Thursday, February 25, 2016

“Tun M - Inilah Perjuangan…” adalah catatan peribadi penulis mengenai idea dan pemikiran tokoh dan negarawan terkemuka Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pengkisahan ini bermula daripada pertemuan dengan budayawan dan tokoh bahasa Tan Sri Datuk Wira Haji Abdul Aziz Tapa dari Kampung Rim, Jasin, Melaka yang mendorong permulaan usaha menerbitkan sebuah buku mengenai sejarah perjuangan orang Melayu membina negara bangsa Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia; berjudul Selagi Hayat Dikandung Badan: Lembaran Perjuangan pada 2006, seterusnya membawa kepada pertemuan penulis dengan YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad.
ISI KANDUNGAN
Kata pengantar
Pendahuluan
Nota penerbit
BAHAGIAN 1  : Bertatih Hari Ini, Esok Kita Berlari
  • Maktab Kerjasama Malaysia: Tugasan Khas
  • Peringatan Daripada Seorang Negarawan
  • Kunjungan Ke Bandaraya Bersejarah
  • Perjuangan Orang Melayu
  • Jikalau Tidak Dipecahkan Ruyung, Di Mana Boleh Mendapat Sagu
  • Pertemuan Pertama
BAHAGIAN 2 : Bermula Dengan Langkah Pertama
  • Penantian Yang Mendebarkan
  • Menyingkap Latar Belakang Seorang Pejuang
  • Malayan Union Dan Dato’ Onn Jaafar
  • Terjun Ke Arena Politik
  • Pertentangan Dengan Lee Kuan Yew Dan Konsep ‘Malaysian Malaysia’
  • Hubungan Dengan Tun Abdul Razak Hussein
  • Dasar Dalam Negeri Dan Cabaran Politik
  • UMNO Di Ambang Perpecahan
  • Pendirian dan Dasar Luar Negeri
  • Perjuangan Belum Selesai Dan Melayu Mudah Lupa
  • Berpisah Untuk Bertemu Lagi
BAHAGIAN 3 :  Tidak Pisang Berbuah Dua Kali
  • Keikhlasan Penyulam Kemesraan
  • Kenangan Lalu Mengusik Kalbu
  • Bangkitlah Segera Daripada Tidur
  • Orang Melayu dan Politik
BAHAGIAN 4 : Malu Makan Kelaparan, Malu Bertanya Sesat Jalan
  • Masih Segar Dalam Ingatan
  • Pertemuan Kedua
  • Kembali Kepada Ajaran Al-Qur’an Sebenar
  • Meraih Sokongan Orang Cina
  • Kegagalan Ekonomi Orang Melayu
  • Tidak Mahu ‘Overstay’
  • Etika Kerja dan Sikap
BAHAGIAN 5 : Pohon Yang Rendang, Tempat Berteduh Musafir dan Dagang
  • Mencari Penaung
  • Perbincangan Dengan Pegawai Yayasan Perdana
  • Pengubat Kecewa Tidak Dapat Menyaksikan Perlumbaan F1 Dubai
BAHAGIAN 6 : Yang Bulat Tidak Datang Bergolek, Yang Pipih Tidak Datang Melayang
  • Kegigihan Mula Membuahkan Hasil
  • Natijah Yang Baik
  • Bagaikan Kelahiran Anak Pertama
  • Tanda Penghargaan
BAHAGIAN 7 : Ular Yang Menyusur Akar Tidak Akan Hilang Bisanya
  • Menetapkan Tarikh
  • Misi Memujuk Tan Sri Arshad
  • Ujian Di Hari Pelancaran
  • Yang Ditunggu Akhirnya Tiba Jua
  • Berkongsi Pentas Dengan Negarawan
BAHAGIAN 8 : Bumi Mana Yang Tidak Ditimpa Hujan
  • Pertemuan Di Bulan Mulia (Ramadhan 2012)
  • Ada Yang Tertinggal
  • UMNO Dilanda Masalah
  • Impian Membina Taman Islam
BAHAGIAN 9: Rendah Gunung, Tinggi Lagi Harapan
  • Lebaran Yang Menjadi Kenangan (Syawal 2012)
  • Minat Terhadap Senibina
  • Mengenai Konsep Pembinaan Putrajaya
BAHAGIAN 10 :Kecil Tapak Tangan, Nyiru Kami Tadahkan
  • Masih Ingatkah Tun Kepada Kami?
  • Menghantar Undangan
  • Hasrat Yang Tercapai
PENUTUP
Daftar Nama

Wednesday, February 24, 2016


Antara Tora dan Ding Dang, biasanya abah akan memilih Ding Dang. Sebab Ding Dang 50 sen manakala Tora seringgit. Tak kisahlah janji ada. Kalau tak dapat saya akan berguling di depan kedai. Begitulah perihal saya ketika kanak-kanak. Setiap petang membonceng kapcai abah menuju ke pekan kecil berhampiran dengan kampung.

Petikan suara Mat Sentul yang seringkali muncul di kaca televisyen monokrom, "Tora datang lagi dengan permainan bla... bla... bla..." sememangnya mendatangkan keterujaan kepada setiap kanak-kanak dan keresahan kepada ibu bapa yang mendengar.

Menyelak buku Tora Datang Lagi: Kitab Pengetahuan Kanak-kanak 90-an tulisan anak kelahiran Pulau Mutiara, Amirul Bozu ini berupaya mengenang memori retro dengan jelas dan terperinci. Menghabiskan buku ini sama seperti menyusun semula memori hidup mengikut timeline zaman kanak-kanak.

Kita jumpa balik yang hilang, kita imbau semula yang sudah terlupa, kita bina balik blok-blok gambaran hidup zaman kanak-kanak dan segala keriangannya. Selepas ini kita tidak perlu lagi bimbang jika aktiviti atau scene kanak-kanak kita terlepas dari ingatan.

