Saturday, October 31, 2015


Pulau Perhentian mula didiami pada penghujung abad ke 18. Tempat yang mula-mula dibuka dan didiami ialah Teluk Dalam, di sekitar sebatang alur air payau yang cetek yang dikenali sebagai Alur Cina. Orang yang paling awal mendudukinya ialah Batin Mina dan keluarganya. Beliaulah orang yang bertanggungjawab menjadikan Pulau Perhentian sebagai satu petempatan.


Asal Penduduk Pulau Perhentian

Orang yang pertama menduduki Pulau Perhentian dipercayai berasal dari Kepulauan Riau, iaitu jajahan takluk Johor-Riau pada masa itu. Batin Mina dan keluarganya datang ke Pulau Perhentian dengan menumpang kapal-kapal dagang China yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara. Beliau telah melarikan diri dari buruan Belanda kerana telah bertindak menentang penjajahan dengan cara merompak dan mengugut kapal-kapal dagang barat. Keturunan beliaulah yang terus mendiami Pulau Perhentian serta beberapa keluarga yang berasal dari Tanah Besar Semenanjung.

Bagaimana Pulau Perhentian Mendapat Nama

Pulau ini pada awalnya tidak mempunyai nama yang khusus. Ianya dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal dagang yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara seperti Singapura, Jawa dan beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu. Di pulau ini juga dijadikan tempat persinggahan kapal-kapal garam dari Singgora (Selatan Thai), untuk menghantar garam ke Kuala Terengganu. 

Oleh kerana pulau ini sering dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal yang dalam pelayaran, ianya telah dinamakan sebagai Pulau Perhentian. Iaitu pulau tempat kapal-kapal singgah atau berhenti seketika sebelum meneruskan pelayaran. Sehingga sekarang pulau ini masih lagi dijadikan tempat berlindung bagi kapal-kapal dari angin kencang dan ombak besar.

Trip 3 Hari 2 Malam

Pada 10-12 Oktober 2015 yang lalu, saya, Ezu Kama dan Ismi Maisarah berpeluang menyertai kembara #backpacker yang diketuai oleh Nizam. Kami menaiki bas dari Terminal 1, Seremban pada pukul 8 malam sehari sebelum itu dan sampai di Jertih kira-kira pukul 5.30 pagi.

Kami dijemput oleh Abang Wan Din untuk dibawa ke pejabat agensi pelancongan miliknya di Kuala Besut. Sekitar jam 8 pagi kami bertolak ke Pulau Perhentian dengan menaiki bot laju. Perjalanan mengambil masa kira-kira 45 minit.

Hari Pertama (10 Oktober 2015)

#HariSukanNegara. Setibanya di Chalet Caver Cove, Teluk Dalam, Pulau Perhentian Besar, kami diterangkan mengenai pakej yang diambil. Sekitar jam 10 pagi kami dibawa pergi snorkeling sehingga tengah hari. Terjunan pertama di Blue Lagoon. 

Erk...sesi snorkeling kami disertai dengan tiga gadis dari Poland. Nizam matanya terus jadi juling! Haha.

Blue Lagoon airnya jernih kebiruan seperti kaca. Kelihatan banyak ikan-ikan kecil pelbagai warna dan rupa. Ikan-ikan di sini 'terlajak mesra' sehingga menggigit manja anggota tubuh kami yang tertedah. Juga terdapat hard dan soft coral yang cantik.

Sempat ambil gambar menggunakan handphone Asus Nizam. Dibalut dengan cover khas untuk masuk dalam air. Nak beli GoPro tak mampu lagi.

Sesudah setengah jam di Blue Lagoon, kami dibawa ke Turtle Point. Di sini kami bertuah kerana dapat melihat seekor Penyu Agar sedang berenang dan mencari makanan di dasar laut yang kedalamannya sekitar 4 meter sahaja. Sesekali penyu itu naik ke permukaan air untuk bernafas.

Penyu sedang berenang naik ke permukaan.

Kemudian kami dibawa ke Fish Garden. Jika di Blue Lagoon terdapat ikan-ikan kecil, tetapi di sini kami dapat melihat pelbagai saiz dan jenis ikan. Ini termasuklah, Nyok-nyok, Nemo, Tenggiri Papan, Kerapu dan sebagainya yang kami pun tidak tahu namanya. Sementara itu, batu karang di sini lebih besar dan variasi bentuk serta warnanya. Sangat mengujakan.


Setelah puas berenang dan memerhatikan ikan dan coral yang cantik di sini, kami bergerak ke lokasi terakhir iaitu Shark Point. Agak malang sedikit kerana bukan musim atau terlalu ramai pengunjung ketika itu. Tetapi saya sempat  melihat kelibat seekor jerung sebesar saiz paha saya berenang di dasar. Tetapi yang menariknya di sini ialah, batu karangnya lebih besar dan menarik. Kami dapat melihat ikan Nemo sedang menari-nari di sebalik softcoral. Sangat cantik.

Sekitar pukul 1.30 tengah hari, kami dibawa pulang ke chalet untuk makan, solat dan berehat. 

Agak lama juga kami terlena kerana kepenatan snorkeling pada sebelah pagi. Aktiviti petang kami bermula pukul 5 dengan berkayak di sekitar pantai Teluk Dalam.


Kami berkayak sehingga lenguh dan pulang sekitar jam 6.45 petang. 

Hari Kedua (11 Oktober 2015)

Sekitar jam 10 pagi, kami dibawa oleh Awie (pengemudi bot) ke Perhentian Kecil. Destinasi pertama adalah di Kampung Nelayan. Kami bersiar-siar di sekitar kampung ini.

Jeti Kampung Nelayan, Pulau Perhentian Kecil.



