Wednesday, March 30, 2016


Microsoft paksa pengguna Windows 7 atau Windows 8.1 upgrade kepada Windows 10 secara percuma. Biasalah kalau percuma tu mestilah ada udang di sebalik batu. Seperti dijangka, sistem pengoperasian (OS) terkini itu ternyata menimbulkan banyak masalah. Terutama kepada pengguna pejabat yang mempunyai sistem sendiri. Banyak yang tidak compatible. Tujuannya adalah untuk mendapatkan maklum balas daripada kita. Selepas semua masalah fix, mereka akan muncul dengan OS baharu yang dijual. $$$.

Di pejabat saya, memang banyak masalah timbul apabila PC tiba-tiba upgrade sendiri kepada windows 10. Banyak sistem yang tak ngam dengannya. Bikin serabut & fining kapala. Jangan terus format, cuba downgrade dahulu.

Berikut adalah cara downgrade:

1) Di ruang I'am Cortana. Ask me anything taip PC Settings

2) Klik Settings
3) Klik Update & security
4) Klik Recovery
5) Go back to Windows 8.1 or Windows 7. Klik Get Started
6) Tick mana-mana sahaja dan klik Next
7) Klik No, thanks
8) Klik Go back to Window 8.1 atau Windows 7
Tempoh donwgrade mungkin 20-30 minit. Sekian. 
Selepas itu, pastikan anda turn off window update.

Wednesday, March 23, 2016


Sesuatu yang gempak dan mengejutkan apabila Majalah Time menyenaraikan nasi lemak dari Malaysia sebagai antara 10 sarapan yang sihat di peringkat antarabangsa. Tentu sekali ia khabar gembira buat penggemar nasi lemak.

Dalam artikel bertajuk "10 Healthy International Breakfast" nasi lemak di kedudukan nombor sembilan selepas Kasha dari Rusia.
"Breakfast is perhaps the best excuse to dive into supremely delicious Nasi Lemak. Soaked and cooked in coconut milk, rice is garnished with anchovies, cucumbers, roasted peanuts, hard boiled egg and spicy sambal sauce. It’s traditionally wrapped in a banana leaf, but that’s just a renewable place setting. Yes, there’s a bit more fat than is good for you (eat less rice to reduce), but it’s balanced with lots of manganese, protein, and carbs. The chili in the sambal also boosts the metabolism (depending which nutritionist you talk to)."

Rasanya hampir tiada seorangpun rakyat negara ini yang boleh menolak nasi lemak sebagai sarapan pilihannya. Lebih menyelerakan apabila ditambah ayam goreng atau sambal paru atau sambal sotong. Perghhh...nikmatnya tak terkata. Apalagi kalau ditambah rendang kerang mahupun daging. Meleleh ayaq liuq beb!

Stigma nasi lemak makanan tidak sihat sering kedengaran. Mana tidaknya, nasi lemak kosong (sambal, bilis goreng, telur rebus separuh, kacang tanah goreng dan timun) sahaja mempunyai sekurang-kurangnya 650 kcl. Sedangkan pengambilan kalori yang disarankan adalah sekitar 1500 kcl hingga 2000 kcl sehari bergantung kepada penggunaan tenaga masing-masing.

Lantaran itu, dengan bersarapan nasi lemak sahaja, kita telah mengambil separuh daripada keperluan kalori harian. Belum lagi ditambah dengan teh tarik, makan tengahari (nasi campur) dan makan malam? Kebiasaannya, ramai antara kita terlajak. Implikasinya, berat badan berlebihan dan obesiti. Katakan tidak kepada obesiti!

Maka, ramai yang musykil dengan pendedahan majalah antarabangsa itu. Saya juga tidak setuju. Lebih-lebih lagi bagi kita yang bekerja di pejabat yang tidak memerlukan kudrat yang banyak. Pengambilan nasi lemak sebagai sarapan dengan kerap pastinya menimbulkan masalah kepada kesihatan.

