Monday, February 22, 2016


Buku ini adalah buku pertama di dunia yang berjaya membongkar misteri sosok Luqmanul Hakim dalam sejarah. Daripada kajian yang dijalankan oleh penulis, ternyata Luqmanul Hakim adalah ahli falsafah Athens, iaitu Socrates (469-366 SM). 

Tradisi hadith menyatakan Luqmanul Hakim merupakan lelaki berkulit hitam (keturunan negro) dan bekas hamba sahaya. Tetapi Socrates yang selama ini dikenal sebagai pencetus atau bapa falsafah barat, dipercaya berketurunan kulit putih Eropah. Jelas sekali perkara ini bertentangan dengan fizikal Luqmanul Hakim. 

Menerusi kaedah perbandingan Sinkronik-Diakronik, analisis kandungan, analisis bingkai, dan analisis komponen semantik, Muhammad Alexander @ Wisnu Sasongko menemukan adanya dua persamaan. Pertama - Bentuk fizikal Socrates sama 100% dengan Luqmanul Hakim, iaitu berkulit hitam. Kedua - Ajaran falsafah Socrates memiliki tematik sama 100% dengan nasihat Luqmanul Hakim dalam Al-Quran, menerusi surah Luqman. 

Menerusi buku “Alexander Adalah Zulkarnain”, penulis telah membuktikan bahawa Alexander The Great sememangnya adalah Zulkarnain yang diceritakan dalam Al-Quran. Dalam bukunya yang terbaru ini, penulis sekali lagi membuat penemuan yang menggemparkan dunia ilmu agama dan sejarah. Sarat dengan kajian ilmiah dan penelitian fakta sejarah, buku ini berjaya membuktikan bahawa Socrates adalah Luqmanul Hakim. 

Namun, tiada siapa yang menyangka, Socrates adalah bekas hamba abdi yang berkulit hitam. Socrates yang selama ini dikenali sebagai bapa falsafah barat sering digambarkan sebagai berkulit putih. Sejarah sebenar mengenai Socrates yang telah diubah dan diselewengkan berjaya dimurnikan oleh penulis. Pembuktian bahawa Socrates adalah Luqmanul Hakim bukan sahaja didasari oleh fakta sejarah, tetapi turut disokong oleh aspek bahasa dan sastera. 

Persamaan yang paling jelas sehingga terbuktinya Socrates sememangnya Luqmanul Hakim adalah pada ajaran yang mereka bawa. Sumber yang sahih mengenai Socrates jelas menunjukkan, Socrates juga percaya kepada konsep monoteisme, iaitu ketuhanan yang satu seperti ajaran Islam yang dipegang oleh Luqmanul Hakim. 

Disebabkan perkara ini, Socrates, dihukum mati oleh pemerintah pada zamannya kerana didakwa membawa ajaran yang boleh merosakkan pemikiran anak muda. Socrates dihukum meminum racun yang dikenali sebagai “laqmaan”. Lama-kelamaan, gelaran laqmaan melekat kepada Socrates sehinggalah beliau dikenali sebagai Luqmanul Hakim sahaja. Al-Hakim pula merujuk kepada kebijaksanaan Socrates. 

Penulis juga berjaya membuktikan persamaan fizikal antara Socrates dan Luqmanul Hakim. Buku-buku tulisan Plato, anak murid Socrates ada menerangkan tentang fizikal Socrates yang berkulit hitam, berhidung pesek, berbibir tebal, dan bertangan lebar. Socrates juga adalah bekas hamba abdi yang dimerdekakan oleh tuannya. Luqmanul Hakim juga dinyatakan dalam sebuah hadis sebagai hamba yang berkulit hitam. Inilah persamaan yang membuktikan Socrates adalah Luqmanul Hakim.

Dalam buku ini juga, penulis membuktikan yang Socrates dan Luqmanul Hakim hidup pada zaman yang sama, merujuk kepada kedua-dua sumber barat dan Islam. Terdapat beberapa bukti lagi yang jelas membuktikan Socrates adalah Luqmanul Hakim. 

Melalui kajian yang mendalam serta menyeluruh daripada pelbagai sumber dan aspek, bukti-bukti yang dibentang oleh penulis tidak dapat disangkalkan lagi. Kaedah kajian yang digunakan oleh penulis juga diterangkan supaya membaca betul-betul memahami perbahasan yang ingin dikemukakan. 

