Thursday, December 31, 2015


Sebelum berkhidmat di sektor awam, saya pernah bekerja di beberapa buah pasaraya besar di ibu kota. Sejak itu lagi, saya sudah melihat penjawat awam buat #2kerja. Ramai juruwang dan pembantu stor sambilan yang bertugas bermula pukul 6 petang terdiri daripada penjawat awam kumpulan sokongan.

Abang-abang askar yang sado biasanya jadi pembantu stor. Manakala kakak-kakak kerani atau peon jadi juruwang. Semuanya dilakukan kerana terpaksa demi meneruskan survival hidup di kota.

Itu cerita pada tahun 2002-2003. Sekarang apabila rangkaian internet semakin berkembang, ramai penjawat awam yang melakukan perniagaan secara online menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Wechat dan aplikasi Whatsapp.


Hal ini bukanlah rahsia lagi. Sebab itulah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ada mengeluarkan pekeliling khas berkaitan hal tersebut.

Macam-macam benda yang mereka promote. Dari makanan tambahan, ubat pelangsing, pil tambah tenaga batin, lampin pakai buang, alat make-up, kosmetik, bantal sehinggalah kepada perkhidmatan urut, bekam, halau jin hantu, air jampi dan jual simkad yang boleh menjana wang! Kadang-kadang naik lemas juga dibuatnya.

Tetapi apakan daya, itu adalah sumber pendapatan sampingan mereka. Ia menjadi sangat perlu demi menampung kos sara hidup yang semakin mendesak dan rumit ketika ini. Bukan untuk hidup mewah tetapi sekadar untuk top-up belanja harian sahaja.

Hashtag #2kerja

Tiba-tiba hashtag #2kerja jadi #trending apabila seorang timbalan menteri menyarankan buat dua kerja bagi meringankan beban kos sara hidup. Saranan beliau itu disambut dengan sinis oleh netizen. Sehingga ke peringkat keterlaluan; hinaan dan cercaan.


Saya juga secara spontan ada membuat ulasan mengenainya di Facebook. Walaupun saya tersalah tanggap sebagai buat dua kerja dalam satu masa, tetapi saya menyatakan saranan tersebut lebih baik terbit dari mulut seorang pakar motivasi dan bukannya seorang menteri.

Sebagai marhaen, saya berharap para menteri yang gajinya sarat itu dapatlah berfikir mencari jalan terbaik bagi menangani masalah kenaikan kos sara hidup yang mendadak ini. Carilah formula yang berkesan. Sedangkan marhaen telah lama buat 2-3 kerja sehari.

Walaupun begitu, apabila difikirkan semula, tiadalah jadi apa-apa jika kita terus merungut, mengeluh dan merintih tanpa bertindak. Kos sara hidup memang akan meningkat saban tahun. Maka, moleklah marhaen seperti saya ini bersiap-siaga dan fokus kepada perkara-perkara yang dalam kawalan kita sendiri.

Kita abaikan sahaja hiruk-pikuk di alam maya ini yang mengherdik dan memaki timbalan menteri berkenaan. Lebih baik kita cuba mencari peluang di sebaliknya. Orang yang positif akan sentiasa mengambil peluang.

Maka, dengan kemudahan yang ada di hadapan mata, tekanlah papan kekunci yang ada untuk memulakan perniagaan dalam talian anda. Juallah apa sahaja yang difikirkan akan membuahkan hasil.

Masak Sendiri Elak GST 

Sesuatu yang saya terhutang budi dengan beliau adalah saranan masak sendiri untuk elak GST. Saya menyahutnya dan melancarkan hashtag #BikinSendiriUtkTekakSendiri dan #MasakFS. Saya bantailah masak apa-apa dan saya post di Facebook. Ia ternyata lebih berbaloi dan menjimatkan.

Sejak itu saya amat jarang makan di kedai. Bersekali dengan #MenuDietFS, #MisiFitFS dan #SaveBjetFS. Ia terangkum menjadi satu. Hasilnya, adalah berbaki sekupang-dua bajet bulanan saya untuk disimpan. Beli SSP BSN dengan angan-angan supaya terpilih menjadi jutawan. Hahaha. #harapan.

Tetapi sampai sekarang belum pernah menang apa-apa lagi. Hahaha. Bertuah dan beruntungnya Puan Nuraini Rachman yang telah diumumkan sebagai pemenang cabutan istimewa pada bulan Disember 2015 yang membawa pulang SSP RM1 juta semalam.

Akhir kalam, kepada marhaen yang senasib denganku, marilah kita fokus kepada perkara-perkara yang dalam kawalan kita sahaja. Sebagai contoh, saya sudah hampir dua tahun turun taraf Astro kepada Njoi. Tiada lagi bil bulanan yang sampai. Maka, RM50 itu saya beli SSP setiap bulan. Saya anggap ia bil Astro yang wajib dibayar.

Yang lain-lain itu ada, tapi tunggulah tahun 2018 nanti dan buatlah pilihan yang tepat.

Sekian sahaja, tulis banyak-banyak nanti ada yang marah. Hihihi.

Pekeliling JPA

Wednesday, December 30, 2015


Saya sudah memiliki novel terbitan Pustaka Dini ini dua tahun yang lepas. Tetapi saya gagal membacanya dengan bersungguh-sungguh. Saya cuma menyelak dan teruja untuk membaca bait-bait ayat yang tertulis dalam surat-surat mereka sahaja. Lagam ayatnya begitu indah, puitis dan romantis sekali.

Sehinggalah apabila saya tertonton (bermakna tak senghaja) filemnya dalam bas ketika perjalanan ke dua wilayah Selatan Thailand tempoh hari. Ternyata filem adaptasi dari karya Buya Hamka ini begitu menyentuh jiwa dan menerpa sanubari para penumpang bas yang terdiri daripada ibuk-ibuk dan bapak-bapak pengacara. Ramai yang menjurai-jurai air matanya melihat kesudahan kisah cinta dua insan sejoli iaitu Zainuddin dan Hayati.

Lantas apabila pulang, saya mencari semula novel ini yang terselit di gobok buku dan kembali menekuninya. Ia menjadi teman selama empat malam; sebelum mata terlelap dan siap-siap di sisi katil kotak tisu. Hahahaha.

Apabila dicongak-congak kembali, novel ini menjadi karya ke-4 Buya Hamka yang telah saya tekuni. Sewaktu belajar dahulu saya ada membeli dan menelaah serba sedikit "Tasauf Moden" (bukunya sudah hilang entah ke mana). Kemudian saya menekuni “Dari Hati ke Hati; Bercakap Soal Agama, Sosial-Budaya dan Politik.” Apabila berlaku kekecohan pertembungan pandangan antara ulama tua dan muda di negara ini, saya lantas membeli dan menekuni “Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor.” 