Saya pernah menonton sebuah rancangan bual bicara televisyen bersama tokoh akademik tersohor negara Prof Diraja Ungku Aziz. Apabila hos rancangan berkenaan bertanya apakah petua Pak Ungku kekal sihat pada usia emas? Lantas beliau menjawab, "Saya tidak makan nasi lemak dan tidak minum teh tarik. Lebih gemar bawa bekal ke pejabat."

Rentetan itu, saya fikir makan nasi lemak secara kerap boleh mengancam kesihatan. Maka, saya membataskan diri dengan mengambilnya cuma seminggu sekali. Saya pernah menghadapi masalah obesiti dan saya tahu apakah punca-puncanya serta cara mengatasinya. Pada saya, nasi lemak dan teh tarik adalah penyumbang terbesar kepada masalah tersebut.

Baru pagi tadi sarapan nasi lomak daun pisang tajaan Tuan Jimmy. Terima kasih. Nampaknya kena tunggu minggu depan baru boleh jamah semula. Hihi. Koleksi #MisiFitFS Turning Point Untuk Kurus | Kekal Kurus Sepanjang Masa

Bagaimana pula pandangan anda? Adakah bersetuju bahawa nasi lemak merupakan sarapan yang sihat? atau sebaliknya?

A photo posted by Fauzi Sabri (@pojiszone) on

Monday, March 21, 2016


Hamka, atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah lahir pada tanggal 17 Februari 1908 di Kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia adalah seorang penulis dan ulama terkenal Indonesia.

Ayahnya ialah Syekh Abdul Karim bin Amrullah, yang dikenal sebagai Haji Rasul, yang merupakan pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau, sekembalinya dari Makkah pada tahun 1906.

Beliau mendapat nama panggilan "Buya" yang diambil daripada perkataan Arab 'Abi' atau 'Abuya' yang membawa maksud ayah atau seseorang yang amat dihormati.

Hamka merupakan ketua Majelis Ulama Indonesia, salah satu daripada pertubuhan agama Islam yang terbesar di Indonesia selain Nahdatul Ulama dan Muhammadiyah.

Sewaktu zaman penjajahan Belanda, Hamka merupakan ketua editor majalah Indonesia seperti Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.

Hamka hanya mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah Maninjau. Beliau hanya belajar setakat gred 2. Namun, ketika beliau berumur 10 tahun, ayahnya membuka Thawalib atau sekolah fardhu ain di kampung halamannya Padang Panjang. Hamka kemudiannya belajar dan menguasai bahasa Arab. Beliau juga menjadikan Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjopranoto dan Ki Bagus Hadikusumo, cendekiawan Muslim tersohor sebagai mentornya.

Beliau banyak menghabiskan masanya dengan membaca buku falsafah, sastera, sejarah dan politik. Hamka juga menyelidiki karya-karya Arab dan Barat yang diterjemahkan ke bahasa Arab seperti Karl Marx dan Arnold Toynbee.

Hamka aktif berdakwah sejak beliau berumur 17 tahun. Beliau menubuhkan Persatuan Hindia Timur di Makkah dan mengajar cara mengerjakan haji yang betul kepada jemaah haji Indonesia. Hamka merupakan pengasas Kolej al-Muballighin untuk melatih pendakwah dan menerbitkan majalah dakwah seperti Pembela Islam, Merdeka, Menara, Pemandangan, Gema Islam, Pedoman Masyarakat dan Qathib al-Ummah.

Selain hanya menjadi guru agama di Tebing Tinggi dan Padang Panjang, beliau juga menjadi pensyarah di Universiti Islam Jakarta dan Universiti Muhammadiyah, Reaktor Perguruan Tinggi Jakarta dan Pengawai Tinggi Agama Indonesia.

Nama Hamka mula dikenali sebagai sasterawan apabila menulis beberapa buah novel yang diminati ramai hingga sekarang antaranya Tenggelamnya Kapal Van der Wijck (1937), Di Bawah Lindungan Kaabah (1936), Merantau ke Deli (1940), Tuan Direktur (1939) dan beberapa buah lagi. 

Sebagai ulama pula Buya Hamka menulis berpuluh buah buku agama antaranya Tasawuf Moden (1939). Falsafah Hidup (1939) Lembaga Hidup (1940) Lembaga Budi (1940) Tafsir al Azhar 1-30 juzuk dan banyak lagi. 

