Saturday, October 31, 2015


Pulau Perhentian mula didiami pada penghujung abad ke 18. Tempat yang mula-mula dibuka dan didiami ialah Teluk Dalam, di sekitar sebatang alur air payau yang cetek yang dikenali sebagai Alur Cina. Orang yang paling awal mendudukinya ialah Batin Mina dan keluarganya. Beliaulah orang yang bertanggungjawab menjadikan Pulau Perhentian sebagai satu petempatan.


Asal Penduduk Pulau Perhentian

Orang yang pertama menduduki Pulau Perhentian dipercayai berasal dari Kepulauan Riau, iaitu jajahan takluk Johor-Riau pada masa itu. Batin Mina dan keluarganya datang ke Pulau Perhentian dengan menumpang kapal-kapal dagang China yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara. Beliau telah melarikan diri dari buruan Belanda kerana telah bertindak menentang penjajahan dengan cara merompak dan mengugut kapal-kapal dagang barat. Keturunan beliaulah yang terus mendiami Pulau Perhentian serta beberapa keluarga yang berasal dari Tanah Besar Semenanjung.

Bagaimana Pulau Perhentian Mendapat Nama

Pulau ini pada awalnya tidak mempunyai nama yang khusus. Ianya dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal dagang yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara seperti Singapura, Jawa dan beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu. Di pulau ini juga dijadikan tempat persinggahan kapal-kapal garam dari Singgora (Selatan Thai), untuk menghantar garam ke Kuala Terengganu. 

Oleh kerana pulau ini sering dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal yang dalam pelayaran, ianya telah dinamakan sebagai Pulau Perhentian. Iaitu pulau tempat kapal-kapal singgah atau berhenti seketika sebelum meneruskan pelayaran. Sehingga sekarang pulau ini masih lagi dijadikan tempat berlindung bagi kapal-kapal dari angin kencang dan ombak besar.

Trip 3 Hari 2 Malam

Pada 10-12 Oktober 2015 yang lalu, saya, Ezu Kama dan Ismi Maisarah berpeluang menyertai kembara #backpacker yang diketuai oleh Nizam. Kami menaiki bas dari Terminal 1, Seremban pada pukul 8 malam sehari sebelum itu dan sampai di Jertih kira-kira pukul 5.30 pagi.

Kami dijemput oleh Abang Wan Din untuk dibawa ke pejabat agensi pelancongan miliknya di Kuala Besut. Sekitar jam 8 pagi kami bertolak ke Pulau Perhentian dengan menaiki bot laju. Perjalanan mengambil masa kira-kira 45 minit.

Hari Pertama (10 Oktober 2015)

#HariSukanNegara. Setibanya di Chalet Caver Cove, Teluk Dalam, Pulau Perhentian Besar, kami diterangkan mengenai pakej yang diambil. Sekitar jam 10 pagi kami dibawa pergi snorkeling sehingga tengah hari. Terjunan pertama di Blue Lagoon. 

Erk...sesi snorkeling kami disertai dengan tiga gadis dari Poland. Nizam matanya terus jadi juling! Haha.

Blue Lagoon airnya jernih kebiruan seperti kaca. Kelihatan banyak ikan-ikan kecil pelbagai warna dan rupa. Ikan-ikan di sini 'terlajak mesra' sehingga menggigit manja anggota tubuh kami yang tertedah. Juga terdapat hard dan soft coral yang cantik.

Sempat ambil gambar menggunakan handphone Asus Nizam. Dibalut dengan cover khas untuk masuk dalam air. Nak beli GoPro tak mampu lagi.

Sesudah setengah jam di Blue Lagoon, kami dibawa ke Turtle Point. Di sini kami bertuah kerana dapat melihat seekor Penyu Agar sedang berenang dan mencari makanan di dasar laut yang kedalamannya sekitar 4 meter sahaja. Sesekali penyu itu naik ke permukaan air untuk bernafas.

Penyu sedang berenang naik ke permukaan.

