Thursday, February 11, 2016


Darulmaaref School Foundation (DMSF) atau Madrasah Yayasan Darulmaaref yang terletak di Jalan Wang Peracan, Kampung Khuansato, Satun ini telah diasaskan oleh Almarhum Tuan Guru Haji Muhammad Zikir bin Abdul Mannan. Beliau yang berasal dari Batang Kapas, Panian Sumatera Timur merantau ke Selatan Siam dan mula mendirikan Pondok Darul Maaref pada tahun 1950 di Chalung iaitu kira-kira tujuh kilometer dari kompleks sekolah kini.

Setelah beliau meninggal dunia pada tahun 1975, pentadbiran madrasah ini dikendalikan oleh anakandanya iaitu Almarhum Tuan Guru Haji Mohamad Zaki sehingga tahun 2013. Manakala kini, Ustaz Ahmad bin Muhammad Zaki mengambil alih kepimpinan sekolah pondok moden ini setelah ayahnya kembali ke rahmatullah.

Ziarah PGSMNS ke DMSF


Dalam artikel pengenalan Hat Yai Kota Dua Wajah, saya telah menceritakan serba sedikit perihal #KembaraFS #LensaFS mengikuti Lawatan Kerja Persatuan Peguam Syarie Malaysia Negeri Sembilan (PGSMNS) ke dua wilayah Selatan Thai iaitu Satun dan Songkhla.

Setelah melepasi sempadan Wang Kelian, Perlis, lokasi pertama yang kami jejaki adalah madrasah ini. Kehadiran kami disambut mesra oleh para pelajarnya. Walaupun ketika itu adalah cuti umum sempena ulangtahun Hari Keputeraan Raja Thailand, namun masih terdapat pelajar yang tidak pulang ke rumah tetapi tinggal di asrama.

Sarapan dan Taklimat

Kami di bawa ke dewan serbaguna di tingkat bawah masjid madrasah ini dan dijamukan dengan sarapan pagi berupa nasi kerabu serta kuih-muih tradisional tempatan. Kemudian sesi taklimat mengenai sekolah ini disampaikan oleh pengetuanya iaitu Ustaz Ahmad bin Muhammad Zaki yang baru selesai menamatkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan. Sejurus kemudian, ucapan aluan turut disampaikan oleh Dato' Hanif Hassan selaku Pengerusi PGSMNS.

Mengenai Madrasah

Sijil thanawi madrasah ini mendapat pengiktirafan dari Universiti Islam Madinah, Ummul Qura Makkah, Al-Azhar Mesir dan Al-Qasimiah Emirates. Ini bermakna para pelajar lepasan madrasah ini boleh menyambung pengajian ijazah sarjana muda ke universiti-universiti tersebut dan juga di institut pengajian tinggi tempatan.

Pondok moden ini mempunyai bahagian pengajian agama, tahfiz, sains dan modul bahasa melayu serta mata pelajaran akademik yang lain. Selain itu, ia juga mempunyai sumber ekonomi sendiri dengan menjalankan ternakan ikan dalam kolam, kilang bakeri, kilang air mineral, kedai runcit, ladang getah dan van untuk disewa.

Stesen Radio


Lebih uniknya, madrasah ini memiliki stesen radio sendiri yang beroperasi dari pukul enam pagi sehingga enam petang setiap hari. Mereka menggelarnya Radio Al-Quran yang boleh didengar melalui frekuensi 105.25 Mhz di Satun. Menurut Ustaz Ahmad tujuannya adalah persis Radio IKIM di Malaysia bagi mendidik dan berdakwah melalui corong radio kepada penduduk wilayah berkenaan.

Pencapaian

Pada tahun 2014, seramai 42 orang pelajarnya berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Songkhla Nakharin, 25 orang di universiti Rajaphatra, 11 orang di Universiti Thaksin, lima orang di Emirates dan empat orang ke Kolej Kejururawatan Sirin Ton serta 70 orang ke universiti lain-lain. Selain itu, madrasah ini tidak ketinggalan juga aktif di bidang ko-kurikulum apabila skuad bola sepaknya menjadi johan peringkat wilaha sekali gus menajdi wakil wilayah Satun ke peringkat Selatan Thai.

Untuk maklumat lanjut mengenai sekolah ini sila ke laman sesawang rasminya. 
KLIK SINI: www.drmsatun.ac.th

Kami mandi dan bersiap-siap di sini sebelum ke destinasi berikutnya iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Satun.

LAGI GAMBAR LAWATAN KE DARULMAAREF FOUNDATION SCHOOL KLIK SINI

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.