Monday, October 26, 2015


Membaca 12 bab terawal novel setebal 897 muka surat ini pada mulanya begitu membosankan. Berputar sekitar kisah Kamal yang dilema dalam memilih antara dua wanita yang menaruh harapan.
Letticia gadis Iban yang mula menunjukkan minat terhadap Islam dan Ezan yang berasal ibu kota daripada keluarga elit. Mereka bertiga ditemukan lantaran kerjaya sebagai wartawan akhbar di Kuching.
...
Sehinggalah apabila Ezan yang dipilihnya sebagai isteri mendaki kerjaya daripada wartawan cetak biasa kepada personaliti TV yang popular.

Menuju ke bab-bab berikutnya, rasa bosan mula lenyap. Saya mula menyelak helai demi helai dengan penuh keterujaan.

Ketika itu retak mula merekah. Gosip skandal dengan seorang VVIP semakin panas dan tidak terkawal. Seringkali menghiasi ruangan hiburan akhbar. Kehidupan rumahtangga yang dikurniakan sepasang cahaya mata lalu goyah dan berkecai.

Tragik sungguh apabila ia berkesudahan dengan khuluk RM1juta! Suatu tindakan yang tidak dijangka dan membuatkan Kamal berasa sangat terhina.

Rentetan diaibkan sebegitu, Kamal bertindak 'gila' melarikan Norma dan Izhar ke belantara. Mereka tinggal lebih setahun bersama suku Penan nomadik di Ulu Baram, pedalaman Sarawak.

Nah...di belantara itulah Kamal berusaha mengubah cara hidup primitif Penan dengan mempelbagaikan sumber makanan mereka daripada berburu kepada bercucuk tanam dan ternakan.

Lebih murni dari itu, Kamal berjaya membawa sinar hidayah. Bermula daripada Asai dan seterusnya seluruh keluarga rumah panjang Penan yang didiaminya itu mengucap syahadah.

Sehinggalah Kamal yang menggunakan nama samaran Taman Usun terpaksa memohon tenaga pengajar daripada majlis agama.

Selang beberapa ketika, permohonan itu diluluskan dan Ustazah Siti Aishah yang berniqab ditugaskan untuk membantu.

Ezan pula mula diselubungi sesalan. Bukan sahaja kerana janji manis palsu Tan Sri Johari. Tetapi, wajahnya semakin hilang seri akibat kemurungan kronik. Risau dan bimbang tentang nasib anak-anaknya yang tiada khabar berita, lantas dia nekad menjejaki mereka sehingga ke Miri.

Pelbagai ikhtiar yang diusahakan bagi menghidu jejak Kamal dan anak-anaknya yang menurut sanubarinya masih hidup.

Ezan menyamar dan berniqab -menyertai kursus pendakwah Perkis- Sehingga akhirnya membawanya ke belantara yang menemukannya kembali dengan wajah-wajah insan yang dirindui.

Manis sekali kesudahan novel ini. Sebuah novel cinta yang luar biasa. Sesudah khuluk... Kembara luka merawat jiwa, muncul bahagia di rimba raya.

Saya memberi lima bintang kepada karya sulung Khaidir Ahmad yang juga merupakan wartawan TV3.

Maka, tidak hairanlah apabila novel yang cetakan pertamanya pada tahun 2012 ini memenangi tempat ketiga Hadiah Sako bagi novel nasional.

‪#‎ResensiFS‬
‪#‎kakinovel‬

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi menjengah dan membaca #LakarHidupSendiri. Ia adalah coretan dan lakaran hidup saya. Apa pula kata anda? Anda dialu-alukan untuk memberi sebarang komentar atau ulasan di sini. Terima kasih.