Thursday, February 11, 2016


Bina jambatan menuju ke seberang
Melangkah jurang lebar dan dalam
Dengan darah dan keringat
Dengan airmata berpegang pada taliNya

Rapatkan saf semangatmu jangan goyah
Kota yang telah roboh harus dibina semula
Atas dasar kebenaran demi kita demi waris
Semua serangan yang datang kita tangkis

Jangan kau gentar pada bayang-bayang sendiri
Di sebalik pahit getir kemenangan menanti
Bagaikan burung Phoenix bangkit dari abu 
Bangkit membina (semula) satu keindahan (baru)

Phoenix bangkit 
Bina jambatan menuju ke seberang
Dengan darah keringat dan airmata oh...
Melangkah ke seberang ke tanah yang dijanjikan
Dirindukan
Demi cinta tiada lain demi cinta

Jangan kau gentar pada bayang-bayang sendiri
Di sebalik pahit getir kemenangan menanti
Bina jambatan menuju ke seberang
Dengan darah keringat dan airmata oh...
Melangkah ke seberang ke tanah yang dijanjikan
Dirindukan
Demi cinta tiada lain demi cinta
Demi cinta... demi cinta...

Ini adalah rangkap lirik lagu Phoenix Bangkit Dari Abu karya dan dendangan seniman tersohor negara Datuk M. Nasir. Apakah Plaza Phoenix masih tersergam indah di Cheras? Saya kurang pasti. Hihi. 

Hidup di alam fana ini adalah ujian. Tiada seorang insan pun boleh terlepas dari ujian demi ujian. Ujian pula hadir dalam pelbagai bentuk dan rupa. Allah menguji sesuai dengan keupayaan hambaNya itu. Semakin tinggi darjat seseorang hamba itu di sisiNya, semakin besar ujian yang bakal ditempuhinya.

Apa itu Phoenix? 

Phoenix adalah sejenis burung yang masyhur di dalam hikayat-hikayat dongeng masyarakat Rom, Parsi, Greek dan Mesir purba. Sebahagian ahli sejarah turut mempercayai bahawa cerita dongeng klasik burung Phoenix ini juga berlegar di kalangan masyarakat China dahulu kala. 

Walaupun terdapat pelbagai versi cerita mengenai burung unik ini, tetapi mereka sepakat bahawa Phoenix adalah seekor burung yang cantik dan jangka hayatnya adalah sekitar 500 hingga 1000 tahun. Apabila tiba ajalnya, maka ia akan terbakar dengan sendirinya lalu menjadi debu abu. Ajaibnya, kemudian seekor Phoenix baharu akan lahir semula dan bangkit keluar daripada debuan abu tersebut. 

Bercakap mengenai perceraian, ia adalah sebuah realiti kehidupan alaf baharu. Faktor-faktor yang membawa kepada runtuhnya sesebuah rumahtangga telah diperdebatkan dengan panjang lebar oleh media massa. Saya tidak berhajat untuk menyentuhnya di sini. Ia bukannya cerita dongeng atau fantasi. Bukanlah ‘cobaan’ tetapi ia benar-benar menjadi trend masa kini. 

Perpisahan Tragis 

Apabila sudah berpisah dengan pasangan kita, maka hubungan yang dahulu sudah tidak wujud lagi di dalam kehidupan yang sedang dan akan dilalui. Luka, kecewa, hampa dan segala runut rasa yang ada tidaklah mudah hilang begitu sahaja. Lebih-lebih lagi bagi perceraian yang berlaku secara tiba-tiba. Tiada pergaduhan yang besar dan berlarutan berlaku. 

Namun kita bukanlah seperti dongeng Phoenix yang bangkit dari abu dan mampu terbang bergaya beberapa minit selepas itu. Kita bukanlah seperti itu, yang jika hari ini bercerai, esoknya bangun dari tidur dan boleh melupakan segala apa yang terjadi pada hari sebelumnya. Kita memerlukan masa untuk bangkit. Lain orang, lain dayanya. 

Masa Menyendiri 

Ambillah masa untuk menyendiri. Kembali rapatkan diri dengan Ilahi. Akrabkan hubungan denganNya. Teori rukun iman ke-6 iaitu beriman kepada Qada’ dan Qadar perlu ditelaah kembali dan ditekuni sedalam-dalamnya. Selama ini kita mungkin beriman pada teorinya sahaja. Hari ini kita mempraktikkannya. Janganlah berlagak sombong mengakui sudah benar-benar memahami erti beriman kepada Qada’ dan Qadar Allah sebelum kita menempuhi musibah-musibah yang tidak enak dan sukar untuk ditempuhi di dalam kehidupan ini. 

