Utopia merujuk kepada sebuah masyarakat yang hipotesis sempurna. Ia merangkumi sistem pemerintahan, negara atau keadaan tertentu yang terlalu sempurna; iaitu sesuatu yang sulit lagi mustahil untuk dilaksanakan atau diwujudkan.
Istilah ini dikesan wujud sejak 1516 lagi apabila Thomas More memperkenalkannya bagi menggambarkan wajah masyarakat idealnya. Kemudian ia digunakan oleh Rabelais sesudah 1534 sebagai nama sebuah pulau yang ideal. Istilah ini juga sering meniti di bibir dan tulisan para filosofi, pemikir sosial, dan juga novelis bagi menunjuk pada struktur sosial yang ideal atau sempurna tetapi tahu bahawa ia tidak dapat direalisasikan.
Petikan Prakata
Hari ini kita terpukul oleh dua bala nyata dan bahaya. Pertama, wujud dan menyebarnya jenis pikiran keutopiaan yang angkuh tidak membumi. Kedua berseleraknya minda kelambakan yang menjahanamkan segala kepiawaian dan asas pikiran yang munasabah. Terkadang ia bisa wujud sendiri, tetapi paling terparah bila kedua-duanya bergandingan sama, sehingga bolehlah kita menyebutnya utopia masyarakat lambak, sesuai dengan judul buku ini. Inilah gejala paling mudarat yang sedang kita hadapi.
Kedua jenis atau sindrom ini
bukanlah perkara baru. Dalam semua peradaban dan masyarakat, akan
menemukan dua gejala-bala ini. Apabila kedua-duanya bertapak dan
menyelinap di setiap sudut kehidupan kita, ia adalah malapetaka besar.
Keutopiaan yang dimaksudkan itu ialah kecenderungan terbuai dan terkhayal dengan impian sendiri/sekelompok yang tidak membumi, malah tersasar dari dasar manusiawi. Yang diimpi-idamkan adalah sesuatu yang kononnya luhur, sempurna, dan kalau semua mendakapnya akan selamat dan sejahtera. Namun seringkali yang mahu ditujui itu adalah sesuatu gagasan yang bisa saja melanggar nilai-nilai universal dan etika kemanusiaan sejagat.
Saranan
mereka seringkali ditandai cuai dan kalut. Mereka ini menjadi obsesif untuk
menuju kepada pancasona ideal yang mereka pujai, dalam perkiraan atau atas
sebab tuntutan sesuatu ideologi dan kepercayaan dan diyakini benar.
Langsung mereka menjadi taksub, dan setiap segala yang tidak bersetuju
dengan idealisme mereka itu, tentulah menjadi kalangan yang dianggap tiada
hidayah dan tersesat siasah.
Mereka mahu merubah dan menukar dunia nyata dan yang sedia ada ini, dengan menganjurkan kepada model yang seakan negeri entah-berantah yang ngeri untuk diimaginasi, yang seringkali juga mereka tidak memahami sebab musabab dan cara perjalananya sesuatu negara dan masyarakat di zaman ini. Kesamaran dan ketidakberesan pikiran mereka sama menebalnya dengan kerasukan mereka menuju utopia ini, baik dalam bentuk sebuah bentuk negara, institusi perundangan dan pentadbiran, pendidikan dan keilmuan, sehinggalah kepada sistem perekonomian dan jenis mata wang yang harus dipakai.
Yang penting dunia dosaan ini, dengan segala model yang sedia terpakai,
harus diganti. Tentu saja sistem yang berlangsungsan hari ini tidaklah
sempurna dan seterbaik berjalan. Tetapi saranan yang dianjur dan diidealakn
golonga upotis ini sudah cukup ditandai dengan kecelaruan dan kekalutan.
Seolah-olah mereka mahu mulakan sesuatu yang segalanya baru atas nama
mematuhi perintah yang telah diamanahkan kepada mereka.
Anehnya mereka
yang mahu memcipta yang baru ini, bertolak dari andaian sejarah yang
romantis dan distortif. Model kuno yang telah berlalu, dan tidaklah wujud
sebagaimana yang mereka bayangkan, mahu dijadikan model tetap dan abadi
kepada semua, walaupun mereka mendabik dada tiada paksaan dalam hidup
yang beradab.