Simpan buku ini dan apabila hendak mengingat, selak semula. Bacalah untuk diri sendiri, bacalah sebagai bedtime story untuk anak-anak dan bacalah untuk cucu-cicit pada suatu masa akan datang.

Sebahagian besar atau saya kira lebih 70 peratus catatan dalam buku ini pernah saya lalui sebagai kanak-kanak yang membesar pada dekad 90-an. Dari rancangan televisyen seperti Gaban, Suria Baja Hitam, Usop Sontorian, Along dan sebagainya dibongkar semula untuk kenangan kita. Siri televisyen adiwira tempatan seperti Chempiang dan Kluang Man juga tidak kurang hebatnya.

Turut dikemukakan adalah permainan bebudak zaman itu seperti, konda-kondi, polis entri, guli, tepuk daun terup, jengket-jengket, congkak tanah, laga spider dan sebagainya. #throwback lagi apabila dipaparkan permainan brick game, pistol air, pistol mercun, senapang kayu dan botol air berbentuk telefon bimbit.

Lebih melucukan apabila mengenangkan tentang pantang larang, seperti jangan tunjuk pelangi nanti jari kudung, Angkat kaki ketika meniarap nanti emak mati dan duduk atas bantal nanti berbisul.

Alif Lam Lam Ha merupakan huruf-huruf dalam bahasa arab yang apabila disatukan menjadi kalimah suci berbunyi Allah. "Alif Lam Lam Ha, siapa makan ayam goreng aku, dia masuk neraka. Alif Lam Lam Ha, siapa curi pensel aku, balik sekolah dia eksiden." Dipercayai dengan meletakkan kalimah tersebut pada setiap ayat, ianya akan menakutkan siapa sahaja yang bersalah.

Sebelum wujudnya pemain disc, MP3, Ipod dan sebagainya, kanak-kanak era 90-an gemar mendengar lagu melalui hearfone walkman. Menggunakan dua biji bateri AA, mendengar radio atau kaset yang boleh diputar dan diterbalikkan. Ada side A dan side B. Antara kumpulan muzik tempatan yang popular ketika itu adalah KRU, 4U2C, A to Z dan Feminim.

Stesen radio yang paling hot waktu itu adalah Radio Muzik. Rancangan Pilihan Bersama yang ke udara pada setiap malam paling ditunggu-tunggu kerana pendengar boleh pilih lagu kegemaran mereka untuk diputarkan. Perlu diingat, pada ketika itu belum ada aplikasi SMS dan Whatsapp. Malah telefon bimbit juga tidak wujud lagi. Pendengar perlu mengepos poskad untuk memilih lagu kegemaran mereka ke alamat stesen radio berkenaan di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Ada banyak lagi yang Amirul Bozu terobekkan di dalam buku ini. Tak larat saya nak tulis semuanya. Segala jenis dan jenama jajan yang popular pada waktu itu, sehinggalah ais kepal, saluran televisyen, gula-gula getah, mukaddam, buah cermai, komik seperti; Alam pewira, Dewata Raya, Pedang Setiawan, Raja Rimba dan sebagainya. Majalah humor tempatan yang paling popular pula adalah Gila-Gila dan Ujang.

Ragam di sekolah juga diselitkan. Antara ketakuatan adalah apabila doktor gigi datang menjengah, suntikan BCG dan juga berkhatan.

Jika anda lahir pada tahun 80-an dan membesar pada dekad seterusnya, buku Tora Datang Lagi ini memang patut dimiliki. Ia berupaya #throwback zaman nakal dan riang kita dahulu. Buku setebal 302 muka surat ini memang #awesome untuk dibaca. Anda akan tersengih dan ketawa kecil sendirian apabila mengingati gelagat zaman kanak-kanak dahulu. Jom beli!


Tribute untuk arwah abah; Mohd Sabri bin Manhuri bin Abdul Khalid bin Ahmad "Ya Allah, ampunilah dosanya, kasihani dan sejahterakanlah dia. Maafkan segala kesilapannya, muliakan kedatangannya dan lapangkanlah kuburnya. Terima kebaikannya dan hapuskanlah kesalahannya dengan rahmat-Mu; wahai Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyanyang. Amiin"

Monday, February 22, 2016


Mengikut statistik, sekurang-kurangnya 48 peratus rakyat negara ini mengalami masalah obesiti, manakala 15.2 peratus orang dewasa dikenal pasti menghidap diabetis. Itu adalah hasil tinjauan kebangsaan pada tahun 2011.

Inspirasi Kejayaan

Menyedari akan kemudaratan obesiti kepada diri, banyak kisah kejayaan telah dicatatkan. Tiada yang mustahil jika kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat berat badan unggul yang diidamkan. Selain kisah Zdy Hirddy yang saya ketengahkan di blog ini, anda juga boleh membaca banyak lagi kisah kejayaan di SusuSejat.com. Semoga ia akan mampu menaikkan semangat anda untuk bebas dari obesiti buat selama-lamanya.

Azam Kurus 2016

Menjelang awal tahun ini, ramai antara kita yang masih dibelenggu masalah obesiti memulakan #azamkurus2016. Sekarang sudah masuk bulan ketiga dalam tahun 2016, namun penurunan berat badan yang diharapkan masih tidak berlaku, malah makin bertambah pula. Ada yang mengeluh dan mula berputus asa. Walaupun telah berpantang dari menjamah nasi, berat badan masih tidak turun. Apakah sebabnya? Saya fikir tuan punya badan lebih tahu akan sebabnya. 


Kejayaan Saya

Seperti yang telah saya dedahkan sebelum ini, #MisiFitFS bermula dengan kesedaran yang jitu. Memiliki tubuh yang gendut dan berat bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan. Atau menjulang trofi sambil melaungkan "gemuk is awesome!" bukanlah sesuatu yang patut dipuji. Gemuk bukan kebanggaan tetapi gemuk adalah suatu gejala penyakit yang perlu dihindari. 

