Monday, January 4, 2016


Seperti biasa bila tiba tahun baharu, topik yang tak lari untuk diperbualkan adalah mengenai #azam. Baik di corong radio, bual bicara televisyen dan di media-media sosial, heboh memperkatakan tentangnya. Sedangkan azam tahun-tahun yang lepas masih terbengkalai dan tersadai. Berkulat dan lapuk. Eloklah kiranya carry forward sahaja azam yang belum tercapai itu. Haha.

Macam-macamlah azam yang terbit. Salah satu yang menarik perhatian adalah #azamkurus2016. Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan bahawa 5.3 juta penduduk negara ini mengalami masalah kegemukan atau obesiti. Malah, Malaysia menduduki tangga pertama penduduk terbanyak yang menghidap masalah ini di rantau Asia Tenggara.

Di sebalik riuh-rendahnya polemik kenaikan kos sara hidup yang menghimpit, tetapi kita boleh pula menjadi #champion dalam bab ini. Maka, sesetengah orang membuat kesimpulan bahawa kita sebenarnya makmur dan mewah dengan makanan. Sebab itulah kita mempunyai ramai penduduk yang tembun-tembun, comel, chubby dan ala-ala Thirsty Hippo.

Menjelang 2016, ramailah yang berazam untuk kurus. Lantaran itu, saya ingin berkongsi sedikit cerita dan tips mungkin, berdasarkan pengalaman sendiri. Saya telah melancarkan #MisiFitFS pada Januari 2015 yang lalu dan hasilnya mula kelihatan pada Mei 2015. Seterusnya pada Oktober 2015, saya mengisytiharkan sendiri bahawa #MisiFitFS itu telah sukses.

Berikut saya senaraikan beberapa tips ringkas:

1) Hebohkan Misi Anda
Tindakan menghebohkan misi atau azam kurus anda kepada keluarga, rakan-rakan dan di media sosial adalah suatu langkah yang berani dan tepat. Ini kerana banyak mata yang akan menjadi saksi dan mahu melihat hasilnya. Maka, anda akan buat dengan bersungguh-sungguh. Pantang undur sebelum menyerah kalah. Jika gagal anda akan diketawakan, dikecam dan dicemuh. Ada bran? Buatlah!

2) Posing Rhino
Langkah kedua, sila #snapshot pose rhino anda banyak-banyak. Sebab enam bulan akan datang, anda sudah tidak akan dapat melihatnya lagi. Ketika itu anda akan mula merinduinya. Maka, tatapilah gambar-gambar tersebut kerana pada ketika itu anda sudah bertukar  from rhino to sexy unicorn. Hihi.

3) Cipta #Hashtag
Reka dan cipta #hashtag anda sendiri. Saya guna #MisiFitFS. Tujuannya adalah untuk memberi motivasi kepada diri sendiri bahawa misi ini bukan hangat-hangat tahi ayam. Tapi misi ini adalah sehangat lahar gunung berapi!!!

4) Inspirasi Kisah Kejayaan
Haa...dengan membaca kisah kejayaan orang lain, ia akan menaikkan semangat kita untuk meneruskan misi ini. Jika orang lain boleh, mengapa kita tidak? Ada yang obesiti terlampau sehingga 120 kg boleh susut kepada 70 kg. Dari hodoh menjadi tampan, dari debab menjadi seksi. Bacalah, anda pasti akan naik 'berahi'.

5) Ilmu Pengetahuan
Apa benda yang kita nak buat, kita mestilah mempunyai ilmu. Sebelum #MisiFitFS dilancarkan, saya telah membuat carian di Google tentang keperluan kalori, makanan seimbang dan cara senaman. Terlalu mudah untuk mendapatkan ilmu berkaitan pada zaman ini. Saya juga beberapa kali berjumpa dengan dietition untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai kiraan kalori, berapa jumlah kalori harian yang patut saya ambil dan contoh-contoh hidangannya. Atau jika anda tiada masa, saya syorkan anda untuk mendapatkan e-book Formula Kurus yang terlengkap ini. sila klik sini.

6) Diet #Atkins
Saya mulakan bulan pertama dengan mengikuti #dietatkins. Apa itu? Sila Google. Untuk bulan pertama sahaja. Hasilnya, berat saya turun 3 kg pada bulan pertama. Bulan kedua dan ketiga, beransur-ansur kepada makanan seimbang. Rujuk artikel: "Langkah Pertama #MisiFitFS"

7) Makan Seimbang
Pastikan makanan anda seimbang. Ikut piramid makanan yang telah disyorkan. Lebihkan sayur dan buah. Jika lapar, jadikan salad dan buah segar sebagai snek anda ketika menonton televisyen. Pastikan tiada lagi junk food! Berpantanglah selama enam bulan dari menjamah kek dan yang sewaktu dengannya. Rujuk artikel "Suap Sayur dan Kunyah Buah"

8) Minuman Detox
Selama enam bulan saya berpantang teh tarik dan kopi bersusu. Saya hanya minum teh O sahaja. Selain itu, saya banyak minum teh hijau dan air limau atau lemon suam tanpa gula. Kerapkali juga saya beli doublepack Yakult yang less sugar. Teh hijau cap apa? Hentam sahajalah. Saya beli macam-macam. Saya selang-selikan. Ada Slimtea dan Greetea cap Cane, Boh Greentea, Ahmad Tea dan lain-lain. Janji teh hijau.

