Thursday, January 21, 2016


"Kalau pada masa dahulu menentang establishment seperti kerajaan adalah satu tindakan melawan arus, tetapi pada hari ini ia adalah suatu sikap umum yang biasa. Maka, saya fikir sayalah sebenarnya penentang establishment pada hari ini, iaitu memecahkan blok-blok pandangan yang telah kukuh dalam masyarakat, misalnya pandangan bahawa kerajaan zalim dan perlu dijatuhkan. Saya mungkin bersetuju dengan pendapat bahawa kerajaan hari ini banyak menyeleweng, tetapi cara saya melawan adalah berbeza. Saya ada hujah-hujah saya mengapa saya memiliki pandangan yang berbeza ini." -Penulis.

Buku Keldai dan Kitab merupakan koleksi artikel tulisan saudara Azman Hussin. Sebanyak 28 artikel termuat di dalam buku setebal 186 muka surat ini. Ia adalah terbitan Dubook. Penulis cuba membawa pembaca kepada suatu dimensi fikir yang berbeza. Sisi pandangnya kelihatan berbeza dengan pandangan umum barangkali. Lantaran itu, saya 'memaksa' diri untuk menekuni buku yang dibeli secara online - edisi cetakan pertama pada 3 April 2015 tahun lepas. Pada mulanya saya tidak pasti apakah isi kandungannya, ketika itu cuma terpesona dengan tajuk dan kulitnya sahaja - lalu klik dan beli.

Lambakan Maklumat di Media Sosial

Kelihatan penulisnya resah dengan lambakan maklumat pada zaman ini. Ia adalah sesuatu yang merunsingkan dan juga mungkin suatu malapetaka.  "Kalau zaman 60-an kita disajikan dengan budaya Hippie yang berslogankan make love not war (semarakkan cinta, bukan peperangan) dalam usaha mencabar status quo ketika itu, yang baru sahaja keluar daripada kancah Peperangan Dunia Kedua, kini umat manusia alaf baru khususnya di kalangan anak muda terpaksa berhadapan pula dengan cabaran lebih besar dan halus iaitu lambakan maklumat."

Di dalam artikel Facebook: Apabila Semua Warna Bercampur, saudara Azman Hussin membayangkan bahawa media sosial itu menghasilkan warna kesudahan yang hitam. "Apa yang pasti, Facebook telah melahirkan ramai orang kecil yang tidak diketahui entah dari mana, dan sibuk mencampuri urusan orang ramai, yang mereka sendiri jahil mengenainya. Orang-orang muda seawal 20-an, yang jika tidak diketahui umurnya, akan disangka sekelompok ulama yang sedang bermuzakarah." Getusnya.

Ada beberapa artikel lain juga yang menyentuh mengenai perihal maklumat di media sosial ini. Antaranya Anarkis Papan Kekunci dan Analogi Perihal Maklumat

Ya, melalui Facebook semua orang tanpa mengira latar belakang pendidikan dan usia bebas mengetengahkan pendapat masing-masing. Mereka inilah yang mungkin dikatakan Ruwaibidhah oleh Nabi Muhammad SAW.

"Masyarakat kita sedang menuju ke arah apa yang diistilahkan oleh pemikir Barat, Marshal Mcluhan sebagai, "masyarakat pasca-celik (posliterate society), di mana kemampuan untuk membaca dan menulis bukan lagi sesuatu yang dianggap penting kerana ilmu sudah disempitkan kepada maklumat yang boleh dipancarkan menggunakan media massa yang hingar-bingar sifatnya - maklumat yang kadangkala bertaraf sampah untuk dikunyah dan dihadam oleh akal."

Demokrasi, Politik dan Agama

Selain itu beliau turut membincangkan mengenai demokrasi di dalam tulisan bertajuk; Demokrasi, Politik Islam, Sistem Demokrasi Adalah Bom Jangka, Parti Politik: Suatu Agama Baru? dan Bagaimana Minoriti Menundukkan Majoriti.

Turut disentuh adalah mengenai politik tempatan dan konflik di negara-negara timur tengah, Percaturan Yahudi Dalam Konflik Sunni-Syiah, Perang Dunia Ke-3 dan juga perihal Taklid, Tajdid Dan Perbalahan Umat.

Manakala saya lebih teruja apabila membaca Colgate vs Kayu Sugi. Beliau berpendapat, bagi mengekang hegemoni kapitalis kuffar, kita perlu kembali kepada hidup secara tradisi. Ini kerana segala prasarana dan teknologi yang tercipta hari ini adalah inovasi daripada mereka. Kita hanyalah pembeli dan pengguna. Justeru itu, kitalah yang sebenarnya secara berterusan memberikan kekayaan kepada mereka.

Lantas beliau memberi solusi; "Untuk melawan eksploitasi dan teknologi orang kuffar, jalannya adalah kembali kepada tradisional. Apabila kita meninggalkan teknologi dan kembali kepada tradisional, sistem mereka tidak akan bergerak dan akan runtuh mendadak. Sistem ekonomi mereka yang menciptakan segala peralatan perang yang canggih akan runtuh. Misalnya untuk menjatuhkan teknologi colgate, adalah dengan meggunakan kaedah tradisional, iaitu kayu sugi."