BERMINAT? KLIK SINI
Tetapi Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini lain. Ia adalah novel fiksyen.

Sejujurnya saya sangat lelah dengan watak Zainuddin. Dia mungkin lambang seorang lelaki yang setia. Tetapi dia juga adalah simbol lelaki yang gagal menggunakan kewarasan otaknya. Minda sejahteranya rosak akibat terlebih melayani emosi. Walaupun Hayati sudah jadi milik orang, dia masih menggilainya...

"Malangnya nasibku. Telah rurut bunga hayatku sebelum ia mekar. Tua telah beransur mendatangiku, padahal umurku masih muda. Seorang diri aku menyeberangi hidup ini sekarang; ayahku telah mati, ibuku dan ibu angkatku pun demikian."

"Seluruh alam membenciku, hatta daun kayu di dekat rumahku, angin pagi yang biasa membawa udara nyaman, tidur yang biasa mengembalikan kekuatan manusia, semuanya meninggalkanku. Tiba-tiba kau, yang hanya satu tempatku bergantung, telah hilang pula dariku! Ke mana saya mesti pergi lagi? Tunjukkanlah, walaupun ke pintu kubur kau tunjukkan, saya pun akan pergi."

Begitulah petikan surat Zainuddin kepada Hayati yang ketika itu sudah dimiliki oleh Aziz. Kalau saya jadi Muluk, mungkin Zainuddin tidak teruna sampai mati. Akan saya jadi teman bukan sahaja sebagai pendengar yang baik, tetapi juga penasihat yang telus dan realitas.

Zainuddin merupakan seorang anak yatim-piatu. Dia dibesarkan oleh ibu angkatnya Mak Base yang merupakan kawan arwah ayahnya di Mengkasar. Sedangkan ayahnya berasal dari Minangkabau Selatan Sumatera. Apabila menginjak dewasa dia meminta izin daripada Mak Base untuk berhijrah ke Sumatera bagi mencari keluarga dan sanak saudara sebelah ayahnya di sana.

Setibanya di Padang, dia terus menuju ke suatu tempat bernama Baputih. Walaupun sudah diperkenalkan asal-usul keturunan ayahnya orang Minang, tetapi penduduk di situ tidak menyambutnya dengan mesra dan mengganggapnya seorang anak Bugis.

Di sanalah juga bermula pertemuannya dengan gadis cantik bernama Hayati. Dari cuma berkawan, akhirnya membentuk benih-benih cinta. Perhubungan mereka dicantumkan melalui surat-surat. Menarik membaca ayat-ayat yang terkandung dalam surat mereka. Kelihatan sangat puitis dan romantis.

Malangnya cinta mereka terhalang akibat perbezaan asal keturunan. Walaupun telah ditegaskan bahawa ayahnya orang Minang, tetapi keluarga Hayati beranggapan dia seorang Bugis kerana ibunya orang Mengkasar.

Kemuncaknya, Hayati dijodohkan oleh keluarganya dengan Aziz yang berketurunan orang ada-ada. Zainuddin sangat kecewa dan sedih kerana Hayati telah memungkiri janji setia yang dilafazkannya. Dua bulan dia demam terlantar sahaja di atas katil. Mujur atas nasihat dan motivasi daripada sahabat baiknya, Muluk, Zainuddin bangkit semula. Dia dan Muluk membuat keputusan untuk berhijrah ke kota Jakarta.

Di ibu kota Indonesia itu, Zainuddin berjaya mencipta nama sebagai novelis tersohor.

Berbagailah babak-babak yang terjadi sehingga akhirnya Hayati bertemu semula dengan Zainuddin di sana. Kalau saya ceritakan semua, tak payahlah anda membeli dan membaca novel ini lagi. Hahaha.

Di Surabaya, perangai sebenar Aziz yang kaki judi dan perempaun mula kelihatan. Sehingga akhirnya dia jatuh miskin dan terpaksa menumpang di rumah Zainuddin. Lebih ‘sadis’ apabila si Aziz itu sanggup meninggalkan Hayati di rumah Zainuddin dengan alasan mahu mencari kerja di tempat lain.

Beberapa ketika kemudian, Aziz mengirimkan surat memohon maaf atas kesalahannya. Di dalam surat tersebut, Aziz mengharap supaya Hayati dapat kembali di pangkuan Zainuddin.
Sebelum mati membunuh diri, Aziz sempat menceraikan isterinya.

Zainuddin pula pada waktu itu masih menyimpan perasaan dendam terhadap Hayati kerana memungkiri janji setia dahulu. Lalu dengan hati yang masih keras, dia menghalau Hayati supaya pulang ke kampung halamannya dengan menaiki Kapal Van Der Wijck.

Setelah pemergian Hayati, Zainuddin dirudung sesalan dan menyedari bahawa hidupnya sukar tanpa Hayati. Ditambah lagi apabila terbaca surat yang ditinggalkan Hayati...

“Piala kecintaan terletak di hadapan kita, penuh dengan madu hayat nikmat Ilahi. Air madu itu telah tersedia di dalamnya untuk kita minum berdua, biar isinya menjadi kering, dan setelah kering kita boleh pulang ke alam baka dengan wajah yang penuh senyuman, kita mati dengan bahagia sebagaimana hidup telah bahagia."

 "Tiba-tiba dengan tak merasa kasihan, engkau sepakkan piala itu dengan kakimu, sehingga terjatuh, isinya tertumpah habis, pialanya pecah. Lantaran itu, baik saya atau engkau sendiri, meskipun akan masih tetap hidup, akan hidup bagai bayang-bayang layaknya. Dan kalau mati, kita akan menutup mata dengan penuh was-was dan penyesalan.”

 "…Selamat tinggal Zainuddin, dan biarlah penutup surat ini kuambil perkataan yang paling enak kuucapkan di mulutku dan agaknya entah dengan itu kututup hayatku di samping menyebut kalimat syahadat, iaitu: aku cinta akan engkau, dan kalau kumati, adalah kematianku di dalam mengenangkan engkau”…

Petikan surat Hayati kepada Zainuddin.

Zainuddin berhajat untuk menemui dan memujuk Hayati semula bagi meluahkan hasrat untuk memperisterikannya. Malang sekali apabila dia mendapat khabar bahawa kapal yang dinaiki Hayati karam.