Balai Polis Kampung Nelayan.

 Pemandangan dari Jeti Kampung Nelayan.

Pemandangan dari Masjid Kampung Nelayan.

Sejurus itu, kami dibawa ke destinasi berikutnya iaitu Long Beach. Menurut Awie, di sinilah kawasan yang paling happening di pulau ini. Mujur kami pergi sewaktu seminggu sebelum pulau ditutup kerana Monsun Timur Laut akan tiba membawa musim tengkujuh. Kalau sekitar bulan Mac hingga Ogos, pantai ini dipenuhi dengan para pelancong dari luar negara dengan pelbagai aktiviti yang digemari oleh mereka. (tak perlu cerita terperinci).

 Pasir pantainya putih dan halus. Air lautnya pula jernih kebiruan. Sememangnya memukau pandangan kami.



Setelah puas ronda-ronda di Long Beach ini, Awie mengemudi botnya membawa kami ke destinasi paling menarik iaitu -saya bagi nama sendiri- Teluk Bukit Kincir Angin. Terdapat dua buah kincir angin yang besar di atas puncak bukit. 

Menurut penduduk kampung, kincir angin ini adalah projek gajah putih sewaktu era pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh. Invoasi kononnya hendak menjana tenaga elektrik menggunakan kuasa angin. Malangnya setelah siap, semuanya tidak berfungsi. Kos membinanya jangan tanya saya. Bahkan jeti dan tangga yang dibina untuk memanjat puncak bukit tersebut juga sudah runtuh. Diperbuat dari besi biasa. Habis berkarat.







Tetapi pemandangan di sini memang awesome! kami hanya mampu memanjat sehingga stage ke-2 sahaja. Tetapi lensa-lensa kamera #capayam kami dapat merakam gambar-gambar ini.

Sebelum pulang ke chalet, kami sempat mandi-manda di sini. Kejernihan airnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ini mengakibatkan kami tidak mahu lagi mandi di Port Dickson. Perbezaannya umpama Marikh dengan Pluto. Hehe.

Tetapi ada insiden yang agak mengerikan juga sebelum berangkat pulang. Awie sudah berkali-kali memberi isyarat supaya naik bot segera. Kami degil minta tangguh kerana berasa belum puas berenang di sini. Sehinggalah ketika hendak menaiki bot, tiba-tiba ombak besar membadai. Bot kecil si Awie melambung dan hampir terbalik.

Ketika itu, saya baru sahaja hendak melangkah kaki ke atas bot, sedangkan Ismi Maisarah dan Ezu Kama sudah berada di atas bot. Awie menjerit mengarahkan mereka turun segera. Mujur ada seorang lagi pengemudi bot lain berada di situ. Juga dibantu oleh seorang pelancong dari Perancis menahan bot supaya tidak terbalik.

Ombak semakin menggila, saya juga dihentam dengan kuat dan terjatuh. Mujur beg yang berisi segala gajet kami sempat saya junjung. Selamat daripada basah terkena air.

Lama juga menunggu. Bot telah dimasuki air dengan banyak. Awie mengarahkan kami kembali ke daratan. Sementara mereka bertiga bertungkus lumus membuang air dari perut bot itu. Tatkala ini kami dirundung penyesalan kerana ingkar arahan.

Kemudian enjin bot pula sukar untuk dihidupkan, mungkin sebab sudah dimasuki air. Bertambahlah kami monyok menanti di pinggir batuan. Hahaha. Hah...rasakanlah. 

Hampir sejam kami menunggu mereka membetulkan bot tersebut. Sesudah enjin boleh dihidupkan, mereka membawa bot ke tengah lautan, mungkin untuk menguji enjin dan membuang saki baki air yang ada di perut bot.

Syukur alhamdulillah, sekitar jam 3.30 petang kami selamat pulang ke chalet.

Petang hari kedua ini, kami cadang untuk berkayak lagi. tetapi kepenantan menyelubungi diri masing-masing. Maka, petang itu kami cuma bersiar-siar di sekitar Teluk Dalam. Nizam singgah di semua chalet yang ada untuk bertanya kadar dan mengumpul pemplet.

Malam pula kami menikmati BBQ sambil menyaksikan final Akademi Fantasia. (saya tidak pernah menonton sebab di rumah pakai NJOI-tiada RIA) Layan.

Hari Ketiga (12 Oktober 2015)

Sebelum sarapan, kami menikmati sunrise. Masing-masing membawa diri dengan bersantai sendirian di atas buaian atau kerusi yang ada. Saya sempat menyelak beberapa bab Budak Beca karya Pak Sako. Kemudian usai sarapan, Nizam dan saya meneruskan aktiviti menjengah ke deretan chalet di sebelah barat pula.

Sekitar pukul 12 tengah hari kami berangkat pulang ke Kuala Besut.

Sebelum pulang, sempat wefie bersama Awie dan Zubair pemilik Carver Cove.

Penghargaan kepada mereka kerana memberikan hospitaliti pada harga yang amat berbaloi kepada kami dan memberikan pakej-pakej tambahan secara percuma. Juga, terima kasih kepada Nizam kerana mengatur dan menguruskan trip backpacker yang awesome ini. Jom kita berjumpa di backpacker seterusnya. Segalanya menepati #SaveBjetFS. 

Sesiapa yang hendak mendapatkan pakej menarik di Pulau Perhentian, bolehlah menghubungi:
Encik Wan Din - 019-9341852

2 comments:

  1. hehe.. cet manada juling. akukan mmng dilahirkan sepet. org cakap penuh keimanan.hehe tunggu trip #kembaraBBMijam2016 :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wei...dah masuk taun baru baru kau nk komen. pjgnya #hashtag ko. huhu

      Delete

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.