Namun dari galak mereka berbicara, terbit pula sikap dan bahasa memaksa kerana mereka tegas beryakin menjadi pemilik kebenaran yang mutlak. Lantas dengan angkuh mengklaim gagasan mereka itu sesuai sepanjang zaman dan tempat. Realitas di depan mereka, yang sangat menggigit dan terhempit, tidak bernafsu mereka merungkai dan memperbaiki, melainkan galak mengusung keutopiaan mereka sebagai satu-satunya jalan keluar, sedangkan kita semua ini yang tidak bersama mereka, adalah golongan daif yang terkeluar dari jalan yang mereka yakini. Lain perkataan, tujuan mereka yang tidak membumi ini dijadikan model sakral yang abadi.
Bala yang kedua adalah wujudnya manusia lambak dalam masyarakat, yakni
di kalangan kita, dan boleh jadi juga telah menyelinap dalam diri kita sendiri.
Manusia lambak ini boleh dicirikan sebagai manusia angkuh dengan segala
ketololan mereka dalam mendiktat citarasa dan pemikiran mereka yang
dangkal dan rapuh. Dengan tiada selera intelektual yang tinggi, dengan rasa
tingkat moral, yang tidak berpeduli, dan dengan ketidaksabaran memaksakan
idea mereka kepada yang lainnya, jenisan manusia ini akan membuka gerbang
kepunahan sesuatu peradaban.
Lebih nyata kepunahan ini bila kita saksikan yang terlazim berlaku di
sekeliling kita. Gerombolan minda seperti ini berlagak sok tahu, berjubah
sebagai pendeta dan peneroka, tetapi bacaan dan kupasan mereka tidak
sampai selambaran dua. Takrifan dan tafsiran mereka lopong tapi sering
disembunyikan dalam lafaz agung yang memukau dan melampau. Mereka
berlagak menjadi ahli itu dan ini, tetapi perancangan dan etos kerja sangat
bersifat membuta tuli. Sembrono dan asal-boleh itulah yang sebenarnya
mereka anuti dan amali.
Kalau dalam bidang ilmu, mereka cepat menghafal ringkas risalah (pamflet) daripada menekuni kitab dan hikmah muktabar. Korpus ilmu mereka kian terkepil dan terpencil kerana mereka geruni idea dari luar yang akan menyesatkan mereka. Kepelbagaian idea bererti bagi mereka mengundang neraka. Dalam ketukangan kerja mereka cari jalan pintas dan lekas, sehingga mutu kerja menjadi memburuk dan teruk.
Dalam berfikir mereka mahu segara menyampaikan pendapat dan minta diikhtirafkan secepatnya daripada bertekun mengulit membahas pendapat yang dibawa. Mereka ini yang tidak ada citarasa yang besar, ataupun cita sempurna yang luhur, akhirnya menyeret kita semua ke dalam lembah fikiran yang gelap dan lembab.
Bayangkan pula sindrom ini kalau ia berdamping di dalam benak para
pemimpin dan bijak pandai kita.
Perlu diingatkan manusia lambak bukan dimaksudkan sebagai rakyat jelata atau orang banyak. Ia adalah konsep untuk menjelaskan jenis manusia dan pikiran, nilai dan psikologinya yang merapuh dan menceroboh, yang bisa saja hadir dalam benak pikiran sama ada di kalangan elit atau orang biasa.
Kepunahan intelektual dan kerapuhan etika
mereka hanya akan membuka lebuh utama kepada kerosakan dan kedaifan
berfikir dan berikhtiar dalam masyarakat. Lain perkataan, mereka ini yang
standard pikirannya bersifat kontang, mengangkatnya tanpa segan silu
sebagai kemuncak berbintang.