Babak-babak yang sangat meruntun jiwa saat Hayati hendak menghembuskan nafas terakhir di pangkuan Zainuddin di sebuah hospital.

Zainuddin menjadi hilang arah…murung dan rebah. Baginya hidup sudah tiada erti lagi. Kemurungan kronik membawanya kepada sakit dan tidak sampai setahun pemergian Hayati, dia juga mati lalu dikebumikan bersebelahan dengan pusara Hayati. (Hal ini tidak dipaparkan dalam filem. Dalam filem titik terakhir adalah kematian Hayati sahaja.)

Pokoknya, Zainuddin dan Hayati mereka sebenarnya saling cinta-mencintai. Tetapi terdapat halangan daripada keluarga atas alasan keturunan. Malang sekali Zainuddin teruna sampai mati. Juga lebih mengejutkan bahawa Hayati juga masih perawan saat diceraikan Aziz. Sekian.

#ResensiFS

Setelah terlajak membaca novel ini, saya teruja untuk memiliki novel-novel lain karya Buya Hamka seperti, Di Bawah Lindungan Kaabah, Merantau Ke Deli dan Tuan Direktur.

Siapa berminat hendak beli, boleh klik pada gambar di bawah.



Di sini adalah kawasan hilir sungai. Bermaksud di sini adalah penghujung Sungai Perak sebelum ia bertemu dengan laut Selat Melaka.

Apabila disebut muara, maka janganlah dibayangkan bahawa sungainya seperti di hulu yang jernih dan kecil. Hilir, kuala atau muara menggambarkan keadaan air sungai yang keruh seperti teh tarik dan segala sisa sampah yang mengalir dari hulu akan timbul di sini.

Suatu ketika dahulu nama pekan kecil ini masyhur tercatat di dalam buku-buku teks Geografi sebagai kawasan tanaman komoditi koko dan kelapa utama negara. Manakala, Beting Beras Basah menjadi lokasi sejarah penting bagi Kesultanan Negeri Perak.

Udang Galah pertama yang saya tawan!!!
Ketika seminggu bercuti di kampung beberapa minggu yang lalu, saya sempat pergi mancing udang galah. Pengalaman pertama sebenarnya. Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, ia bukan sahaja menjadi tumpuan kaki pancing Sembilang dan Gemang sahaja. Si Sepit Biru kini menjadi gamitan joran penduduk tempatan dan orang luar.


Udang Galah mula menjadi sumber rezeki penduduk tempatan. Harganya sekitar RM30-50 sekilo. Apabila waktu sore, kelihatan seperti ada pesta joran di tebing tembok dari Jeti Bagan Datok sehingga ke Tali Air Kampung Pasang Api.

Apabila Kail Disentap… 

Menggunakan umpan isi udang kertas kecil atau cacing tanah dipasang pada mata kail yang kecil. Setelah beberapa minit mata kail dilepaskan ke sungai, hujung joran mula bergoyang-goyang lantas saya menariknya ke atas. Teruja juga apabila melihat udang galah tersangkut dan terhayun-hayun di hujungnya.

Danish Fikri & Neneknya menunjukkan udang yang berjaya ditawannya.
Pada hari pertama dapatlah saya menaikkan lima ekor. Manakala pada keesokkannya pula, nasib kurang baik. Kail asyik tersangkut pada batu di dasar sungai. Mungkin udang yang besar tarik kot. Hahaha.
Keterujaan Danish Fikri melihat Nenek & Pakciknya mancing Udang Galah
Kalau anda berminat untuk merasai pengalaman mancing udang galah ini, silalah berkunjung ke Teluk Intan atau Bagan Datok ini. Di sepanjang sungai Hilir Perak ini memang menjadi tumpuan untuk memacing udang.

Tentang penginapan janganlah dikhuatirkan kerana di sini terdapat banyak hotel bajet, rumah tumpangan dan homestay pada harga yang sangat murah.

LIHAT ADA 18 GAMBAR LAGI KLIK SINI

Tips Memancing Udang Galah
Jenis Umpan dan Cara Memancing Udang Galah

Tuesday, December 29, 2015


"Sekongkong Tanah Minangkabau,
Selilit Pulau Perca,
Di lengkong ular Saktimuna,
Perpisahan Beta di selat Melaka,
Jika Sah Beta Raja berdaulat,
Lepaslah sekalian malapetaka"

Sewaktu bahtera baginda menghampiri muara Sungai Perak dan sampai ke kawasan Beting Beras Basah, bahtera baginda dipukul ombak besar dan terdampar secara tiba-tiba di atas beting di tengah lautan tersebut. Sultan Muzaffar telah mengarahkan supaya dibuangkan barang-barang yang berat ke laut namun bahtera masih tetap tersekat, seraya baginda melafazkan bait-bait mentera seperti di atas.

Sultan Muzzaffar lantas mengambil mahkota baginda dan membuangnya ke dalam laut. (sebab itulah tiada gelaran Tengku Mahkota di Perak, sebaliknya Raja Muda Perak) Secara tiba-tiba laut yang bergelora itu tenang kembali seperti biasa bahtera baginda dapat belayar semula seperti sediakala. Serentak itu, Tun Saban dan pengikutnya melaungkan 'Daulat Tuanku' dan baginda Sultan Muzzaffar Shah I pun ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama di Beting Beras Basah.


Disebabkan peristiwa tersebut, baginda telah mengambil keputusan untuk mendarat di Beting Beras Basah dan ditabalkan sebelum meneruskan pelayaran baginda. Sejak itu, setiap Sultan Perak yang akan ditabalkan disyaratkan mencecahkan kaki ke Beting Beras Basah ini.


Semakan di Gerbang Kata DBP; Kata 'Beting' bermaksud- timbunan pasir yang besar dan panjang di muara (di laut dll): ~ ini menjadi halangan kepada pelayaran di sungai; berbeting mempunyai beting: muara sungai itu ~;membeting merupakan beting;terbeting terdampar di beting.

Mengapa Beras Basah?

Menurut cerita orang kampung, pada zaman dahulu ada sebuah kapal membawa muatan beras terbalik lalu karam di sini. Sebab itu ia dinamakan dengan Beting Beras Basah. Kesahihannya tidaklah dapat saya buktikan.

Kunjungan Pertama 

Walaupun saya dilahirkan dan dibesarkan di Bagan Datoh, tetapi sejujurnya saya tidak pernah berkunjung ke lokasi yang bersejarah ini. Sehinggalah pada penghujung Ramadan 2015 yang lalu, ketika bersiar-siar di pekan kecil itu saya ternampak papan tanda jalan tertera Beting Beras Basah. Lantas saya mengambil keputusan untuk memandu mengikut arah tersebut.