Selain itu Buya Hamka juga pernah memegang jawatan Pegawai Agama di Kementerian Agama, kemudian terlibat dengan gerakan Muhammadiyah dan Masyumi serta menjadi ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI). 

Buya Hamka juga sering diundang berceramah di radio dan TV Indonesia. Sebagai ulama Minangkabau, Buya Hamka digelar “Tuanku Syaikh”, berarti ulama besar. 

Sebagai pejuang kemerdekaan, Buya Hamka mendapat gelaran “Pangeran Wiroguno” dari Pemerintah Indonesia. 

Sebagai ilmuan Islam, Buya Hamka mendapat gelaran “Ustadzyyah Fakhryyah” (Doctor Honoris Causa) dari Universitas Al-Azhar, Mesir, pada 1959. 

Buya Hamka juga dianugerahkan Prof Doktor Hamka dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1974. 

Buya Hamka pernah ditahan selama dua tahun empat bulan disebabkan perbezaan fahaman politik dengan Presiden Suekarno. 

Buya Hamka pernah menjadi ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) tetapi kemudiannya meletak jawatan kerana dipaksa menarik semula fatwa MUI yang menfatwakan haram hukumnya umat Islam merayakan hari natal.

Sepanjang hidup beliau, Hamka merupakan seorang yang petah berpidato, berjiwa seni melalui pantun dan syair dalam karyanya serta seorang yang berani dalam memberi semangat untuk umat Islam menentang pihak Belanda di Indonesia.

Beliau meninggal dunia pada 24 Julai 1981 pada usia 73 tahun, dan disemadikan di Tanah Perkuburan Tanah Kusir, Jakarta.




"Semasa Sukarno menjadi Presiden Indonesia, Hamka dihadapkan dengan pelbagai tuduhan kemudian beliau ditangkap, dikurung dalam tahanan dan buku-bukunya dirampas malah dibakar...setelah Sukarno tidak berkuasa lagi beliau sempat memohon maaf malah sebelum meninggal dunia minta Hamka menjadi imam sembahyangkan jenazahnya...Telusuri sejarah hidup seorang ulama, pemimpin dan sasterawan agung nusantara ini." -Abdul Latip Talib KLIK SINI



ATAU

LEBIH JIMAT DENGAN SET KOMBO

Jimat RM27.00
Jimat RM34.00
Jimat RM14.00
Jimat RM7.00
Sejarah Umat Islam - Edisi 2016 adalah buku yang komprehensif dalam menceritakan kisah sejarah Islam. Buku ini tidak hanya terhad menceritakan tentang sejarah Nabi Muahmmad s.a.w., bahkan meliputi serata dunia, dari zaman kegemilangannya hingga zaman keruntuhannya. "Telah banyak cubaan menimpa Islam. Kerapkali dia jatuh! Tetapi dia bangun kembali, dan tegak lagi, dan berjalan lagi! Islam tidak akan mati." -Hamka (1080 mukasurat: RM31.50) KLIK SINI


Friday, March 18, 2016


Sebagai menyokong bakat dan kreativiti tempatan serta desakan anak yang menonton iklan filem animasi ini di kaca televisyen, maka pada 12 Mac 2016 yang lalu saya berkesempatan menontonnya di TGV Aeon S2. Memang penuh dewan panggung. Hampir 90 peratus kerusi dipenuhi sehingga barisan yang paling hadapan pun ada orang. Saya teruja dan mengharapkan ceritanya benar-benar menarik bagai digembar-gemburkan.

Filem yang berdurasi 1 jam 40 minit ini mengisahkan sekumpulan makhluk asing bergelar geng Tengkotak menceroboh bumi dan menculik Ochobot. Mereka mahu menggunakan robot kecil yang comel rakan Boboiboy itu untuk mencari Sfera Kuasa yang tersembunyi di dunia ini. 

Lantaran itu, Boboiboy bersama rakan-rakannya yang lain, Yaya, Ying, Gopal dan Fang melancarkan misi untuk mencari dan menyelamatkan Ochobot yang sekali gus membongkar rahsia di sebalik Sfera Kuasa itu.