Gemuk juga bukanlah penyakit keturunan. Tetapi gemuk adalah pilihan diri anda sendiri. Jika anda melihat ibu dan ayah serta majoriti adik-beradik lain adalah normal, ini bermakna anda tidaklah mengalami obesiti atas faktor keturunan. Sebaliknya, masalah kegemukan yang anda hadapi adalah berpunca daripada diri anda sendiri. Tabiat makan secara berlebihan dan gaya hidup yang tidak aktif mungkin penyebab utama anda menghadapi masalah tersebut.

Apa yang patut anda lakukan ialah mengubah gaya hidup anda. Amalkan diet secara seimbang dan keraplah bersenam. Itu sahaja. Tak perlu berbelanja mahal dengan mencuba berbagai produk pelangsing yang ada di pasaran. Amalkan diet secara alami.

Banyak juga entri yang telah saya tulis berkaitan hal ini. Anda boleh rujuk di sini.

Diet Seimbang

Bermaksud anda ambil makanan yang mengandungi nutrisi lengkap. Ikut piramid makanan yang disyorkan. Lebihkan sayur dan buah-buahan. Jika serius mahu kurus, sila abaikan makanan yang bersifat junk food.

Ambil makanan pada kadar yang sesuai untuk tenaga yang hendak digunakan. Jika kerja kita di pejabat sahaja, janganlah ambil makanan seperti kita bekerja buruh kasar atau petani. Malang bagi kita apabila mewarisi sarapan pagi yang berat seperti nasi lemak atau nasi berlauk-pauk ayam goreng tetapi pekerjaan kita berbeza dengan orang tua dahulu. Kita mewarisi budaya makan tetapi tidak mewarisi kerja yang sama.

Orang dahulu memang perlu akan makanan seperti itu untuk tenaga mereka membanting tulang empat kerat bertani. Sebaliknya kita bersarapan seberat itu untuk duduk menghadap komputer sahaja. Inilah puncanya kadar obesiti negara ini semakin meningkat saban tahun.

Jangan terlalu mengikut kehendak lidah dan tekak. Banyakkan minum air tanpa gula. Sehingga kini, saya hanya mengambil secawan sahaja air bergula sehari. Selebihnya, saya hanya minum air suam, limau suam kosong dan teh hijau tanpa gula. Kurangkanlah menjamu selera di luar. Sebaliknya, lebihkan masak menu-menu sihat sendiri di rumah.

Bersenam Secara Konsisten

Peruntukkan masa yang tetap untuk bersenam. Anda boleh lakukannya di mana sahaja. Di pejabat, taman rekreasi atau di pusat-pusat kecergasan. Joging di taman rekreasi berhampiran kediaman anda juga sudah memadai tetapi ia perlu dilakukan secara berterusan. Bukan kuantiti senaman atau riadah yang ditekankan. Tetapi konsistensi itu lebih mustahak. Janganlah hangat-hangat tahi ayam.

Kesimpulan

Azam akan hanya tinggal azam jika kita bersikap acuh tak acuh. Cabaran orang lain dan kisah kejayaan yang anda baca hanyalah sumber inspirasi. Tetapi yang menjayakan misi anda, adalah diri anda sendiri. Pandang cermin, bulatkan tekad dan teruskan misi anda sehingga berjaya. Ubah segera sebelum terlewat. Anda mampu mengubahnya. Katakan tidak kepada obesiti!

Saya mencadangkan anda untuk mendapatkan e-book FORMULA KURUS: Pelan Mudah & Teknik Cepat Bakar Lemak. KLIK SINI



Buku ini adalah buku pertama di dunia yang berjaya membongkar misteri sosok Luqmanul Hakim dalam sejarah. Daripada kajian yang dijalankan oleh penulis, ternyata Luqmanul Hakim adalah ahli falsafah Athens, iaitu Socrates (469-366 SM). 

Tradisi hadith menyatakan Luqmanul Hakim merupakan lelaki berkulit hitam (keturunan negro) dan bekas hamba sahaya. Tetapi Socrates yang selama ini dikenal sebagai pencetus atau bapa falsafah barat, dipercaya berketurunan kulit putih Eropah. Jelas sekali perkara ini bertentangan dengan fizikal Luqmanul Hakim. 

Menerusi kaedah perbandingan Sinkronik-Diakronik, analisis kandungan, analisis bingkai, dan analisis komponen semantik, Muhammad Alexander @ Wisnu Sasongko menemukan adanya dua persamaan. Pertama - Bentuk fizikal Socrates sama 100% dengan Luqmanul Hakim, iaitu berkulit hitam. Kedua - Ajaran falsafah Socrates memiliki tematik sama 100% dengan nasihat Luqmanul Hakim dalam Al-Quran, menerusi surah Luqman. 

Menerusi buku “Alexander Adalah Zulkarnain”, penulis telah membuktikan bahawa Alexander The Great sememangnya adalah Zulkarnain yang diceritakan dalam Al-Quran. Dalam bukunya yang terbaru ini, penulis sekali lagi membuat penemuan yang menggemparkan dunia ilmu agama dan sejarah. Sarat dengan kajian ilmiah dan penelitian fakta sejarah, buku ini berjaya membuktikan bahawa Socrates adalah Luqmanul Hakim. 

Namun, tiada siapa yang menyangka, Socrates adalah bekas hamba abdi yang berkulit hitam. Socrates yang selama ini dikenali sebagai bapa falsafah barat sering digambarkan sebagai berkulit putih. Sejarah sebenar mengenai Socrates yang telah diubah dan diselewengkan berjaya dimurnikan oleh penulis. Pembuktian bahawa Socrates adalah Luqmanul Hakim bukan sahaja didasari oleh fakta sejarah, tetapi turut disokong oleh aspek bahasa dan sastera. 

Persamaan yang paling jelas sehingga terbuktinya Socrates sememangnya Luqmanul Hakim adalah pada ajaran yang mereka bawa. Sumber yang sahih mengenai Socrates jelas menunjukkan, Socrates juga percaya kepada konsep monoteisme, iaitu ketuhanan yang satu seperti ajaran Islam yang dipegang oleh Luqmanul Hakim. 

