Thursday, October 29, 2015


Saya masih ingat, ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-100 pekan kecil ini pada tahun 1997 (Hampir dua dekad yang lalu – saya di tingkatan 3), Tan Sri Mohamed Rahmat (Allahyarham-Menteri Penerangan ketika itu) semasa ucapan perasmiannya, sempat bertanya; “Tempat ini namanya Bagan Datok atau Bagan Datoh?” Dijawab oleh Datuk Ahmad Zahid Hamidi (gelaran ketika itu) yang duduk di belakangnya; “Dua-dua pun boleh.”
Kemudian beliau menambah, “Oh yeke, Okaylah. Jangan Bagan Jatoh sudahlah!”
Disambut hilai tawa oleh para hadirin yang memenuhi padang bertentangan dengan pejabat estet itu.
Ya..begitulah uniknya pekan kecil ini. Mempunyai dua nama yang kedua-duanya digunakan secara rasmi. Di papan tanda jalan tertera Bagan Datoh, manakala di Parlimen dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tertera P075 Bagan Datok.
Dahulu, namanya megah tercatat di buku-buku teks geografi sebagai antara kawasan komoditi koko dan kelapa terbesar negara. Tetapi itu dahulu, koko telah lama ditebang dan digantikan dengan kelapa sawit.
Sudah pasti kini nama pekan ini semakin meniti di bibir rakyat Malaysia apabila ahli parlimennya YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diangkat sebagai timbalan perdana menteri.
Saya mengakui, bukan mudah untuk membangunkan sebuah pekan koboi yang terletak di penghujung jalan. Di bawah P075 Bagan Datok ini terdapat dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N53 Rungkup dan N54 Hutan Melintang.
Sepanjang tempoh dua dekad ini, dapat diperhatikan bahawa pembangunan pesat berlaku di kawasan Simpang Empat yang terletak di bawah DUN Hutan Melintang. Ini kerana, ia mempunyai akses laluan dari Kuala Selangor-Sabak Bernam dan Teluk Intan-Lumut-Bidor.
Sedangkan pekan Bagan Datoh pula terletak 20 km lebih ke dalam di pinggiran muara Sungai Perak. Tentulah sesuatu yang sukar untuk membangunkan kawasan seumpama ini.
Walaupun begitu, saya dapat menyaksikan beberapa pembangunan telah berjaya diadakan, iaitu seperti Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh, Pejabat Jabatan Laut Malaysia, Kompleks Niaga Mara, Kompleks Penerangan Pelancongan, Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara dan Klinik Kesihatan yang baharu dan sebagainya.
Seterusnya apabila DUN Rungkup ini diterajui oleh YB Datuk Shahrul Zaman Yahya, yang juga merupakan EXCO Sumber Manusia, Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Perak, pekan kecil ini diharap akan mengalami pembangunan yang sewajarnya.
Saya mengikuti setiap kemaskini beliau di FB ini. Seorang yang masih muda itu semestinya aktif. Mempunyai banyak idea yang inovatif <dapat dilihat dengan sofa pejabatnya yang diperbuat daripada bahan terpakai; tong drum>, berjaya engaged dengan pelbagai lapisan masyarakat pelbagai usia dan sentiasa kelihatan turun ke lapangan.
Semoga YB Datuk, dikurniakan kesihatan yang baik bagi meneruskan misi pembangunan sebuah kawasan ‘hujung alam’ tempat lahirnya saya di muka bumi ini 33 tahun yang lepas. Sekali gus membuktikan kepada para pengundi DUN Rungkup, bahawa pilihan mereka adalah tepat!