Dengan bantuan Papa Zola, banyaklah ragam, halangan dan cabaran yang terpaksa mereka tempuhi dalam misi menyelamatkan Ochobot. Aksi-aksi pertempuran antara mereka dengan geng Tengkotak kelihatan begitu sengit sekali.

Unsur jenaka banyak dimainkan oleh Gopal dan Papa Zola yang gila selfie ternyata mampu menyegarkan mata saya yang hampir terlelap. Hihi. Ya...saya sebenarnya sempat terlena beberapa ketika. (Shhh...jangan bagitau orang lain). Mujur keletah Danish Fikri yang hiper sehingga berkali-kali berdiri dan menggayakan aksi-aksi yang ditonton di layar membuatkan saya segar semula. Terpaksa saya cool down kan dia sebab takut menganggu penonton yang duduk di belakang.

Filem animasi 2D terbitan Animonsta Studios dan diedarkan oleh Primeworks Studios ini memang sesuai ditonton oleh kanak-kanak. Mereka akan berimaginasi dan menghayatinya dengan sepenuh jiwa. Mereka akan menyelami watak dan menganggap dirinya adalah Boboiboy. Biasalah tu, kita waktu kecil begitulah juga. Tengok Superman perasan diri Superman. Tengok Gaban, beranganlah kita adalah Gaban. Haha.

Geng Pengembaraan Bermula vs Boboiboy The Movie

Pada pandangan saya, Boboiboy The Movie ini kurang sedikit berbanding Geng Pengembaraan Bermula yang lebih banyak unsur suspen dan jalan cerita yang lebih menarik. Walaupun filem animasi pertama negara yang ditayangkan pada tahun 2009 hanya berjaya mengutip sebanyak RM6.32 juta tetapi ia tidak jemu untuk ditonton berulang kali.

Perlu diketahui bahawa kedua-dua filem animasi tempatan ini diarahkan oleh orang yang sama iaitu Mohd Nizam Abdul Razak. Beliau sememangnya seorang anak muda yang kreatif dan berbakat besar. Sebelum mempopularkan siri Boboiboy, beliau juga adalah antara orang yang terlibat dan bertanggungjawab mempopularkan siri Upin & Ipin ketika berkhidmat sebagai pengarah eksekutif di Les Copaque Production.

Menurut page Facebook Boboiboy The Movie sehingga artikel ini ditulis ia telah mencapai box office dengan mengutip RM10 juta dan bakal menemui penonton di Singapura serta Indonesia. Justeru itu, penerbit filem ini mensasarkan kutipan sebanyak RM25 juta.

Semakan terkini di laman web GSC Cinema, Boboiboy The Movie berada di kedudukan tangga ketiga selepas Kung Fu Panda 3 dan London Has Fallen. Ia adalah suatu pencapaian yang sangat memberangsangkan bagi filem animasi terbitan tempatan.

Nilai-nilai persahabatan dan kerjasama yang erat antara pasukan serta kesungguhan dalam perjuangan adalah antara tauladan yang ditonjolkan dalam cerita ini.

Justeru itu, kepada anda yang mempunyai anak-anak kecil memang berbaloi ke pawagam untuk menonton filem animasi hasil usaha keras anak-anak Malaysia ini. Sokonglah hasil seni dan karya kreatif tempatan. Saya bagi 4/5 bintang, tapi Danish Fikri bagi 5/5 bintang.


BACA JUGA:

Wednesday, March 16, 2016


Kepulauan Mentawai adalah satu daerah yang terletak di dalam wilayah Sumatera Barat Indonesia. Ia terdiri dari empat buah pulau utama iaitu Pulau Siburet, Pulau Sipora, Pulau Pagai Utara dan Pulau Pagai Selatan. Siburet adalah yang terbesar iaitu berkeluasan 4,030 km persegi yang terletak nun 150 km dari Dermaga Padang, Sumatera iaitu di Lautan Hindi. Jika menaiki feri ke pulau tersebut, perjalanan akan mengambil masa selama 12 jam. Sebahagian besar pulau ini masih diliputi oleh hutan hujan khatulistiwa yang tebal.

