Mengikut statistik, sekurang-kurangnya 48 peratus rakyat negara ini mengalami masalah obesiti, manakala 15.2 peratus orang dewasa dikenal pasti menghidap diabetis. Itu adalah hasil tinjauan kebangsaan pada tahun 2011.
Inspirasi Kejayaan
Menyedari akan kemudaratan obesiti kepada diri, banyak kisah kejayaan telah dicatatkan. Tiada yang mustahil jika kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat berat badan unggul yang diidamkan. Selain kisah Zdy Hirddy yang saya ketengahkan di blog ini, anda juga boleh membaca banyak lagi kisah kejayaan di SusuSejat.com. Semoga ia akan mampu menaikkan semangat anda untuk bebas dari obesiti buat selama-lamanya.
Azam Kurus 2016
Menjelang awal tahun ini, ramai antara kita yang masih dibelenggu masalah obesiti memulakan #azamkurus2016. Sekarang sudah masuk bulan ketiga dalam tahun 2016, namun penurunan berat badan yang diharapkan masih tidak berlaku, malah makin bertambah pula. Ada yang mengeluh dan mula berputus asa. Walaupun telah berpantang dari menjamah nasi, berat badan masih tidak turun. Apakah sebabnya? Saya fikir tuan punya badan lebih tahu akan sebabnya.
Kejayaan Saya
Seperti yang telah saya dedahkan sebelum ini, #MisiFitFS bermula dengan kesedaran yang jitu. Memiliki tubuh yang gendut dan berat bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan. Atau menjulang trofi sambil melaungkan "gemuk is awesome!" bukanlah sesuatu yang patut dipuji. Gemuk bukan kebanggaan tetapi gemuk adalah suatu gejala penyakit yang perlu dihindari.
Gemuk juga bukanlah penyakit keturunan. Tetapi gemuk adalah pilihan diri anda sendiri. Jika anda melihat ibu dan ayah serta majoriti adik-beradik lain adalah normal, ini bermakna anda tidaklah mengalami obesiti atas faktor keturunan. Sebaliknya, masalah kegemukan yang anda hadapi adalah berpunca daripada diri anda sendiri. Tabiat makan secara berlebihan dan gaya hidup yang tidak aktif mungkin penyebab utama anda menghadapi masalah tersebut.
Apa yang patut anda lakukan ialah mengubah gaya hidup anda. Amalkan diet secara seimbang dan keraplah bersenam. Itu sahaja. Tak perlu berbelanja mahal dengan mencuba berbagai produk pelangsing yang ada di pasaran. Amalkan diet secara alami.
Banyak juga entri yang telah saya tulis berkaitan hal ini. Anda boleh rujuk di sini.
Diet Seimbang
Bermaksud anda ambil makanan yang mengandungi nutrisi lengkap. Ikut piramid makanan yang disyorkan. Lebihkan sayur dan buah-buahan. Jika serius mahu kurus, sila abaikan makanan yang bersifat junk food.
Ambil makanan pada kadar yang sesuai untuk tenaga yang hendak digunakan. Jika kerja kita di pejabat sahaja, janganlah ambil makanan seperti kita bekerja buruh kasar atau petani. Malang bagi kita apabila mewarisi sarapan pagi yang berat seperti nasi lemak atau nasi berlauk-pauk ayam goreng tetapi pekerjaan kita berbeza dengan orang tua dahulu. Kita mewarisi budaya makan tetapi tidak mewarisi kerja yang sama.
Orang dahulu memang perlu akan makanan seperti itu untuk tenaga mereka membanting tulang empat kerat bertani. Sebaliknya kita bersarapan seberat itu untuk duduk menghadap komputer sahaja. Inilah puncanya kadar obesiti negara ini semakin meningkat saban tahun.
Jangan terlalu mengikut kehendak lidah dan tekak. Banyakkan minum air tanpa gula. Sehingga kini, saya hanya mengambil secawan sahaja air bergula sehari. Selebihnya, saya hanya minum air suam, limau suam kosong dan teh hijau tanpa gula. Kurangkanlah menjamu selera di luar. Sebaliknya, lebihkan masak menu-menu sihat sendiri di rumah.
Bersenam Secara Konsisten
Peruntukkan masa yang tetap untuk bersenam. Anda boleh lakukannya di mana sahaja. Di pejabat, taman rekreasi atau di pusat-pusat kecergasan. Joging di taman rekreasi berhampiran kediaman anda juga sudah memadai tetapi ia perlu dilakukan secara berterusan. Bukan kuantiti senaman atau riadah yang ditekankan. Tetapi konsistensi itu lebih mustahak. Janganlah hangat-hangat tahi ayam.
Kesimpulan
Azam akan hanya tinggal azam jika kita bersikap acuh tak acuh. Cabaran orang lain dan kisah kejayaan yang anda baca hanyalah sumber inspirasi. Tetapi yang menjayakan misi anda, adalah diri anda sendiri. Pandang cermin, bulatkan tekad dan teruskan misi anda sehingga berjaya. Ubah segera sebelum terlewat. Anda mampu mengubahnya. Katakan tidak kepada obesiti!
Saya mencadangkan anda untuk mendapatkan e-book FORMULA KURUS: Pelan Mudah & Teknik Cepat Bakar Lemak. KLIK SINI
0 comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.