Bersempena Istiadat Cecah Kaki Pertabalan Sultan Perak yang ke-35; DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 14 Mei 2015 yang lalu, jalan darat yang bertar dan sebuah jeti telah dibina. Diharapkan selain menjadi tumpuan kaki pancing, destinasi bersejarah ini juga mampu menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan di Bagan Datok.


Saya bersama Danish Fikri dan Zaidi Sabri meluru berjalan sehingga ke tepian ‘pantai’ beting yang berselerak dengan dahan-dahan bakau mati mungkin. Saya sempat mengambil gambar-gambar panorama terindah di sekitarnya menggunakan #lenovo850 #capayam yang termampu ini.


Orang kata kawasan ini ‘keras!’ Mesti berhati-hati dan awas... mulut jangan celupar. Sesekali meremang juga bulu roma saya apabila terhidu bau yang semerbak harum ketika melintasi pondok yang digantung beberapa helaian kain kuning itu. Saya cuma berdiam diri dan terus meluru ke jeti. Danish Fikri kelihatan seperti biasa berlari-lari keriangan.


Ketika pulang, Zaidi turut mengakui ada bau harum di situ. Ohhh…bukanlah saya seorang yang terhidu rupanya. Tetapi menurut kata orang, bau itu datang dari pewangi yang disembur di kain kuning tersebut. Itu sahaja…janganlah cuak sangat. Hahah.

Pusat Kerajaan Makhluk Ghaib Dunia 

Sewaktu nak menulis cerita ini, saya ada membuat carian di google. Terperanjat apabila terklik suatu artikel bertajuk; “Beting Beras Basah; Pusat Kerajaan Makhluk Ghaib Dunia.” Saya teruja untuk menekuninya sehingga ke nokhtah terakhir. Wow…awesome! Menarik sekali ceritanya.

Menurut artikel tersebut; kawasan lubuk pusar itu dikenali sebagai Tasik Pawa Janggi dan menurut cerita rakyat Perak, ia tempat yang digeruni kerana banyak perkara misteri berlaku. Di dasar tasik itu dikatakan mempunyai kerajaan yang diperintah tujuh jin. Kawasan berkenaan dikatakan menjadi tempat pawang memenjarakan makhluk ghaib yang jahat sejak dulu sehingga sekarang.

“Ia juga dikatakan ‘pusat’ makhluk ghaib seluruh dunia, termasuk Islam serta perkampungan orang bunian,” katanya yang turut berharap catatan sejarah itu mendapat perhatian dan pengiktirafan Persatuan Sejarah Malaysia dan bahannya dapat dibukukan untuk tatapan serta rujukan pencinta sejarah tanah air,” katanya. Cerita terperinci klik pada pautan di bawah.

Kunjungan Kedua 

Kali ini saya hanya berbasikal. Cuti seminggu di kampung dengan masakan ibu yang menyelerakan membuatkan #MisiFitFS tergugat. Maka, saya mengambil keputusan untuk berkayuhan setiap pagi.


Salah satu destinasinya adalah Beting Beras Basah ini. Jaraknya dari rumah mak saya mungkin sekitar 5 kilometer. Saya menunggang basikal sendirian sehingga ke atas jeti. Ketika ini tiada lagi bau semerbak seperti dahulu.

Lama juga saya memerhati keadaan kawasan di sekelilingnya dan mengambil gambar. Pagi yang nyaman dan segar. Saya fikir kawasan ini sangat sesuai untuk #photoshoot ‘raja sehari.’

Kunjungan kedua ini walaupun sendirian, bulu roma tidak pula meremang. Mungkin kerana saya sibuk mengambil gambar, kemaskini Facebook dan melayan inbox yang tidak berbalas kerana talian data di rumah kampung saya sangatlah mengecewakan. Sedangkan di kawasan jeti tersebut isyarat data sangat lancar.

Rasanya hampir sejam saya barada di situ sambil memerhati nun jauh di tengah nelayan sedang menaikkan pukat di atas sampan kecil.

Meremang ketika menulis… 

Lokasinya adalah di Kampung Sungai Ular, Bagan Datoh, Perak. Jika anda berkunjung ke pekan Bagan Datoh ikut sahaja arah papan tanda yang ada. Jaraknya hanyalah sekitar 5 kilometer sahaja. (kalau tak salah) Sebelum menenemui jeti, anda akan menempuhi pejabat Felcra di hujung kampung tersebut.

Peliknya bulu roma saya meremang ketika menulis cerita ini. Nak tanya, ketika membaca ini, bulu roma anda meremang tak? hehehe. Adeh... sekian sahajalah. Terima kasih kerana sudi membaca.

LIHAT 30 LAGI GAMBAR MENARIK KLIK SINI

Carian Google yang dijumpai: 
Sultan Nazrin sempurnakan istiadat cecah kaki di Beting Beras Basah
Video Utusan Sultan Nazrin cecah kaki di Beting Beras Basah
Beting Beras Basah; Pusat Kerajaan Makhluk Ghaib Dunia
Kisah Benar: Asal Usul Pertabalan Beting Beras Basah

BACA JUGA KOLEKSI #SantaiFS KLIK SINI


Monday, December 28, 2015


Beberapa tahun yang lalu, ketika menemani seseorang ke hospital, saya ternampak bunting yang memaparkan gejala kanser usus. Lantas saya menjadi cemas kerana semua yang dinyatakan di situ ada pada diri saya.

Sejak pertengahan 2012 lagi, saya sudah mengalami gejala buang air besar yang kerap dan tak tentu masa. Saya akan menghabiskan masa yang lama di tandas. Terpaksa membawa bersama tisu bagi mencuci sisa-sisa darah yang keluar bersama najis. Saya perasan adakalanya darah lebih banyak dari najis.

Ditambah pula apabila saya berhijrah ke Negeri Sembilan ini yang makanannya semua sodap-sodap belaka; membangkitkan selera makan yang membuak-buak tetapi sangat pedas. Maklumlah saya ini berasal dari Perak, maka perut saya tidaklah sehebat orang nogori yang sejak kecil lagi sudah menikmati makanan seumpama itu.

