Wednesday, October 28, 2015


Beberapa minggu yang lepas, saya telah menjalani prosedur aengiogram untuk kali yang kedua. Tujuannya adalah untuk menilai keberkesanan prosedur embolizer yang telah dilaksanakan dahulu.
Aengiogram pasca-embolizer kali ini berbeza 'rasanya' berbanding yang kali pertama.
Sakitnya lebih terasa. Seperti kulit pangkal paha sebelah kanan kemaluan saya disiat-siat menggunakan pisau blade. Spontan, kaki dan tangan kejang menahan sakit.
Doktor lelaki muda itu segera respon; "Sakitke? Maaf ye. Tahan sikit."
Ya..rasanya mungkin 10 kali lebih sakit daripada suntikan bius semasa berkhatan sewaktu kecil dahulukala.
Saya maklum. Kali ini yang melakukannya adalah doktor junior. Berbanding prosedur yang sama pra-embolizer dahulu oleh doktor yang lebih senior.
Ketika itu rasanya hanya seperti cucuk jarum biasa.
Minda negatif saya mula mengarahkan mulut untuk berkata; "Boleh minta Dr. Yuzarif yang buat tak?" <doktor yang melakukan prosedur tersebut kali pertama dahulu>
Mujur minda positif saya cepat bertindak dan membisikkan; "Calm down Fauzi. Sakit sikit je. Jika kamu tak beri peluang kepada doktor junior ini untuk 'beraksi', sampai bilakah dia boleh jadi hebat seperti Dr. Yuzarif tu?"
Saya insaf dan dengan rela menjadi bahan eksperimen doktor junior tersebut yang di sisinya ada seorang doktor wanita yang lebih senior.
Ayat 'seram' yang kedengaran; "Eh...salah tu. Cuba bawah sikit." Pastinya menambahkan lagi cuak di dada.
Lantas saya tarik nafas dalam-dalam dan memohon doa kepada Tuhan supaya sakit itu dapat diminimakan.
Ajaibnya...saya terus berasa mengantuk dan terlena seketika.
Sehinggalah saya berasa suam-suam di pipi dan di kepala. Seperti seterika berada hampir di sebelah muka kanan saya.
Maklumlah saya bahawa tiub yang dimasukkan dari pangkal paha itu telah sampai di kawasan serebium otak dan cecair contrast itu telah dipancarkan.
Beberapa minit kemudian, prosedur tamat.
Terima kasih kepada Dale Carnegie dan Prof Dr. Muhaya kerana mengajar saya teknik berkesan untuk berperang dengan minda negatif.
"Positive people also have negative thoughts. They just don't let those thoughts control them."
‪#‎CeriteraFS‬ klik sini untuk perkongsian saya yang lain.