Kemudian kami dibawa ke Fish Garden. Jika di Blue Lagoon terdapat ikan-ikan kecil, tetapi di sini kami dapat melihat pelbagai saiz dan jenis ikan. Ini termasuklah, Nyok-nyok, Nemo, Tenggiri Papan, Kerapu dan sebagainya yang kami pun tidak tahu namanya. Sementara itu, batu karang di sini lebih besar dan variasi bentuk serta warnanya. Sangat mengujakan.


Setelah puas berenang dan memerhatikan ikan dan coral yang cantik di sini, kami bergerak ke lokasi terakhir iaitu Shark Point. Agak malang sedikit kerana bukan musim atau terlalu ramai pengunjung ketika itu. Tetapi saya sempat  melihat kelibat seekor jerung sebesar saiz paha saya berenang di dasar. Tetapi yang menariknya di sini ialah, batu karangnya lebih besar dan menarik. Kami dapat melihat ikan Nemo sedang menari-nari di sebalik softcoral. Sangat cantik.

Sekitar pukul 1.30 tengah hari, kami dibawa pulang ke chalet untuk makan, solat dan berehat. 

Agak lama juga kami terlena kerana kepenatan snorkeling pada sebelah pagi. Aktiviti petang kami bermula pukul 5 dengan berkayak di sekitar pantai Teluk Dalam.


Kami berkayak sehingga lenguh dan pulang sekitar jam 6.45 petang. 

Hari Kedua (11 Oktober 2015)

Sekitar jam 10 pagi, kami dibawa oleh Awie (pengemudi bot) ke Perhentian Kecil. Destinasi pertama adalah di Kampung Nelayan. Kami bersiar-siar di sekitar kampung ini.

Jeti Kampung Nelayan, Pulau Perhentian Kecil.



Balai Polis Kampung Nelayan.

 Pemandangan dari Jeti Kampung Nelayan.

Pemandangan dari Masjid Kampung Nelayan.

Sejurus itu, kami dibawa ke destinasi berikutnya iaitu Long Beach. Menurut Awie, di sinilah kawasan yang paling happening di pulau ini. Mujur kami pergi sewaktu seminggu sebelum pulau ditutup kerana Monsun Timur Laut akan tiba membawa musim tengkujuh. Kalau sekitar bulan Mac hingga Ogos, pantai ini dipenuhi dengan para pelancong dari luar negara dengan pelbagai aktiviti yang digemari oleh mereka. (tak perlu cerita terperinci).

 Pasir pantainya putih dan halus. Air lautnya pula jernih kebiruan. Sememangnya memukau pandangan kami.



Setelah puas ronda-ronda di Long Beach ini, Awie mengemudi botnya membawa kami ke destinasi paling menarik iaitu -saya bagi nama sendiri- Teluk Bukit Kincir Angin. Terdapat dua buah kincir angin yang besar di atas puncak bukit. 

Menurut penduduk kampung, kincir angin ini adalah projek gajah putih sewaktu era pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh. Invoasi kononnya hendak menjana tenaga elektrik menggunakan kuasa angin. Malangnya setelah siap, semuanya tidak berfungsi. Kos membinanya jangan tanya saya. Bahkan jeti dan tangga yang dibina untuk memanjat puncak bukit tersebut juga sudah runtuh. Diperbuat dari besi biasa. Habis berkarat.







Tetapi pemandangan di sini memang awesome! kami hanya mampu memanjat sehingga stage ke-2 sahaja. Tetapi lensa-lensa kamera #capayam kami dapat merakam gambar-gambar ini.

Sebelum pulang ke chalet, kami sempat mandi-manda di sini. Kejernihan airnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ini mengakibatkan kami tidak mahu lagi mandi di Port Dickson. Perbezaannya umpama Marikh dengan Pluto. Hehe.

Tetapi ada insiden yang agak mengerikan juga sebelum berangkat pulang. Awie sudah berkali-kali memberi isyarat supaya naik bot segera. Kami degil minta tangguh kerana berasa belum puas berenang di sini. Sehinggalah ketika hendak menaiki bot, tiba-tiba ombak besar membadai. Bot kecil si Awie melambung dan hampir terbalik.