Disebabkan perkara ini, Socrates, dihukum mati oleh pemerintah pada zamannya kerana didakwa membawa ajaran yang boleh merosakkan pemikiran anak muda. Socrates dihukum meminum racun yang dikenali sebagai “laqmaan”. Lama-kelamaan, gelaran laqmaan melekat kepada Socrates sehinggalah beliau dikenali sebagai Luqmanul Hakim sahaja. Al-Hakim pula merujuk kepada kebijaksanaan Socrates. 

Penulis juga berjaya membuktikan persamaan fizikal antara Socrates dan Luqmanul Hakim. Buku-buku tulisan Plato, anak murid Socrates ada menerangkan tentang fizikal Socrates yang berkulit hitam, berhidung pesek, berbibir tebal, dan bertangan lebar. Socrates juga adalah bekas hamba abdi yang dimerdekakan oleh tuannya. Luqmanul Hakim juga dinyatakan dalam sebuah hadis sebagai hamba yang berkulit hitam. Inilah persamaan yang membuktikan Socrates adalah Luqmanul Hakim.

Dalam buku ini juga, penulis membuktikan yang Socrates dan Luqmanul Hakim hidup pada zaman yang sama, merujuk kepada kedua-dua sumber barat dan Islam. Terdapat beberapa bukti lagi yang jelas membuktikan Socrates adalah Luqmanul Hakim. 

Melalui kajian yang mendalam serta menyeluruh daripada pelbagai sumber dan aspek, bukti-bukti yang dibentang oleh penulis tidak dapat disangkalkan lagi. Kaedah kajian yang digunakan oleh penulis juga diterangkan supaya membaca betul-betul memahami perbahasan yang ingin dikemukakan. 

Sebagaimana buku “Alexander adalah Zulkarnain”, buku ini pastinya dapat memberikan kepuasan intelektual kepada para pembaca. Bukti-buktinya akan memberikan keyakinan untuk kita menilai sendiri dan mempercaya Socrates adalah Luqmanul Hakim. Faktanya jelas, bukan didasari oleh andaian semata-mata. Itulah kelebihan mana-mana buku yang ditulis oleh Muhammad Alexander, atau nama sebenarnya Wisnu Sasongko. -Reviu PTS.

Buku kajian setebal 744 muka surat ini didahului dengan Terjemahan Surah Luqman. Kemudian disusuli dengan bab Sejarah Hidup Socrates dan Falsafahnya, Garis Masa Yunani kuno. Socrates Berkulit Gelap Keturunan Afrika-Yunani. Socrates Ahli Hikmah dan Pencari Hikmah

Seterusnya, Socrates Mengajar Manusia supaya Bersyukur kepada Allah dengan Cara Mengenali Diri Sendiri dan Sembahyang, Nasihat Socrates supaya Tidak Menyekutukan Allah, Socrates Berpesan supaya Lamprodes (Anaknya) Berbakti kepada Ibu Bapa, Socrates Percaya Tuhan akan Membalas Semua Perbuatan Manusia, Socrates Mengajak kepada Kebaikan dan Mencegah Kejahatan, Kesabaran dan Kawalan Diri Socrates

Usah Sombong, Socrates Mengajak Hidup Bersederhana, Tuhan Memudahkan Segala-Galanya untuk Manusia, Socrates Dihukum Mati Menelan Racun sehingga Digelar "Luqman", Mencari Maksud Kata Nama Socrates dan Luqman, Menuju Pemurnian Falsafah Socrates.

Kenali Penulis

Wisnu Sasongko @ Muhammad Alexander lahir pada 13 April 1972 di Bandar Malang, Jawa Timur, Indonesia hasil perkahwinan pasangan suami isteri Dr. Monadi Rustamadji dan Tampi Sriasturi. Dunia menulis sudah bermula sejak berusia 16 tahun di Sekolah Menengah Atas (SMA) Negeri 3 Malang dalam bentuk puisi-puisi (1984).

Kemudian, pada usia 22 tahun (1994), beliau dilantik menjadi Ketua Umum Majalah Kampus Solid di Universiti Brawijaya yang terletak di Bandar Malang. Kemampuannya dalam bidang penulisan diasah ketika mengikuti pengajian M.A di Institut Teknologi Sepuluh November (ITS), Surabaya. Beliau menyelesaikan pengajian peringkat B.A. dalam bidang Seni Bina daripada Universiti Brawijaya (UniBraw), Malang pada tahun 1996.

Seterusnya, beliau menyelesaikan pengajian peringkat M.A. dalam bidang Housing & Urban Planning daripada ITS Surabaya pada tahun 2001. Kini, beliau dalam proses dalam menyelesaikan PhD dalam bidang Urban Housing di ITS. Kini, beliau menjadi pensyarah tetap di Universiti Brawijaya. Beliau juga banyak menghasilkan banyak kertas kerja dan buku-buku kajian seperti Armageddon: Antara Petaka dan Rahmat, Yakjuj & Makjuj: Bencana di Sebalik Gunung dan Alexander adalah Zulqarnain.

Menekuninya..

Luqmanul Hakim Adalah Socrates Berkulit Hitam: Menyingkap Rahsia Ahli Falsafah Agung Yunani adalah karya kedua beliau yang selepas Yakjuj & Makjuj: Bencana Di Sebalik Gunung yang telah saya miliki. Naskhah yang bersifat penyelidikan merupakan salah satu cara menambah ilmu yang efektif. Walaupun ia kelihatan agak berat kerana sarat dengan fakta yang dikemukakan, tetapi apabila ditulis dalam bahasa yang moden, bagi saya tiada masalah untuk menekuninya.

Saya kagum dengan usaha penulis buku ini. Bukan mudah untuk menghasilkan karya bermutu yang berbentuk seperti sebuah kompilasi laporan kajian daripada sumber yang pelbagai. Tentu sekali ia mengambil masa yang panjang untuk pengumpulan bukti demi bukti dengan merujuk kitab-kitab klasik silam dalam pelbagai bahasa.