Tsunami

Pada tahun 2004 dan 2010, kepulauan ini terjejas teruk akibat tsunami. Gempa bumi berukuran 7.7 skala richter bermagnitud di dasar Lautan Hindi pada Oktober 2010 telah menghasilkan tsunami setinggi 4 meter dan mengorbankan lebih 500 penduduk dan 8000 lagi telah kehilangan tempat tinggal.

Program Pembangunan Mualaf

Suku Mentawai dikenali sebagai penduduk asal kepulauan ini. Majoritinya adalah beragama Kristian, Pagan (tiada pegangan agama) dan minoritinya Muslim. Justeru itu, Global Peace Mission Malaysia dengan kerjasama Yayasan Muslim Peduli Mentawai akan mengadakan Program Pembangunan Mualaf Mentawai, Sumatera Barat, Indonesia pada 8 April hingga 12 April 2016 nanti. Lokasi yang akan dikunjungi adalah kampung Siguluk-guluk dan kampung Tiop, Pulau Siberut, Kepulauan Mentawai.

Objektif

1) Membuka peluang penduduk mendapat pendidikan asas pengajian Al-Quran.
2) Membantu mualaf memperkukuhkan akidah.
3) Menyediakan pusat pengajian atau pusat komuniti untuk mualaf melakukan aktiviti-aktiviti        keagamaan dan kemasyarakatan.
4) Memberi kesedaran kebersihan iatu sebahagian daripada agama Islam.
5) Menyampaikan bantuan keperluan pendidikan asas pengajian Al-Quran kepada mualaf.
6) Menyampaikan bantuan pembinaan surau atau masjid.
7) Melaksanakan amalan khatan terhadap mualaf kampung Tiop.

Target Kumpulan

Mualaf di kampung Siguluk-guluk dan kampung Tiop berusia antara 5 tahun hingga 50 tahun.

Agenda/Aktiviti

1) Perasmian Masjid Annur di kampung Singuluk-guluk.
2) Peletakan batu pertama pembangunan Tadika Annur di kampung Singuluk-guluk.
3) Majlis Khitan Massal Muallaf di daerah Tiop.
4) Santunan untuk daie, mualaf dan anak yatim.

Anggaran Peruntukan Bajet (RM22,000)

Majlis Khitan Massal Mualaf (RM2,000)
Pembangunan Masjid Darusslam, Kampung Tiop (RM5,000)
Pembanguan Tadika Annur, kampung Singuluk-guluk (RM3,000)
Santunan untuk mualaf (Kit Mualaf Lelaki & Perempuan) (RM10,000)
Santunan untuk Daie dan anak yatim (RM1,820)
Bagasi membawa Solar Panel GE 25 kg akan dipasang di Masjid Annur (RM180)




Sebarang tajaan atau sumbangan boleh berhubung dengan:
Dr Aida Firdaus Azmi 
013-3274060
atau
Puan Aina Khairiyah Sharakal 
(Pegawai Dana & Tajaan Global Peace Mission)
017-7477005

*Juga sesiapa yang berminat menyertai misi sukarelawan ini boleh berhubung dengan saya di fauzi@fauzisabri.com

Tuesday, March 8, 2016


Gunung Angsi berdiri kukuh dan megah di Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Gunung yang popular di kalangan penggemar aktiviti pendakian lasak ini merupakan tarikan utama bagi Hutan Rekreasi Ulu Bendul. Secara geografinya, gunung ini terletak lebih kurang 20 kilometer dari bandar Seremban dan menghala ke Kuala Pilah.

Bagi pendaki tegar, Gunung Angsi adalah sesuai bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan hobi #hiking atau mendaki kerana ia tidaklah begitu sukar berbanding gunung-gunung lain yang terdapat di negara ini.

Menurut laman web Wikipedia, Gunung Angsi menduduki tangga ke-78 senarai gunung-gunung tertinggi di Malaysia iaitu dengan ketinggian 825 meter dari paras laut atau 2702 kaki. Dari puncak Gunung Angsi, pendaki boleh melihat gunung-gunung berhampiran seperti Gunung Telapa BurukGunung Berembun, Gunung Datuk dan Gunung Tampin. 