Ketika itu, saya baru sahaja hendak melangkah kaki ke atas bot, sedangkan Ismi Maisarah dan Ezu Kama sudah berada di atas bot. Awie menjerit mengarahkan mereka turun segera. Mujur ada seorang lagi pengemudi bot lain berada di situ. Juga dibantu oleh seorang pelancong dari Perancis menahan bot supaya tidak terbalik.

Ombak semakin menggila, saya juga dihentam dengan kuat dan terjatuh. Mujur beg yang berisi segala gajet kami sempat saya junjung. Selamat daripada basah terkena air.

Lama juga menunggu. Bot telah dimasuki air dengan banyak. Awie mengarahkan kami kembali ke daratan. Sementara mereka bertiga bertungkus lumus membuang air dari perut bot itu. Tatkala ini kami dirundung penyesalan kerana ingkar arahan.

Kemudian enjin bot pula sukar untuk dihidupkan, mungkin sebab sudah dimasuki air. Bertambahlah kami monyok menanti di pinggir batuan. Hahaha. Hah...rasakanlah. 

Hampir sejam kami menunggu mereka membetulkan bot tersebut. Sesudah enjin boleh dihidupkan, mereka membawa bot ke tengah lautan, mungkin untuk menguji enjin dan membuang saki baki air yang ada di perut bot.

Syukur alhamdulillah, sekitar jam 3.30 petang kami selamat pulang ke chalet.

Petang hari kedua ini, kami cadang untuk berkayak lagi. tetapi kepenantan menyelubungi diri masing-masing. Maka, petang itu kami cuma bersiar-siar di sekitar Teluk Dalam. Nizam singgah di semua chalet yang ada untuk bertanya kadar dan mengumpul pemplet.

Malam pula kami menikmati BBQ sambil menyaksikan final Akademi Fantasia. (saya tidak pernah menonton sebab di rumah pakai NJOI-tiada RIA) Layan.

Hari Ketiga (12 Oktober 2015)

Sebelum sarapan, kami menikmati sunrise. Masing-masing membawa diri dengan bersantai sendirian di atas buaian atau kerusi yang ada. Saya sempat menyelak beberapa bab Budak Beca karya Pak Sako. Kemudian usai sarapan, Nizam dan saya meneruskan aktiviti menjengah ke deretan chalet di sebelah barat pula.

Sekitar pukul 12 tengah hari kami berangkat pulang ke Kuala Besut.

Sebelum pulang, sempat wefie bersama Awie dan Zubair pemilik Carver Cove.

Penghargaan kepada mereka kerana memberikan hospitaliti pada harga yang amat berbaloi kepada kami dan memberikan pakej-pakej tambahan secara percuma. Juga, terima kasih kepada Nizam kerana mengatur dan menguruskan trip backpacker yang awesome ini. Jom kita berjumpa di backpacker seterusnya. Segalanya menepati #SaveBjetFS. 

Sesiapa yang hendak mendapatkan pakej menarik di Pulau Perhentian, bolehlah menghubungi:
Encik Wan Din - 019-9341852


Selepas selesai backpacker 3D2N di Pulau Perhentian, Saya, Nizam, Ezu Kama dan Ismi Maisarah meneruskan perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan. Pada malam hari kami dibawa bersiar-siar oleh En Afi di Wakaf Che Yeh. Manakala keesokan paginya, dia mencadangkan kami untuk bersarapan di Kopitiam Kita. Sebuah warung yang  terletak berhampiran dengan Hanis Villa Hotel tempat kami menginap. Jalan kaki dalam lingkungan 500 meter sahaja.

Warung yang terletak di Taman Desa Jaya, Jalan Tok Guru (dahulunya dikenali sebagai Jalan Pengkalan Chepa) terkenal dengan Roti Titab.