Sudah tentulah menekuni karya sebegini juga memerlukan masa yang panjang. Terpaksa diulang berkali-kali, sebelum saya boleh memahaminya. Kepuasan membaca buku ini terserlah dengan fakta-fakta yang dikemukakan.

Selain tujuannya membuktikan Socrates itu adalah Luqmanul Hakim yang kisahnya tercatat di dalam Al-Quran, buku ini juga memaparkan hikmah-hikmah Socrates yang tertulis di dalam kitab-kitab klasik Yunani.



Tuesday, February 16, 2016


Berlatarkan pemandangan pergunungan, Naris Phu View Resort merupakan tempat penginapan yang menawarkan kemudahan yang lengkap dan selesa pada harga yang munasabah. Menurut penduduk tempatan, resort yang baharu dibuka hampir setahun yang lalu ini adalah antara yang termurah di Satun.

Selesai lawatan kerja pada hari pertama ke Darulmaaref Foundation School dan Majlis Agama Islam Wilayah Satun, kami di bawa ke resort ini. Jarak antara Naris Phu View Resort dengan sempadan Wang Kelian Perlis hanyalah sekitar 27 kilometer sahaja. Lokasinya adalah berhampiran dengan Yan Sue Sub District Administration dan Tesco Lotus Satun atau lebih tepatnya adalah di 94 M.6 Yansue, Kuandon.

Mempunyai 18 bilik standard dan segala kemudahan seperti kolam renang, akses wifi, kafe, parkir dan pelantar tinjau untuk menikmati panorama pergunungan. Apabila memasuki biliknya, kita akan dikejutkan dengan gubahan tuala berbentuk angsa sedang bercumbuan. Fuh...memang sesuai untuk pasangan yang honeymoon.

Walaupun orang lain keletihan dan berehat di bilik masing-masing, #LensaFS mula #snapshot bebrapa keping gambar di sekitar resort ini. Malangnya cuaca hujan renyai-renyai ketika itu. Selepas asar, saya dengan Mamu Khabir (pemandu pelancong) terjun ke dalam kolam renang.

Semakan saya di laman seperti Agoda, Trivago dan Booking.com, harga bilik standard dan twin room adalah masing-masing sekitar 1400 bhat (RM160) dan 1500 bhat (RM170). Menurut laman-laman tersebut, Naris Phu View Resort menawarkan harga antara yang termurah di wilayah berkenaan.

Selepas marghrib, kami berangkat makan malam di Fasai Seafood, Pakbara Beach yang jaraknya adalah sejauh 50 kilometer atau 45 minit perjalanan.

Maklumat lanjut mengenai resort ini, sila ke laman sesawang rasminya www.narisphuview.com







Monday, February 15, 2016


Cuti umum sempena Tahun Baharu Cina pada Isnin (8 Feb 2016) yang lalu saya dan Danish Fikri (DF) menemani seorang rakan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk melawat seorang kenalannya. Sejak minggu sebelumnya lagi, DF memang kerap merengek nak ke KL. Apa yang dia faham, bila ke KL mesti mandi di KLCC. Termasuk kali ini sudah tiga kali saya membawanya mandi-manda di situ.

GO KL

Saya memang kerap ke HKL sebab masih mempunyai temujanji secara berkala setiap tiga bulan sekali. Apabila ke KL, pengangkutan awam adalah pilihan utama saya. Usai urusan ziarah orang sakit, kami bergerak ke Pavilion menaiki bas GO KL. Saya memang gemar menggunakan khidmat GO KL ini. 

Memang sejak saya mengetahui adanya GO KL, saya sudah jarang menaiki tren untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain di dalam bandaraya. Bas-bas GO KL ditandai dengan Red Line, Blue Line, Purple Line dan Green Line yang mewakili setiap laluan yang ditetapkan.  Tetapi tiga bas ini akan bertemu di perhentian yang sama iaitu Pavilion. Maklumat lanjut klik peta laluan di atas atau sila ke www.gokl.com.my. Lantaran itu, apabila ada urusan di kota metropolitan itu, GO KL adalah pilihan pengangkutan yang mampu melegakan poket marhaen seperti saya kerana ia adalah percuma. Terima kasih kerajaan di atas inisiatif ini.

Dekorasi Indah CNY di Pavilion


Entah berapa kali apabila tibanya sambutan Tahun Baharu Cina saya secara kebetulan berada di KL. Maka, memang saya menjangkakan bahawa Pavilion adalah antara tempat yang mempamerkan dekorasi CNY yang paling indah dan kreatif. Maka sempatlah kami #snapshot beberapa keping gambar di sini sebelum melangkah kaki menuju ke KLCC menggunakan kemudahan laluan jejantas pejalan kaki.

Tarian Singa di KLCC

Setibanya di KLCC, kami terpegun melihat ribuan orang sedang berkumpul melihat tarian singa. Lalu saya mendukung DF supaya dia dapat melihat dengan jelas pertunjukan kebudayaan masyarakat Tiong Hua itu. Dalam sepuluh minit memerhatikan aksi mereka menggerakkan kostum singa itu, kami pun bergerak ke destinasi wajib yang jika tidak pergi ada yang akan berguling atas jalan. Huhu.

Mandi-manda di Kolam Kanak-kanak Taman KLCC

Haa...ini adalah destinasi dan aktiviti wajib kalau bawa DF ke KL. Apabila dicongak kembali, ini adalah kali ketiga saya membawanya mandi di sini. Baginya KL adalah KLCC dan KLCC itu mandi! Saya siap sedia bawa pakaian lebih untuknya. Layankan jer.

Sebelum mandi, kami makan tengahari dahulu. Saya bawa bekal dari rumah nuget, burger dan beli set nasi di Cold Storage KLCC. Harganya berpatutan dan rasanya sedap. Nasinya banyak boleh kongsi dua orang makan, berlauk ayam masak lemak, terung tumis dan telur rebus goreng sambal dengan harga hanya RM6. Memang berbaloi. Kami makan santai di taman tersebut.