Nah bayangkan pula sekarang apabila terjadi kesepaduan jenis fikiran yang
keutopiaan dan yang kelambakan. Itulah bala yang berganda. Tidak dapat
tidak ia akan melahirkan cita bencana, sebagaimana yang telah diujarkan oleh
Syed Hussein Alatas. Segi-segi fikiran keutopiaan dan sindrom kelambakan ini
telah dibicarakan masing masing oleh sosiolog tersohor Karl Mannheim, dan
ahli filsafat asal Sepanyol, Jose y Ortega Gasset. Perspektif kritis mereka
banyak menjadi rujukan dalam bab-bab yang terdapat dalam buku ini, dengan
harapan ia bisa mencetus hujahan yang lebih mendalam di masa menjelang.
Keprihatinan kita terhadap dua gejala ini sekaligus harus menjadi kewajiban
intelektual dan budaya. Kita sebagai anggota masyarakat, khasnya yang
mendapat pendidikan tinggi, ataupun yang tercerah dari pengalaman dan
renungan, harus bersedia berdepan dengan dua gejala ini. Kehadiran mereka
yang semakin galak mengundang kita untuk merespons secara rasional dalam
bentuk sanggahan intelektual dan pewacaan sosial dengan
mempermasalahkan dua perkara ini, sambil menawarkan jalan keluar yang
utuh dan rasional.
Mereka yang terdidik dan teramanah dengan kesadaran
kritis harus berani berdepan dengan gejala ini. Penangguhan kepada amanah
ini adalah kecelaruan, malah suatu pengkhianatan intelektual. Pengecualian
terhadapnya juga tidak boleh kita justifikasikan, melainkan kelak nanti kita
bersekongkolan dengan cara berfikir yang meranapkan ini.
Buku indie terbitan Thukul Cetak ini merupakan karya seorang akademis dari Singapura iaitu Dr Azhar Ibrahim. Beliau merupakan Felo Pelawat di Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapore (NUS).
Buku ini wajar dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat yang minat membaca dan cintakan ilmu pengetahuan. Lebih wajib adalah bagi para pendidik. Penulis menyeru supaya guru mencapai taraf intelektual publik dalam aritkel bertajuk Guru: Intelektual Transformatif (Dari Pujangga Ke Intelektual Publik)
Manakala dalam Menangani Gejala Keelitisan Dan Perlambakan Dalam Masyarakat, beliau menyenarakan beberapa ciri masyarakat lambak. Antaranya, enggan untuk akur dan memberi penghormatan kepada sesuatu otoriti, tidak akan bertoleran kepada mereka yang mahu menjadi berbeda dari yang biasa-biasa dan menanggapi dirinya serba sempurna dan selengkap serta sepenuh intelektualitasnya.
Beliau turut menukil tulisan Hamka mengenai kesan negatif akibat feudalisme di dalam bab Tradisi Berfikir Untuk Transformasi Masyarakat.
Beliau turut menukil tulisan Hamka mengenai kesan negatif akibat feudalisme di dalam bab Tradisi Berfikir Untuk Transformasi Masyarakat.
Didikan feudal di negeri kita sangatlah menekan jiwa. Kepada seorang raja harus menyusun sepuluh jari, menyembah. Beliau harus dibesarkan; "ke bawah duli," ertinya tidak boleh berhadapan dengan beliau, hanya berhadapan dengan duli, iaitu debu yang ada di bawah sepatunya; "ke bawah kaus baginda" alangkah hinanya. Di Acheh, kaum feudal harus dibahasakan "ampun"! kita tidak bersalah meminta ampun juga! Diri kita juga harus dibahasakan "patik" dalam istana raja-raja Melayu. Sedangkan patik ertinya anak anjing!...
Buku ini bernada akademik. Sarat dengan petikan-petikan dari para cendekiawan dunia dan nusantara. Di bawahnya tertera banyak nota kaki rujukan. Lantaran itu, penulisnya awal-awal lagi memohon maaf dan menjelaskan dia memang berniat untuk memperkenalkan konsep-konsep kritis supaya kelak nanti ia mengalir dan melazim dalam wacana sosial di sfera awam.
Walau bagaimanapun, buku cetakan pertama di tangan saya ini terdapat banyak typo. Harap pada cetakan akan datang kesalahan tersebut dapat dibetulkan.
Walau bagaimanapun, buku cetakan pertama di tangan saya ini terdapat banyak typo. Harap pada cetakan akan datang kesalahan tersebut dapat dibetulkan.
0 comments:
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.