FauziSabri.com merupakan blog peribadi ke-5 yang telah dibangun dan dikendalikannya dalam tempoh sedekad yang lalu.
Seperti kebanyakan blogger, dia juga mempunyai semangat yang berkobar-kobar pada awalnya, tetapi kemudian kebosanan serta kesibukan menyebabkan blog-blognya terdahulu diselaputi sawang yang akhirnya reput dan hancur - berkubur.
Memiliki Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh dan kini sedang bertugas sebagai Juruteknik Komputer di salah sebuah jabatan kerajaan.
Dia juga mempunyai sedikit kemahiran dalam bidang rekabentuk grafik, fotografi dan pembangunan blog atau web yang dipelajarinya secara tidak langsung.
Membaca dan menulis juga adalah sesuatu yang amat diminatinya sejak dibangku sekolah lagi. Seawal usia 13 tahun dia sudah menggagahkan diri untuk membaca Dilema Melayu - Mahathir Mohamad yang dijumpai di gobok buku. Walaupun ketika itu, tiada apa yang mampu difahaminya melainkan hanya sekadar menekuni lagam dan lenggok bahasa seorang tokoh yang pada masa itu telah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-4.
Erti Hidup
Fauzi Sabri mempunyai tanggapan tersendiri tentang erti hidup. Baginya kehidupan di alam fana ini adalah sebuah pencarian yang panjang. Apakah yang kita cari? Sudah pastilah yang kita cari adalah sebuah kebenaran. Sebab itulah kita berulangkali memohon kepada Tuhan "Tunjukkanlah Kami Jalan Yang Lurus."
Justeru itu, dia gemar berguru dan membaca. Baginya berguru dan membaca adalah ibarat irama dan lagu yang saling perlu. Jika dipisahkan, maka tempanglah jalan untuk menuju kebenaran itu. Sekali gus menatijahkan diri kita terjerumus kepada taksub, ghuluw dan akhirnya tenggelam di dalam kesesatan yang disangka benar.
Pokoknya, berguru biarlah ramai dan membaca jangan terhad kepada bacaan yang pro dengan pandangan semasa kita sahaja. Sebaliknya, mesti berani mencabar minda dengan membaca buku yang kontra dengan kita.
Di sanalah nanti, kita akan dapat membuat sebuah kesimpulan yang tepat dan adil.
Jangan terburu-buru. Setelah memasang niat yang ikhlas dan memohon supaya ditamatkan riwayat hidup kita nanti dengan 'husnul khatimah', tempuhilah pancaroba, mehnah dan tribulasi perjalanan kehidupan kita ini dengan tenang dan sabar.
Selain memaksimumkan penggunaan pancaindera yang dibekalkan oleh Sang Pencipta, pandang dan nilailah sesuatu dengan 'basirah.'
Serahkan diri kita bulat-bulat kepadaNya.
Anda boleh berinteraksi dengan Fauzi Sabri melalui: