Monday, January 18, 2016


Beras perang ialah beras yang terhasil setelah padi dikupas atau dibuang kulitnya. Ia juga dikenali sebagai brown rice, cargo rice, loonzain, hulled rice atau unpolished rice. Apabila beras ini dibersihkan (polished) lagi, yakni apabila dibuang saki baki selaput perang (germa) yang terdapat padanya, maka beras itu akan menjadi warna putih (dikenali sebagai endosperm), apa yang kita kenali sebagai beras putih yang biasa kita lihat dijual di pasaran pada hari ini.

Hassan Makan Beras Ayam?

Lazim bagi orang kampung memelihara ayam. Makanannya tidak tentu, kadangkala isi kelapa tua dan nasi basi yang direndam air. Kadangkala arwah abah ada membeli sekampit beras ayam yang bewarna perang, hancur dan berdebu untuk diberi makan kepada ayam ternakannya.

Sewaktu kecil dahulu, ketika darjah satu kalau tak silap, saya sering ikut arwah abah ke sebuah pekan kecil berhampiran dengan kampung. Abah selalu membeli barang keperluan di Kedai Runcit Hassan. Suatu hari saya terasa mahu membuang air kecil dan abah meminta izin untuk menggunakan tandas di belakang kedai Hassan.

Abah terkejut apabila ternampak tauke kedai itu sedang membasuh beras ayam untuk dimasak. Saya pun musykil kenapa Hassan yang berasal dari Pakistan itu sanggup makan beras ayam? Sedangkan kami yang dari keluarga miskin ini tidaklah sampai makan beras ayam.

Setelah meningkat dewasa, barulah saya mengerti beras apakah yang dimakan oleh Hassan itu. Iyalah, waktu itu awal tahun 90-an, beras perang masih terlalu asing bagi penduduk tempatan. Sedangkan bagi Hassan dan keluarganya dari Pakistan, mungkin ia adalah sesuatu yang biasa.

Khasiat Beras Perang

Beras perang merupakan jenis beras yang kurang diproses dan memiliki nutrisi yang tinggi. Dengan menggantikan beras perang daripada beras biasa, ia mampu memberi manfaat kepada kesihatan dari pelbagai segi. Ia menjadi makanan ruji yang amat baik dan sumber karbohidrat yang sihat kerana mengandungi nutrien yang baik seperti vitamin B, fosforus, selenium, potasium dan magnesium. Semak 10 kebaikan yang dimiliki beras perang: 

1) Mengurangkan Risiko Barah Usus;  Beras perang mengandungi kadar selenium yang tinggi, dan juga terdapat fenol yang dijumpai di dalamnya sekali gus mengaitkan fungsi beras perang dalam mengurangkan risiko barah usus. Tahap fenol dalam beras perang ternyata lebih tinggi dalam berbanding beras biasa. Manakala, kandungan serat yang tinggi mendorong kepada usus dan sistem penghadaman yang sihat. 

2) Mencegah Sakit Jantung;  Pengambilan beras perang yang tinggi dalam diet dapat membantu dalam mencegah penyakit kardiovaskular. Ini kerana ia mengandungi kandungan serat yang mencukupi. Terdapat kajian yang mendapati lapisan tisu yang berada di sekeliling beras perang dapat mengurangkan tindakan protein Angiotensin II yang diketahui meningkatkan tekanan darah. 

3) Perlindungan Dari Barah Payudara; Pytonutrient Lignin yang terdapat di dalam beras perang dikatakan membantu untuk menyekat sel kanser pada payudara. 

4) Mengurangkan kolesterol; Salah satu kelebihan yang terdapat pada beras perang yang dapat dilihat jelas adalah mengurangkan tahap kolesterol jahat atau kolesterol LDL di dalam darah. Ini kerana ia bertindak sebagai serat mudah larut sangat baik untuk menyerap lemak ini.


5) Mengekalkan Berat Badan Unggul; Apabila anda mengambil diet yang tinggi serat, sekali gus membuatkan anda kenyang dalam masa lebih lama dan seterusnya mengurangkan pengambilan makanan. Hal ini termasuklah mengekang anda daripada teringin mengambil makanan yang manis 

6) Membantu Penghadaman; Melalui kandungan serat mudah larut yang terdapat dalam beras perang, ia akan menyerap air di dalam usus seterusnya menyebabkan pembuangan najis lebih lembut dan mengelakkan berlakunya sembelit. 

7) Mencegah Batu Karang; Kajian yang dilakukan pihak American Journal of Gastroenterology mendapati serat yang terdapat pada beras perang berperanan mengurangkan risiko batu karang di kalangan kaum wanita. 

8) Mengawal Kadar Gula Dalam Darah; Pengambilan beras perang akan menyebabkan penghadaman karbohidrat lebih perlahan berbanding pengambilan nasi putih biasa. Ini bermakna pengeluaran gula dalam darah akan lebih terkawal ditambah dengan faktor kandungan glicemic index (GI) yang lebih rendah dalam beras perang. Ia mampu membantu menstabilkan paras gula serta mengurangkan risiko perkembangan diabetes. 

9) Makanan Bayi Yang Sempurna; Ia menjadi alternatif yang bagus kepada pemakanan bayi yang sedang membesar berbanding bijirin yang diperbuat daripada beras biasa. 

10) Tulang Yang Sihat; Beras perang menjadi sumber yang baik untuk magnesium yang menjadi kunci kepada tulang yang sihat. Magnesium membantu mengurangkan berlakunya osteoporosis di masa akan datang. Satu cawan beras perang mengandungi 21 peratus keperluan harian magnesium buat anda. INFO LANJUT KLIK SINI

Lebih Digemari Oleh Kaum Cina

Suatu kajian mendapati, kaum Cina lebih kerap makan beras perang (16.3%) berbanding dengan kaum India (15.6%) dan kaum Melayu (6% sahaja). Seperti yang pernah dibincangkan sebelum ini dalam entri "Statistik Obesiti di Malaysia 2011", sememangnya di negara ini, bangsa Cina adalah lebih Health Cautious berbanding bangsa-bangsa yang lain. INFO LANJUT KLIK SINI

Beralih Kepada Beras Perang

Bagi mengekalkan berat badan yang unggul, maka sejak minggu lepas, saya mula menggunakan beras perang. Rasanya tidaklah bermasalah bagi saya. Boleh je makan. Setelah masak, tabur sedikit garam. Danish Fikri pun menggemarinya. Apatah lagi apabila berlaukkan kari ayam kegemarannya. Kesimpulannya, marilah kita beralih kepada makanan yang lebih berkhasiat dan sihat. Jadikanlah beras perang sebagai makanan ruji kita.

Nasi beras perang bersama kari rangka ayam dan kubis rebus

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.