Tuesday, January 26, 2016


Mutakhir ini, saya mendapati makan dalam talam telah mula dipraktikkan ketika iftar di beberapa buah masjid di sekitar ibukota. Selain menyedari ia merupakan sunnah, makan dalam talam juga sebenarnya merupakan solusi kepada banyak perkara.

Pertamanya, sudah tentulah ia menjimatkan. Tidak perlu banyak pinggan, mangkuk dan piring. Satu talam diletakkan nasi dan lauk-pauk untuk dimakan empat atau lima orang. Biasanya cukup satu, atau dua mata lauk sahaja.

Keduanya, kita tidak perlu lagi membasuh banyak pingan dan mangkuk. Ia ternyata menjimatkan air dan masa. Juga, tak perlu makan dalam polistrin yang dibimbangi mengandungi toksid yang boleh menyebabkan kanser. Justeru itu, praktik makan dalam talam adalah solusi kepada banyak perkara.

Bahkan ada sebuah masjid yang melapik talam dengan plastik sebelum diletakkan nasi dan lauk. Selesai makan, bungkus elok-elok plastik tersebut dan campak ke dalam tong sampah. Talam kekal bersih dan diletakkan ke tempat asalnya. Banyak senang dan menjimatkan...

Jemaah Tabligh

Bagi mereka yang pernah 'keluar' bersama jemaah tabligh, makan dalam talam bukanlah sesuatu yang asing. Jemaah ini memanglah menitikberatkan amalan-amalan sunnah harian yang sering kita abaikan.  Syoknya makan dalam talam beramai-ramai dengan lauk kari kambing pekat adalah sesuatu yang sukar hendak digambarkan dengan kata-kata mahupun tulisan. Sendiri rasa barulah tahu!

Nasi Ambeng dan Nasi Arab

Dapat diperhatikan juga, restoran-restoran nasi arab menyediakan hidangannya dalam talam. Walaupun kemudian ada yang makan dalam pinggan masing-masing, tetapi terdapat juga sesetengah restoran tidak menyediakan pinggan. Sebaliknya pengunjung memang perlu makan dalam talam beramai-ramai.

Manakala masyarakat jawa yang terkenal dengan nasi ambengnya sudah lama mengamalkan tradisi makan dalam dulang. Dengan variasi lauk-pauk yang diletakkan di atas dulang yang berlapikkan daun pisang itu mampu membuatkan air liur kita meleleh. Perrgghhh...

Sekolah Pondok dan Pusat Tahfiz

Amalan makan dalam talam juga adalah lazim dilakukan di sekolah-sekolah pondok dan pusat-pusat tahfiz. Tenteram dan sejuk mata memandang anak-anak ini makan setalam beramai-ramai sambil berjenaka santai. Selain itu, terdapat juga pusat pembelajaran pra-sekolah atau tadika yang mempraktikkan makan dalam talam.

Praktik di Rumah?

Menyedari akan mudahnya makan dalam talam, maka mempraktikannya di rumah adalah sesuatu yang amat digalakkan. Jika kita berniat untuk mengikuti sunnah, insyaAllah kita akan perolehi pahala atas amalan tersebut. Mudah bukan?

Keduanya, seperti dalam majlis iftar atau kenduri yang ramai, makan dalam talam di rumah juga memberikan kita keselesaan dan kelegaan yang sama. Katakanlah jika anda mempunyai seramai empat atau lima orang sekeluarga...

Maka, anda hanya perlu makan berjemaah dalam satu talam. Isteri tidak lagi perlu membasuh pinggan mangkuk yang banyak. Masak juga tak perlu sampai lima mata lauk. Cukup sekadar dua mata lauk sudah memadai. Selain itu, ia juga mampu mengeratkan lagi silaturrahim sesama ahli keluarga kerana kita makan dalam talam yang sama dan lauk yang sama.

...atau jika bilangan ahli keluarga melebihi lima orang, kita boleh buat dua talam atau lebih.

Ia sekali gus mampu dijadikan solusi terbaik dalam mendepani kos sara hidup yang semakin meningkat mutahkir ini. Masaklah yang mudah-mudah sahaja di rumah seperti kari, sup, masak lemak, masak kurma dan sebagainya. Letakkan nasi dalam satu talam dan tuangkan kuah lauk tersebut, kemudian makanlah bersama-sama sekeluarga.

Isteri juga tidak merungut penat memasak lauk-pauk yang sukar dan tidak perlu lagi membasuh pinggan-mangkuk yang banyak. Ayuh...jom pakat praktik. Solusi sunnah memudahkan kehidupan insan dan solusi sunnah juga adalah jalan terbaik dalam mendepani kos sara hidup yang naik mendadak. Renung-renungkan dan selamat beramal.

*Simpan pinggan mangguk anda untuk kegunaan tetamu sahaja.



BACA JUGA:

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.