Ada dua trek pendakian gunung ini yang boleh dipilih iaitu laluan dari Bukit Putus dan Ulu Bendul. Bagi mereka yang pernah mendaki melalui kedua-dua laluan ini, Trek Ulu Bendul dikatakan lebih #adventure. Maka, bagi #beginner, laluan Bukit Putus adalah pilihan yang lebih santai.

Ekspedisi Angsi

Pada 5 Mac 2016 yang lepas, saya bersama tujuh orang rakan telah berjaya menawan puncak gunung ini. Diketuai oleh Tok Ulong, Nizam dan pengikutnya adalah TKH, TMJ, Hafizan, Suhairi, Rozi dan MK Fazali. Pertemuan diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada pukul 7.30 pagi (#brekkie chapati cicah sardin dan kari kambing dulu) sebelum kongsi kereta dan tiba di kaki Gunung Angsi pada pukul 8 pagi. Kami menggunakan trek Bukit Putus. Ini merupakan puncak gunung kedua yang telah saya tawan selepas Gunung Lambak di Kluang pada tahun 2015.


Bayaran RM5 dikenakan kepada setiap pendaki. Sebelum mendaki, kami membuat sedikit regangan dan membaca doa selamat. Pendakian bermula pada pukul 8.15 pagi dan mengambil masa dua jam setengah untuk sampai di puncak.

Walaupun Gunung Angsi ini lebih tinggi berbanding Gunung Lambak (510 meter), tetapi apa yang saya rasa, pendakian Gunung Lambak lebih mencabar kerana treknya sangat curam dan berliku.

Sampai sahaja di puncak, punyalah ramai orang. Ada beberapa kumpulan lain sudah sampai. Kemudian segerombolan grup pelajar sekolah Alam Shah Putrajaya tiba. Pelbagai bangsa dan peringkat usia dapat dilihat. Ada kanak-kanak seawal usia enam tahun dan pakcik yang berusia emas lewat 70-an pun berjaya sampai di puncak.

Setelah berehat lebih kurang setengah jam di atas, kami pun mula menuruni gunung pada pukul 11.30 pagi dan sampai di kaki gunung pada pukul 1.18 petang. Sebelum balik, singgah makan tengah hari di Ulu Bendul.

Wefie bersama pelajar Sekolah Alam Shah


ADA 50 LAGI GAMBAR KLIK SINI

Tuesday, March 1, 2016


MELAKA 25 Feb. – Keupayaan dan keberkesanan institusi kehakiman Mahkamah Syariah perlu ditingkatkan termasuk dari segi akta serta peringkat mahkamah dalam usaha membolehkan masyarakat Islam mendapat keadilan sewajarnya. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, akta yang diguna pakai oleh institusi kehakiman ini juga wajar diperkemaskan bagi memastikan ia dapat memberi pengadilan yang lebih berkesan terhadap kes syariah yang dikendalikan di negara ini. 

“Kita ingin melihat peningkat­an terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali sebagai Akta 355 supaya ia menjadi lebih tersusun dan bertepatan dengan kehendak hukum Syariah itu sendiri. 

“Diharap agar usaha bersungguh-sungguh semua pihak sama ada Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, agensi negeri serta Persekutuan terma­suk sokongan Pejabat Peguam Negara untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Me­laka yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob di Ayer Keroh di sini hari ini. 

Majlis turut dihadiri isteri Mohd. Khalil, Toh Puan Zurina Kassim; Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Hakim Syarie, Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut. 

Menurut Jamil Khir, beliau ju­ga mahu perkara sama diberi pe­ne­kanan terhadap keupayaan ti­ga peringkat Mahkamah Syariah ia­itu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah agar dapat beroperasi dengan lebih efisien. 

Katanya, perkara itu perlu diam­bil berat melihat kepada kes di mah­kamah ini berkurangan dan kes yang dibawa cepat diselesaikan dengan sebaik mungkin supaya kita dapat memberi keadilan terbaik kepada individu atau pihak berkaitan. 

“Ini bagi memastikan Mahkamah Syariah terus berkembang dan sentiasa dihormati bukan sahaja di negara ini malah di persada dunia,” tambahnya. 