Dikhabarkan Roti Titab ini berasal daripada Singapura. Roti bakar yang diletakkan telur separuh masah dan kuah kaya di atasnya. Enak dimakan panas-panas dengan diperisakan sedikit lada putih atau kicap. Ia dijual dengan harga RM5.


Selain itu, warung ini juga terkenal kerana segala jenis menu sarapan pagi di setiap jajahan negeri Cik Siti Wan Kembang ada terdapat di sini. Antaranya ialah, Nasi Berlauk, Nasi Air Dingin, Nasi Tumpang, Nasi Tumpang, Nasi Kerabu, Nasi Gulai Ayam Tumpat dan Nasi Berlauk Ikan Tumpat yang diletakkan berbungkus. Harganya sekitar RM2.50 sehingga Rm5.



Warung ini memang sentiasa dipenuhi dengan pelanggan yang setia mahu pun pelancong dari luar. Sehingga kami terpaksa menunggu meja kosong untuk duduk. Menariknya, dindingnya dipenuhi dangan hiasan potret para selebriti dan pemimpin negara yang pernah bersarapan di sini.


Pemiliknya adalah Mr. N.H Wong yang asalnya merupakan seorang kontraktor. Tetapi bermula pada tahun 2006, beliau telah mencuba nasib membuka warung ini sehingga ia menjadi mashyur apabila sering dipaparkan di kaca televisyen dan akhbar. malah ia menjadi  ikonik tempat sarapan pagi di Kota Bharu.

Maka, adalah tidak sah jika anda ke Kota Bharu tetapi tidak singgah bagi menikmati Roti Titab dan menu sarapan tradisi Kelantan di sini.




Friday, October 30, 2015


Ramai yang suka mengeluh. Pagi mengeluh. Tengahari mengeluh. Malam mengeluh. Mimpi pun mengeluh pendapatan yang sedikit dan hutang yang tak habis-habis... Tapi tiada tindakan untuk mengubah nasib sendiri. Kalau ada pun sekadar melepas batuk di tangga. Buat ni tak jadi. Buat tu tak jadi. Mula menyalahkan orang lain. Mula menyalahkan produk.

Sekarang ada satu peluang. Simkad yang ada dalam handphone anda minta ditukar. Sebab simkad baru ni nak bantu anda. RM49 sahaja untuk simkad dan modal bisnes yang boleh mengubah 360 darjah hidup anda! Sertai kami sekarang dan bergerak bersama-sama untuk meraih kejayaan. 

Kami sediakan web replika bagi tujuan promosi secara PERCUMA untuk membantu anda. Setiap prospek yang mendaftar di weblink anda adalah bakal rakan niaga anda secara automatik. Network anda akan cepat berkembang walaupun anda hanya bekerja dari rumah. 

Anda hanya perlu mempromosikan weblink anda. Kami telah berkongsi peluang dengan anda! Andalah yang mesti buat keputusan.


Thursday, October 29, 2015


Import barang China secara online. Sekarang lebih mudah, tidak perlu ke Negara China untuk borong. Dengan duduk depan komputer sahaja kita boleh borong barang China secara online dan selamat sampai di depan pintu rumah anda.

Rahsia Taobao Bisnes Borong Dari China
Perlu diingatkan, dalam apa jua bisnes yang kita mahu lakukan adalah lebih baik kita faham dengan lebih jelas sebelum memulakannya. Kalau cara sayalah, saya akan rujuk dengan orang-orang yang berpengalaman.

Biarlah bukan dengan orang yang tak terkenal sekalipun asalkan orang yang saya rujuk tu tahu bagaimana menjalankan bisnes borong dari china dan buat duit senyap-senyap. Bukankah itu lebih sempoi dan santai.

Secara kasar, nak memborong barang-barang fizikal dari China kadangkala nampak mudah. Tapi bukan semudah yang disangkakan.

Jom ketahui lebih lanjut tips dan cara lengkap memborang barang dari China melalui online. 