Saya bagi tempoh masa 30 minit untuk DF mandi. Tunjukkan jam digital besar di Menara Maxis, "Danish, ingatnya bila jam sudah pukul 4.30 petang, stop Okay?" "Orait ayah!" jawabnya. Lantas, diapun mandilah dengan sepuas-puasnya sambil beberapa kali mendongak dan memandang ke arah jam tersebut. Tiba waktunya, dia sendiri datang kepada saya untuk memaklumkan sudah pukul 4.30 sambil menunjuk ke arah menara tersebut. "Okay, good boy! jom balik."


Sunday, February 14, 2016


Sebuah taman rekreasi yang subur menghijau berkeluasan 26 ekar, Sendayan Green Park direka bentuk bagi mewujudkan interaksi antara komuniti dan menggalakkan pelbagai aktiviti gaya hidup sihat dan aktif bagi setiap peringkat usia. Kawasan riadah serba lengkap ini dibangunkan oleh BSS Development Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Matrix Concepts Group yang bertanggungjawab dalam pembangunan Bandar Sri Sendayan yang lestari dan mapan.

Antara kemudahan gaya hidup aktif yang tersedia di sini ialah, kawasan amfiteater, padang bola sepak, gelanggang luncur, taman bertema, menara dan platform peninjau, laman tai chi dan yoga, gazebo, stesen kecergasan aktif dan pasif.

Selain itu ia turut dilengkapi dengan gelanggang badmindon atau bola keranjang, taman permainan kanak-kanak yang seba lengkap, sebuah tasik yang indah dan kemudahan tandas yang selesa. Taman rekreasi ini diawasi oleh pengawal keselamatan yang beroperasi 24 jam sehari.

Selain Hill Park S2 Heights dan S2 City Park, Sendayan Green Park memang kerap saya kunjungi kerana ia bersebelahan dengan tempat kerja. Ia terletak berhampiran dengan Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Sembilan, stesen minyak Petron, restoran makanan segera Marrybrown, deretan pusat komersial Sendayan Metro Park dan kediaman banglo jutawan peneroka Sendayan Idaman Villa.


Menariknya Sendayan Green Park ini adalah ia merupakan taman rekreasi yang serba lengkap. Trek jogingnya meliputi kawasan rata dan juga mendaki. Di atas puncak bukitnya ada pelbagai alat kecergasan berupa outdoor gym yang amat berguna. Manakala di tengahnya terdapat sebuah menara tinjau yang apabila kita berada di puncaknya, kita dapat melihat panorama indah Bandar Sri Sendayan dari atas.

Pengunjung juga boleh menikmati pemandangan pesawat-pesawat yang mahu mendarat di KLIA dari puncak bukit ini. Di sudut lain, kita dapat melihat kepesatan pembangunan Sendayan TechValley Malaysia yang menempatkan kilang-kilang berteknologi tinggi tempatan dan antarabangsa.

Selain joging, main bola sepak, badminton dan skateboard, pengunjung juga boleh membawa anak-anak berbasikal di taman rekreasi yang luas ini. Pada waktu pagi dan petang hujung minggu, taman ini biasanya akan dipenuhi dengan masyarakat tempatan yang mengambil peluang untuk beriadah dan bermesra dengan ahli komuniti yang lain.

Usaha berterusan turut didedikasikan ke arah mewujudkan taman kejiranan tersendiri di mana kanak-kanak boleh bermain dalam persekitaran yang selamat dan ahli keluarga dapat berkumpul bersama. Prasarana rekreasi yang serba lengkap dibina bagi semua ahli komunit dari segenap lapisan usia dapat berkumpul sambil menikmati aktiviti gaya hidup yang sihat kegemaran masing-masing.

Gelanggang luncur skateboard
Subur dan menghijau

Outdoor gym
Panorama terindah tasik
Landskap yang menarik dan mendamaikan

Thursday, February 11, 2016


Darulmaaref School Foundation (DMSF) atau Madrasah Yayasan Darulmaaref yang terletak di Jalan Wang Peracan, Kampung Khuansato, Satun ini telah diasaskan oleh Almarhum Tuan Guru Haji Muhammad Zikir bin Abdul Mannan. Beliau yang berasal dari Batang Kapas, Panian Sumatera Timur merantau ke Selatan Siam dan mula mendirikan Pondok Darul Maaref pada tahun 1950 di Chalung iaitu kira-kira tujuh kilometer dari kompleks sekolah kini.

Setelah beliau meninggal dunia pada tahun 1975, pentadbiran madrasah ini dikendalikan oleh anakandanya iaitu Almarhum Tuan Guru Haji Mohamad Zaki sehingga tahun 2013. Manakala kini, Ustaz Ahmad bin Muhammad Zaki mengambil alih kepimpinan sekolah pondok moden ini setelah ayahnya kembali ke rahmatullah.

Ziarah PGSMNS ke DMSF


Dalam artikel pengenalan Hat Yai Kota Dua Wajah, saya telah menceritakan serba sedikit perihal #KembaraFS #LensaFS mengikuti Lawatan Kerja Persatuan Peguam Syarie Malaysia Negeri Sembilan (PGSMNS) ke dua wilayah Selatan Thai iaitu Satun dan Songkhla.

Setelah melepasi sempadan Wang Kelian, Perlis, lokasi pertama yang kami jejaki adalah madrasah ini. Kehadiran kami disambut mesra oleh para pelajarnya. Walaupun ketika itu adalah cuti umum sempena ulangtahun Hari Keputeraan Raja Thailand, namun masih terdapat pelajar yang tidak pulang ke rumah tetapi tinggal di asrama.