Orang yang terhampir dengan saya perasan akan kebimbangan ini. Saya membuat telahan sendiri bahawa kanser usus sudah merebak di dalam tubuh ini. Mana tidaknya, setiap kali membuang air besar, darah keluar dengan begitu banyak dan pekat. Sehingga kadangkala, muka saya menjadi pucat lesu akibat kehilangan banyak darah. Saya takut untuk berjumpa dengan doktor. Bimbang jika keputusannya adalah positif kanser!

Maka, saya pendamkan hal ini sehingga bertahun-tahun lamanya. Sampai suatu ketika, apabila ia menjadi semakin serius. Perut seringkali memulas-mulas, pedih ulu hati yang sangat menyeksakan dan kekerapan ke tandas semakin ketara, maka saya menyerah kalah di hadapan doktor. Saya disahkan menghidap gastrik yang kronik dan dibekalkan dengan ubat serta perlu menghadiri temujanji pada setiap bulan.


Saya juga diarahkan untuk membuat pemeriksaan endoskopik. Tetapi pada saat-saat akhir saya mengambil keputusan untuk membatalkan ujian endoskopik tersebut kerana ketika itu saya sedang menghadapi Carotid Carvenous Sinus Fistula pula yang menyebabkan saya perlu menghadiri banyak temujanji. Alasan kedua, kerana saya takut dan tidak bersedia menghadapi komplikasi seperti yang diterangkan oleh doktor iaitu termuntah yang menyebabkan ia termasuk ke peparu dan usus kecil terbocor ketika ujian tersebut dijalankan.

Dengan azam yang tekad, pada Januari 2015 yang lalu, saya melancarkan #MisiFitFS. Selain mengurangkan makan di kedai luar, saya mula memasak menu-menu yang sihat. Saya mula mengawal tabiat makan dengan teratur dan berjadual. Sayur-sayuran dan buah-buahan diambil dalam kuantiti yang lebih.

Selepas setahun… 

Gelaja-gelaja itu lenyap dengan sendirinya. Tiada lagi pedih ulu hati dan tiada lagi ‘berak berdarah’. Perut yang memboroi seperti ‘sparetyre’ lori satu tan juga sudah mengempis beransur-ansur.

Punca-punca 

Berdasarkan pengalaman sendiri ini, saya tahu apakah punca-punca ia terjadi. Berikut disenaraikan antara punca-puncanya:

1. Saya makan main bedal. Asal sedap saya sumbat sampai perut nak pecah.
2. Saya makan tak seimbang. Utamakan yang sedap berbanding yang berkhasiat.
3. Saya makan tergopoh-gapah dan laju. Tidak banyak kunyah. Dua tiga kali kunyah terus telan.
4. Seringkali makan lewat malam. Pernah saya termuntah ketika tidur.
5. Suka makan tulang. Tulang ayam dan kepala ikan yang digoreng garing dan rangup.
6. Sarapan juga makan yang berat-berat seperti mi goreng, nasi lemak dan kueh tiaw sepinggan penuh.
7. Gemar minum teh tarik yang pekat dan minuman berais walaupun ketika sarapan.
8. Kurang bersenam,
9. Makan tak ikut jadual, sebaliknya ikut kata tekak dan lidah.
10. Kurang makan sayur dan buah.

Solusi 

Rugilah jika hanya sekadar tahu punca tetapi tidak tahu solusinya. Maka berikut saya senaraikan pula apa yang saya buat sebagai ikhtiar untuk menghilangkan gelaja-gejala tersebut:

1. Saya hindarkan atau kurangkan tabiat buruk di atas.
2. Banyakkan minum air kosong, susu tepung dan teh hijau.
3. Tiada lagi teh atau kopi bersusu, sebaliknya ambil yang O sahaja.
4. Sesekali saya beli Yakult.
5. Banyakkan makan buah-buahan segar. Jadikan ia sebagai jajan.
6. Berpuasa Isnin dan Khamis, penawar gastrik yang terbaik. Merehatkan perut dan usus.
7. Kurangkan makanan yang pedas dan berlemak.
8. Elakkan makanan yang sukar hadam, seperti daging dan sebagainya. Jika mahu makan sekadar untuk merasa bukan melahap.
9. Banyakkan makan telur rebus.
10. Buat senaman untuk perut seperti sit-up dan plank secara konsisten.

Syukur Alhamdulillah setelah setahun berlalu, segala gejala-gelaja tersebut hilang satu demi satu. Kini badan terasa lebih sihat dan kebimbangan itu terus lenyap.

Semoga tulisan ini dapat dijadikan inspirasi kepada mereka yang menghadapi situasi yang sama. Sesiapa yang ingin berinteraksi dengan saya boleh e-mel ke fauzi@fauzisabri.com atau www.facebook.com/fauzisabridotcom.

BACA JUGA LAIN-LAIN ENTRI BERKAITAN #MisiFitFS KLIK SINI

Saturday, December 26, 2015


Hill Park S2 Heights merupakan kawasan riadah yang menjadi tempat joging saya ketika awal-awal #MisiFitFS dilancarkan dahulu. Berbanding Sendayan Green Park, saya lebih gemar joging di sini kerana ia kawasan mendaki yang lebih panjang dan tinggi. Juga ia tidak terlalu sesak seperti S2 City Lake Park.


Berkeluasan 30 ekar dan puncak tertingginya adalah 162 meter dari aras laut. Taman rekreasi yang dibangunkan oleh IJM Land ini terletak berhampiran dengan SRJKC Tung Hua, S2 Heights. Ia dibuka pada pukul 6.30 pagi sehingga 9 malam setiap hari.

Seronok joging di sini kerana ia kawasan mendaki. Berjalan laju tanpa berlari pun sudah boleh mengeluarkan peluh yang banyak. Lebih molek apabila sesudah subuh anda ke sini. Udara yang disedut begitu segar dan nyaman dan jika bernasib baik anda akan disapa dengan kabus yang menyejukkan.

Dinasour

Daya tarikan utamanya adalah sekumpulan dinasour yang ada di puncaknya. Antara spesis yang ada ialah, Stegosaurus, Ginganotosaurus, Baryonyx dan lain-lain. Memang berbaloi ke sini bersama anak-anak anda. Mereka pasti akan teruja melihatnya.

Danish Fikri pegang mulut Dinasour

Selain itu, pelbagai jenis permainan untuk kanak-kanak tersedia di sini. Ada flying fox, buaian, gelongsor dan macam-macam lagi.


Jalan hutan turut disediakan bagi mereka yang ingin merasai suasana di dalam hutan. Jalan denai yang agak curam di celah-celah pohon kayu yang sangat menyamankan.