Sebagaimana buku “Alexander adalah Zulkarnain”, buku ini pastinya dapat memberikan kepuasan intelektual kepada para pembaca. Bukti-buktinya akan memberikan keyakinan untuk kita menilai sendiri dan mempercaya Socrates adalah Luqmanul Hakim. Faktanya jelas, bukan didasari oleh andaian semata-mata. Itulah kelebihan mana-mana buku yang ditulis oleh Muhammad Alexander, atau nama sebenarnya Wisnu Sasongko. -Reviu PTS.

Buku kajian setebal 744 muka surat ini didahului dengan Terjemahan Surah Luqman. Kemudian disusuli dengan bab Sejarah Hidup Socrates dan Falsafahnya, Garis Masa Yunani kuno. Socrates Berkulit Gelap Keturunan Afrika-Yunani. Socrates Ahli Hikmah dan Pencari Hikmah

Seterusnya, Socrates Mengajar Manusia supaya Bersyukur kepada Allah dengan Cara Mengenali Diri Sendiri dan Sembahyang, Nasihat Socrates supaya Tidak Menyekutukan Allah, Socrates Berpesan supaya Lamprodes (Anaknya) Berbakti kepada Ibu Bapa, Socrates Percaya Tuhan akan Membalas Semua Perbuatan Manusia, Socrates Mengajak kepada Kebaikan dan Mencegah Kejahatan, Kesabaran dan Kawalan Diri Socrates

Usah Sombong, Socrates Mengajak Hidup Bersederhana, Tuhan Memudahkan Segala-Galanya untuk Manusia, Socrates Dihukum Mati Menelan Racun sehingga Digelar "Luqman", Mencari Maksud Kata Nama Socrates dan Luqman, Menuju Pemurnian Falsafah Socrates.

Kenali Penulis

Wisnu Sasongko @ Muhammad Alexander lahir pada 13 April 1972 di Bandar Malang, Jawa Timur, Indonesia hasil perkahwinan pasangan suami isteri Dr. Monadi Rustamadji dan Tampi Sriasturi. Dunia menulis sudah bermula sejak berusia 16 tahun di Sekolah Menengah Atas (SMA) Negeri 3 Malang dalam bentuk puisi-puisi (1984).

Kemudian, pada usia 22 tahun (1994), beliau dilantik menjadi Ketua Umum Majalah Kampus Solid di Universiti Brawijaya yang terletak di Bandar Malang. Kemampuannya dalam bidang penulisan diasah ketika mengikuti pengajian M.A di Institut Teknologi Sepuluh November (ITS), Surabaya. Beliau menyelesaikan pengajian peringkat B.A. dalam bidang Seni Bina daripada Universiti Brawijaya (UniBraw), Malang pada tahun 1996.

Seterusnya, beliau menyelesaikan pengajian peringkat M.A. dalam bidang Housing & Urban Planning daripada ITS Surabaya pada tahun 2001. Kini, beliau dalam proses dalam menyelesaikan PhD dalam bidang Urban Housing di ITS. Kini, beliau menjadi pensyarah tetap di Universiti Brawijaya. Beliau juga banyak menghasilkan banyak kertas kerja dan buku-buku kajian seperti Armageddon: Antara Petaka dan Rahmat, Yakjuj & Makjuj: Bencana di Sebalik Gunung dan Alexander adalah Zulqarnain.

Menekuninya..

Luqmanul Hakim Adalah Socrates Berkulit Hitam: Menyingkap Rahsia Ahli Falsafah Agung Yunani adalah karya kedua beliau yang selepas Yakjuj & Makjuj: Bencana Di Sebalik Gunung yang telah saya miliki. Naskhah yang bersifat penyelidikan merupakan salah satu cara menambah ilmu yang efektif. Walaupun ia kelihatan agak berat kerana sarat dengan fakta yang dikemukakan, tetapi apabila ditulis dalam bahasa yang moden, bagi saya tiada masalah untuk menekuninya.

Saya kagum dengan usaha penulis buku ini. Bukan mudah untuk menghasilkan karya bermutu yang berbentuk seperti sebuah kompilasi laporan kajian daripada sumber yang pelbagai. Tentu sekali ia mengambil masa yang panjang untuk pengumpulan bukti demi bukti dengan merujuk kitab-kitab klasik silam dalam pelbagai bahasa.

Sudah tentulah menekuni karya sebegini juga memerlukan masa yang panjang. Terpaksa diulang berkali-kali, sebelum saya boleh memahaminya. Kepuasan membaca buku ini terserlah dengan fakta-fakta yang dikemukakan.

Selain tujuannya membuktikan Socrates itu adalah Luqmanul Hakim yang kisahnya tercatat di dalam Al-Quran, buku ini juga memaparkan hikmah-hikmah Socrates yang tertulis di dalam kitab-kitab klasik Yunani.



0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.