Ebook Rahsia Dominasi Instagram sebenarnya telah diadaptasi oleh penulis melalui beberapa rahsia orang yang telah berjaya  di Amerika Syarikat. Semua orang tahu guna Instagram tetapi ramai yang tak tahu cara untuk menjana duit. Jika anda beli ebook ini maka segala rahsia tersebut akan terbongkar jua.

Ketahui bagaimana Saudara Herman Hawa menjana 4 angka pendapatan dalam sebulan dengan hanya 'bermain dengan IG'!!!

Papapoji percaya bahawa anda yang membaca preview e-book ini tak sabar lagi untuk berjaya. Terlambat bertindak gigit jarilah jawabnya. Jadi jangan biarkan keadaan ini menghantui hidup anda.

JOM Ketahui RAHSIANYA 




Saya masih ingat, ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-100 pekan kecil ini pada tahun 1997 (Hampir dua dekad yang lalu – saya di tingkatan 3), Tan Sri Mohamed Rahmat (Allahyarham-Menteri Penerangan ketika itu) semasa ucapan perasmiannya, sempat bertanya; “Tempat ini namanya Bagan Datok atau Bagan Datoh?” Dijawab oleh Datuk Ahmad Zahid Hamidi (gelaran ketika itu) yang duduk di belakangnya; “Dua-dua pun boleh.”
Kemudian beliau menambah, “Oh yeke, Okaylah. Jangan Bagan Jatoh sudahlah!”
Disambut hilai tawa oleh para hadirin yang memenuhi padang bertentangan dengan pejabat estet itu.
Ya..begitulah uniknya pekan kecil ini. Mempunyai dua nama yang kedua-duanya digunakan secara rasmi. Di papan tanda jalan tertera Bagan Datoh, manakala di Parlimen dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tertera P075 Bagan Datok.
Dahulu, namanya megah tercatat di buku-buku teks geografi sebagai antara kawasan komoditi koko dan kelapa terbesar negara. Tetapi itu dahulu, koko telah lama ditebang dan digantikan dengan kelapa sawit.
Sudah pasti kini nama pekan ini semakin meniti di bibir rakyat Malaysia apabila ahli parlimennya YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diangkat sebagai timbalan perdana menteri.
Saya mengakui, bukan mudah untuk membangunkan sebuah pekan koboi yang terletak di penghujung jalan. Di bawah P075 Bagan Datok ini terdapat dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N53 Rungkup dan N54 Hutan Melintang.
Sepanjang tempoh dua dekad ini, dapat diperhatikan bahawa pembangunan pesat berlaku di kawasan Simpang Empat yang terletak di bawah DUN Hutan Melintang. Ini kerana, ia mempunyai akses laluan dari Kuala Selangor-Sabak Bernam dan Teluk Intan-Lumut-Bidor.
Sedangkan pekan Bagan Datoh pula terletak 20 km lebih ke dalam di pinggiran muara Sungai Perak. Tentulah sesuatu yang sukar untuk membangunkan kawasan seumpama ini.
Walaupun begitu, saya dapat menyaksikan beberapa pembangunan telah berjaya diadakan, iaitu seperti Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh, Pejabat Jabatan Laut Malaysia, Kompleks Niaga Mara, Kompleks Penerangan Pelancongan, Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara dan Klinik Kesihatan yang baharu dan sebagainya.
Seterusnya apabila DUN Rungkup ini diterajui oleh YB Datuk Shahrul Zaman Yahya, yang juga merupakan EXCO Sumber Manusia, Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Perak, pekan kecil ini diharap akan mengalami pembangunan yang sewajarnya.
Saya mengikuti setiap kemaskini beliau di FB ini. Seorang yang masih muda itu semestinya aktif. Mempunyai banyak idea yang inovatif <dapat dilihat dengan sofa pejabatnya yang diperbuat daripada bahan terpakai; tong drum>, berjaya engaged dengan pelbagai lapisan masyarakat pelbagai usia dan sentiasa kelihatan turun ke lapangan.
Semoga YB Datuk, dikurniakan kesihatan yang baik bagi meneruskan misi pembangunan sebuah kawasan ‘hujung alam’ tempat lahirnya saya di muka bumi ini 33 tahun yang lepas. Sekali gus membuktikan kepada para pengundi DUN Rungkup, bahawa pilihan mereka adalah tepat!