Bebas Rokok

Hill Park S2 Height ini telah digezetkan sebagai kawasan bebas asap rokok. Jadi, kepada perokok harap maaf. Huhu.


Siapa yang tinggal di sekitar Seremban dan belum pernah berkunjung ke sini, Hill Park S2 Heights ini terletak berhampiran dengan Taman Mantau Indah, SRJKC Tung Hua, Saujana Duta dan Savana. Ada flyover dan ikut papan tanda arah S2 Heights. Senang cerita sila guna Waze, Google Map atau Papago korang. Haha

Di sini anda boleh melihat pemandangan bandar Seremban 2
ADA 70 LAGI GAMBAR MENARIK; KLIK SINI

BACA JUGA:
Riadah di S2 City Park, Seremban 2


Bukit Malawati Kuala Selangor adalah merupakan pusat pentadbiran dan juga kubu kuat Kesultanan Melayu Selangor di akhir abad ke 18 dan awal abad ke 19. Sultan Ibrahim (1782-1826) telah mendirikan sebuah kota di Bukit Malawati bagi mempertahankan Kuala Selangor dari serangan Belanda.

Kota tersebut bagaimanapun telah jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1784 dan dinamakan "Kota Altingsburg" bersempena nama Gabenor Belanda di sana. Namun Sultan Ibrahim telah berjaya menawan kembali kota tersebut pada Januari 1785 dengan bantuan pahlawan-pahlawan dari Pahang. Ini adalah kejayaan pertama seorang Sultan dari Tanah Melayu berjaya mengalahkah satu kuasa besar Asing di Tanah Melayu.

"saya tak mahu jumpe org buat bisnes dan tak mahu pos simkad dan tak mahu sembang kencang berjam2 kat orang tapi last2 result hampeh!" Adakah situasi ini berlegar dlm fikiran anda? kini evolusi viral dunia AutoDownLine diperkenalkan buat semua rakyat malaysia sign up free 

Kota Malawati ini telah diwartakan sebagai Monumen Lama dan Tapak Bersejarah dibawah Akta Bendapurba Bilangan 168/1976 pada 8 September 1977.

Bukit Malawati pernah dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor iaitu sebelum Sultan Abdul Samad berpindah ke Bukit Jugra di Kuala Langat.

Singgah Di Bukit Malawati

Sewaktu dalam perjalanan pulang ke kampung pada 12 Disember 2015 yang lalu, saya dan Danish Fikri sempat singgah sebentar di Bukit Malawati, Kuala Selangor. Ini bukanlah kali pertama kami ke sini. Cumanya kali ini kami tidak menaiki kereta sehingga ke puncak bukit. Sebaliknya kami menaiki trem.

Tiket trem berharga RM5.30 bagi dewasa dan RM3.30 bagi kanak-kanak. Antara tempat atau monumen bersejarah yang terdapat di puncak bukit adalah Batu Hampar, Telaga Tujuh, Makam Diraja, Busut Malawati, Meriam Penggawa, Kota Malawati, Tangga Seratus dan Perigi Beracun.


Selain itu, mercu tanda bukit ini adalah Rumah Api Kuala Selangor yang tersergam indah yang dahulunya berperanan penting sebagai membantu ahli pelayaran, jurumudi atau nakhoda kapal di laut untuk belayar dan mendarat dengan selamat. Menara ini dilengkapi dengan sistem lampu atau cahaya api.

Pelawat juga boleh mengetahui informasi lebih terperinci mengenai bukit yang bersejarah ini dengan berkunjung ke Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor yang terletak di tepi rumah api.


Sebelum menuruni bukit ini, pelawat akan dapat melihat Makam Diraja. Sultan Selangor Pertama - Sultan Salahuddin (1742-1778), Sultan Selangor Kedua - Sultan Ibrahim (1778-1826) dan Sultan Selangor Ketiga - Sultan Mahmud (1826-1857).

Selain daripada tempat yang bersejarah, aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini adalah memberi makan kera spesis Lotong yang terdapat banyak di tebing jalan dan atas pokok. Sayur kacang panjang potong dan kekacang ada dijual di sini.


Taman Ikan Air Tawar

Setelah puas bersiar-siar di puncak bukit, kami menaiki trem dan dibawa ke Taman Ikan Air Tawar dan Taman Alam. Ada banyak ikan-ikan air tawar dipamerkan di sini. Antaranya, ikan keli, haruan, puyu, sepat dan sebagainya.

Taman Ikan Air Tawar ini juga menyajikan pelbagai jenis unggas di dalam sangkar. Ia termasuklah Burung Merak, Merbuk, Tekukur, Merpati dan sebagainya.

Taman Alam Kuala Selangor


Sebelum pulang kami singgah ke Taman Alam Kuala Selangor. Walau bagaimanapun, pelawat dikenakan bayaran sebanyak RM4 (dewasa), RM1 (kanak-kanak di bawah 17 tahun) dan RM2 (warga emas). Kami tidak mempunyai banyak masa kerana hendak menghadiri kenduri kahwain sepupu di Sungai Besar. Maka, kami cuma ambil gambar di sekitar pintu masuk sahaja.


Mungkin dikesempatan akan datang, kami akan meneroka apa yang terdapat di dalam Taman Alam Kuala Selangor ini.

ADA 60 LAGI GAMBAR; KLIK SINI

BACA JUGA:

Thursday, December 24, 2015


Mengapa kita perlu mengejarnya? Sedangkan ia tiada. Tahukah anda apa itu fatamorgana?  Saya haus setelah 10 kilometer berbasikal dan sinar mentari sudah terik. Tiba-tiba saya ternampak nun jauh di hadapan jalan raya bertar itu ada takungan air yang menyamankan.

Lantas saya memecut. Tetapi apabila tiba di situ ia tiada dan nampaknya semakin menjauh. Apabila ditenung kembali, ia ada nun jauh sebatu lagi. Pecut kayuh lagi dan bila sampai ia tiada juga. Itulah fatamorgana. Usah dikejar ia kerana ia tidak wujud dan palsu.

Begitulah perihalnya hidup di alam fana ini. Ia fatamorgana cuma. Sedang hidup kita menafikan. Tetapi percayalah apabila sehari di alam barzah barulah kita sedar yang hidup di dunia dahulu cuma sekelip mata sahaja. Ya, sekelip mata cuma.

Tak percaya? Hakikatnya itu sewaktu di alam fana ini juga kita telah mengakuinya. Contohnya, apabila bertemu dengan rakan sekolah rendah. Ayat lazim yang meniti di bibir kita; "Eh...dah jadi bapa orang sudah kau ye. Rasa macam baru semalam kita main pondok-pondok, masak-masak dan kawin-kawin di bawah dahan koko." Soalnya dengan dahi berkerut dan wajah yang separa terkejut.