9) Masak Sendiri
Masak sendiri dan kurangkan makan di luar. Anda bebas mencipta resepi yang sihat. Berkaryalah sepuas-puasnya di dapur anda. Menu yang sihat biasanya ringkas dan murah! Sila bakulsampahkan segala perisa tambahan yang berteraskan MSG. Bebaskan menu hasil dapur anda daripada unsur-unsur tersebut. Sebab bila kita makan di kedai, MSG sudah pasti ada. Kenapa di rumah juga perlu ada? Reputlah badan kita wei. Itu racun bukannya makanan.

10) Produk Pelangsing?
Owh...saya ini marhaen dan cukup anti dengan produk-produk pelangsing yang ada. Walaupun begitu, saya pernah mencuba, memang berhasil dan drastik. Tetapi saya tidak mampu. Dan saya tidak mahu bergantung kepadanya. Sampai bila? Jika stop terus berat badan akan naik mendadak. Turun mendadak, naik pun mendadak. Hentikanlah! Buatlah secara alami atau natural. Rujuk artikel "Produk Pelangsing Saya"

11) Dapur Tanpa Gula dan Susu Pekat Manis
Umum mengetahui bahawa gula adalah silent killer. Bermula Januari 2015, tiada lagi gula pasir dan susu pekat manis di dapur saya. Minum milo kosong atau dicampur susu tepung sahaja. Lebih bagus jika anda beli cecair stevia sebagai pengganti gula.

12) Exercise
Bagaimana kita boleh jadi overweight atau obesiti? Tentulah kerana kita bukan jenis orang yang bersukan. Maka, joging adalah pilihan senaman yang terbaik untuk anda. Lagi bagus apabila anda joging di kawasan riadah yang mendaki. Lakukanlah sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Lebih baik jika hari-hari.

13) Workout di Gym?
Ohh...ia bukanlah punca utama kejayaan #MisiFitFS. Saya hanya menyertai gym pada pertengahan Ogos 2015. Sedangkan sebelum itu, berat saya sudah turun 15 kg. Tanpa ke gym pun anda boleh kurus. Buat home workout. Search di Google. Macam-macam ada. Di atas bukit di sebelah pejabat saya ada outdoor gym. Maka, saya gunakannya sebaik mungkin. Banyak taman riadah sekarang ada outdoor gym. Jika anda mahu menyertai gym itu suatu tindakan yang terbaik.

14) Abaikan Lif, Guna Tangga
Jika setakat mahu naik ke tingkat satu hingga lima, sila gunakan tangga sahaja. Sambil menyelam minum air. Sambil berurusan di pejabat, anda boleh exercise. Jadikan ia rutin. Mula-mula diakui memang mencungap. Tetapi setelah tiga bulan diamalkan, anda pasti boleh berlari dari tingkat satu ke tingkat empat. Anda telah bakar kalori sebelum exercise yang sebenar.

15) Berpuasa Isnin dan Khamis
Amalkan ini secara konsisten. Setiap yang disyorkan oleh agama itu mempunyai hikmah yang banyak. Ia bukan sahaja ibadat sunat yang apabila dilakukan mendapat pahala tetapi ia juga baik untuk kesihatan. Sangat berkesan untuk misi kurus anda.

16) Disiplin
Akhir sekali jika tiada ini, apapun tak jadi. Maka jika perlu ada rotan, adakanlah dan rotan punggung anda sendiri apabila melanggar disiplin dan pantang yang telah ditetapkan. Serius beb! Rujuk artikel "Kekal Kurus Sepanjang Masa"

Semoga tips yang disenaraikan ini sedikit sebanyak mampu membantu misi #azamkurus2016 anda. #kipidap #dongibab. Sila tunjukkan hasilnya pada hujung Jun 2016 nanti. From rhino to sexy unicorn. Semoga berjaya!

Sudah lama obesiti? Anda mengidamkan berat badan yang ideal? Tetapi tidak tahu caranya? Jom ikuti formula saya ini. Semuanya saya kongsikan secara terperinci di sini. Termasuklah pemakanan dan resipi menu sihat serta senaman. Nak tahu lebih lanjut, KLIK SINI.

3 comments:

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.