Sarapan dan Taklimat

Kami di bawa ke dewan serbaguna di tingkat bawah masjid madrasah ini dan dijamukan dengan sarapan pagi berupa nasi kerabu serta kuih-muih tradisional tempatan. Kemudian sesi taklimat mengenai sekolah ini disampaikan oleh pengetuanya iaitu Ustaz Ahmad bin Muhammad Zaki yang baru selesai menamatkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan. Sejurus kemudian, ucapan aluan turut disampaikan oleh Dato' Hanif Hassan selaku Pengerusi PGSMNS.

Mengenai Madrasah

Sijil thanawi madrasah ini mendapat pengiktirafan dari Universiti Islam Madinah, Ummul Qura Makkah, Al-Azhar Mesir dan Al-Qasimiah Emirates. Ini bermakna para pelajar lepasan madrasah ini boleh menyambung pengajian ijazah sarjana muda ke universiti-universiti tersebut dan juga di institut pengajian tinggi tempatan.

Pondok moden ini mempunyai bahagian pengajian agama, tahfiz, sains dan modul bahasa melayu serta mata pelajaran akademik yang lain. Selain itu, ia juga mempunyai sumber ekonomi sendiri dengan menjalankan ternakan ikan dalam kolam, kilang bakeri, kilang air mineral, kedai runcit, ladang getah dan van untuk disewa.

Stesen Radio


Lebih uniknya, madrasah ini memiliki stesen radio sendiri yang beroperasi dari pukul enam pagi sehingga enam petang setiap hari. Mereka menggelarnya Radio Al-Quran yang boleh didengar melalui frekuensi 105.25 Mhz di Satun. Menurut Ustaz Ahmad tujuannya adalah persis Radio IKIM di Malaysia bagi mendidik dan berdakwah melalui corong radio kepada penduduk wilayah berkenaan.

Pencapaian

Pada tahun 2014, seramai 42 orang pelajarnya berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Songkhla Nakharin, 25 orang di universiti Rajaphatra, 11 orang di Universiti Thaksin, lima orang di Emirates dan empat orang ke Kolej Kejururawatan Sirin Ton serta 70 orang ke universiti lain-lain. Selain itu, madrasah ini tidak ketinggalan juga aktif di bidang ko-kurikulum apabila skuad bola sepaknya menjadi johan peringkat wilaha sekali gus menajdi wakil wilayah Satun ke peringkat Selatan Thai.

Untuk maklumat lanjut mengenai sekolah ini sila ke laman sesawang rasminya. 
KLIK SINI: www.drmsatun.ac.th

Kami mandi dan bersiap-siap di sini sebelum ke destinasi berikutnya iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Satun.

LAGI GAMBAR LAWATAN KE DARULMAAREF FOUNDATION SCHOOL KLIK SINI

Bina jambatan menuju ke seberang
Melangkah jurang lebar dan dalam
Dengan darah dan keringat
Dengan airmata berpegang pada taliNya

Rapatkan saf semangatmu jangan goyah
Kota yang telah roboh harus dibina semula
Atas dasar kebenaran demi kita demi waris
Semua serangan yang datang kita tangkis

Jangan kau gentar pada bayang-bayang sendiri
Di sebalik pahit getir kemenangan menanti
Bagaikan burung Phoenix bangkit dari abu 
Bangkit membina (semula) satu keindahan (baru)

Phoenix bangkit 
Bina jambatan menuju ke seberang
Dengan darah keringat dan airmata oh...
Melangkah ke seberang ke tanah yang dijanjikan
Dirindukan
Demi cinta tiada lain demi cinta

Jangan kau gentar pada bayang-bayang sendiri
Di sebalik pahit getir kemenangan menanti
Bina jambatan menuju ke seberang
Dengan darah keringat dan airmata oh...
Melangkah ke seberang ke tanah yang dijanjikan
Dirindukan
Demi cinta tiada lain demi cinta
Demi cinta... demi cinta...

Ini adalah rangkap lirik lagu Phoenix Bangkit Dari Abu karya dan dendangan seniman tersohor negara Datuk M. Nasir. Apakah Plaza Phoenix masih tersergam indah di Cheras? Saya kurang pasti. Hihi. 

Hidup di alam fana ini adalah ujian. Tiada seorang insan pun boleh terlepas dari ujian demi ujian. Ujian pula hadir dalam pelbagai bentuk dan rupa. Allah menguji sesuai dengan keupayaan hambaNya itu. Semakin tinggi darjat seseorang hamba itu di sisiNya, semakin besar ujian yang bakal ditempuhinya.

Apa itu Phoenix? 

Phoenix adalah sejenis burung yang masyhur di dalam hikayat-hikayat dongeng masyarakat Rom, Parsi, Greek dan Mesir purba. Sebahagian ahli sejarah turut mempercayai bahawa cerita dongeng klasik burung Phoenix ini juga berlegar di kalangan masyarakat China dahulu kala. 

Walaupun terdapat pelbagai versi cerita mengenai burung unik ini, tetapi mereka sepakat bahawa Phoenix adalah seekor burung yang cantik dan jangka hayatnya adalah sekitar 500 hingga 1000 tahun. Apabila tiba ajalnya, maka ia akan terbakar dengan sendirinya lalu menjadi debu abu. Ajaibnya, kemudian seekor Phoenix baharu akan lahir semula dan bangkit keluar daripada debuan abu tersebut. 

Bercakap mengenai perceraian, ia adalah sebuah realiti kehidupan alaf baharu. Faktor-faktor yang membawa kepada runtuhnya sesebuah rumahtangga telah diperdebatkan dengan panjang lebar oleh media massa. Saya tidak berhajat untuk menyentuhnya di sini. Ia bukannya cerita dongeng atau fantasi. Bukanlah ‘cobaan’ tetapi ia benar-benar menjadi trend masa kini. 

Perpisahan Tragis 

Apabila sudah berpisah dengan pasangan kita, maka hubungan yang dahulu sudah tidak wujud lagi di dalam kehidupan yang sedang dan akan dilalui. Luka, kecewa, hampa dan segala runut rasa yang ada tidaklah mudah hilang begitu sahaja. Lebih-lebih lagi bagi perceraian yang berlaku secara tiba-tiba. Tiada pergaduhan yang besar dan berlarutan berlaku. 