Baru semalam kita rasa? Walhal peristiwa itu nun...25 tahun yang lepas. Ohh...terasa begitu pantas masa berlalu. Esok lusa jika umur panjang kita bertemu lagi tatkala sedang bertongkat bersiar-siar bersama cucu-cicit di taman rekreasi. Lantas, ayat klise itu muncul lagi. 

Ya, saya bilang kalau... kalau umur panjang.

Fakta ini saya bentangkan. Hidup di dunia ini palsu belaka. Hidup yang abadi dan benar lagi kekal tiada penghujungnya adalah kehidupan sesudah mati.

Beruntung dan bertuahlah mereka yang memahami sedalam-dalamnya akan hal ini. Maka, mereka berada di atas pentas dunia ini hanya sekadar memenuhi keperluan hidup sahaja.

Tujuan hakiki hidup dimengerti dan diutamakan. Apakah tujuan hidup? Saya fikir semua orang telah maklum. Ya... mengabdikan diri kepada Tuhan yang menciptakan kita.

Justeru itu, mengapa ramai manusia yang menjadi terlalu naif dan bebal? Sehingga bersaing beria-beria benar. Sehingga sanggup berbunuh-bunuhan dan bermati-matian demi mengejar fatamorgana itu?

Usah dilihat diperingkat global. Lihat sahaja di tanah malaya yang dahulunya sentosa dan permai ini. Mengapakah mereka yang berkuasa atau yang 'bertakhta' mahupun yang 'berdaulat' itu dilihat terlalu rakus dan haloba?

Alam ini bukan milik kita sahaja. Kita cuma mewarisinya daripada nenek-moyang dahulu kala dan meminjamnya daripada generasi yang akan datang. Tiada rasa bersalahkah kita apabila memulangkan alam ini kepada cucu-cicit kelak dalam keadaan yang tercemar dan bertoksid?

Mengapa begitu tergamak dan zalim sekali memusnahkannya semata-mata untuk mengejar fatamorgana itu?

Seindah manapun makam tuan-tuan. Baik berbumbung dan bergerbang, berjubin yang bertatahkan emas hatta berlian sekalipun. Serta berbondong-bondong para pelajar hafiz dan sekelian jelata membacakan yasin dan tahlil...

Belum tentu tuan-tuan akan sejahtera berada di dalamnya. Sedang tatkala hidup dan berkuasa dahulu terlalu asyik mengejar fatamorgana itu sehingga hidup marhain terbanyak menjadi suram, resah, gelisah dan derita.

Wahai manusia sedarlah dan insaflah. Hidup ini fatamorgana cuma! Usah tergelincir dari matlamat asal.

LAGI CERITA DI SEGMEN #CeriteraFS  KLIK SINI

Wednesday, December 23, 2015


Salah seorang peserta Kursus CCNA Routing and Switching di IMATEC, INTAN, Bukit Kiara tempoh hari adalah kakitangan Istana Budaya. Saya cuba bertanya kepada Syahir sekiranya kami dapat melawat ke sana bagi melihat dengan mata sendiri ruang dalaman, sistem audio dan visual serta cara pengoperasian dewan teater yang dikatakan bertaraf dunia itu.

Syahir tiada halangan dan menetapkan jadual pada malam berikutnya (2 Disember 2015). Lantas, selepas marghrib saya bersama Nordin, Man Syah dan Rasnor memandu menuju ke Jalan Tun Razak. Maka, pada malam itu tercatat dalam sejarah hidupku; apabila marhain masuk Istana Budaya. Haha.

"saya tak mahu jumpe org buat bisnes dan tak mahu pos simkad dan tak mahu sembang kencang berjam2 kat orang tapi last2 result hampeh!" Adakah situasi ini berlegar dlm fikiran anda? kini evolusi viral dunia AutoDownLine diperkenalkan buat semua rakyat malaysia sign up free 

Nak beli tiket yang berharga ratusan ringgit semata-mata untuk menonton, memang tidaklah. Teater dan marhain adalah seumpama Enggang dengan Pipit. Teater adalah untuk golongan bangsawan. Manakala marhain hanya mampu muat turun yang percuma di internet sahaja. Opppss. Syyyhhhh.

Raptai Teater Bawang Putih Bawang Merah

Secara kebetulannya, ketika itu sedang berlangsungnya raptai Teater Bawang Putih Bawang Merah yang diarahkan oleh Erma Fatimah. Apalagi, kami pun duduk termangu dan melopong melihat keletah mereka menjalankan latihan di atas pentas.

Ramai juga artis popular yang terlibat dalam teater tersebut. Nak tulis di sini takut salah sebab saya bukanlah kenal sangat dengan artis-artis baharu. Haha. Tengoklah gambar-gambar yang sempat kami #snapshot.

Para artis yang terlibat sedang menjalankan reherseal
Setelah hampir setengah jam kami memerhati cara kerja anak-anak seni yang berbakat itu berlakon, Syahir membawa kami ke tingkat atas. Sambil itu, dia menunjukkan barisan-barisan kerusi penonton dan perbezaan harganya. Selepas itu, kami dibawa ke kawasan sekitar Lambang Sari dan ruang pejabatnya.

Tengah aku melopong menonton, Syahir pula datang offer untuk bergambar dengan Nabila Huda
yang ketika itu duduk selang beberapa buah kerusi sahaja.
 Aku naik segan dan malu-malu kucing. Mujur dia sangat sporting.
Sempat juga aku bertanya soal giliran penjagaan anaknya.
Jawabnya hari sabtu sahaja anaknya bersama bekas suaminya.
Ooo..ok noted. Anak perempuan tunggalnya comel. Sebaya dengan anak aku.
Secara bergurau, saya memohon supaya kami bertukar tempat kerja secara suka sama suka. Hahaha. Sudah pastilah dia menolaknya kerana dia juga baru sahaja bertugas di situ beberapa bulan yang lepas setelah menamatkan pengajiannya di peringkat ijazah di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dengan jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer. Saya #salute! Kejuruteraan komputer tidaklah sama dengan sains komputer.
Pemandangan dari tempat duduk di atas
Syahir tidak lokek menerangkan informasi yang berkaitan
Sebelum pulang, kami mengete dulu
Terima kasih kepada Syahir kerana memberi kami peluang merasai suasana di dalam Panggung Sari.