Wednesday, October 28, 2015


Beberapa minggu yang lepas, saya telah menjalani prosedur aengiogram untuk kali yang kedua. Tujuannya adalah untuk menilai keberkesanan prosedur embolizer yang telah dilaksanakan dahulu.
Aengiogram pasca-embolizer kali ini berbeza 'rasanya' berbanding yang kali pertama.
Sakitnya lebih terasa. Seperti kulit pangkal paha sebelah kanan kemaluan saya disiat-siat menggunakan pisau blade. Spontan, kaki dan tangan kejang menahan sakit.
Doktor lelaki muda itu segera respon; "Sakitke? Maaf ye. Tahan sikit."
Ya..rasanya mungkin 10 kali lebih sakit daripada suntikan bius semasa berkhatan sewaktu kecil dahulukala.
Saya maklum. Kali ini yang melakukannya adalah doktor junior. Berbanding prosedur yang sama pra-embolizer dahulu oleh doktor yang lebih senior.
Ketika itu rasanya hanya seperti cucuk jarum biasa.
Minda negatif saya mula mengarahkan mulut untuk berkata; "Boleh minta Dr. Yuzarif yang buat tak?" <doktor yang melakukan prosedur tersebut kali pertama dahulu>
Mujur minda positif saya cepat bertindak dan membisikkan; "Calm down Fauzi. Sakit sikit je. Jika kamu tak beri peluang kepada doktor junior ini untuk 'beraksi', sampai bilakah dia boleh jadi hebat seperti Dr. Yuzarif tu?"
Saya insaf dan dengan rela menjadi bahan eksperimen doktor junior tersebut yang di sisinya ada seorang doktor wanita yang lebih senior.
Ayat 'seram' yang kedengaran; "Eh...salah tu. Cuba bawah sikit." Pastinya menambahkan lagi cuak di dada.
Lantas saya tarik nafas dalam-dalam dan memohon doa kepada Tuhan supaya sakit itu dapat diminimakan.
Ajaibnya...saya terus berasa mengantuk dan terlena seketika.
Sehinggalah saya berasa suam-suam di pipi dan di kepala. Seperti seterika berada hampir di sebelah muka kanan saya.
Maklumlah saya bahawa tiub yang dimasukkan dari pangkal paha itu telah sampai di kawasan serebium otak dan cecair contrast itu telah dipancarkan.
Beberapa minit kemudian, prosedur tamat.
Terima kasih kepada Dale Carnegie dan Prof Dr. Muhaya kerana mengajar saya teknik berkesan untuk berperang dengan minda negatif.
"Positive people also have negative thoughts. They just don't let those thoughts control them."
‪#‎CeriteraFS‬ klik sini untuk perkongsian saya yang lain.

Monday, October 26, 2015


Membaca 12 bab terawal novel setebal 897 muka surat ini pada mulanya begitu membosankan. Berputar sekitar kisah Kamal yang dilema dalam memilih antara dua wanita yang menaruh harapan.
Letticia gadis Iban yang mula menunjukkan minat terhadap Islam dan Ezan yang berasal ibu kota daripada keluarga elit. Mereka bertiga ditemukan lantaran kerjaya sebagai wartawan akhbar di Kuching.
...
Sehinggalah apabila Ezan yang dipilihnya sebagai isteri mendaki kerjaya daripada wartawan cetak biasa kepada personaliti TV yang popular.

Menuju ke bab-bab berikutnya, rasa bosan mula lenyap. Saya mula menyelak helai demi helai dengan penuh keterujaan.

Ketika itu retak mula merekah. Gosip skandal dengan seorang VVIP semakin panas dan tidak terkawal. Seringkali menghiasi ruangan hiburan akhbar. Kehidupan rumahtangga yang dikurniakan sepasang cahaya mata lalu goyah dan berkecai.