Muhasabah Diri 

Semak kembali sisi gelap kehidupan masa lalu. Dosa-dosa silam mungkin masih tidak terampun dan terus menghantui kita kerana permohonan ampun dibuat secara lewa. Akui dan sesali akan kekhilafan lalu, teruskan munajat dan mohon taubat tanpa jemu. Letakkan pengharapan tanpa wasangka kepada Allah SWT yang maha pengampun itu. Atas sifatNya yang maha pengasih dan maha penyanyang itu, maka letakkanlah harapan yang optimis agar dosa-dosa lalu dan yang akan datang diampunkanNya jua. 

Berhenti Salahkan Pasangan 

Berhenti berasa semua yang berlaku adalah berpunca daripada orang lain. Jika itu sahaja yang terdaya kita lakukan, maka tiada apa-apa koreksi terhadap diri akan berjaya kita lakukan. Sebab kita tidak berasa diri kita yang bersalah. Sebaliknya kita berterusan menyalahkan pasangan atau orang-orang di sekeliling kita. Terbitkan perasaan bahawa semua yang terjadi adalah atas kecuaian dan kelemahan diri sendiri. Maka, di sanalah nanti akan lahir susunan langkah demi langkah bagi menampal segala lubang-lubang ketirisan dalam diri sendiri. 

Dengar Nasihat Orang Tua 

Duduk dan bersembanglah dengan orang-orang yang lebih tua. Pasang telinga dangan teliti, renung bibir mereka yang mengungkapkan bicara berbentuk nasihat. Dengar dan serapnya dengan dada yang lapang. Adakalanya, nasihat tersebut mungkin pedih untuk didengar dan sukar untuk diterima. Umpama ubat yang pahit untuk ditelan, tetapi mampu memberikan kelegaan. Maka jangan melawan dan akurlah. Usia mereka sudah melebihi separuh abad. Pengalaman hidup menjadi remedi berharga buat mereka. Lalu, kata-kata yang meniti di bibir mereka wajar kita serap dengan teliti dan cermat.

Bakulsampahkan Dendam 

Dendam adalah sifat mazmumah yang akan memusnahkan kita. Campakkan ia ke dalam tong sampah. Apabila kita telah mengakui sudah beriman dengan Qada’ dan Qadar Allah, maka sepatutnya tiada lagi terbit perasaan dendam dalam jiwa. Tiada lagi sarangnya dalam hati yang jernih. Kita memahami bahawa semua yang terjadi ini telah ditetapkan ‘skripnya’ oleh Tuhan yang mengatur kehidupan. Memahami sedalam-dalamnya akan hakikat ini, membolehkan kita menarik nafas lega, segar dan kedamaian serta ketenteraman kembali menggamit jiwa yang lara. 

Besarkan Zuriat Bersama 

Jika pasangan yang berpisah itu mempunyai zuriat bersama - maka - jalinan persahabatan perlu wujud dalam urusan membesarkan anak-anak. Walaupun sudah berpisah, tetapi kasih sayang ibu dan bapa terhadap anak-anak sepatutnya masih kekal seperti sedia kala. Ya…walaupun sudah tidak tinggal sebumbung, janganlah salah seorang cuba menafikan hak anak-anak tersebut untuk membesar dengan merasai belaian kasih sayang daripada seorang ibu atau bapa. 

Ayuh Bangkit 

Kendatipun kita tidak sehebat Phoenix, tetapi ayuhlah bangkit dan teruskan sisa baki kehidupan yang masih panjang. Pujuklah jiwa yang lara untuk kembali ceria. Insafilah, bahawa inilah resmi kehidupan yang ada pasang dan surutnya. Indahnya pentas kehidupan ini apabila kita menerima watak dan skrip yang mencabar. Jalur cerita yang rumit dan rencam akan melahirkan insan yang hebat kelak. Serahkan diri kita bulat-bulat kepadaNya. Apapun, marilah kita #LakarHidupSendiri. Hahahahaha. Di sebalik duka ada suka, di sebalik suka ada duka.

Bagaikan Khadijah Di Hati Rasulullah
Setakat ini lebih 14,000 wanita sedang membaca buku Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah bagi mempelajari kemahiran 'memanjangkan' halal dalam perkahwinan.
Penulis ini pun apabila 'gaduh-gaduh' comel dengan isteri pun buka buku sendiri, katanya, "Apa yang saya tulis ini sebagai manual ke atas diri dan membantu orang lain."
Saya ada beberapa naskhah Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah jika ada yang mahu. Lelaki boleh hadiahkan buku ini kepada bakal suri hatinya. Jika anda isteri, buku ini adalah manual yang terbaik untuk anda menjadi peneman yang setia di sisi suami. 


0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.