ADA 27 GAMBAR LAGI; KLIK SINI

BACA JUGA:

*Kesuntukan waktu menyebabkan banyak bahan untuk paparan #blog ini masih terbengkalai di dalam mod deraf. Semoga dikurniakan masa terluang untuk terus #blogging #LakarHidupSendiri.

Monday, December 21, 2015


Pada 30 November hingga 4 Disember 2015 yang lalu, saya telah berpeluang mengikuti Kursus CCNA Routing and Switching: Introduction to Networks Siri 3/2015 yang dianjurkan oleh Sub-kluster Pembangunan Kepakaran Teknologis ICT, Kluster Inovasi Teknologi Pengurusan (i-IMATEC) di IMATEC, INTAN Bukit Kiara.

Objektifnya adalah untuk memberi kefahaman dan pengetahuan asas rangkaian komputer; memberi kemahiran asas pengendalian rangkaian komputer yang merangkumi Network Operating System, Network Protocols, Ethernet & IP Addressing dan memberi kefahaman serta pengetahuan asas mengendali perkakasan rangkaian komputer seperti router dan switches.

CCNA Routing & Switching ini sebenarnya mempunyai empat kurikulum. Introduction to Netwoks ini hanyalah di peringkat pertama. Seterusnya, Routing and Switching Essentials, Scalling Networks dan Connecting Networks.

Modul Introduction to Networks ini mengandungi sembilan chapter iaitu, Exploring the Network, Configuring a Network Operating System, Network Protocols and Communications yang dipelajari pada hari pertama. Hari ke-2, Network Access, Ethernet dan Network Layer. Seterusnya pada hari ketiga adalah, Transport Layer, IP Addressing I dan IP Addressing II.

"saya tak mahu jumpe org buat bisnes dan tak mahu pos simkad dan tak mahu sembang kencang berjam2 kat orang tapi last2 result hampeh!" Adakah situasi ini berlegar dlm fikiran anda? kini evolusi viral dunia AutoDownLine diperkenalkan buat semua rakyat malaysia sign up free 

Manakala pada hari ke-4 pula, Subnetting IP Networks, Application Layer dan It's Network. Di sini bermulah #tergeliatotak saya. Hahaha. Di hujung setiap chapter tersebut ada test yang perlu dijawab. Kemudian pada hari terakhir diadakan Final Exam dan Skill-Based Assesment Lab (SBA).

Kursus lima hari ini dimulakan dengan taklimat pembukaan oleh Puan Haizan Yusoff (Timbalan Ketua Kluster -Sub Kluster Pembangunan Kepakaran Teknologis) dan perasmian penutup oleh Puan Marsineh Jarmin (Ketua Kluster Teknologi Pengurusan i-IMATEC).

Menurut Puan Marsineh, kursus seumpama ini jika di luar yurannya adalah dalam lingkungan RM1500 hingga RM2000. "Tetapi di sini, yuran yang kamu bayar cuma RM30 dengan makan dan tempat tinggal ditanggung sepenuhnya. Kemudian balik nanti boleh claim pula di jabatan masing-masing. Maka, saya mahu kamu semua ambil manfaat sebaiknya daripada ilmu yang diperolehi selama lima hari di sini dan boleh menyumbang semula kepada jabatan masing-masing." tegas beliau.

Dikendalikan oleh dua orang tenaga pengajar yang pakar iaitu, Encik Muhammad Kamal Zakaria dan Encik Ahmad Junaidi Kasmi. Menariknya, semua slide nota, ujian dan peperiksaan dijalankan secara online melalui Netacad.com. Setiap peserta dibekalkan token khas untuk akses kepada modul-modul yang berkaitan.

Seramai 18 orang Juruteknik Komputer FT17/22 dari seluruh negara dan pelbagai agensi telah mengikuti kursus siri ke-3 pada tahun ini. Antaranya termasuklah dari Universiti Sains Malaysia Kampus Parit Buntar, Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Klang, Istana Budaya, Kolej Vokasional Slim River & Rembau dan beberapa buah sekolah lain.

Empat orang 'best student' telah dikenalpasti dan bakal dapat anugerah dekan agaknya, Iaitu, Saudara Nordin (SMKA Segamat) yang setiap test dan exam dapat 100% tu. Kemudian dua orang dari USM, iaitu Saudara Azam dan >>>> serta Saudara Syahir (Istana Budaya). Saya dan yang lain best student juga. Tetapi bermula pada hari ke-4, banyak melopong dan mengangguk. hahaha.

Menariknya juga, pada malam hari ke-2 kursus, saya dan beberapa rakan sempat pergi menonton reherseal Teater Bawang Putih Bawang Merah di Istana Budaya. Nanti saya akan cerita di entri yang lain. Terima kasih kepada Syahir aka Abang IB. haha.

Seperti saranan Puan Marsineh yang berharap diwujudkan alumni, maka bertambahlah lagi grup whatsapp di telefon ini. CCNA SIRI 1 created! Rangkaian terbina.



Lagi gambar KLIK SINI

Sunday, December 20, 2015


Hajat di hati nak berkayuhan,
Alas perut dengan roti canai;
Apakan daya ada halangan,
Hujan turun renyai-renyai.

Ilham muncul tak segan-segan,
Berpantun pengganti berbasikal;
Lantas kekunci ditekan-tekan,
Di Rungkup rangkap merungkai.

Diupah bekerja sebagai penasihat,
Tingkahnya hanya pak turut sahaja;
Tiadalah bermaruah gaji yang sarat,
Sedang kebenaran disorok senghaja.

Nakhoda sudah tidak berpedoman,
Kapal senget dimasuki air merata;
Apalagi diharap pada barisan,
Jika keadaan rakyat semakin derita.

Merasai denyut nadi rakyat,
Jangan hanya retorik indah;
Sedang rakyat sudah tak larat,
Menanggung derita tak sudah.

Usah hanya degar bersidang,
Sampai mikrofon naik lebam;
Berpidato gegar lawak berselang,
Usai himpun balik tersembam.

Penumpang setia menaruh harapan,
Biarpun bocor hampir tenggelam;
Harap nakhoda ambil perhatian,
Segera tampal sebelum karam.

Tegarnya prinsip sudah teruji,
Terhina sungguh jadi boneka;
Kita kritik bukan nak mengeji,
Harap di atas bersifat terbuka.

#PascaPAU2015
#NasihatUtkPunahsihat
#TeguranLunakUtkNakhoda
#MatangKunda
#DUNRungkup
#17dis2015
#FauziSabri
#HakCiptaTerpelihara