Namun kita bukanlah seperti dongeng Phoenix yang bangkit dari abu dan mampu terbang bergaya beberapa minit selepas itu. Kita bukanlah seperti itu, yang jika hari ini bercerai, esoknya bangun dari tidur dan boleh melupakan segala apa yang terjadi pada hari sebelumnya. Kita memerlukan masa untuk bangkit. Lain orang, lain dayanya. 

Masa Menyendiri 

Ambillah masa untuk menyendiri. Kembali rapatkan diri dengan Ilahi. Akrabkan hubungan denganNya. Teori rukun iman ke-6 iaitu beriman kepada Qada’ dan Qadar perlu ditelaah kembali dan ditekuni sedalam-dalamnya. Selama ini kita mungkin beriman pada teorinya sahaja. Hari ini kita mempraktikkannya. Janganlah berlagak sombong mengakui sudah benar-benar memahami erti beriman kepada Qada’ dan Qadar Allah sebelum kita menempuhi musibah-musibah yang tidak enak dan sukar untuk ditempuhi di dalam kehidupan ini. 

Muhasabah Diri 

Semak kembali sisi gelap kehidupan masa lalu. Dosa-dosa silam mungkin masih tidak terampun dan terus menghantui kita kerana permohonan ampun dibuat secara lewa. Akui dan sesali akan kekhilafan lalu, teruskan munajat dan mohon taubat tanpa jemu. Letakkan pengharapan tanpa wasangka kepada Allah SWT yang maha pengampun itu. Atas sifatNya yang maha pengasih dan maha penyanyang itu, maka letakkanlah harapan yang optimis agar dosa-dosa lalu dan yang akan datang diampunkanNya jua. 

Berhenti Salahkan Pasangan 

Berhenti berasa semua yang berlaku adalah berpunca daripada orang lain. Jika itu sahaja yang terdaya kita lakukan, maka tiada apa-apa koreksi terhadap diri akan berjaya kita lakukan. Sebab kita tidak berasa diri kita yang bersalah. Sebaliknya kita berterusan menyalahkan pasangan atau orang-orang di sekeliling kita. Terbitkan perasaan bahawa semua yang terjadi adalah atas kecuaian dan kelemahan diri sendiri. Maka, di sanalah nanti akan lahir susunan langkah demi langkah bagi menampal segala lubang-lubang ketirisan dalam diri sendiri. 

Dengar Nasihat Orang Tua 

Duduk dan bersembanglah dengan orang-orang yang lebih tua. Pasang telinga dangan teliti, renung bibir mereka yang mengungkapkan bicara berbentuk nasihat. Dengar dan serapnya dengan dada yang lapang. Adakalanya, nasihat tersebut mungkin pedih untuk didengar dan sukar untuk diterima. Umpama ubat yang pahit untuk ditelan, tetapi mampu memberikan kelegaan. Maka jangan melawan dan akurlah. Usia mereka sudah melebihi separuh abad. Pengalaman hidup menjadi remedi berharga buat mereka. Lalu, kata-kata yang meniti di bibir mereka wajar kita serap dengan teliti dan cermat.

Bakulsampahkan Dendam 

Dendam adalah sifat mazmumah yang akan memusnahkan kita. Campakkan ia ke dalam tong sampah. Apabila kita telah mengakui sudah beriman dengan Qada’ dan Qadar Allah, maka sepatutnya tiada lagi terbit perasaan dendam dalam jiwa. Tiada lagi sarangnya dalam hati yang jernih. Kita memahami bahawa semua yang terjadi ini telah ditetapkan ‘skripnya’ oleh Tuhan yang mengatur kehidupan. Memahami sedalam-dalamnya akan hakikat ini, membolehkan kita menarik nafas lega, segar dan kedamaian serta ketenteraman kembali menggamit jiwa yang lara. 

Besarkan Zuriat Bersama 

Jika pasangan yang berpisah itu mempunyai zuriat bersama - maka - jalinan persahabatan perlu wujud dalam urusan membesarkan anak-anak. Walaupun sudah berpisah, tetapi kasih sayang ibu dan bapa terhadap anak-anak sepatutnya masih kekal seperti sedia kala. Ya…walaupun sudah tidak tinggal sebumbung, janganlah salah seorang cuba menafikan hak anak-anak tersebut untuk membesar dengan merasai belaian kasih sayang daripada seorang ibu atau bapa. 

Ayuh Bangkit 

Kendatipun kita tidak sehebat Phoenix, tetapi ayuhlah bangkit dan teruskan sisa baki kehidupan yang masih panjang. Pujuklah jiwa yang lara untuk kembali ceria. Insafilah, bahawa inilah resmi kehidupan yang ada pasang dan surutnya. Indahnya pentas kehidupan ini apabila kita menerima watak dan skrip yang mencabar. Jalur cerita yang rumit dan rencam akan melahirkan insan yang hebat kelak. Serahkan diri kita bulat-bulat kepadaNya. Apapun, marilah kita #LakarHidupSendiri. Hahahahaha. Di sebalik duka ada suka, di sebalik suka ada duka.

Bagaikan Khadijah Di Hati Rasulullah
Setakat ini lebih 14,000 wanita sedang membaca buku Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah bagi mempelajari kemahiran 'memanjangkan' halal dalam perkahwinan.
Penulis ini pun apabila 'gaduh-gaduh' comel dengan isteri pun buka buku sendiri, katanya, "Apa yang saya tulis ini sebagai manual ke atas diri dan membantu orang lain."
Saya ada beberapa naskhah Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah jika ada yang mahu. Lelaki boleh hadiahkan buku ini kepada bakal suri hatinya. Jika anda isteri, buku ini adalah manual yang terbaik untuk anda menjadi peneman yang setia di sisi suami.