Saya bersetuju dengan pandangan beliau ini. Tetapi ia tidak realistik. Bagaimana kita hendak mengajak atau menyeru sekalian umat Islam supaya meninggalkan semua teknologi ini dan kembali hidup secara tradisional atau primitif? Saya pesimis dalam bab ini. Walaupun solusinya itu benar, tetapi saya fikir ia adalah sesuatu yang mustahil untuk dijayakan. Sedangkan hendak boikot restoran makanan segera yang terkait dengan zionis itu pun bermusim semangatnya, inikan pula mahu meninggalkan keseluruhan teknologi yang sudah sebati dengan kehidupan harian kita.

Ambil sahaja contoh, teknologi internet dan media sosial hari ini. Saudara Azman Hussin sendiri tidak terdaya untuk meminggirkannya. Walaupun beliau mengkritik Facebook, tetapi beliau juga adalah salah seorang pengguna yang setia. Melalui platform tersebut, beliau aktif mengetengahkan sisi pandang dan ideanya yang dilihat asing tetapi bernas. Mendapat sambutan yang hangat di kalangan netizen lantas mengambil peluang berdiskusi serta berinteraksi dengan beliau di ruang komentar statusnya.

Dilema Melayu?

Saudara Azman Hussin juga menegur bangsanya di dalam Dilema Melayu Pak Kaduk Era Globalisasi dan Institusi Raja Pertahanan Terakhir Orang Melayu. Umat Melayu khususnya telah lama tersadung dalam kayd al-siyasi (jerat muslihat politik) yang ditinggalkan oleh musuh secara halus untuk senantiasa bersengketa sesama kita. Hal sebegini seterusnya melumpuhkan kesedaran untuk bersatu-padu demi mempertahankan dan memperjuangkan agenda umat. 

"Hakikatnya, pemimpin kaum Melayu yang berkuasa telah menyalahgunakan kuasa. Kaum Melayu yang berasa ditindas telah bertindak melawan seperti marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Kerana marahkan kerajaan yang banyak menyeleweng, mereka secara tidak disedari sedang meruntuhkan negara bangsa mereka sendiri dan memberi peluang kepada kaum-kaum lain menguasai negara ini. Akan tetapi, jika dibiarkan kerajaan yang didakwa korup dan banyak penyelewengan ini, negara akan terus berada menuju ke arah kerosakan dan kehancuran. Inilah persimpangan dan dilema orang-orang Melayu di Malaysia untuk membuat pertimbangan politik." Ujarnya.

Pandangan Menongkah Arus

Awal-awal lagi beliau mengakui; "Pandangan-pandangan saya dalam buku ini mungkin berbeza dengan pandangan umum generasi baharu hari ini. Saya mungkin dianggap bodoh, pasif, pengikut buta atau jumud. Saya sedar saya akan tersisih dari aurs semasa kerana pandangan-pandangan saya dalam buku ini. Contohnya dalam persoalan-persoalan politik, saya mungkin tidak disukai generasi baru hari ini." Tulisnya di halaman Pendahuluan.

Setelah berulang kali menekuni himpunan artikel saudara Azman Hussin yang ditulis sekitar tahun 2011 hingga 2014 ini, ternyata ia mampu memberikan sudut pandang yang berbeza. Bagi anak muda yang gelojoh, terburu-buru dan berlagak 'serba tahu', buku ini saya kira wajar ditekuni. Kita boleh sahaja untuk tidak bersetuju dengan beberapa pandangan penulis yang kadangkala dilihat tidak realistik, tetapi ia membantu kita supaya berfikir secara lebih teliti sebelum berbicara.

Menurut saudara Wan Ahmad Fayshal di helaian Prakata buku ini; "Memahami penulisan yang berbentuk kritikan sosial adalah salah satu cara untuk mengamati al-Kayd yang wujud dalam batang tubuh ummah dan penulis karya ini - saudara Azman Hussin telah memuatkan pelbagai buah fikiran yang wajar ditilik kemas oleh umat khususnya anak muda, untuk memahami kenapa dan bagaimana wajar kita bertindak secara waras dan penuh waspada."

Bacalah...

Walaupun saya mungkin tidak bersetuju dengan sesetengah pandangan penulis dalam soal hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan kaitannya dengan agenda Yahudi, tetapi pada masa akan datang... barangkali saya mungkin mengakui akan kebenarannya pula? Saya tidak pasti. Berpegang teguh dengan prinsip "...membaca jangan terhad kepada bacaan yang pro dengan pandangan semasa kita sahaja. Sebaliknya mesti berani mencabar minda dengan membaca buku yang kontra dengan kita..." di ruangan #LakarHidupSendiri, maka saya teruja menekuni buku ini sehingga nokhtah terakhir.

Buku ini secara tersiratnya juga menasihat kita supaya menjadi seorang yang lebih teliti dalam menapis maklumat yang terpapar di media sosial, dan mengajak kita untuk menganalisa sebelum mem'viral'kannya. Di samping itu ia juga memberi keinsafan, betapa sebenarnya pada usia yang mentah dan muda ini, kita harus lebih banyak absorb; mendengar serta membaca, sebelum gelojoh mengeluarkan sesuatu pendapat.

Justeru itu, saya mengesyorkan buku ini menjadi bahan bacaan yang mustahak bagi anda. Khususnya generasi muda yang menjadikan Google dan Facebook sebagai sumber maklumat utamanya (dan mungkin juga dinaiktaraf sebagai ilmu: secara sedar atau tidak). Anda pasti tidak akan menyesal membeli dan membaca buku ini.


0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.