Tragik sungguh apabila ia berkesudahan dengan khuluk RM1juta! Suatu tindakan yang tidak dijangka dan membuatkan Kamal berasa sangat terhina.

Rentetan diaibkan sebegitu, Kamal bertindak 'gila' melarikan Norma dan Izhar ke belantara. Mereka tinggal lebih setahun bersama suku Penan nomadik di Ulu Baram, pedalaman Sarawak.

Nah...di belantara itulah Kamal berusaha mengubah cara hidup primitif Penan dengan mempelbagaikan sumber makanan mereka daripada berburu kepada bercucuk tanam dan ternakan.

Lebih murni dari itu, Kamal berjaya membawa sinar hidayah. Bermula daripada Asai dan seterusnya seluruh keluarga rumah panjang Penan yang didiaminya itu mengucap syahadah.

Sehinggalah Kamal yang menggunakan nama samaran Taman Usun terpaksa memohon tenaga pengajar daripada majlis agama.

Selang beberapa ketika, permohonan itu diluluskan dan Ustazah Siti Aishah yang berniqab ditugaskan untuk membantu.

Ezan pula mula diselubungi sesalan. Bukan sahaja kerana janji manis palsu Tan Sri Johari. Tetapi, wajahnya semakin hilang seri akibat kemurungan kronik. Risau dan bimbang tentang nasib anak-anaknya yang tiada khabar berita, lantas dia nekad menjejaki mereka sehingga ke Miri.

Pelbagai ikhtiar yang diusahakan bagi menghidu jejak Kamal dan anak-anaknya yang menurut sanubarinya masih hidup.

Ezan menyamar dan berniqab -menyertai kursus pendakwah Perkis- Sehingga akhirnya membawanya ke belantara yang menemukannya kembali dengan wajah-wajah insan yang dirindui.

Manis sekali kesudahan novel ini. Sebuah novel cinta yang luar biasa. Sesudah khuluk... Kembara luka merawat jiwa, muncul bahagia di rimba raya.

Saya memberi lima bintang kepada karya sulung Khaidir Ahmad yang juga merupakan wartawan TV3.

Maka, tidak hairanlah apabila novel yang cetakan pertamanya pada tahun 2012 ini memenangi tempat ketiga Hadiah Sako bagi novel nasional.

‪#‎ResensiFS‬
‪#‎kakinovel‬

Damai diterpa bayu
Nyaman tanpa jerebu
Asyik ombak berderu
Hilang sebak dahulu.



Mahathir Mohamad sewaktu usia mudanya dikenali sebagai seorang yang anti-establishment.
Sering melontarkan pandangan yang kontra dengan arus perdana. Dibenci oleh golongan tua. Dianggap sebagai tidak beradab dan kurang ajar.
...
Beliau menentang banyak dasar dan polisi yang dibawa oleh bapa kemerdekaan; Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

Dilabel sebagai seorang yang mempunyai pandangan ekstrem dan ultra melayu kerana begitu menonjol dalam mempertahankan hak-hak melayu.

Implikasi dari kritikan berterusan itu, pada usia 44 tahun (1969) beliau menjadi persona non grata apabila dipecat daripada partinya.

Tetapi dunia menjadi saksi, siapakah beliau 12 tahun kemudian. Beliau berjaya berada di kemuncak kerjaya politiknya apabila dilantik sebagai perdana menteri ke empat menggantikan Tun Husien Onn.
Tiada siapa yang boleh menyangkal kecemerlangan beliau dalam mengemudi dan mencorak negara ini selama 22 tahun sehingga Malaysia terkenal di persada dunia.

Beliaulah, yang dahulu di sebalik nama samaran C.H.E Det yang menentang, <penyebar surat layang> akhirnya terbukti di dalam lipatan sejarah menjadi seorang negarawan ulung yang terbilang di peringkat global.

