Sunday, February 14, 2016


Sebuah taman rekreasi yang subur menghijau berkeluasan 26 ekar, Sendayan Green Park direka bentuk bagi mewujudkan interaksi antara komuniti dan menggalakkan pelbagai aktiviti gaya hidup sihat dan aktif bagi setiap peringkat usia. Kawasan riadah serba lengkap ini dibangunkan oleh BSS Development Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Matrix Concepts Group yang bertanggungjawab dalam pembangunan Bandar Sri Sendayan yang lestari dan mapan.

Antara kemudahan gaya hidup aktif yang tersedia di sini ialah, kawasan amfiteater, padang bola sepak, gelanggang luncur, taman bertema, menara dan platform peninjau, laman tai chi dan yoga, gazebo, stesen kecergasan aktif dan pasif.

Selain itu ia turut dilengkapi dengan gelanggang badmindon atau bola keranjang, taman permainan kanak-kanak yang seba lengkap, sebuah tasik yang indah dan kemudahan tandas yang selesa. Taman rekreasi ini diawasi oleh pengawal keselamatan yang beroperasi 24 jam sehari.

Selain Hill Park S2 Heights dan S2 City Park, Sendayan Green Park memang kerap saya kunjungi kerana ia bersebelahan dengan tempat kerja. Ia terletak berhampiran dengan Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Sembilan, stesen minyak Petron, restoran makanan segera Marrybrown, deretan pusat komersial Sendayan Metro Park dan kediaman banglo jutawan peneroka Sendayan Idaman Villa.


Menariknya Sendayan Green Park ini adalah ia merupakan taman rekreasi yang serba lengkap. Trek jogingnya meliputi kawasan rata dan juga mendaki. Di atas puncak bukitnya ada pelbagai alat kecergasan berupa outdoor gym yang amat berguna. Manakala di tengahnya terdapat sebuah menara tinjau yang apabila kita berada di puncaknya, kita dapat melihat panorama indah Bandar Sri Sendayan dari atas.

Pengunjung juga boleh menikmati pemandangan pesawat-pesawat yang mahu mendarat di KLIA dari puncak bukit ini. Di sudut lain, kita dapat melihat kepesatan pembangunan Sendayan TechValley Malaysia yang menempatkan kilang-kilang berteknologi tinggi tempatan dan antarabangsa.

Selain joging, main bola sepak, badminton dan skateboard, pengunjung juga boleh membawa anak-anak berbasikal di taman rekreasi yang luas ini. Pada waktu pagi dan petang hujung minggu, taman ini biasanya akan dipenuhi dengan masyarakat tempatan yang mengambil peluang untuk beriadah dan bermesra dengan ahli komuniti yang lain.

Usaha berterusan turut didedikasikan ke arah mewujudkan taman kejiranan tersendiri di mana kanak-kanak boleh bermain dalam persekitaran yang selamat dan ahli keluarga dapat berkumpul bersama. Prasarana rekreasi yang serba lengkap dibina bagi semua ahli komunit dari segenap lapisan usia dapat berkumpul sambil menikmati aktiviti gaya hidup yang sihat kegemaran masing-masing.

Gelanggang luncur skateboard
Subur dan menghijau

Outdoor gym
Panorama terindah tasik
Landskap yang menarik dan mendamaikan

1 comment:

  1. Salam. Boleh tak bagi detail location sendayan green park ini. Thanks

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.