengan terperinci. Sebahagian mereka mencadangkan saya berkongsi cerita di ruang dan platform seperti ini.

Baiklah, #MisiFitFS bermula sekitar Januari 2015 apabila saya disahkan menghidap Carotid Cavernous Sinus Fistula atau ringkasnya CCF. Menurut pakar oftalmologi, ia berpunca daripada Young Hypertension.

Saraf di belakang mata kanan saya yang berhubung dengan serebium otak membengkak dan menolak bebolanya ke hadapan. Kelihatan menonjol keluar dan merah. Ia adalah kerana tekanan aliran darah dan oksigen di situ terlalu kuat.

Rentetan itulah, saya dan hospital menjadi akrab. Banyak temujanji perlu dipenuhi. Termasuklah dengan klinik dietetik. Setiap bulan saya akan bertemu dengan dietitian.

Di situlah banyak ilmu berkenaan pemakanan seimbang yang saya perolehi. Berat badan saya ketika itu adalah 95kg. Dikategorikan sebagai overweight tahap ketiga yang jika ditambah beberapa kilogram lagi akan bergelar obesiti.

Saya didedahkan dengan keperluan kalori harian dan sampel makanan yang dicadangkan.

Saya mendengar dengan teliti dan tekad menurutinya dengan konsisten. Kecuaian lalu diinsafi. Peluang masih berbaki. Lalu saya bingkas melakukan tranformasi terhadap cara hidup, makan dan senaman.

Sekian mukadimah perkongsian pertama ini. Nantikan sambungan seterusnya.
Terima kasih atas kesudian membaca.

Baca juga:
Langkah Pertama #MisiFitFS
Zalim Terhadap Jasmani