Kompleks Mahkamah Syariah Melaka yang terletak berhampiran Pusat Dagangan Antarabangsa Me­­laka, Ayer Keroh di sini mula ber­­­o­pe­rasi sejak 1 Februari 2013. 

Kompleks ini dibina di atas kawasan seluas 20.23 meter persegi dengan kos keseluruhan bernilai RM34.25 juta. 

Sejarah Bangunan Mahkamah Syariah Negeri Melaka

Mahkamah Syariah merupakan institusi penting dalam pentadbiran di Malaysia. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka, Masjid Raya (masjid utama Kesultanan Melayu Melaka) berfungsi sebagai Mahkamah. Kadi memainkan peranan sebagai hakim yang mendengar, membicara dan memutuskan kes. Apabila pihak-pihak ingin mengemukakan rayuan, mereka akan merayu kepada Sultan dan perbicaraan di hadapan Sulatan akan berlangsung di Balairung Seri Istana.

Ketika instisui kehakiman Islam diletakkan di bawah pentadbiran British, Mahkamah-mahkmah Kadi dibina oleh British di bangunan pejabat-pejabat kerajaan. Bangunan Mahkamah Kadi dapat dikenal pasti pada zaman pemerintahan British ialah di Tengkera. Bangunan ini kekal sehingga tahun 1961. Masjid Tengkera yang berhampiran dengan bangunan Mahkamah Kadi tersebut dijadikan tempat untuk pihak-pihak dan saksi-saksi mengangkat sumpah.

Pada tahun 1961, Mahkamah Kadi berpindah ke sebuah bangunan Inggeris di atas bukit Saint Paul (sekarang dijadikan Muzium Sastera) sehingga tahun 1965. Kemudiannya pada tahun 1965, bangunan Kadi berpindah  ke sebuah bangunan Belanda di kaki Bukit Saint Paul iaitu bangunan merah (sekarang dijadikan Muzium Kesenian Islam). Pada tahun 1988, Mahkamah Kadi berpindah ke bangunan Seri Negeri yang terletak di Jalan Hang Tuah (sekarang adalah bangunan UTEM).

Pada tahun 1990, apabila Mahkamah Kadi telah diberi nama Mahkamah Syariah dan dipisahkan dari pentadbiran Majlis Agama Islam, Mahkamah Syariah berpindah ke sebuah bangunan di Jalan Kee Ann, Kampung Pantai, Melaka (sekarang dijadikan bangunan Prima Hotel).

Kemudian, pada tahun 2002, Mahkamah Syariah telah berpindah ke Blok D, Kompleks Mahkamah Negeri Melaka yang terletak di Lebuh Ayer Keroh bersama dengan Mahkamah Sivil. Pada 15 Jun 2010, mantan Ketua Menteri Melaka, YB Senator Tan Sri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam telah melancarkan Majlis Pecah Tanah Bangunan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Melaka dan projek pembinaan dimulakan pada awal bulan Julai 2010.

Tanggal 1 Februari 2013, sejarah Mahkamah Syariah Melaka diabadikan apabila sebuah bangunan lima tingkat yang tersergam indah terbina di atas tanah seluas dua ekar di Jalan Lama Ayer Keroh. Bangunan yang bercirikan seni bina masjid negeri Melaka dibina dengan kos RM 34.3 juta.

Menghadiri Majlis...


Saya dihubungi oleh pihak pentadbiran untuk mencukupkan korum bagi menghadiri majlis tersebut. Setelah ucapan perasmian, kami menjamu makan tengah hari. Melaka dan asam pedas berpisah tiada. Saya bedal enam ketul ikan pari masak asam pedas yang sangat sedap. Lauk banyak berlebih. Haha.

Selesai makan, kami melawat dewan-dewan bicara, perpustakaan dan galeri. Antara yang dipamerkan di galeri yang terletak di aras paling bawah itu ialah Manuskrip Hukum Kanun Melaka yang asli yang dipinjamkan dari Perpustakaan Negara.



LAGI GAMBAR MAJLIS PERASMIAN KMSNM KLIK SINI