Justeru itu, siapakah pemuda hari ini yang sebegitu? Mungkin... sosok seperti Khairy Jamaluddin dan Rafizi Ramli itu adalah aset penting untuk negara pada masa hadapan. Siapa tahu?

Darah segar anak muda. Jiwa muda, jiwa menentang...

Biarlah layang-layang itu terus terbang. Usah dibiarkan terselit di bawah serambi. Berhabuk dan koyak. Reput dan tidak bernilai.

Terbangkanlah ia dengan bebas mengikut arah angin. Di sanalah banyak ilmu dan pengalaman yang akan menjadi remedi berharga buat bekal masa hadapan mereka.

Tetapi awas... pengemudi peganglah tali layang-layang itu dengan erat dan cekap. Jangan sampai putus atau ia terjunam lalu tersangkut di pohon kelapa! Itulah peranan yang tua.

‪#‎CeriteraFS

Sunyi terkunci
Di dalam peti besi
Di dalam bilik kebal...
Kunci bilik kebal hilang


Adakah siapa yang tahu...
Kombinasi nombor peti besi?
dan menjumpai kunci bilik kebal?
Mudah-mudahan...
Bertuahlah.

‪#‎CeriteraFS‬


Hujung tahun 2014 lalu, saya telah disahkan menghidap Carotid Cavernous Sinus Fistula (CCF).
Saya hanya mengetahuinya apabila telinga kanan seringkali berdesing-desing dengan kuat dan disusuli dengan mata kanan menjadi merah dan membengkak. Sesekali, double vision.

Sebelum itu, saya telah lama menderita masalah keradangan usus. Kadangkala, ketika membuang air besar disertai dengan darah.

Makan main bedal, tidak bersenam secara konsisten dan overweight.

Maka, dengan kudrat yang masih berbaki beserta inspirasi daripada keluarga, kawan-kawan, para doktor yang merawat dan Dale Carnegie, saya tekad untuk melakukan koreksi dengan segera.
Seinci pun saya tidak menyalahkan takdir.

Sebaliknya, sayalah yang bersalah kerana gagal untuk membuat imbangan yang sewajarnya.

Ya...seperti rohani, jasmani juga ada haknya.

Walaupun jasmani itu sifatnya hina, berasal daripada tanah dan akan kembali ke tanah jua, tetapi ia tetap merupakan amanah daripada Sang Pencipta yang perlu disantuni dengan baik.

Alhamdulillah, sehingga saat ini, misi untuk melakukan koreksi ke atas kecuaian lalu sudah mula menampakkan hasil. Saya kini disahkan bebas dari tekanan darah tinggi.

Keradangan usus juga semakin beransur pulih apabila saya kurang makan di luar dan masak sendiri di rumah dengan menitikberatkan menu yang sihat. -megi cukup rasa dan ajinomoto telah saya bakulsampahkan-

Juga, saya berjaya mendapatkan semula berat badan unggul yang telah lama hilang.

Tiga siang dua malam
Meneroka khazanah alam
Warisan moyang silam
...
Di Perhentian ini...
Pancaindera ku menggugah,

Takjub melihat...
Bentangan lautan nan membiru
Sebahagiannya menghijau
Jernih airnya bak kaca

Sayu mendengar...
Deruan ombak memukul pantai
Unggas terbang berkicauan
Melodi bayu bak tiupan seruling

Termangu merasa...
Menyentuh pasir yang halus
Menyelam dalam airnya nyaman
Berenang bersama penyu pemalu

Teruja memerhati...
Jerung yang sasa berkeliaran
Batu karang pelbagai wajah
Rumpai laut yang variasi warna

Sungguh retina ini...
Terpegun merenung semua ini
Terhad lagam kata untuk bersurah
Lebih indah rupa dari khabar

Ya... aku memuji alam!
Memuji alam bererti,
Aku memuja Sang Pencipta
 Yang Maha Inovatif lagi Maha Kreatif.

#‎PuisiFS‬
‪#‎CeriteraFS‬
‪#‎IlhamSubuh121015‬
‪#‎CarverCoveChalet‬